January 14 2025

Industri Jagung di Malaysia

Industri Jagung di Malaysia - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Jagung (Zea mays Linn) merupakan tanaman bijirin ketiga paling luas ditanam di dunia selepas padi dan gandum sebagai bijirin makanan ruji. Ini adalah kerana jagung   mempunyai kandungan kanji yang tinggi dan sangat versatil, serta dapat diproses untuk menghasilkan pelbagai bahan makanan dan minuman seperti bijirin sarapan, kanji jagung, sirap berfruktos tinggi, minyak masak, dan lysine. 

Jagung juga digunakan dalam bahan   industri seperti penghasilan bahan bio-mudah lupus, etanol sebagai bahan api, dan   sebagai sumber utama dalam pembuatan dedak makanan haiwan. 

Jabatan Pertanian   Amerika menganggarkan sebanyak 1.5 bilion metrik tan jagung dihasilkan setahun di seluruh dunia. Amerika Syarikat mengeluarkan 38 peratus daripada pengeluaran jagung dunia   diikuti oleh China, Brazil, dan Kesatuan Eropah. Majoriti hasil jagung dieksport ke serata dunia, dan sektor pengguna terbesar jagung ialah industri ayam daging dan ternakan   ruminan. 

Jagung terdiri daripada jenis jagung   bijirin yang dibiarkan masak di pohon dan dituai bagi mendapatkan bijirin kering. Satu lagi jenis jagung yang ditanam untuk dimakan segar ialah Jagung Manis (sweetcorn). Fokus kali ini adalah kepada pengeluaran jagung manis yang   lebih popular di kalangan petani sebagai tanaman “cash crop”. 


Tanaman yang seragam memberi hasil maksimum.

 


Sejarah Jagung di Tanah Melayu

Jagung dipercayai diperkenalkan di Tanah Melayu pada kurun ke-16 oleh penjajah Portugis dan Belanda sebagai sumber makanan mereka. Antara jenis jagung yang diperkenalkan ialah jenis “dent” dan “flint”. Jagung jenis flint lebih digemari pada era tersebut berbanding zaman sekarang yang lebih menggemari jenis jagung manis untuk makanan   manusia. 

Di Asia, jagung masih menjadi tanaman selingan atau tanaman sementara di sela- sela tanaman kekal seperti kelapa sawit, getah, dan buah-buahan serta di kawasan sawah pada musim kering yang tidak boleh ditanam padi. Jagung   ditanam dalam plot-plot kecil antara 1 hingga   3 ekar secara berperingkat sehingga tiga pusingan   setahun untuk bekalan kepada pasaran tempatan dan sedikit dieksport ke Singapura dan Brunei. 

Sejak diperkenalkan, jagung kebanyakannya dimanfaatkan sebagai makanan dengan direbus, dibakar, atau   dibuat kuih dan penganan. Hampir seluruh bahagian tanaman digunakan, seperti sodet (babycorn) yang dibuat sayur, manakala pohon jagung selepas dituai dimesin untuk makanan lembu. Ini popular selepas ramai yang mengusahakan ternakan secara feed lot. 

Namun, jagung belum menjadi tanaman tetap   seperti di Amerika Syarikat, di mana ia ditanam   secara besar-besaran berulang kali untuk bahan mentah bagi pengeluaran sirap berfruktos tinggi. Jagung telah menjadi sebahagian daripada makanan sampingan masyarakat Malaysia sejak turun-temurun selain beras sebagai makanan ruji, pisang, dan ubi-ubian. Ini terbukti dengan peribahasa lama, “Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak”. 

Walaupun mempunyai makna   membuat sesuatu yang bermanfaat sementara menanti tugas yang lebih besar, ia secara langsung menggambarkan betapa masyarakat tani dahulu menghargai masa dengan menanam jagung serta tanaman lain yang boleh dijadikan makanan di masa senggang sebelum tibanya musim menuai padi. 

Dapat difahami mengapa masyarakat dahulu tidak pernah putus bekalan makanan kerana di sekeliling rumah terdapat ubi kayu, pisang, dan jagung. Segala bahan makanan, ikan air tawar, sayuran, ulam-ulaman, dan rencah masakan boleh didapati secara percuma, tidak seperti masyarakat kini yang perlu membeli walau sekadar sebatang serai. 


Jagung Manis lebih popular kerana hasil tinggi tetapi kos menanam rendah.

 


Jenis-jenis Jagung: Bijirin dan Manis

Jagung manis lebih disukai berbanding jagung   bijirin atau dahulunya dikenali sebagai jagung   pulut. Jagung manis lebih manis seperti namanya, mempunyai kandungan gula 25% lebih tinggi daripada jagung pulut yang agak hambar dan keras kerana kandungan kanji yang tinggi. Jagung manis dikonsumsi sebagai sarapan atau makanan ringan antara masa makan utama. Ia disediakan dengan merebus atau membakar. Jagung bijirin atau   jagung pulut lebih sesuai diproses menjadi tepung dan dibuat aneka resipi seperti kuih-muih. Jagung manis dipetik ketika kernel masih bersusu dan   lembut, tetapi jagung pulut dibiarkan masak di pokok sebelum dituai. 

Oleh kerana kernelnya   kering dan keras, ia boleh disimpan lama sebagai bekalan di waktu kecemasan seperti musim hujan   dan banjir. Jagung pulut biasanya dibuka kulitnya ke atas menjadi tali dan diikat bergugus-gugus serta digantung pada galah untuk mengeringkannya. Jika lembap di dalam kulit, biji jagung akan bercambah dan tidak boleh dimakan lagi. Adakala bekalan   jagung pulut berlebihan diberi makan kepada   ternakan seperti ayam dan itik, yang juga bersifat bekalan protein rizab ketika cuaca tidak   membolehkan mereka mencari ikan di sungai.   Jagung ditanam di antara musim padi pada musim kemarau di tepi-tepi sungai yang mempunyai tanah aluvial yang subur. 

Pengeluaran Jagung di Malaysia

Jagung bijirin banyak ditanam di lembangan sungai di Kelantan, Terengganu, dan Pahang. Atas kempen yang dibuat oleh agensi-agensi pertanian dan pembangunan wilayah, jagung bijirin varieti Suwan berasal dari Thailand ada ditanam di   Chuping, Perlis, dan Padang Terap serta Kubang Pasu di Kedah. Namun, jagung bijirin tidak dapat berkembang menjadi industri kerana beberapa   masalah kesesuaian dengan cuaca setempat. 

Jagung bijiran dibiar sehingga masak dan kering di pokok.

 


Hujan yang turun pada musim penuaian menyebabkan biji-biji jagung bercambah di tongkol jagung   sebelum sempat dituai. Alat pengeringan tongkol   jagung juga terpaksa menggunakan kemudahan di kilang-kilang padi. Sesetengah kilang enggan   melayan penggunaan alat pengeringnya untuk   jagung bijirin, terutama apabila ada permintaan di musim penuaian padi atau peralatan dibuka untuk penyelenggaraan berkala bagi menghadapi musim penuaian padi berikutnya. 

Ini menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan lebih mahal   mengeluarkan jagung bijirin dalam negara   berbanding mengimport. Ramai penanam   jagung beralih kepada menanam jagung manis   kerana kos yang jauh lebih sedikit, lebih   menguntungkan, tempoh yang singkat, dan senang dipasarkan. Terdapat sekitar 11,500 hektar kawasan bertanam dengan tanaman jagung di Malaysia pada tahun 2019 dengan penghasilan sebanyak 85,200 metrik tan. Tiga kawasan tanaman utama jagung di   Malaysia adalah di Johor, Selangor, dan Pahang. 

Daerah Pontian di Johor merupakan kawasan paling luas ditanam jagung (550 hektar), diikuti Daerah   Kudat (450 hektar). Jagung banyak ditanam di Chemor, Titi Gantung, dan Malim Nawar di Perak serta Ara Kuda di Pulau Pinang bagi pasaran jagung di Cameron Highlands. Pelancong ke pusat   pelancongan tanah tinggi ini sangat berminat   membeli jagung di sana, terutama jagung mutiara berisi putih yang kononnya ditanam di ladang yang sejuk itu. 

Sejumlah 80% jagung segar pelbagai gred dari Gred A (350g ke atas), Gred B (350-250g),   hingga Gred Chai (250g ke bawah dan bentuk   abnormal) adalah untuk pasaran tempatan melalui jualan pasar malam, gerai tepi jalan, dan pasar raya. Sebahagian diproses menjadi kernel sejuk-beku   untuk jagung cawan dan kegunaan dalam resipi   masakan. 

Gred AA/Super Gred (500g-350g)   dieksport ke Singapura dan Brunei bagi mendapat harga yang lebih baik hasil daripada tukaran mata wang asing. Terdapat beberapa petani di Chemor dan Pontian menanam varieti jagung hibrid tertentu secara organik atau dengan penggunaan racun makhluk perosak yang rendah khas untuk pembeli tertentu di luar negara dan mendapat harga yang sangat lumayan. 

Pendebungaan dan Penuaian Jagung

Jagung adalah tanaman jenis monoecious, di mana terdapat bunga jantan dan betina pada satu pokok yang sama. Pokok jagung daripada varieti terkini lebih rendah kerana telah dibiak baka sedemikian supaya lebih tahan terhadap kerosakan akibat angin. Bunga jantan muncul di bahagian atas pokok dengan ketinggian antara 1 hingga 2 meter, manakala bunga betina berada di bahagian bawah. 

Pendebungaan jagung dibantu oleh angin dan serangga seperti   lebah serta kelulut. Tempoh 3 hingga 7 hari tanpa   hujan diperlukan bagi menjamin pendebungaan yang sempurna serta pembentukan kernel hingga penuh ke hujung. Bulu sutera jagung (corn silk), iaitu pistil yang berhubung dengan setiap kernel, berfungsi untuk memerangkap debunga daripada bunga jantan. Ia akan kering apabila pendebungaan telah lengkap. 

Jagung akan matang dalam tempoh 80 hingga 150 hari bergantung pada kultivar.   Kematangan jagung yang siap untuk dituai dapat dilihat daripada bulu sutera yang kering, kulit buah yang menjadi lebih kering dan sedikit kuning,   serta bunga jantan yang telah kering. Ada petani yang memangkas batang jagung di atas tongkol menjelang kematangan tongkol untuk mengarahkan segala sumber kepada pembesaran kernel jagung. 

Jagung manis boleh ditanam di kebanyakan jenis tanah yang bersaliran baik. Biasanya, jagung manis memberikan hasil yang baik jika ditanam di tanah loam yang dalam, dengan kandungan nutrien yang tinggi dan bahan organik yang banyak. Walaupun jagung boleh bertahan pada pH tanah serendah 5, pH antara 6 hingga 7 adalah terbaik. Tanah pamah atau sedikit condong adalah paling sesuai,   walaupun penanaman berterusan dengan jagung tidak digalakkan. Penambahan tinja ayam sehingga 3 metrik tan per ekar diperlukan jika kawasan yang sama hendak ditanam jagung secara berterusan.   

Kebanyakan kawasan bekas lombong di Perak   menggunakan kaedah ini untuk menanam jagung. Selain kawasan berpasir yang ditambah bahan   organik, kawasan bekas lombong juga mempunyai bekalan air yang banyak. Tanpa sumber air yang mencukupi, terutama ketika peringkat pengisian isi, jagung bergred rendah akan terhasil. Tanaman   pusingan dengan kacang tanah, keledek, dan   tanaman singkat masa lain perlu dilakukan untuk menjamin kesuburan tanah dalam jangka masa   panjang. 

