January 24 2025

5 Varieti Jagung Manis Paling Popular

5 Varieti Jagung Manis Paling Popular - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Varieti jagung manis sentiasa dibiak- baik oleh pengusaha biji benih supaya   mempunyai sifat-sifat seperti tahan   penyakit, tahan rebah, berkualiti tinggi, dan memberikan hasil yang lumayan. Sama ada dari segi bilangan tongkol yang mampu   dihasilkan per ekar mahupun saiz tongkol yang besar. 

Oleh kerana jagung hibrid tidak boleh menggunakan benih daripada hasil tuaian komersial, penanam perlu membeli benih baharu setiap kali musim menanam. Di sinilah berlaku persaingan antara   pengeluar biji benih untuk mempromosikan hasil penyelidikan mereka dengan   memperkenalkan varieti terbaik. Bak kata pepatah, “Benda baik tidak akan dapat   ditutup, akan terhidu jua.” 

Berikut adalah lima varieti yang sedang hangat di pasaran, berdasarkan tinjauan penulis:


Crop Power King Raja SC9001

 


1.  Crop Power King Raja SC9001

Hasil jagung yang banyak diperoleh melalui   sumbangan setiap pokok yang berjaya hidup   sehingga peringkat mengeluarkan hasil. King Raja SC9001 dari Crop Power dicipta supaya tahan   terhadap penyakit reput batang yang disebabkan oleh kulat Gibberella, Fusarium, dan Anthracnose. Kulat ini menyerang ketika situasi ekstrem   seperti keadaan kering yang diikuti hujan lebat atau   pengairan berlebihan, menyebabkan pangkal pokok reput dan patah. 

Varieti SC9001 juga tahan terhadap tiupan angin kencang kerana struktur pokoknya kukuh. Setiap   kilogram benih mengandungi 6,000 biji benih. Varieti ini dianggap jagung manis paling sedap dengan kualiti pemakanan tertinggi di pasaran Asia Tenggara. Hasil kerjasama Crop Power dan Bayer Seminis, varieti ini mempunyai kulit luar berwarna hijau zaitun yang kelihatan segar walaupun telah   2–3 hari berada di rak jualan, satu sifat bernilai   tambah untuk pemasaran. Sutera jagungnya berwarna putih dengan kernel kuning berkilat yang menarik perhatian di rak jualan. 

King Raja SC9001 mencapai kemanisan sehingga 16% Brix. Saiz tongkolnya besar, sebesar botol air mineral 1.5L dengan purata berat 500 gram   setiap tongkol. Standard Gred A bagi pasaran   jagung manis di Malaysia ialah 400 gram ke atas, dan 85% varieti ini mencapai gred A. Banyak penanam telah menanam varieti ini sejak setahun lalu, seperti   Encik Wong Yoon Bing dari Ocean Gold Marketing, yang turut memproses jagung manis sejuk beku dan memasarkannya ke Singapura, Turki, United   Kingdom, dan Rusia, selain pasaran tempatan di bawah jenama Mascorn.



Leckat Sugar Rich SS592

 



2.  Leckat Sugar Rich SS592

Jagung manis Sugar Rich SS592 sangat diminati penanam profesional sejak beberapa tahun lalu dan ditanam berulang kali kerana prestasinya yang sangat memuaskan. Pokoknya sangat kompak   dengan ketinggian sederhana, menjadikannya tidak terdedah kepada rebah di kawasan terbuka dan berangin kuat. 

Serangan reput batang tidak pernah dilaporkan pada varieti ini. Jagung manis SS592 dari Leckat   mempunyai kulit berwarna hijau gelap, yang kekal kelihatan segar walaupun telah 2–3 hari dipetik. Kandungan gulanya yang tinggi menjadikannya   sangat sedap. Saiz tongkolnya besar, mencapai 550–660 gram, menjadikannya antara yang   terbesar di pasaran. 

Sebilangan besar buah   dikategorikan sebagai Gred A dengan berat   melebihi 400 gram. Setiap pek 200 gram   mengandungi 1,500 biji benih, sesuai untuk   penanam separuh masa dan penanam hobi.


Soon Huat Seed Suga King 668

 


3.  Soon Huat Seed Suga King 668

Soon Huat Seed ialah pembekal benih sayur-sayuran dan jagung sejak tahun 1948. Kini, mereka   memperkenalkan hibrid jagung manis generasi ke-5 yang dipanggil Suga King 668. Jagung manis ini matang dan boleh dituai dalam tempoh 70 hari. 

Varieti Suga King 668 menghasilkan tongkol jagung bersaiz besar dengan berat purata 500–600 gram setiap satu dan kadar kemanisan 13–16% Brix.   Pertumbuhannya sangat seragam menjelang umur 30 hari serta tahan terhadap penyakit utama seperti kulat, reput batang, karat daun, dan virus mozek.   

Ia mudah diurus tanpa banyak masalah akibat serangan serangga, menjadikan kos pengeluaran rendah tetapi hasilnya tinggi. Varieti ini boleh   ditanam dengan kaedah densiti tinggi sehingga 24,000 pokok per ekar.


Hokkaido Seed Snow White

 


4.  Hokkaido Seed Snow White (Jagung Susu Cameron)

Jagung susu Snow White sangat popular di Cameron Highlands, terutamanya di Pasar Kea Farm, sehingga digelar Jagung Susu Cameron. Biasanya, ia dijadikan gimik jualan dengan memberi peluang pelanggan mencubanya secara mentah. Jagung ini sesuai   dimakan mentah dan paling enak dikisar menjadi jus manis, sesuai untuk mereka yang berdiet. 

Memandangkan permintaan tinggi daripada   pelancong dan kawasan tanaman yang terhad di tanah tinggi, usaha menanamnya di dataran rendah kini giat dijalankan, seperti di Urfa Farm, Selama, Perak. Jagung ini biasanya matang dalam tempoh   60 hari. 

Walaupun saiznya lebih kecil berbanding   jagung manis kuning, ia dianggap sebagai jagung premium kerana digunakan dalam makanan kesihatan.


Hokkaido Seed Mutiara Bi Color

 


5.  Hokkaido Seed Mutiara Bi Color (Jagung Mutiara Cameron)

Jagung manis Mutiara Bi Color, juga digelar Jagung Mutiara Cameron, unik kerana barisan kernel berwarna kuning dihiasi dengan beberapa kernel berwarna putih, menyerupai mutiara. Jagung ini   biasanya ditanam di Lojing, Cameron Highlands. 

Kini, ia turut ditanam di kawasan seperti Chemor dan Titi Gantung, Perak, secara kontrak untuk memenuhi permintaan pelancong di Cameron   Highlands. Rasanya manis, hampir sama dengan jagung susu. Seperti jagung susu, Mutiara Bi Color boleh dimakan segar tanpa perlu direbus atau   dibakar tetapi tetap sesuai disediakan seperti biasa. 

Varieti ini jarang dijual di tempat lain, menjadikannya bernilai tinggi di pasaran. Kini, hibrid import untuk tanah tinggi boleh ditanam di tanah rendah tanpa menjejaskan kualitinya. 

Sebagai penanam, pilihlah varieti yang memberikan impak ekonomi tertinggi, mudah ditanam, dan   senang dijual. Bagi pengguna pula, pelbagai pilihan varieti yang ada memberikan peluang untuk   menikmati keistimewaan setiap jenis. Kini, jagung manis dijual dengan identiti varietinya, tidak ubah seperti membeli durian. Tepuk dada, tanya selera!

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag