November 01 2024

Potensi Agro Pelancongan Perak

Potensi Agro Pelancongan Perak - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Nik Sukry Ramli

Agro pelancongan yang berfokuskan aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara. Konsep aktiviti pelbagai dengan kegiatan bersama pengusaha memberi kepuasan dan pengalaman berbeza kepada pelancong.

Paling menarik apabila penganjung mempelajari proses menyelenggara, menternak dan melihat sendiri proses penghasilan sesuatu produk makanan atau minuman sebelum dikomersialkan.



Agrotech Profarm yang terletak di Gopeng mempunyai kebun anggur seluas 2 ekar. Anggur yang ditanam berjenis Japanese Kyoho.

 


Sebagai sebuah negeri kaya dengan khazanah warisan dan keunikan, Perak memulakan langkah kanan memperkasa sektor agro pelancongan menerusi penganjuran Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) di Lenggong pada Mei lalu.

Pemilihan Lenggong yang terletak kira-kira 75 kilometer dari bandar Ipoh dibuat memandangkan daerah itu menerima pengisytiharan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada Jun 2012.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) bersama pemain industri pelancongan ketika pelancaran Tahun Melawat Perak 2024.

 


Ini disusuli penarafan sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021 yang mengukuhkan lagi kedudukan kawasan menyimpan pelbagai sejarah formasi geologi bertaraf antarabangsa.

Selain penemuan tulang rangka Orang Perak atau Perak Man berusia antara 10,000 hingga 11,000 tahun di dalam Gua Gunung Runtuh, Lenggong turut menyimpan dua bukti kejadian penting iaitu longgokan debu larva gunung berapi Toba yang meletus 75,000 tahun lalu di Bukit Sapi serta penemuan batu suevit di Bukit Bunuh akibat hentaman meteorit yang berlaku kira-kira 1.83 juta tahun lampau.

Sebagai bukti kesungguhan kerajaan negeri Perak dalam mempromosikan sektor agro pelancongan, mereka sudah melancarkan laman sesawang khas bagi tujuaan itu.

Laman sesawang ECODOOR.MY dilancarkan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee pada Mei lalu.


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama pemain industri pelancongan yang terbabit secara aktif dalam sektor agro pelancongan di Perak.

 


Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung ketika pelancaran Tahun Melawat Perak 2024.

 


"Setakat ini laman sesawang berkenaan berjaya mengumpulkan kira-kira 200 pengusaha agro pelancongan di Perak," kata Sze Yee ketika merasmikan laman sesawang itu.

Tidak dapat dinafikan negeri Perak memiliki banyak pilihan lokasi agro pelancongan menarik.

Antaranya Sunflower Garden, Kuak Hill Resort, Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Ladang Rusa Sadang, Kampung Beng Mini Amazon dan Royal Belum Resort.

Aktifkan Aktiviti Pelancongan Domestik

Kerajaan Perak dalam masa yang sama meletakkan sasaran ketibaan 8 juta pelancong ke negeri itu bersempena Tahun Melawat Perak. Ia adalah untuk mengaktifkan semula aktiviti pelancongan domestik yang terjejas teruk akibat COVID-19 pada awal tahun 2020.

Proses pemulihan sektor pelancongan, terutamanya agro pelancongan sedang bergerak secara perlahan tapi menjanjikan kebangkitan semula yang mengujakan bagi pemain industri di Perak.


Petting zoo yang berada di Agrotech Profarm.

 


Pengunjung Agrotech Profarm berpeluang memberi makanan kepada burung kakak tua yang terdapat di lokasi tumpuan pelancong itu.

 


Tourism Perak Dapat RM10 Juta Sempena Tahun Melawat Perak 2024

Untuk menjayakan projek Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta ketika pembentangan belanjawan Perak tahun lalu.

Peruntukan itu diberikan kepada Tourism Perak bagi tujuan mempromosi dan pengiklanan serta projek kecil infra pelancongan di seluruh negeri berkenaan.

Saarani dalam masa yang sama turut menyatakan keyakinan bahawa negeri Perak mampu menarik 8.3 juta pelancong mengunjungi negeri itu sepanjang penganjuran TMP 2024.

"Sasaran kita adalah lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa akan mengunjungi Perak sepanjang tahun 2024," katanya.


Ladang sayur di Agrotech Profarm.

 


Sehingga bulan Mei tahun 2023 sejumlah RM7 juta sudah dibelanjakan Tourism Perak bagi tujuan promosi dan pengiklanan.

"Kos bagi pengurusan, penganjuran pelbagai acara bertaraf domestik dan antarabangsa perlu digunakan secara bijak oleh Tourism Perak.


Agrotech Profarm mempunyai ladang Jambu Batu Isi Merah Taiwan yang merupakan hanya satu-satunya di Malaysia.

 


"Tapi, sehebat mana pun perancangan, sebanyak mana pun peruntukan yang dibelanjakan, ia tidak akan pernah memadai tanpa kerjasama semua pihat untuk menjayakannya.

"Apa yang paling penting, setiap daripada kita sebagai rakyat Perak perlu bersama-sama menggembleng ikhtiar untuk menjayakannya.

"Kita semua adalah duta negeri yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung," kata Saarani.

Beliau berharap rakyat Perak dapat memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa juga medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong.

Menurutnya, pelbagai cerita menarik dan unik boleh diceritakan oleh warga Perak, misalnya, bandar raya Ipoh yang pernah diiktiraf oleh Lonely Planet sebagai 10 lokasi di Asia yang mesti dilawati.

"Warga Taiping pula boleh berkempen mengenai kecantikan serta pengalaman indah di Taiping yang pernah dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dari senarai 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia," katanya.


Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee memberi makanan kepada itik semasa melawat Trong Leisure Farm.

 


Penduduk Hulu Perak boleh menceritakan mengenai keindahan Royal Belum, Pulau Banding, Tasik Temenggor, Tapak Prasejarah Kota Tampan, Bukit Bunuh, Bukit Jawa dan Perak Man di Gua Gunung Runtuh, Muzium Arkeologi Lembah Lenggong dan lain-lain.

Bagi orang Kuala Kangsar pula, boleh bercerita mengenai keindahan Bandar Diraja dan orang Lumut boleh bercerita mengenai keindahan Pulau Pangkor.

"Orang Hilir Perak boleh berkongsi cerita mengenai keunikan Menara Condong Teluk Intan. Orang Gopeng dan Kampar boleh mempromosikan keseronokan sukan lasak water rafting di Sungai Kampar selain merasai pengalaman indah di Gua Tempurung.

"Pendek kata, kita semua boleh memainkan peranan tersendiri untuk menggamit kehadiran pelancong," jelas Saarani lagi.

Seperti kebanyakan negeri lain, Perak juga mensasarkan ketibaan pelancong dari China dan Jepun.

Bagi tujuan menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri Perak, kerajaan negeri menyediakan 4,000 baucar pelancongan kepada orang ramai mengalami pengalaman menarik ketika berkunjung ke negeri berkenaan.


Pelbagai haiwan ternakan seperti kambing, biri-biri yang dijaga dengan baik dalam kawasan alam semula jadi di Zahara Garden, menjadi antara daya penarik peminat pelancong berkonsep agro pelancongan.

 


Sasaran Perolehan Sempena TMP 2024

Berdasarkan statistik ketibaan pelancongan ke Perak pada tahun 2023 berjumlah 17.1 juta, kerajaan negeri meletakkan sasaran perolehan RM10 bilion untuk tahun ini, bersempena penganjuran Tahun Melawat Perak 2024 (TMP 2024).

Sasaran itu dilihat sebagai realistik dengan merujuk kepada peratusan peningkatan kedatangan pelancong ke Perak yang konsisten pasca pandemik COVID-19.

Lokasi ikonik di negeri berkenaan seperti Pulau Pangkor, Lost World of Tambun selain destinasi penginapan mesra alam semulajadi antaranya Gopeng Glamping Park, Kuak Hill dan Denai Kabus, terus merekodkan peningkatan kehadiran pengunjung saban tahun.


Suasana selesa dengan kebersihan air tasik memberi kepuasan kepada pelancong yang ingin berehat dengan tenang apabila berkunjung ke Taman Tasik Taiping.

 


Kerjasama rentas agensi dibantu generasi musa mempromosikan keunikan produk pelancongan di Perak juga diharapkan dapat membantu sasaran ditetapkan boleh dicapai.

Penggunaan medium media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram dilihat antara kaedah berkesan dalam mendekatkan kumpulan berpotensi untuk memilih Perak sebagai lokasi mereka melancong.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri Perak juga sentiasa mencari jalan meletakkan jenama Perak di pentas antarabangsa, sebagai destinasi pilihan utama dalam kalangan pelancong global.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag