April 16 2024

Industri Ayam Hiasan Makin Popular

Industri Ayam Hiasan Makin Popular - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Minat memelihara haiwan kesayangan bakal menjadi industri yang besar dilihat dari tumbuhnya kedai-kedai menjual makanan dan aksesori haiwan kesayangan, klinik-klinik veterinar dan papan-papan iklan mengenai produk berkaitan makanan dan perubatan haiwan kesayangan di papan iklan di lebuhraya, media massa dan media sosial. Selain kucing dan anjing yang mendahului carta teratas haiwan peliharaan popular, ungas/burung, reptilia dan ikan hiasan tidak kurang hebatnya. 

Dalam kategori ungas, ayam hiasan mendapat tempat terbaik mungkin kerana kos makanannya yang murah dan majoritinya tidak memerlukan lesen seperti kebanyakan jenis burung import antaranya kakaktua dan burung cinta (Eng. lovebird). Walaupun begitu, kos untuk memperolehinya, apalagi induk yang boleh dibiakkan adalah tinggi. Pernah dilaporkan di media massa, seekor ayam Onagadori, ayam putih berekor panjang mencecah 3 meter yang berasal dari Jepun ditawarkan dengan harga sebesar RM20,000. Namun tuannya enggan berpisah dengan ayam kesayangan kerana si ayam menjadi daya penarik utama di taman burung komersial miliknya.

Ayam Pegar

 

Ayam hias atau fancy chicken atau ornamental chicken merujuk kepada ayam yang mempunyai penampilan yang unik sama ada fizikalnya, tingkah lakunya mahupun suaranya. Hobi menternak ayam hias mungkin terdiri dari ayam tempatan seperti Ayam Sabung atau Ayam Siam/Bangkok, Ayam Serama, Ayam Bulu Balik dan Ayam Denak/Ayam Hutan Kacuk. Manakala ayam import terdiri dari Ayam Cemani, Ayam Onagadori, Ayam Phoenix, Ayam Poland dan Ayam Rhode Island. Terkini ada pula pertandingan ayam ratu bagi mengelakkan dari laga ayam yang salah kerana menganiaya haiwan. Di negara jiran ada pertandingan suara kokok ayam sehingga peminatnya susah payah menyilang baka antara ayam hutan hijau dengan ayam kampung bagi mendapatkan suara kokok yang unik. 

Minat ramai terhadap ayam hiasan boleh membuka peluang sebagai satu usaha penternakan skala kecil di tepi rumah. Konsepnya ialah mendapatkan anak dari jenis yang berpotensi untuk dijadikan induk dan dipelihara bagi menghasilkan telur yang bernas. Telur boleh ditetas menggunakan inkubator (alat pengeraman menggunakan elektrik) yang banyak dijual secara atas talian sekarang ini dengan harga yang sangat munasabah. 

Anak-anak hasil tetasan boleh dijual secara atas talian dan dihantar menggunakan kurier sama ada pada umur DOC (Eng. day old chick/ anak ayam umur sehari), dipelihara hingga stabil berumur 2-3 bulan (juvernil) atau dewasa yang siap dipelihara sebagai hiasan atau induk. Tentulah harga bagi beberapa peringkat ini berubah-ubah berdasarkan kos yang terlibat dalam membesarkannya. DOC lebih senang dijual kerana faktor harga yang relatif rendah dan dapat dicapai oleh kebanyakan orang. Penghantaran juga mudah kerana DOC boleh bertahan tanpa makan minum beberapa hari selepas penetasannya. Bagi penjual pula, tidak memerlukan ruang yang besar kerana turn-around produknya yang pantas. Bagi pelanggan yang sangat jauh, penjual boleh menghantar telur bernas untuk ditetas sendiri oleh pembeli. Ini lebih versetail kerana anak ayam dapat menyesuaikan diri di tempat barunya sebaik sahaja menetas.

Sebagai panduan secara am disenaraikan beberapa ayam hias yang dijangka akan kekal popular di kalangan peminat ayam sehingga beberapa tahun akan datang:

Ayam Pegar / Kuang/ Pheasant 

Dikenali sebagai ayam pegar, burung kuang China, ayam Tibet atau Pheasant di peringkat antarabangsa walaupun dilihat sebagai burung tetapi lebih hampir kepada ayam dari sudut makanan dan teknik pemeliharaan seperti dengan ayam piru, ayam mutiara dan puyuh. 

Ayam/Burung ini pasti menjadi 'wow factor' kepada orang yang memandangnya kerana sifat anggun yang diperagakannya. Dipercayai berasal dari dataran tinggi Tibet di China. 

Terdapat beberapa jenis kuang yang dijinakkan dan bersilang baka menjadi jenis yang berwarna-warni dan sangat mempersonakan. Antaranya ialah Green Ringneck, Red Ringneck, Silver Pheasant, Yellow Pheasant, Golden Pheasant dan Lady Amherst Pheasant. Jantinanya ditentukan oleh warna bulu dengan burung jantan mempunyai bulu yang berwarna-warni dan betina lebih kusam bulunya. Telurnya berwarna kelabu kebiruan dan perlu ditetas menggunakan inkubator. Bagi mendapatkan baka dari luar negara, memadai dibeli telur yang bernas dari sana.

Ayam Onagadori

Onagadori berasal dari Jepun dan mereka sangat melindunginya dari dibawa keluar kerana bagi mengekalkan statusnya sebagai maskot daerahnya. Walaupun begitu, sudah terdapat induk ayam Onagadori di Malaysia, mungkin diseludup keluar oleh peminatnya yang belajar atau bekerja di sana. 

Ia sangat unik kerana bulunya yang putih mulus dengan bulu ekornya yang sangat panjang. Onagadori membawa maksud burung yang berekor panjang.

Berlainan dengan ayam lain, Onagadori yang bersalin bulu tidak menggugurkan bulu ekornya sejak dari muda menjadikannya terus tumbuh dan panjang hingga mencapai 3 -7.5 meter. Bagi menjaga kualiti bulu ekor ini, pemilik akan memastikan Onagadori bertenggek atas anggar kayu yang tinggi dan membolehkan ekornya lepas bebas ke bawah. 

Ayam Onagadori dikatakan mempunyai status yang tinggi di Jepun pada era feudal kerana dipelihara oleh maharaja dan orang kenamaan di dalam istana dan kuil, menghiasi landskap taman ala-Jepun dengan pohon topiari dan bonsai yang terkenal.           

Ayam Onagadori

 

Ayam Phoenix

Sama seperti Onagadori, Ayam Phoenix juga terkenal kerana ekornya yang panjang sehingga 3 meter tetapi tidak sepanjang Onagadori yang boleh mencapai 7.5 meter. Ayam Phoenix mempunyai bulu yang lebih beragam ini dikatakan berasal dari Jerman, di mana ayam Onagadori telah disilangkan dengan ayam tempatan di sana.

Ayam Phoenix

 

Ayam Cemani

Ayam Cemani atau juga disebut Ayam Kedu berasal dari baka ayam tempatan di Pulau Jawa, semenjak kurun ke-12. 

Ayam ini dikatakan mempunyai sifat misteri kerana warna hitamnya dari hujung lidah hingga ke hujung kuku termasuk isi, organ dalaman dan darahnya juga hitam. Ia dikatakan berguna dalam ritual mistik (bukan Islam) bagi berubat atau berhubung dengan alam ghaib. Bagi orang biasa ia dikoleksi kerana sifatnya yang unik. Mengikut pakar ayam, Cemani menjadi hitam legam kerana adanya hyperpigmentasi. 

Ayam Cemani

 

Ayam Poland

Ayam Poland bukan berasal dari Poland seperti namanya tetapi dari Belanda. Ayam Poland juga dipanggil ayam jambul atau ayam mahkota kerana di belakang balungnya terdapat bulu yang tumbuh panjang dan membulat seolah-olah memakai topi hingga menutupi matanya. 

Oleh kerana sudah agak lama masuk ke sini dan bercampur dengan baka lain, topinya dan warna sudah berbagai. Jika membeli anak untuk dijadikan baka, cuba dapatkan dari induk yang paling asli bentuknya.

Ayam Poland

 

Ayam Sebright

Ayam ini juga dipanggil ayam batik atau ayam Inggeris kerana berasal dari sana. Terdapat 2 jenis Sebright iaitu Silver dikatakan berasal dari Itali dan Merah Coklat pula dari Kanada. Bulunya sangat unik kerana di margin bulu yang berwarna dasar putih silver atau merah-coklat itu terdapat warna hitam membentuk corak seolah-olah diukir. Sudah banyak terdapat di sini terutama dari penternak di Pantai Timur.

Ayam Sebright

 

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag