January 23 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Ramai yang menggemari jagung manis, baik dikukus, dibakar, mahupun sebagai jagung manis dalam cawan yang dicampur bersama susu pekat dan keju. Lebih menjimatkan jika membeli jagung segar dan menyediakannya sendiri di rumah; sekeluarga dapat menikmatinya dengan puas.
Namun, membeli jagung segar di pasar atau pasar malam sering kali menjadi satu perjudian. Ada kalanya memperoleh jagung yang segar, tetapi kebanyakan masa mendapat jagung yang sudah beberapa hari dipetik. Bijinya kecut, tidak manis, dan berhampas.
Kini, masalah tersebut dapat dielakkan dengan membeli jagung manis jenama Mascorn. Pemiliknya, Encik Wong Yoon Bing dari Marine Gold Marketing Sdn Bhd, memastikan pengguna berpuas hati dengan setiap produk daripada syarikatnya. Selain menjual jagung segar yang dibungkus dalam pek berkembar dua tongkol atau lima tongkol satu pek, syarikat ini juga memproses kernel jagung yang dilerai satu per satu dan disejukbekukan.
Berbeza dengan sesetengah syarikat lain yang menggunakan mesin untuk memotong biji jagung dari empulur, Mascorn memilih untuk meleraikan biji jagung secara manual bagi menjamin kesegarannya.
Setiap hari, Marine Gold Marketing Sdn Bhd memproses lebih daripada 100,000 tongkol jagung manis. Separuh daripadanya dipasarkan sebagai jagung segar melalui pelbagai pasar raya di seluruh negara, manakala selebihnya diproses menjadi jagung manis lerai sejuk beku. Kini, syarikat ini juga mengeksport jagung manis sejuk bekunya ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Arab Saudi, Rusia, United Kingdom, dan Turkiye.
Perjalanan Perniagaan
Mengenang kisahnya 32 tahun lalu, sekitar tahun 1987, Encik Wong memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan. Kisah ini bermula apabila beliau bertemu seorang rakan yang baru pulang dari Jepun dengan membawa sejenis jagung yang menarik minat Encik Wong. Jagung manis Jepun itu sangat lembut dan enak, jauh lebih baik berbanding jagung dari Sekincan yang pernah dicubanya, yang terlalu keras hingga boleh mematahkan gigi.
Oleh kerana jagung tersebut diimport, harganya terlalu mahal untuk kebanyakan orang di Malaysia. Encik Wong mula terfikir, sekiranya jagung seperti itu dapat ditanam di Malaysia, lebih ramai orang dapat menikmatinya. Bermulalah misinya mencari benih yang sesuai untuk ditanam di sini. Dari benih Jepun yang dibawa masuk oleh rakannya, hinggalah kepada usaha beliau mengimport sendiri American Supersweet Corn dari Amerika Syarikat.
Percubaan menanam dan memperkenalkan jagung manis kepada pasaran tempatan ternyata membuahkan hasil. Dalam tempoh ini, Encik Wong sendiri turun ke pasar malam, pasar pagi, dan pasar borong untuk menjual produknya sambil kumpul maklumat tentang kehendak pengguna. Beliau ingin memahami apa yang diharapkan oleh pembeli daripada setongkol jagung – bukan hanya untuk dimakan, tetapi juga dari segi kepuasan, persepsi terhadap produk, dan potensi untuk menjadi pembeli berulang.
Skim Petani Kontrak
Apabila berjaya menembusi pasaran melalui pasar raya yang menetapkan kuota harian, Encik Wong sedar bekalan jagung tidak boleh terputus. Untuk menjadi pembekal yang berjaya, beliau menjaga hubungan baik dengan petani yang menanam jagung manis untuk syarikatnya. Beliau tahu bahawa petani akan terus menanam hanya jika mereka boleh menjana pendapatan yang stabil daripada hasil tanaman mereka.
Pada tahun 1991, Encik Wong melancarkan skim petani kontrak. Harga jagung ditetapkan sepanjang tahun mengikut saiz:
• Gred A: 400 g
• Gred B: 350 g
• Gred C: 300 g
Konsep beliau mudah – menjaga kepentingan petani terlebih dahulu; keuntungan syarikat akan menyusul jika niatnya baik. Beliau membeli semua jagung yang dihasilkan, dengan syarat petani menggunakan benih yang dibekalkan oleh syarikatnya. Masalah lambakan jagung atau pemasaran dibiarkan menjadi tanggungjawab beliau.