Penyediaan Tanah Untuk Penanaman Jagung

Tanaman jagung memerlukan penyediaan tanah yang baik. Untuk pembukaan kawasan baru   daripada belukar, pembersihan perlu dilakukan menggunakan backhoe bagi menolak tumbuhan hingga ke akar-akarnya dan melonggokkannya   ke tepi untuk tujuan pembakaran kemudian.   Kawasan yang ditumbuhi rumpai tegar seperti lalang, napier liar, atau kekacang penutup bumi perlu diracun menggunakan racun rumpai sistemik. Jika tanah memerlukan saliran, parit boleh dibuat pada masa ini diikuti penyediaan tanah dengan dua kali bajak piring dan dua kali sikat (harrow) secara berselang-seli. 

Jika pengapuran diperlukan   menggunakan GML (Ground Magnesium   Limestone), ia boleh ditabur selepas baja pertama. Taburan baja organik seperti tinja ayam sebanyak   3 hingga 5 metrik tan sehektar boleh dilakukan   selepas bajak kedua. Batas dibuat selepas sikat kedua jika diperlukan penanaman di atas batas.   Racun pra-cambah menggunakan Diuron, dicampur dengan separuh kadar racun lepas cambah jenis   sentuh, digunakan selepas itu untuk mengawal rumpai. Jagung sangat sensitif terhadap saingan rumpai. 

Sumber Air dan Sistem Pengairan

Sumber air yang mencukupi adalah salah satu   kriteria penting dalam penanaman jagung manis. Mengorek kolam sebagai takungan air menelan kos yang tinggi. Adalah lebih baik memilih kawasan yang mempunyai sumber air semula jadi. Ini   menerangkan mengapa kawasan Malim Nawar di Perak mempunyai kawasan jagung yang luas. Petani di sana menggunakan sumber air dari lombong   tinggal yang sangat banyak, selain tanah kerajaan negeri yang luas dan boleh disewa. Begitu juga penanam jagung manis di Kodiang, Kedah, yang menggunakan sumber air dari terusan MADA   (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda). 

Terdapat beberapa sistem pengairan yang boleh digunakan untuk tanaman jagung manis, namun sistem renjis (overhead sprinkler) dan sistem titis (drip irrigation system) adalah yang paling popular. Selain itu, sistem banjir (flooding) juga diamalkan di kawasan pamah yang mempunyai bekalan air yang banyak. Sistem ini sangat murah kerana hanya memerlukan saluran air yang sesuai, tetapi kurang efektif di kawasan berpasir dan mempromosi   pertumbuhan rumpai yang sangat pesat. 

Jagung Manis sedia dipetik apabila sutera jagung menjadi kering.

 


Sistem pengairan titis didapati paling sesuai untuk tanaman jagung manis, apalagi kos paip bagi sistem ini telah menurun hasil daripada peningkatan pengeluaran oleh pengilang tempatan. Sistem titis dapat menjimatkan air sehingga 25% hingga 30% dan meningkatkan kecekapan penggunaan air   sehingga 75% hingga 90%. Hasil meningkat   sebanyak 20% hingga 50%. Air dapat diedarkan secara seragam tanpa mengira bentuk dan saiz ladang, dengan itu pertumbuhan pokok menjadi sangat seragam. 

Sistem titis juga dapat digunakan untuk membaja secara berdikit-dikit tetapi kerap, mengurangkan kehilangan baja berbanding kaedah pembajaan konvensional. Jika digunakan pada tekanan rendah, sistem titis dapat   menjimatkan tenaga bahan api atau elektrik. Oleh kerana air diberikan rendah pada paras tanah, sistem ini dapat mengurangkan kehilangan air   akibat angin seperti yang berlaku dalam   penggunaan sistem renjis. 

Pengairan perlu dilakukan secara sekata pada   peringkat vegetatif dan sangat kritikal pada peringkat pembungaan (45 hari selepas tanam) serta   peringkat pendebungaan (50 hari selepas tanam), iaitu ketika pembentukan kernel (milking stage). Air yang mencukupi tanpa gangguan hujan atau   pengairan renjis semasa pendebungaan akan   menghasilkan jagung berisi penuh hingga ke hujung. 

Hasil mungkin jatuh sehingga 50% jika kekurangan air pada peringkat pengeluaran bunga jantan,   pendebungaan, dan pembentukan kernel.   Dianggarkan 50% keperluan air bagi tanaman   jagung adalah 30 hingga 35 hari selepas keluarnya bunga jantan (tasseling), iaitu ketika jagung   mencapai paras tertinggi dan mengeluarkan   debunga. Bunga betina berupa jagung kecil dengan sutera jagung berwarna kuning keunguan muncul tiga hari selepas tasseling. 

Sistem Tanaman

Kaedah sistem tanaman paling popular ialah sistem dua baris berkembar dengan jarak 1 x 1 kaki   antara pokok dan 5 kaki antara lorong. Biji benih   jagung manis diletakkan dua biji dalam satu lubang, memerlukan sebanyak 20 kg benih sehektar. Jika menggunakan anak benih yang disemai terlebih dahulu dalam dulang 200 lubang, hanya satu anak benih berumur 7 hari ditanam pada satu titik   tanaman. Bagi kawasan tanah rendah yang   mengalami masalah saliran, batas perlu disediakan untuk mengelakkan pokok daripada terendam air, terutama ketika hujan. Lebar batas 3 kaki sesuai   untuk menempatkan dua baris tanaman dengan jarak 1 kaki antara baris, dan parit berada di   tengah-tengah lorong yang berjarak 5 kaki. Tiap hektar boleh mencapai sehingga 40,000 hingga 60,000 pokok bagi kepadatan tinggi. 

Jenis Jagung Manis Hibrid

Permintaan terhadap jagung manis berkualiti dan enak seperti jagung manis dalam cawan yang dipelopori oleh Nelson telah memulakan   perlumbaan dalam mencari dan menghasilkan benih jagung melalui teknik penghibridan.   

Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MARDI   merupakan agensi terawal menjalankan   penghibridan untuk menghasilkan jagung manis hibrid bermutu, sesuai dengan cuaca tempatan. Sekitar tahun 1980-an, UPM menghasilkan varieti Metro, Cinta, dan Bakti 1. MARDI pula   menghasilkan varieti Improved Thai Super Sweet, Super Sweet Red, dan Super Sweet Yellow. 

Kini, pelbagai syarikat swasta turut menghasilkan dan menyelidik benih jagung hibrid, sebahagian   daripadanya menerima geran kerajaan melalui pro jek pembangunan --koridor seperti NCER (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara). Antara   pengeluar biji benih jagung hibrid yang aktif di   Malaysia ialah Crop Power, Leckat, AG Seed, GWG, MARDI, Green Eagle, Soon Huat Seeds, dan   Hokaido Seed. Dari Indonesia, beberapa syarikat seperti Benih Pertiwi, Bintang Asia, Garuda Seed, dan Panah Merah turut membekalkan benih jagung manis kepada petani Malaysia melalui jualan   dalam talian. Sementara itu, dari Thailand,   pengeluar seperti Cap Kapal Terbang dan Panah Merah juga menyediakan benih jagung manis. 


Jagung Mascorn disediakan sebelum dibungkus.

 


Petani di utara masih menggunakan benih murah tetapi menghasilkan hasil yang lumayan seperti varieti Thai Super Sweet, yang mudah diperoleh di pekan sempadan dengan harga RM15 bagi paket setengah kilogram berbanding benih hibrid   tempatan yang mencecah RM80 untuk berat yang sama. 

