October 21 2024

Penternak Kontrak Ayam Pedaging

Penternak Kontrak Ayam Pedaging - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid & Lim Poh Eng

Situasi pasaran ayam selepas pengapungan harga dan pemansuhan subsidi kerajaan bermula 1 November, 2023, sangat tidak menentu. Menjelang tarikh berkenaan dahulu ramai pengkritik kerajaan dan orang awam menjangkakan harga ayam akan meroket sehingga menjejaskan kemampuan kumpulan berpendapatan rendah seperti B40 untuk membeli sumber protein ini. Namun setelah hampir setahun masa berlalu, hal sebaliknya berlaku.

Menurut Encik Leong See Wai, seorang penternak kontrak yang beroperasi di Daerah Bera, Pahang, pasaran ayam sangat tidak menentu. Beberapa kali sejak 10 bulan yang lalu harga ayam turun di bawah harga siling sebelum ini. Tanpa subsidi dan harga yang jatuh merudum, ramai penternak kontrak menghadapi penghidupan yang gelap. 

Setelah ditolak kos anak ayam (DOC), dedak, upah pekerja dan bekalan elektrik, tiada apa yang tinggal untuk belanja seharian. Ramai yang berkirakira untuk gulung tikar tetapi terpaksa meneruskan juga demi menjaga hubungan dengan syarikat besar yang memberi kontrak di samping berharap situasi menjadi bertambah baik. 

Mereka berharap kerajaan akan mengadakan satu mekanisma yang terbaik untuk menyelamatkan industri ini yang bukan sahaja menentukan keterjaminan makanan rakyat tetapi juga mampu mengeksport ke negara jiran dengan tahap sara diri (SSR) mencecah 140%. 


Leong See Wai (tengah) bergambar bersama pengurus Agrobank (kiri) dan pembantunya semasa melawat dan memeriksa ladangnya.

 

Pengerusi penternak ayam daging Daerah Bera, Pahang, Encik Leong See Wai dalam satu temu bual menyatakan 90% penternak ayam di negara ini menjalankan aktiviti penternakan secara kontrak. Pembekal menyediakan anak ayam dan dedak, tugas petani kontrak adalah memelihara anak ayam tersebut sehingga besar. 


Apabila cukup tempoh pembesaran, ia akan diserah kepada pembekal untuk dijual. Selepas ditolak kos yang terlibat, keuntungan akan jadi milik perternak. Harga anak ayam dan dedak ayam adalah tetap tetapi majikan perlu menghadapi harga pasaran yang sentiasa berubah, yang menentukan sama ada mereka memperolehi untung atau menanggung rugi. 

Kaedah Tradisional Ternakan Ayam Kontrak

Sehingga kini ternakan ayam dijalankan secara tradisional dengan segelintir sahaja petani yang bergerak ke arah pemodenan. Di Malaysia, kos untuk memodenkan industri ini memerlukan kos yang besar. Hanya syarikat besar sahaja mampu melaksanakannya. 

Hanya penternak yang menjalankan perniagaan produk sampingan lain seperti dedak ayam, suplemen dan ubat-ubatan atau anak ayam (DOC) di pasaran terbuka cenderung lebih maju. Mengamalkan pendekatan sebegini diibaratkan sebagai 1+ 1 = 5. Ini berbeza dengan penternak tradisional yang masih mengamalkan kaedah penternakan lama (1+1=2). 

Leong See Wai menjelaskan bahawa kaedah penternakan moden yang hendak dimulakan memerlukan kos sekitar RM60 untuk seekor ayam. Secara umum, untuk memulakan ladang dengan kapasiti 150 ribu ekor ayam, modal sebanyak RM7 juta hingga RM8 juta diperlukan bagi menubuhkan ladang yang standard. Ini mencakupi kos pembinaan infrastruktur ladang, peralatan dan kemudahan berkaitan tetapi tidak termasuk nilai tanah tapak ladang. 


Kira-kira 90% penternak ayam di negara kita mengendalikan ladang ayam mereka melalui kaedah petani kontrak.

 


Menurutnya, sebagai penternak kontrak mereka berada di bahagian pengeluaran. Jika harga meningkat, majikan akan meminta mereka mempercepatkan kerja dengan membawa masuk lebih banyak anak ayam dan mempercepatkan proses pengeluaran untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi atau kitaran pengeluaran yang lebih banyak dan menguntungkan. 

Sebaik sahaja harga menurun, masa ternakan akan jadi lebih panjang dan perbelanjaan bertambah menjadikan kos pengeluaran menjadi tinggi. Peningkatan tempoh ayam berada di dalam reban menyebabkan bertambahnya penggunaan dedak ayam, suplemen nutrisi, ubat-ubatan, gaji pekerja dan kos sampingan seperti habuk kayu, peralatan logam dan belanja sampingan lain. 

Sekali Keluar 10 Ribu Ekor Ayam

Leong See Wai menyatakan bahawa beliau menternak sebanyak 100 ribu ekor ayam. Sebagai penternak kontrak, tugas utamanya adalah menjaga ayam di ladang dengan memastikan mereka membesar dengan sihat untuk dijual di pasaran. 

Pada pandangan beliau, risiko dalam industri ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh bekalan makanan ayam dan keadaan ayam itu sendiri. Akhirnya sebahagian besar kerugian akan ditangggung oleh pengusaha. Antara faktor yang mempengaruhinya ialah bekalan makanan dan perubahan harga. Bahan makanan diimport dari Amerika Syarikat, Brazil dan Argentina. 


Perubahan cuaca mempunyai kesan besar terhadap ayam, terutamanya anak ayam. Apabila cuaca sejuk, mereka perlu dipanaskan untuk mengelakkan kesejukan, yang boleh melambatkan pertumbuhan atau menyebabkan kematian.

 


Bekalan ini dikawal oleh syarikat-syarikat besar yang tersenarai di bursa saham. Oleh kerana makanan ternakan didagangkan menggunakan matawang USD, lemahnya matawang Ringgit Malaysia menjadikan harga dedak mahal membuatkan penternak berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan. 

Permintaan pasaran biasanya memerlukan ayam dengan berat sekitar 2 kilogram yang diternak selama 31 atau 32 hari. Apabila ayam mencapai berat antara 2.0 hingga 2.6 kilogram, itulah berat yang paling sesuai untuk dipasarkan dan paling laris. Apabila mencapai had ini mereka bolehlah ditangkap untuk dijual. 

Menurut pengalaman Encik Leong, ayam yang mempunyai berat melebihi 2.3 kilogram agak sukar untuk dipasarkan kerana permintaan terhadapnya agak perlahan. Beliau akan menjual sebanyak 10 ribu ekor ayam pada setiap kali ayam dikeluarkan. Setiap 10 ribu ekor ayam yang keluarkannya memerlukan 7000 guni dedak dengan harga RM150 seguni. Dedak ayam ini perlu dipantau dengan teliti untuk mengelakkan keadaan yang tidak sepatutnya berlaku seperti pembaziran atau dicuri orang. 


Leong See Wai mematuhi garis panduan kebersihan dengan menjalankan langkah-langkah disinfeksi, termasuk penyahjangkitan lori yang membawa makanan dan pekerja sebelum masuk ke ladang.

 


Perubahan Cuaca Memberi Kesan Besa Kepada Kesihatan Ayam

Leong See Wai mewarisi perniagaan keluarga, boleh dikatakan generasi kedua mewarisinya. Ditambah pula dengan minat dalam bidang ini, Encik Leong mula menceburi industri ini pada tahun 2010. Selepas itu beliau membeli ladang sendiri dan kini mengurus ladang bersaiz sederhana di Daerah Bera. Leong See Wai menganggap asalkan seseorang bersedia untuk belajar dan bekerja keras, mereka boleh terjun ke dalam industri ini. Pada dasarnya ia hanya melibatkan aspek teknikal dan tidak terlalu sukar. Apa yang penting penternak mesti berhadapan dengan keadaan harga asaran yang sangat tidak stabil. 

Harga makanan ayam dan cuaca adalah faktor utama yang menentukan sama ada penternak ayam akan memperolehi keuntungan atau sebaliknya mengalami kerugian. Perubahan cuaca juga memberi kesan besar kepada industri penternakan ayam. Di musim hujan apabila cuaca menjadi sejuk, anak ayam memerlukan penjagaan yang lebih seperti memasang alat pemanas. Tanpa alat pemanas, anak ayam mengalami kesejukan menyebabkan mereka lambat membesar atau mungkin berisiko mati. 

Setiap kali suhu menurun, penternak perlu memasang alat pemanas tidak kira sama ada hujan turun pada waktu malam atau siang. Alat pemanas ini berfungsi untuk memastikan anak ayam tetap hangat pada suhu antara 32-35°C. Menurut Leong dalam cuaca panas pula, ayam yang lebih besar memerlukan rawatan penyejukan bagi megelakkan mereka mengalami kekurangan selera makan akibat dari tidak selesa dengan persekitaran yang terlalu panas. 


Pada masa lapang, Leong akan membawa kedua-dua anaknya melawat ladang ayam, orang berdiri di tengah ialah pekerja yang telah bekerja selama lebih 20 tahun.

 


Dalam cuaca panas, ayam boleh disejukkan dengan kipas angin atau disiram air bagi menyejukkan badan bagi mengelakkan serangan penyakit atau masalah lain akibat dari panas terik. 

Keperluan Sanitasi Sebelum Masuk ke Ladang

Selain menyediakan kemudahan pemanasan dan penyejukkan, penternak juga perlu memberi makanan yang berkhasiat kepada anak ayam. Garis panduan kesihatan di ladang menekankan aspek keselamatan dan kebersihan untuk melindungi kesihatan ayam. 

Leong See Wai menyatakan mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Makanan tambahan seperti asid amino, vitamin dan elektrolit adalah untuk meningkatkan imuniti dan meningkatkan selera makan ayam. Mengenai garis panduan kebersihan, langkah-langkah sanitasi perlu menjadi amalan harian. Masuk keluar orang luar termasuk lori dedak dan kenderaan pekerja semuanya perlu disanitasi sebelum masuk ke ladang.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag