January 23 2025

Mascorn Jenama Raja Jagung Manis Malaysia

Mascorn Jenama Raja Jagung Manis Malaysia - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Ramai yang menggemari jagung manis, baik dikukus, dibakar, mahupun sebagai jagung manis dalam cawan yang dicampur bersama susu pekat dan keju. Lebih   menjimatkan jika membeli jagung segar dan menyediakannya sendiri di rumah;   sekeluarga dapat menikmatinya dengan puas. 

Namun, membeli jagung segar di pasar atau pasar malam sering kali menjadi satu perjudian. Ada kalanya memperoleh   jagung yang segar, tetapi kebanyakan masa mendapat jagung yang sudah beberapa hari dipetik. Bijinya kecut, tidak manis, dan berhampas. 

Kini, masalah tersebut dapat dielakkan   dengan membeli jagung manis jenama Mascorn. Pemiliknya, Encik Wong Yoon Bing dari   Marine Gold Marketing Sdn Bhd, memastikan   pengguna berpuas hati dengan setiap produk   daripada syarikatnya. Selain menjual jagung segar yang dibungkus dalam pek berkembar dua tongkol atau lima tongkol satu pek, syarikat ini juga   memproses kernel jagung yang dilerai satu per satu dan disejukbekukan. 

Berbeza dengan sesetengah syarikat lain yang menggunakan mesin untuk   memotong biji jagung dari empulur, Mascorn   memilih untuk meleraikan biji jagung secara manual bagi menjamin kesegarannya. 

Setiap hari, Marine Gold Marketing Sdn Bhd   memproses lebih daripada 100,000 tongkol jagung manis. Separuh daripadanya dipasarkan sebagai jagung segar melalui pelbagai pasar raya di seluruh negara, manakala selebihnya diproses menjadi   jagung manis lerai sejuk beku. Kini, syarikat ini juga mengeksport jagung manis sejuk bekunya ke   peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Arab Saudi, Rusia, United Kingdom, dan Turkiye. 

Wong Yoon Bing dan isterinya bekerjasama dalam urusan pengeluaran huluan dan hiliran jagung Mascorn.

 


Perjalanan Perniagaan

Mengenang kisahnya 32 tahun lalu, sekitar tahun 1987, Encik Wong memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Kisah ini bermula apabila   beliau bertemu seorang rakan yang baru pulang dari Jepun dengan membawa sejenis jagung yang menarik minat Encik Wong. Jagung manis Jepun itu sangat lembut dan enak, jauh lebih baik berbanding jagung dari Sekincan yang pernah dicubanya, yang terlalu keras hingga boleh mematahkan gigi. 

Oleh kerana jagung tersebut diimport, harganya terlalu mahal untuk kebanyakan orang di Malaysia. Encik Wong mula terfikir, sekiranya jagung seperti itu dapat ditanam di Malaysia, lebih ramai orang dapat menikmatinya. Bermulalah misinya mencari benih yang sesuai untuk ditanam di sini. Dari benih Jepun yang dibawa masuk oleh rakannya, hinggalah kepada usaha beliau mengimport sendiri American Supersweet Corn dari Amerika Syarikat. 

Percubaan menanam dan memperkenalkan   jagung manis kepada pasaran tempatan ternyata membuahkan hasil. Dalam tempoh ini, Encik Wong sendiri turun ke pasar malam, pasar pagi, dan pasar borong untuk menjual produknya sambil   kumpul maklumat tentang kehendak pengguna. Beliau ingin memahami apa yang diharapkan oleh pembeli daripada setongkol jagung – bukan hanya untuk dimakan, tetapi juga dari segi kepuasan, persepsi terhadap produk, dan potensi untuk   menjadi pembeli berulang.

Skim Petani Kontrak

Apabila berjaya menembusi pasaran melalui pasar raya yang menetapkan kuota harian, Encik Wong sedar bekalan jagung tidak boleh terputus. Untuk menjadi pembekal yang berjaya, beliau menjaga hubungan baik dengan petani yang menanam   jagung manis untuk syarikatnya. Beliau tahu bahawa petani akan terus menanam hanya jika mereka boleh menjana pendapatan yang stabil daripada   hasil tanaman mereka.

Sekumpulan orang teruja merasai jagung yang manis, garing dan lembut di ladang jagung.

 


Pada tahun 1991, Encik Wong melancarkan skim petani kontrak. Harga jagung ditetapkan sepanjang tahun mengikut saiz: 

•    Gred A: 400 g 

•    Gred B: 350 g 

•    Gred C: 300 g 

Konsep beliau mudah – menjaga kepentingan petani terlebih dahulu; keuntungan syarikat akan menyusul jika niatnya baik. Beliau membeli semua jagung yang dihasilkan, dengan syarat petani   menggunakan benih yang dibekalkan oleh   syarikatnya. Masalah lambakan jagung atau pemasaran dibiarkan menjadi tanggungjawab   beliau. 

Jagung segar akan dijual di pasar raya. Selebihnya akan diproses menjadi jagung lerai dan   disejukbekukan sehingga penuh ruang simpanan bilik sejuknya. Jika masih berbaki, beliau melelong jagung tersebut di pasar malam. Tidak membeli hasil petani tidak pernah wujud dalam prinsip beliau; petani telah mengeluarkan modal dan memerlukan pulangan untuk kesinambungan tanaman serta menyara keluarga.

Jagung manis Mascorn telah lama dibekalkan ke pasaran luar negara terutamanya di Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Jerman, Turki, malah negara-negara Timur Tengah, serta Singapura dan Hong Kong. Gambar menunjukkan pekerja menuai jagung manis Mascorn.

 


Strategi dan Cabaran

Dalam perjalanan perniagaannya, Encik Wong   sentiasa merancang dengan teliti. Kadangkala   permintaan terhadap jagung manis menurun,   terutama pada musim buah-buahan seperti durian. Apabila ini berlaku, beliau mengambil langkah   berjaga-jaga dengan mengurangkan pengeluaran pada bulan tersebut. Sebaliknya, pada musim cuti sekolah atau cuti perayaan, permintaan meningkat kerana ramai yang menggunakan jagung untuk   majlis kenduri kahwin dan juadah perayaan. 

Situasi ini berulang-ulang sepanjang 32 tahun yang lalu, dan Encik Wong berjaya mengatasinya dengan menjadualkan waktu penanaman mengikut   kawasan di negeri-negeri. Beliau percaya, dengan perancangan yang baik dan memahami keperluan pasaran, kejayaan dapat dicapai tanpa abaikan kesejahteraan petani dan kepercayaan pengguna terhadap produknya. 

Pada permulaan perniagaannya, Encik Wong   beroperasi dari rumah dengan bantuan isteri dan anak-anak. Apabila permintaan meningkat, beliau memerlukan lebih ramai pekerja serta ruang   operasi yang lebih luas. Kini, Encik Wong menjalankan   perniagaannya di kilang yang terletak di Taman Perindustrian Selayang Utama, Batu Caves, dengan tenaga kerja seramai 200 orang. Pekerja ini   terdiri daripada penduduk tempatan, termasuk masyarakat Orang Asli dari perkampungan   berhampiran. 

Oleh kerana pekerja tempatan tidak memerlukan permit kerja dan tidak memerlukan kemudahan tempat tinggal, beliau dapat membayar gaji yang lebih tinggi. Untuk memproses 100,000 tongkol   jagung sehari – termasuk jagung segar dan kernel sejuk beku – kilangnya perlu beroperasi selama   10 jam sehari, kadangkala sehingga tengah malam, bagi memenuhi permintaan pelanggannya. 

Guna Benih Varieti King Raja SC9001

Sejak setahun yang lalu, Encik Wong, yang menetap di Bistari Jaya, Selangor, telah menggunakan benih jagung manis varieti King Raja SC9001 dari Crop Power. Varieti ini didapati sangat sesuai dengan persekitaran Malaysia serta tahan terhadap   penyakit reput batang dan kerosakan akibat rebah oleh angin kencang. Ini kerana pokoknya pendek dan mempunyai sifat anti-rebah.

Bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga buruh, ladang ini menggunakan dron untuk menyembur baja cecair di ladang jagung.

 


Varieti King Raja SC9001 juga boleh ditanam 20% lebih padat berbanding varieti biasa, iaitu sehingga 18,000 pokok seekar, tanpa menjejaskan   pertumbuhan. Hasilnya ialah peningkatan   pengeluaran tongkol jagung sebanyak 20%   berbanding varieti biasa. Ini membawa kepada pendapatan yang lebih tinggi untuk petani,   walaupun dengan keluasan tanah dan modal input yang sama. 

Nilai Brix Tongkol Jagung Melebihi 16

Jagung varieti King Raja SC9001 menghasilkan tongkol bersaiz sehingga 500 gram dengan nilai Brix melebihi 16. Kulitnya hijau, tahan lama, dan isi penuh hingga ke hujung, yang membantu petani mencapai majoriti Gred A serta mendapatkan harga yang lebih baik. 

Encik Wong berpendapat bahawa Malaysia sangat sesuai untuk pengeluaran jagung manis dan berpotensi menjadi hab pengeksport produk jagung ke luar negara. Dengan persekitaran perniagaan yang baik, sokongan kerajaan, dan bantuan   kewangan daripada institusi pinjaman berkadar rendah, bidang perniagaan berasaskan pertanian mampu menjadi lebih berdaya maju.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag