March 04 2025
Oleh: Nik Sukry Ramli
HAMPIR setiap hujung minggu, warga kota akan mencari ruang masa untuk menenangkan keletihan bekerja dengan melawat lokasi yang mendekatkan mereka dengan alam semula jadi.
Antara pilihan utama mereka, sudah tentu Selangor Fruit Valley (SFV) yang terletak berhampiran Bestari Jaya.
Perjalanan dari ibu kota ke SFV mengambil masa kira-kira satu jam, sekali gus menjimatkan masa perjalanan. Siapa sangka, SFV yang mula diusahakan oleh kerajaan Selangor pada tahun 2003 ini memiliki ladang buah-buahan dan sayur-sayuran yang mendamaikan serta memberikan ketenangan kepada pengunjung.
SFV menawarkan pengalaman agro-pelancongan yang unik melalui pelbagai aktiviti seperti tanaman buah-buahan, sayur- sayuran, ‘petting zoo’, dan aktiviti luar yang lain. Pengunjung bukan sahaja dapat melihat keseluruhan ladang, malah berpeluang memetik sendiri dan merasai hasil tanaman di kawasan seluas 1,000 hektar itu.
Bertemakan ‘Sharing The Experience’ atau “Berkongsi Pengalaman”, pengunjung juga dapat menyentuh haiwan, menghidu bau haiwan yang mengembalikan nostalgia kepada suasana kampung halaman.
Taman Mini Herba
SFV turut memberikan pengalaman baharu kepada generasi muda yang mungkin tidak mengenali asal-usul atau rupa haiwan yang ditempatkan di situ. Sebaik sahaja melangkah masuk ke SFV, pengunjung akan dibawa melawat Taman Mini Herba, yang menempatkan 40 jenis tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat untuk kesihatan.
Antaranya pokok pecah kaca yang boleh meredakan senggugut, lidah kucing (mengubat penyakit kudis buta), akar bakawali (kencing manis), tapak sulaiman (merawat cacing, meredakan panas badan) dan air mata pengantin yang merupakan sumber utama untuk kelulut menghasilkan madu.
Ladang Buah-buahan dan Sayur-sayuran
Di SFV terdapat 20 jenis buah-buahan dengan 40 varieti seperti belimbing, durian (Musang King, Duri Hitam, IOI, D24 dan Montong), mangga (Red Star, Lily, Harum Manis dan Kuinin), kelapa (Matag dan Pandan), markisa, buah tin, lemon (kuning dan hijau), jambu batu serta pelbagai jenis tembikai termasuk sun melon dan winter melon.
Selain itu, pelbagai jenis sayuran seperti sawi, bayam, bendi, terung, dan timun turut ditanam di kawasan tanah yang disewakan kepada usahawan tani pada kadar rendah.
Ladang Kelulut dan Pelbagai Haiwan
SPV juga merupakan salah satu pengeluar madu kelulut terbesar di Semenanjung Malaysia, dengan lebih 3,000 sarang kelulut di ladang tersebut. Untuk segmen haiwan ternakan, SFV memiliki rusa dewasa dan anak rusa, lebih 100 ekor arnab daripada spesis ‘Teddy Bear’ dan ‘Angora’, 75 ekor kambing, puluhan ekor ayam, itik dan angsa.
Destinasi agro-pelancongan yang dibangunkan oleh PKPS ini mula dibuka kepada umum pada tahun 2007 di bawah nama Selangor Tropical Fruit Garden, sebelum diambil alih oleh SFV pada tahun 2014. Ladang ini telah ditutup sementara untuk pembangunan semula dan dibuka semula secara rasmi pada Julai 2017.
Menerima 70,000 Pengunjung
Sejak dibuka semula, SFV menerima 70,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang masyarakat, termasuk pelancong asing. Antara pengunjung ialah syarikat korporat dan institusi pengajian tinggi yang datang untuk mengadakan pelbagai aktiviti riadah dan program lain yang bersesuaian.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.