November 04 2024

Dhab Haiwan Liar Padang Pasir Diternak

Dhab Haiwan Liar Padang Pasir Diternak - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Pertembungan budaya antara ketamadunan pelbagai bangsa telah mempengaruhi   budaya Malaysia. Di bidang perubatan tradisional, perubatan Melayu diamalkan bukan sahaja dengan penggunaan akar-kayu herba tempatan yang dikutip dari hutan   belantara, malah turut mengguna herba-herba dari Sinseh Cina dan Ayurveda dari   budaya India. Kemahiran ini diturunkan dari generasi ke generasi secara hands on kerana tiada tulisan yang dikumpulkan dalam bentuk buku. Kesannya banyak   pengetahuan mengenai perubatan tradisional Melayu terkubur bersama-sama   pengamalnya.


Lokasi bakal dibangunkan chalet untuk pelancong.


Menyedari hakikat ini, seorang siswa Universiti Al Azhar, Mesir pada era 90-an - Ustaz Azhar Muhammad Sapawi sanggup berkunjung ke pedalaman Tanah Arab untuk mengenal dan belajar mengenai khasiat perubatan sejenis biawak liar padang pasir yang dipanggil dhab. Ada juga yang memanggilnya Spinytail Lizard. Dari segi saintifiknya dhab dipanggil Uromestic egyptia, sangat unik kerana membiak dengan bertelur di bawah batu-batan dan hanya makan tumbuhan gurun tanpa perlu minum air. Ia akan lari dan masuk ke dalam lubang celah batu-batu jika mengesan getaran pemangsa yang menghampiri. Hanya ekornya yang berkulit tebal, berduri dan gempal akan kelihatan, siap sedia untuk melibas muka pemangsa. Kerap kali muka anjing liar yang cuba menangkapnya akan cedera parah dilibas dhab dan meninggalkannya dengan   selamat. 

Spesis egyptia Lebih Disukai

Terdapat sekurang-kurangnya 16 spesis Uromestic yang hidup liar dengan warna yang lebih terang dan cantik tetapi spesls egyptia lebih digemari kerana lebih berdaging dan boleh membesar   sehingga sepanjang 2 meter. Daging dhab dicari oleh masyarakat Arab terutama pada musim sejuk kerana dapat memanaskan badan dan dipercayai menjadi aphrodisiac bagi kekuatan seksual lelaki sehingga digelar Viagra Arab. Spesis egyptia boleh   membesar hingga mencapai 37cm dan hayat 16 hingga 30 tahun walaupun kaum asli padang pasir mendakwa dhab boleh hidup   sehingga 100 tahun. 


Ustaz Azhar Muhammad Shafawi, perintis industri dhab di Malaysia.

 


Cuba sesuaikan keperluan dhab seperti di habitat asalnya.

 


Mungkin ada yang berasa agak pelik kerana pada   kebiasaannya orang Islam tidak makan haiwan reptilia seperti biawak tetapi tidak pula bagi dhab. Menurut Ustaz Azhar, ia berdasarkan hadis sahih Muslim dari Khaled Al Waleed, panglima perang yang terkenal itu meriwayatkan kisah bagaimana beliau menghidangkan dhab kepada Rasullulah   s.a.w dan baginda menolak tetapi tidak pula   melarang sahabat dari memakannya. Ciri-ciri dhab juga tidak menunjukkan ianya haiwan pemangsa. Dhab tidak mempunyai taring melainkan gigi kacip seperti hemster yang digunakan untuk memotong tumbuh-tumbuhan. Dhab tidak makan bangkai dan lidahnya tidak bercabang seperti biawak. 

Tidak Perlu Beri Air

Di alam liar, dhab makan sejenis tumbuhan gurun bagi mendapat tenaga, garam-galian dan air. Dalam penternakan dalam kurungan Ustaz Azhar memberi makan sawi bunga, dhal merah dan bunga raya bagi meniru makanan semula jadi di habitat asal dhab dan mendapat khasiat perubatan di dalamnya. Air tidak diberikan langsung kerana kelembapan adalah musuh utama dhab. Air berlebihan boleh   menyebabkan dhab sakit hingga boleh membunuhnya.


Kandang dibina separuh teduh dan separuh panas untuk dhab berjemur apabila perlu.

 



Induk dhab suka menyendiri.

 


Penglibatan Ustaz Azhar dengan dhab bermula semasa menuntut di universiti. Seorang pengamal perubatan Melayu tradisional meminta Uztaz Azhar membawa pulang haiwan pelik ini dalam keadaan hidup dengan kos berapa sahaja, beliau sanggup membayarnya. Sebagai seorang pelajar yang   bergantung kepada ibu-bapa untuk mendapat wang belanja, Uztaz Azhar melihat tawaran ini sebagai peluang untuk mendapat sumber kewangan dan peluang untuk sering pulang ke tanahair. 

Bermula dari sini, Uzhar Azhar terlibat dengan serius untuk menyelidik mengenai dhab. Ada masa teriuang,   beliau akan terpencil mengunjungi kawasan-kawasan   bersama-sama rakan Arab untuk   memburu dhab dan mencari pengamal   perubatan yang menggunakan dhab sebagai bahan asas untuk membuat ubat tradisional. Pengajian beliau dalam Bahasa Arab banyak membantu beliau untuk berkomunikasi dengan baik dan merujuk kitab-kitab lama mengenai   perubatan Islam. Pengembaraan beliau pernah membawanya hingga ke perbatasan antara   Mesir dan Palestine, bumi anbiya yang menjadi laluan para rasul besar. 


Encik Faizal menunjukkan 3 umur dhab: anak, remaja dan dewasa.

 


Sepasang dhab yang dibawa balik ke   Malaysia telah membiak dengan banyaknya setelah melalui proses cuba-jaya bagi   menyesuaikan dhab dengan cuaca Malaysia yang lembap. Pada tahun 90-an belum ada kawalan import-ekspot spesis liar dan terancam seperti CITES. Membawa pulang dhab dengan hand-luggage bukanlah masalah, apalagi dhab t idak memerlukan minuman dan bertahan   tanpa makanan lebih dari 40 hari. Dhab juga   t idak mengeluarkan bunyi dan tidak berbau   busuk. 

Pada mulanya beliau menternak di Kampung Ekspo, kini berjaya memperolehi tapak di   kawasan perindustrian Kamunting yang lebih luas dan sesuai. Ladang menternak ini diberi nama Dhabsinai Farm, sebuah komplek terdiri dari ruang penternakan, stor yang penuh dengan pelbagai herba kering dunia, pusat pemasakan untuk pengeluaran   minyak urut dan pejabat jualan dan pentadbiran. 

Kediaman Perternakan

Bangunan perternakan agak pelik kerana separuh   bumbung yang mengadap ke timur menggunakan atap perspek yang lut cahaya manakala sebelah lagi   menggunakan atap biasa. Menurut Ustaz Azhar, ini   adalah penemuannya bertujuan bagi membolehkan dhab mendapat cahaya dan energi dari matahari dengan berjemur (sunbathing). 

Sinar matahari menjadikan dhab sihat dan bertukar menjadi kuning dengan titik-titik   kebiruan yang cantik berkilau. Dhab akan aktif berlari- lari seperti di alam bebasnya dan akan makan tumbuhan yang disediakan dengan selera. Beliau membina   kotak-kotak dari simen dengan panjang lebih dari   15 meter supaya dhab dapat berlari mengikut   keperluan fizikalnya. 


Koleksi herba Arab dan herba tempatan oleh Ustaz Azhar.

 


Di dalam kotak besar ini diisi   dengan pasir, batu-batu besar dan paip dari tanah liat, meniru habitat asalnya di padang pasir supaya ada   tempat berjemur, bersembunyi dan bertelur. Dhab   membiak dengan bertelur sebesar telur puyuh apabila mencapai umur matang. Sejumlah 60% telur ini berupaya menetas, mendapat hasil tetasan terbaik pada   musim kemarau yang panas. Setiap kotak diisi   3 hingga 15 ekor dhab mengikut saiz. Ustaz Azhar mempunyai 47 kotak ini dengan diselia oleh   2 pekerja sahaja. 


Minyak dhab dihasilkan dengan memasak dhab kering, herba Arab dan herba tempatan dalam gabungan minyak kelapa dan minyak zaitun.

 


Produk Dhab

Ustaz Azhar memasak sendiri minyak urut   menggunakan beberapa minyak terbaik seperti   minyak kanola dan minyak zaitun dan dhab yang dikeringkan bersama-sama herba-herba arab yang jarang ditemui termasuk zafaran, raja rempah yang sangat mahal itu. Produk lain dikilang dan dibungkus oleh sebuah syarikat bumiputra berstatus GMP di Kelantan. Selain boleh dibeli secara terus di ladang Dhabsinai Farm, produk berasaskan dhab ini boleh dibeli dalam talian. Antara produk killer Dhabsinai ialah minyak urut dari lemak dhab yang boleh   membantu hubungan intim suami-isteri, kopi pra-campuran Dhabsinai yang boleh membantu kawalan gula dalam darah dan kapsul mencegah keradangan bagi pengidap buasir. 

Kini Dhabsinai Farm yang lebih luas di kawasan perindustrian Kamunting berbanding di Kampung Ekspo dulu dibuka untuk pelawat secara percuma. Ia sangat menarik untuk dilawati terutama kanak-kanak. Mereka akan dapat menghayati kitaran   hidup haiwan ganjil berduri dari padang pasir Arab yang membiak dengan cara bertelur ini. Ustaz Azhar sedang merancang untuk membina beberapa   chalet bagi tujuan disewa kepada pengunjung   lengkap dengan petting zoo dan kolam renang mini. Beliau berharap suatu hari nanti Dhabsinai Farm akan menjadi tempat wajib dilawati bagi pelancong yang melawat Taiping.


Produk dhab dikilangkan di Kelantan.

 


Kopi Dhab dan Minyak Dhab untuk kesihatan lelaki antara killer product Ustaz Azhar.

 


Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag