April 09 2024

Penanaman Cili Padi

Penanaman Cili Padi - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Keperluan kadar kepedasan yang berbeza mengikut keperluan resepi, berlainan jenis cili atau kombinasi 2 atau lebih varieti cili digunakan. 

Selain cili besar/cili kulai yang mendapat permintaan majoriti pengguna, penggunaannya bersama dengan cili padi tidak kurang hebatnya terutama untuk menyediakan sambal belacan. 

Jika dahulu cili api ditanam sepokok dua untuk kegunaan sendiri, kini ia ditanam secara besar-besaran untuk pasaran bandar-bandar besar secara atas tanah mauhupun secara fertigasi.



Pembentukan pokok bagi mendapat table buah untuk mudah menuai.

 

Cili Padi (Capsicum frutesence) juga dikenali dengan nama cili api, cili burung, cabai melaka (utara), cili kecil dan cabai rawit (Indonesia). 

Kira-kira sekitar 5 peratus sahaja dari kawasan bertanam cili terdiri dari cili padi. Majoritinya adalah cili besar atau cili kulai. Petani jarang mahu menanam cili padi kerana keperluan buruh yang tinggi untuk memungutnya. Fizikal buahnya yang kecil tetapi banyak membuatnya sukar untuk menuai membuatkan ubah menuai cili padi setinggi RM 5-6 per kilogram, itu pun belum tentu ada pekerja yang mahu menuainya jika ada pilihan tugas lain yang kurang rumit. Kebanyakan penanam cili padi menggunakan buruh keluarga yang menanam dengan tanaman lain atau usaha lain seperti menternak. Hasil dari cili padi dianggap sebagai pendapatan tambahan yang diusahakan dalam kawasan kecil seperti pinggir kolam ikan dan tepi kandang ternakan.

Cili padi bukanlah tanaman asal di sini tetapi berasal dari Mexico, Peru dan Bolivia di mana kebanyakan cili pedas (hot peppers) berasal. Hasil silang baka antara cili-cili lain yang berbentuk oval kebanyakannya menghasilkan cili yang kecil panjang dan mempunyai kepedasan lebih dari 50,000 unit SHU. Cili padi tersebar di seluruh Nusantara dan Indochina di mana penggunaannya sangat tinggi. Thailand dikatakan paling tinggi penggunaan per kapita cili padi diikuti oleh Kemboja, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.


Cili padi dituai hijau dengan sedikit buah yang masak.

 


Perbezaan yang sangat sedikit antara varieti di peringkat anak benih.

 


Varieti

Benih yang dikeluarkan secara profesional ialah varieti F1 508 dari Sakata. Ia juga terkenal dengan varieti cili kulai seperti Kulai 461. 

Lain-lain varieti cili padi ialah cili akar, cili centil, cili bara, cili bangi dan cili borneo putih (juga dikenali di kepulauan Borneo dengan nama cili putih kampung pedas/lada putih Borneo - hibrid semula jadi dengan beberapa kelainan). 

Cili padi yang diimport pula dipanggil Cili Siam. Daun dan karakter pokoknya seperti C.annum, dengan buah lebih besar dan panjang dari cili api kampung dengan saiz 3-6 cm. 

Buah berwarna hijau tua, lambat bertukar menjadi merah dan tangkai lambat reput atau menjadi hitam. Harganya relatif rendah sekitar RM7 per kilogram menjadi saingan hebat kepada cili padi tempatan di mana upah kutip buah sahaja mencecah RM5 per kilogram. Nilai import Cili Siam mencecah jutaan ringgit sebulan yang dibawa masuk melalui 2 pintu masuk ke Malaysia iaitu Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam. Cili diimport dari Selatan Thailand ini ditanam oleh pengusaha kecil sekitar Phatalung dan Chumporn yang cuacanya sama dengan utara Semenanjung. Ia ditanam secara kecilan oleh orang kampung dengan sistem kutipan tiap petang. Petani akan meletakkan di tepi jalan dan pemborong akan memungut dan dibawa ke pusat pengumpulan.


Cili Centil - montok di pangkal dan sangat pedas.

 


 Penyakit dan Perosak

Cili padi mudah diserang penyakit kerinting daun/mozek virus (CMV & TMV). Simptom akibat dari serangan mozek virus menyebabkan pucuk muda menjadi kecil dan berkerekot, berbintik-bintik dengan urat daun yang membengkak. Pokok tidak berbunga atau berbunga dengan peratus kelekatan buah yang rendah. Hasil sangat kurang dengan bentuk buah yang kecil dan bentuk yang ganjil. Mozek virus berpunca dari biji benih yang dijangkiti penyakit dan disebarkan oleh aphid dan thrips. Lain-lain penyakit cili padi ialah layu baktiria, antraknos buah, bintik daun cercospora, lecur Phythium dan lecur Rhizoctonia. Cili padi dari varieti cili burung yang tumbuh bersendirian hasil disebar burung tahan penyakit-penyakit ini dan boleh bertahan bertahun-tahun.

Petani sering menghadapi masalah mendapatkan benih cili padi. Biasanya petani akan membeli buah masak yang dibeli menjadi hasil yang dikeluarkan tidak lagi true to type membuatkan penghasilan kurang. Jika terpaksa, benih boleh dibuat menggunakan buah yang masak pada tuaian ke-6 di mana kemuncak pengeluaran dengan biji yang besar dan bernas. 

Biasanya cili padi ditanam dengan jarak tanaman 60 x 70 cm. Teknik pembentukan pokok dibuat dengan melentur pokok supaya tumbuh 2-3 tunas air dan dijaga bagi membentuk table yang rata dan luas untuk pembuahan.


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag