January 02 2025
Oleh: Nik Sukry Ramli
Sebelum tahun 2008, Sekinchan hanya dikenali sebagai kawasan penanaman padi serta mempunyai komuniti nelayan tanpa sebarang tarikan istimewa.
Namun, jenama Sekinchan kini terkenal sebagai salah satu lokasi agro pelancongan yang menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara.
Usaha keras Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, membuahkan hasil yang lumayan kepada para pengusaha produk agro pelancongan di kawasan tersebut.
“Selama beberapa tahun, kita telah bekerja keras untuk mentransformasikan Sekinchan sebagai satu produk agro pelancongan di Selangor.
“Hari ini, Sekinchan bukan sahaja terkenal dalam kalangan pelancong tempatan tetapi juga sudah melangkah ke serata dunia,” katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hampir setiap minggu Sekinchan menerima kunjungan ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
Kejayaan proses transformasi kawasan tersebut bukan hanya disumbangkan oleh satu pihak, tetapi hasil kerjasama erat antara semua agensi kerajaan negeri, Persekutuan, dan sokongan padu daripada masyarakat setempat.
Pelbagai kemudahan juga tersedia untuk pelancong yang berkunjung ke Sekinchan, termasuk puluhan inap desa yang diusahakan oleh penduduk tempatan. Ini sudah pasti memberi pulangan lumayan kepada mereka.
Produk pelancongan berasaskan agro semakin menjadi pilihan ramai kerana kebanyakan pelancong kini sudah bosan dengan percutian bercirikan kemewahan dan moden.
Pada tahun 2022, kerajaan Selangor telah menyediakan peruntukan sebanyak RM6 juta khusus untuk membantu mempromosikan sektor agro pelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti.
Sementara itu, pada tahun lalu, seramai 3.5 juta pelancong telah mengunjungi negeri Selangor, dengan sebilangan besar daripada mereka memilih untuk menikmati percutian berkonsepkan agro pelancongan.
Dengan segala potensi yang ada dalam sektor ini, sudah tentu kerajaan negeri Selangor akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga keindahan sawah padi serta menambah baik infrastruktur perkampungan nelayan, yang menjadi tarikan utama pengunjung ke Sekinchan dan kawasan seumpamanya.
Bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Selangor, kerajaan negeri melancarkan portal digital kempen visitselangor2025.my sempena sambutan Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) pada 23 Disember lalu.
Pelancaran itu dilakukan sendiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Setia City Park. Turut dilancarkan adalah maskot rasmi TMS2025 - SPARK the Fireflies.
Tourism Selangor juga mempersembahkan lagu tema rasmi TMS2025 berjudul 'Surprising Selangor' oleh penyanyi, Aizat Amdan.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim dalam kenyataan berkata TMS2025 adalah satu pencapaian penting dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) tahun depan.
“Bagi menyokong kempen ini, Kerajaan Negeri memperuntuk RM8 juta dalam Belanjawan 2025 bagi membiayai pelbagai inisiatif termasuk acara seperti Art of Speed Malaysia dan Selangor Travel Fair serta geran kepada operator pelancongan tempatan.
“Peruntukan ini mencerminkan komitmen dalam memajukan sektor pelancongan Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
"Dengan sasaran 8 juta pelancong mampu menghasilkan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak RM11.7 bilion dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.