January 24 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Bandar Banting dalam daerah Kuala Langat menjadi laluan utama penduduk Lembah Klang dan Putrajaya untuk ke Pantai Morib, satu-satunya pantai laut yang sesuai untuk aktiviti mandi-manda paling dekat dengan ibu kota Kuala Lumpur.
Terletak hanya 37 kilometer dari Putrajaya, Pantai Morib telah menjadi “port healing” dengan suasana laut yang mendamaikan untuk mencari ketenangan di hujung minggu.
Pantai sepanjang 3 kilometer ini dihiasi dengan barisan pohon rhu dan nyior yang menenangkan. Sebahagian pantai telah ditambak untuk dijadikan medan waterfront bagi mengelakkan hakisan dan air pasang besar. Gerai-gerai makanan di kawasan sekitarnya menawarkan hidangan laut unik seperti siput buluh, siput biji nangka, dan ketam nipah, yang boleh dimasak mengikut pelbagai resipi pilihan pelanggan.
Namun begitu, bukan semua pengunjung ke Kuala Langat datang untuk berkelah. Ratusan peserta dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, hadir untuk berkursus di Pusat Pertanian Kawasan (PPK) Kuala Langat.
Pusat Kursus Fertigasi dan Teknologi IoT
Sejak 15 tahun lalu, PPK Kuala Langat telah menjadi destinasi pilihan bagi usahawan pertanian untuk menghadiri kursus fertigasi, terutamanya bagi tanaman cili kulai (cili besar). Tanaman ini sangat bernilai tinggi, dan kisah kejayaan bekas peserta kursus yang memperoleh pendapatan lumayan sering menjadi perhatian di media sosial, khususnya di Facebook.
Antara kisah inspirasi ialah kejayaan Encik Nurhashim, seorang bekas penghantar surat yang tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi tetapi berjaya mengubah hidupnya melalui penanaman cili kulai sehingga bergelar jutawan. Kini, beliau menjadi mentor kepada peserta kursus di bawah bimbingan PPK Kuala Langat, yang turut menyediakan fasiliti lengkap untuk kursus sehari, termasuk lawatan amali ke ladang beliau.
Terkini, PPK Kuala Langat memperkenalkan kursus teknologi Internet of Things (IoT) dalam pengurusan tanaman cili fertigasi. Sistem ini membolehkan kawalan jarak jauh melalui telefon pintar untuk mengaktifkan sistem pengairan, pemberian baja, dan semburan racun perosak, sekali gus menjimatkan tenaga kerja serta sumber. Encik Nurhashim kini menjadi Pengerusi PPK Kuala Langat.
Pusat Pengumpulan Cili dan Kerjasama dengan Nestlé
PPK Kuala Langat telah berjaya menjadi pusat pengumpulan cili yang berkesan, menarik perhatian syarikat multinasional seperti Nestlé. Melalui kerjasama ini, PPK membekalkan 3 tan metrik cili segar setiap hari kepada Nestlé untuk pemprosesan produk seperti sos cili Maggi. Selain cili gred tinggi, Nestlé turut menerima cili gred B dan bersaiz kecil, yang sebelumnya tidak laku di pasaran. Kerjasama ini membolehkan petani menikmati harga lantai RM6 sekilogram sepanjang tahun, memberi jaminan pasaran yang stabil kepada mereka.
Bagi memastikan bekalan cili berkualiti, PPK Kuala Langat telah menubuhkan Rumah Cili sebagai pusat pemprosesan. Surirumah dan ibu tunggal dari komuniti setempat diambil bekerja di sini, menjana pendapatan harian antara RM50 hingga RM100 bergantung kepada jumlah cili yang diproses. Mereka juga menerima kupon diskaun untuk pembelian makanan di Gerai Masyarakat sebagai tambahan kepada pembayaran tunai.
Kelab 3K: Matlamat Penghasilan Cili Berkualiti
Untuk memastikan produktiviti maksimum, PPK Kuala Langat menubuhkan Kelab 3K, yang mensasarkan penghasilan 3 kilogram cili bagi setiap polibeg sepanjang kitaran penanaman. Sistem ini menggunakan pendekatan mentor- mentee, di mana mentor yang berpengalaman dalam fertigasi memantau aktiviti mentee untuk memastikan kejayaan projek mereka.
Kelab 3K telah membuktikan keberkesanannya, menjadikan model ini sebagai inspirasi kepada agensi kerajaan lain dalam usaha memperkasakan petani. Dengan hasil minimum 3 kilogram setiap polibeg, petani mampu menjana pendapatan lumayan dan menjalani kehidupan yang selesa.
Projek Masa Depan
Pada tahun 2025, PPK Kuala Langat akan memulakan projek penternakan ayam daging menggunakan sistem reban tertutup dua tingkat (double-storey close-house system). Projek ini adalah sebahagian daripada seruan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.
PPK juga telah membina gudang yang lebih luas sejak 2022 untuk menyimpan stok makanan bagi menghadapi kecemasan seperti bencana banjir.
Melahirkan Usahawan Berjaya
Dalam melaksanakan peranannya sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian, PPK Kuala Langat telah melahirkan ramai usahawan berjaya. Mereka termasuk pengusaha fertigasi cili, penternak lembu pedaging, dan penanam ubi kayu. Kejayaan ini membuktikan PPK Kuala Langat sebagai pemangkin penting dalam pembangunan agroindustri dan keusahawanan pertanian di Malaysia.
Norhashim Kamisan - Teknologi Cili Fertigasi dan Inovasi IoT
Encik Norhashim bin Kamisan adalah pengasas dan pengarah urusan bagi syarikatnya, Pewaris Bumi Hijau Sdn Bhd. Beliau bermula ketika berumur 22 tahun pada peringkat yang sangat rendah tanpa melanjutkan pendidikan hingga ke peringkat tinggi. Ketika bekerja sebagai penghantar surat, beliau diperkenalkan dengan tanaman cili fertigasi. Berbekalkan modal yang dipinjamkan oleh rakan, beliau memulakan tanaman cili fertigasi sebanyak 500 polibeg di tepi rumahnya di Kampung Sijangkang secara sambilan. Keluarga dan masyarakat sekitar kampungnya masih mempunyai stigma dan pandangan negatif terhadap usaha pertanian yang dianggap tidak mempunyai masa depan. Beliau terus bekerja makan gaji dan menjaga cilinya pada waktu senggang. Cubaan pertamanya membuahkan hasil yang sangat setimpal.
Tanpa berfikir panjang, beliau meletakkan jawatan sebagai penghantar surat dan menanam cili sepenuh masa. Pengalaman menguruskan ladang selama 15 tahun menjadikannya kental dan faham benar dengan sepak terajang industri ini. Beliau membina standard operating procedure (SOP) bagi setiap peringkat operasi perladangannya dan memastikan setiap pekerja mematuhinya bagi memastikan hasil yang sama diperolehi pada setiap pusingan tanaman. Beliau tidak mempercayai teknik cuba gagal (trial and error) dan lebih mengamalkan perancangan yang ketat bagi setiap peringkat perniagaannya.
Sebagai usahawan yang sentiasa berinovasi, beliau mencipta sistem para yang memudahkan kerja penjagaan dan penuaian cili, mereka cipta dan melaksanakan sistem pengairan dan pembajaan IoT bersama EMDEC di bawah Digital Malaysia. Atas pengalaman dan sumbangannya dalam menginovasi pertanian di Malaysia, beliau dianugerahkan Ikon Agro Selangor dan beberapa anugerah lain. Beliau sangat bernasib baik kerana menjadi ahli PPK Kuala Langat yang mempunyai pengurus dan pegawai yang berdedikasi dalam menjalankan aktiviti pusat pengumpulan dan memasarkan produk ahli-ahlinya.
Oleh kerana tugas yang sukar dan berat itu dimainkan oleh PPK, beliau mampu menumpukan perhatian kepada proses pengeluaran produk. Kini, beliau sudah boleh mengharapkan pembantunya menjalankan perniagaan. Tanpa beliau di kebun, aktiviti bertani berjalan seperti biasa. Beliau kini mampu beriadah seperti keluar memancing tanpa bimbang, apatah lagi segala maklumat diterimanya melalui telefon setiap masa melalui sistem IoT. Walaupun belum bersedia mendedahkan pendapatan tahunannya, beliau kelihatan selesa dengan kebebasan kewangan yang dicapainya hanya dengan bertani.
Saipol Azimir Zainnuddin - Penternakan Lembu Secara Feedlot dan Integrasi
Encik Saipol Azimir Zainuddin adalah pengasas dan CEO bagi Syarikat Jemir Ternak Sdn Bhd. Beliau baru berumur 42 tahun kerana bermula dalam bidang penternakan pada usia yang sangat muda. Separuh dari lembu milik Syarikat Jemir diternak secara feedlot manakala separuh lagi, daripada 1000 ekor kesemuanya, dilepaskan di ladang sawit yang dipajaknya seluas 600 ekar. Sistem integrasi sawit-lembu ini menjimatkan kos kawalan rumpai di ladang dan kurang intensif berbanding sistem feedlot.
Encik Saipol juga menternak bebiri, rusa, ayam belanda, dan kerbau di ladangnya yang terletak di Kampung Indah, Banting. Ladang ini menjadi pusat latihan bagi anak muda yang ingin terjun ke dunia penternakan. Encik Saipol Azimir bermula dengan ternakan sejak berumur 12 tahun. Ianya bukan ternakan keluarga yang diturunkan kepadanya seperti sangkaan orang ramai.
Sejak remaja, beliau bekerja kampung. Setiap bulan, sebaik sahaja menerima upah, beliau akan membeli seekor lembu. Melihat lembu pertama yang sendirian, beliau beli lagi untuk dijadikan kawan, begitulah seterusnya hingga menjadi sekawan lembu yang membiak banyak.
Hubungannya dengan lembu yang akrab membuatkan beliau tidak perlu menambat mereka tetapi dilepaskan bebas. Peliknya, beliau mampu bercakap dengan lembu dan memanggil mereka untuk masuk ke kandang setiap petang. Kisahnya yang boleh bercakap dengan lembu seperti Tarzan menjadi bualan penduduk di sekitar Banting. Kesungguhan dan kebolehan Encik Saipol Azimir sampai kepada pengurusan tertinggi LPP.
Melalui PPK Kuala Langat bermulalah hubungan bisnes lembu korban antara mereka. Bermula dengan jualan 10 ekor lembu sahaja pada tahun pertama, kini mereka mampu menjual sehingga 650 ekor lembu setiap musim korban. Sistem jualan yang telus di mana lembu yang dipilih dan ditempah di-tagging membuatkan pengguna yakin dengan urusan jual beli lembu untuk ibadah ini.
Dengan bernaung di bawah PPK Kuala Langat, Encik Saipol Azimir yang juga dikenali dengan nama timangan Jemir memasarkan lembu korban dengan berkesan dan mendapat bantuan modal bagi perniagaannya. Walaupun telah digelar ‘jutawan’, beliau merancang bersama PPK untuk menjadi pembekal daging terkemuka suatu hari nanti.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.