Jagung segar akan dijual di pasar raya. Selebihnya akan diproses menjadi jagung lerai dan disejukbekukan sehingga penuh ruang simpanan bilik sejuknya. Jika masih berbaki, beliau melelong jagung tersebut di pasar malam. Tidak membeli hasil petani tidak pernah wujud dalam prinsip beliau; petani telah mengeluarkan modal dan memerlukan pulangan untuk kesinambungan tanaman serta menyara keluarga.
Strategi dan Cabaran
Dalam perjalanan perniagaannya, Encik Wong sentiasa merancang dengan teliti. Kadangkala permintaan terhadap jagung manis menurun, terutama pada musim buah-buahan seperti durian. Apabila ini berlaku, beliau mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengurangkan pengeluaran pada bulan tersebut. Sebaliknya, pada musim cuti sekolah atau cuti perayaan, permintaan meningkat kerana ramai yang menggunakan jagung untuk majlis kenduri kahwin dan juadah perayaan.
Situasi ini berulang-ulang sepanjang 32 tahun yang lalu, dan Encik Wong berjaya mengatasinya dengan menjadualkan waktu penanaman mengikut kawasan di negeri-negeri. Beliau percaya, dengan perancangan yang baik dan memahami keperluan pasaran, kejayaan dapat dicapai tanpa abaikan kesejahteraan petani dan kepercayaan pengguna terhadap produknya.
Pada permulaan perniagaannya, Encik Wong beroperasi dari rumah dengan bantuan isteri dan anak-anak. Apabila permintaan meningkat, beliau memerlukan lebih ramai pekerja serta ruang operasi yang lebih luas. Kini, Encik Wong menjalankan perniagaannya di kilang yang terletak di Taman Perindustrian Selayang Utama, Batu Caves, dengan tenaga kerja seramai 200 orang. Pekerja ini terdiri daripada penduduk tempatan, termasuk masyarakat Orang Asli dari perkampungan berhampiran.
Oleh kerana pekerja tempatan tidak memerlukan permit kerja dan tidak memerlukan kemudahan tempat tinggal, beliau dapat membayar gaji yang lebih tinggi. Untuk memproses 100,000 tongkol jagung sehari – termasuk jagung segar dan kernel sejuk beku – kilangnya perlu beroperasi selama 10 jam sehari, kadangkala sehingga tengah malam, bagi memenuhi permintaan pelanggannya.
Guna Benih Varieti King Raja SC9001
Sejak setahun yang lalu, Encik Wong, yang menetap di Bistari Jaya, Selangor, telah menggunakan benih jagung manis varieti King Raja SC9001 dari Crop Power. Varieti ini didapati sangat sesuai dengan persekitaran Malaysia serta tahan terhadap penyakit reput batang dan kerosakan akibat rebah oleh angin kencang. Ini kerana pokoknya pendek dan mempunyai sifat anti-rebah.
Varieti King Raja SC9001 juga boleh ditanam 20% lebih padat berbanding varieti biasa, iaitu sehingga 18,000 pokok seekar, tanpa menjejaskan pertumbuhan. Hasilnya ialah peningkatan pengeluaran tongkol jagung sebanyak 20% berbanding varieti biasa. Ini membawa kepada pendapatan yang lebih tinggi untuk petani, walaupun dengan keluasan tanah dan modal input yang sama.
Nilai Brix Tongkol Jagung Melebihi 16
Jagung varieti King Raja SC9001 menghasilkan tongkol bersaiz sehingga 500 gram dengan nilai Brix melebihi 16. Kulitnya hijau, tahan lama, dan isi penuh hingga ke hujung, yang membantu petani mencapai majoriti Gred A serta mendapatkan harga yang lebih baik.
Encik Wong berpendapat bahawa Malaysia sangat sesuai untuk pengeluaran jagung manis dan berpotensi menjadi hab pengeksport produk jagung ke luar negara. Dengan persekitaran perniagaan yang baik, sokongan kerajaan, dan bantuan kewangan daripada institusi pinjaman berkadar rendah, bidang perniagaan berasaskan pertanian mampu menjadi lebih berdaya maju.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.