Antara varieti yang sangat popular dan bermutu tinggi ialah SC9001 dari Crop Power. Varieti ini didakwa menghasilkan jagung manis dengan kualiti terbaik di seluruh Asia Tenggara, sesuai untuk   kepadatan tinggi hingga 18,000 pokok sehektar, serta memberikan hasil 20% lebih tinggi daripada biasa. Dari Leckat, varieti 592 Sugar Rich menjadi pilihan petani kerana mampu menghasilkan jagung manis bersaiz besar (antara 550g hingga 650g   setongkol) dengan rasa yang sangat enak dan manis (Brix 15-16), serta kulit berwarna hijau gelap yang tahan lama. 

Pasaran jagung di Cameron Highlands memerlukan bekalan jagung manis Mutiara Putih dan Bi Color. Namun, kerana kawasan pertanian di tanah tinggi itu terhad, dua jenis jagung tersebut tidak dapat dihasilkan dalam kuantiti mencukupi untuk   memenuhi permintaan. Urfa Plantation di Selama mengambil peluang segmen pasaran ini dengan menanam jagung manis Hokkaido Series yang   diimport dari Jepun. Mereka berjaya menghasilkan jagung Mutiara Hokkaido Dwi Warna dan Jagung Susu Hokkaido (juga dikenali sebagai Jagung Susu Cameron) di tanah rendah, yang boleh dimakan mentah. 

Perosak dan Penyakit

Antara perosak tanaman jagung ialah ulat ratus FAW (Fall Armyworm - Spodoptera frugiperda), ulat pengorek batang, ulat pengorek lengai jagung, dan aphid. Serangga ini perlu dikawal dengan   penggunaan tanaman tahan serangan serta   semburan racun serangga, terutama pada umur   30 hari selepas tanam, 45 hari selepas keluarnya bunga jantan (tasseling), dan 3 hari kemudian   apabila bunga betina muncul. 

Beberapa penyakit disebabkan oleh kulat seperti penyakit reput smut (Ustilago maydis), penyakit virus jagung, penyakit karat (Puccinia sp.),   penyakit reput batang, dan penyakit reput buah. Namun, kebanyakan penyakit ini tidak menjadi wabak. Dengan pengurusan amalan baik dan   berhemah, jagung manis selamat dimakan kerana memerlukan penggunaan racun makhluk perosak yang sangat minimum. 

Produk Hiliran 

Walaupun jagung merupakan hasil pertanian   dengan jangka hayat pasaran yang pendek, ia boleh diproses menjadi produk hiliran dengan hayat yang lebih panjang apabila disejukbekukan. Produk ini juga mampu dieksport ke luar negara. Jenama   Mascorn, misalnya, berjaya memasarkan 30,000 hingga 40,000 tongkol jagung setiap hari untuk pasaran tempatan sahaja melalui pasar raya   terkenal. Lebihan jagung daripada petani akan   diproses menjadi biji jagung sejuk beku yang boleh bertahan bertahun-tahun. Produk ini digunakan oleh peniaga kecil untuk menghasilkan jagung cawan ala-Nelson, yang memulakan fenomena   jagung cawan di seluruh negara sekitar tahun 1985. Kini, Mascorn turut memasarkan produk jagung manis sejuk beku ke pasaran antarabangsa,   termasuk Rusia dan United Kingdom. 

Kos Pengeluaran dan Pendapatan Sehektar

•    Penghasilan jagung: 35,000 tongkol   (hasil minimum) 

•    Pendapatan kasar: RM35,000 (@RM1/tongkol) 

•    Perbelanjaan: RM24,000   (kos input, kos buruh, dan kos operasi) 

•    Pendapatan bersih: RM11,000   (bagi tempoh 3 bulan) 

•    Pendapatan tahunan: RM33,000   (3 pusingan setahun)

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag