April 14 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Kami menempuh perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan sejauh lebih daripada 100 kilometer dari Kedah ke Pulau Pinang untuk menemui seorang figura istimewa yang bergelar Atok. Kisah bermula apabila anak saya sering melihat telatah Atok dalam YouTube mempamerkan pelbagai jenis ternakannya dalam saluran Atok Farm. Anak saya, Muhammad Affan, sangat berminat dengan haiwan ternakan, terutama ayam, itik, dan burung. Jika anak-anak sebaya dengannya minat menonton kartun, Affan lebih tertarik dengan telatah Atok melayan kerenah itik angsa putihnya atau ayam Rhode Island Red (RIR) yang jinak dan cantik.
Dari YouTube ke Ladang: Cara Memopularkan Ternakan Ayam RIR
Cerah-cerah tanah, kami sudah memasuki tol lebuh raya menuju Pulau Pinang dengan harapan dapat menemui Atok. Dari hebahan dalam Facebook, Affan mengetahui Atok dijadualkan akan menjadi salah seorang pengadil dalam Pertandingan dan Pameran Ternakan di Taman Arowana, Permatang Pauh. Sejak itu, Affan sering memujuk saya untuk menemui Atok. Sememangnya dia tidak berkesempatan menemui, apatah lagi bermanja dengan atok biologinya, baik di sebelah saya mahupun di sebelah ibunya.
Ketibaan kami disambut dengan khemah yang memutih dan hiruk-pikuk peserta pertandingan menurunkan ternakan masing-masing. Pelbagai jenis ayam dan kambing yang belum pernah dilihat sebelum ini dengan saiz yang besar dan pelbagai warna. Ketika saya sibuk mewawancara penganjur dan beberapa orang peserta pertandingan ayam hias, Affan mengesan tokoh yang amat dikenalnya tetapi belum pernah berjumpa. Atok sedang menyendiri melihat pengunjung lalu-lalang sambil menikmati segelas air tebu.
Affan dengan penuh ghairah mengiringi saya menghampiri Atok. Setelah bersalaman dan memperkenalkan diri, kami mula berbual sambil diperhatikan Affan dengan penuh minat. Matanya tidak lekang menatap wajah Atok yang sentiasa tersenyum. Ternyata Atok sangat mudah mesra, sama seperti telatahnya dalam siri video yang dimuat naik ke internet.
Sebenarnya, Atok memang orang Pulau Pinang, berasal dari Pokok Sena, Kepala Batas. Atok berhijrah ke Nilai kerana pada mulanya menemani salah seorang anaknya belajar di Nilai. Suatu ketika, Atok membantu sebuah masjid mengurus akaun. Berpuas hati dengan kerjanya, Atok terus ditawarkan bertugas secara tetap menyimpan kira-kira dan menyediakan penyata akaun. Ramai orang tidak tahu Atok sebenarnya seorang graduan dalam bidang akaun dari UiTM pada era awal 80-an. Menternak dan berkebun menjadi minat Atok sejak kecil lagi. Terjawablah kini kenapa dalam video-videonya Atok bercakap dengan loghat Pulau Pinang yang pekat tetapi tinggal di Negeri Sembilan. Sudah 11 tahun Atok menetap di Nilai, tetapi masih ada rumah dan adik-beradik di Kepala Batas.
Pada mulanya, Atok lebih berminat memelihara angsa. Hanya bermula dengan seekor bapa dan dua ekor ibu angsa, Atok telah menjual banyak anak angsa putih dengan harga RM90 seekor. Setiap ibu akan bertelur sehingga tiga pusingan setahun dengan 7 hingga 9 anak setiap pusingan. Ini bermakna Atok mampu menjual sehingga 40 ekor anak angsa dalam setahun. Ada yang dijual di Atok Farm apabila ada orang yang datang berkunjung dan turut membeli setelah timbul minat. Ada juga yang dijual secara dalam talian dan tidak kurang juga dibeli oleh pengusaha kedai haiwan kesayangan. Agak lumayan bagi usaha sampingan di tepi rumah. Cukup untuk membeli makanan ternakan bagi semua yang ada, di samping dapat membina kandang baru atau mengubah suai yang lama.
Rhode Island Red: Baka Ayam Unggul Jana Pendapatan
Tetapi, beberapa tahun dahulu, ketika Atok menyertai NS Fest, persepsi Atok terhadap alam penternakan berubah. Semasa Menteri Besar Negeri Sembilan melawat ke gerai Atok, beliau bertanya kenapa Atok tidak mengembangkan baka ayam asli yang boleh dibiak sendiri oleh masyarakat desa. Mereka boleh membiarkan induk mengeram telur sendiri dan tidak perlu membeli anak ayam setiap kali hendak memulakan ternakan baru tanpa mengorbankan soal kualiti. Ayam hibrid yang diternak sekarang tidak boleh dibiak lagi kerana F2 dan seterusnya akan jatuh kemampuan untuk bertelur banyak. Soalan itu menjadi satu tamparan kepada Atok dan sentiasa bermain di mindanya.
Ini bukan sahaja jalan untuk mencari rezeki tetapi juga peluang membuat pahala. Ilmu yang bakal digunakan akan mengalirkan pahala sampai bila- bila. Mulai dari saat itu, Atok terus melayari internet dan menyelidik mencari jawapan hingga menemui baka yang menepati kehendak, antara yang terbaik ialah Rhode Island Red (RIR). Baka ini sudah ada di Malaysia tetapi kurang diternak, mungkin kerana pengetahuan mengenainya masih belum tersebar atau bekalan DOC sukar diperolehi. Harganya sangat mahal dan tidak mampu dibeli oleh penternak biasa yang belum merasai faedahnya. Peranan orang seperti Atoklah ditagih untuk mempopularkan baka RIR dan beberapa baka ayam dwi-guna lain.
Menurut Atok, ayam RIR dihasilkan di Massachusetts dan Rhode Island pada tahun 1840-an. Ayam Leghorn coklat telah disilang baka dengan beberapa ayam Oriental dari seluruh dunia, termasuk Ayam Melayu, Ayam Jawa, Ayam Shanghai, dan Ayam Cochin. Ayam-ayam Oriental ini berasal dari dunia Melayu dan Asia lain yang dibawa balik oleh pelayar-pelayar dahulu ke Eropah yang datang berniaga di rantau sebelah timur. Kemudian, ia turut merebak ke benua Amerika dan Australia. Baka ayam-ayam Oriental ini dipelihara oleh pembiak baka dengan cermat supaya terus murni, dan turunannya disilangkan dengan ayam baka lain supaya dapat menonjolkan karakter baik bagi setiap ayam yang dipilih. Aktiviti menyilang baka turut melahirkan beberapa baka klasik lain seperti Sussex, Barred Plymouth Rock, Brahma, Wenchang/Hainan, American Bresse, dan Australorp.
Menurut tinjauan Atok, warna merah gelap/ mahogani ayam Rhode Island Red (RIR) dipercayai datang dari Ayam Melayu. Balung tunggal dan balung ros lahir dari masing-masing baka Ayam Melayu dan Ayam Jawa. Bagi Atok, ayam RIR sangat jinak. Jika Ayam Arab cuba lari jika dihampiri, RIR akan mendekati jika kita masuk ke rebannya kerana sifat ingin tahunya. Ia agak teritorial dan sesuai diternak sesamanya sahaja. Karakter ingin tahu ini kadang-kadang akan membahayakan RIR sendiri, terutama jika dilepas bebas (free-range). Jika biawak besar masuk ke kawasan penternakan, ayam lain akan lari lintang-pukang, tetapi tidak bagi RIR. Ia akan menghampiri untuk menyiasat, dan kemungkinan untuk diserang amatlah tinggi. Ia suka berlari meronda kawasan yang luas seperti ayam kampung tradisi, mencakar mencari makanan dari biji benih rumpai dan larva serangga di bawah daun-daun kering. Ia makan kebanyakan dedaun lembut dalam kebun seperti rumput padang (Axonopus), Ketum Ayam (Madre de Agua), daun ubi kayu, kangkung liar, malah daun pisang.
Bagi Atok, RIR adalah kejadian Tuhan yang sangat istimewa untuk penternak dan penduduk desa. Ia adalah lubuk membuat duit. Hasil telurnya banyak tetapi makannya kurang, senang dijaga kerana lasak, dan hayat yang panjang sehingga 8 tahun. Bahagian depannya tegap bagi memberi hasil daging yang banyak jika disembelih, dan bahagian belakang juga besar, tidak tipis seperti kebanyakan ayam. Bukaan tulang punggung yang luas mampu menghasilkan telur yang besar. Ini menjadikan RIR berbentuk segi empat tepat, belakang yang rata, dan bersaiz sangat besar berbanding dengan baka lain. Pada umur matang, RIR jantan akan mencapai berat 3.9 kg, manakala RIR betina mencapai berat 3 kg.
Ayam RIR merupakan penelur yang sangat prolifik. Seekor induk betina akan bertelur 5 hingga 6 biji seminggu atau 280-300 telur gred A setahun, berwarna perang cerah yang sangat digemari pengguna. Bermula dari DOC, RIR akan mula bertelur pada minggu ke-18 hingga 20 jika mendapat diet yang sempurna dan tinggi kalsium. Hayatnya boleh bertahan selama 5 hingga 8 tahun jika dijaga dengan baik. Antara pesaingnya di kalangan ayam dwi-fungsi, RIR menduduki tempat pertama dari segi penghasilan telur dan daging.
Atok cuba mengimport baka asal RIR dari negara asalnya, USA, tetapi hingga kini belum berjaya menemui pembekal yang diyakini dan melepasi syarat-syarat import yang ketat. Atok pernah mengimport 50 ekor anak RIR dari Filipina. Sejumlah 20 ekor yang disimpan hingga dewasa memenuhi kriteria RIR unggul dan telah Atok biakkan. Kini, Atok adalah pembekal terbesar ayam RIR unggul di Malaysia.
Peminat RIR boleh mendapatkan anak ayam dari Atok Farm. Penghantaran dibuat pada setiap hari Rabu dengan menggunakan BBB Express. Teknik penghantaran yang dibuat oleh pihak Atok Farm agak unik. Ayam dimasukkan ke dalam bakul yang beralaskan hay (Timothy/Alfalfa hay) yang biasanya diberikan kepada arnab bagi menyerap lembapan dari najis sepanjang perjalanan, biasanya mengambil masa antara 24 hingga 48 jam. Beberapa keping hirisan timun diletakkan dalam bakul bersama anak ayam. Kepingan timun ini akan membekalkan lembapan bagi anak ayam sekiranya ia dahaga, tetapi tidak akan tertumpah seperti air yang akan memberi masalah kepada anak ayam.
Reban di Atok Farm
Reban di Atok Farm dibina dengan dua reka bentuk, sama ada rapat di atas tanah atau reban tergantung yang bertiang dan berlantai tinggi dan jarang, 4 kaki dari tanah. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing sebagai ruang untuk menempatkan ayam dengan selamat. Setiap reka bentuk dicipta dengan mengambil kira ruang di persekitaran yang terhad, kos pembinaan yang jimat, dan mudah dicuci supaya tidak timbul masalah pencemaran bau yang boleh mengganggu jiran sekitar.
Reban Atas Tanah (Deep Litter System)
Reban yang rapat atas tanah biasanya menggunakan kaedah ‘deep litter system’. Lantai reban dilapisi dengan bahan pengalas (bedding material) yang murah, mudah didapati, dan kalis sejuk seperti tatalan ketaman kayu, sekam padi, jerami padi, ataupun pasir kasar dari sungai/laut dengan ketebalan 6 inci. Atok menggunakan pasir sungai. Selain dapat menyerap kelembapan, pasir membekalkan batuan kecil (grits) yang dimakan ayam untuk membantunya mencerna makanan. Pasir laut pula dapat membekalkan kalsium dari kulit siput, menjadikan bulu ayam lebih berkilat dan telur lebih berkualiti. Makanan yang tumpah boleh dikutip semula oleh ayam.
Sistem ini sesuai untuk penternakan ayam baka yang hendak dikutip telur untuk penetasan. Ayam jantan bebas mengawan dengan ayam betina dalam haremnya. Ayam betina juga bebas memasuki mana-mana sarang untuk bertelur, dan tidak terjadi perebutan sarang jika ada ayam betina yang broody. Sarang tempat bertelur (laying nest) mesti sedikit gelap, terlindung dari penglihatan, dan dialas dengan bahan yang lembut seperti rumput kering, habuk kayu, atau jerami.
Saiz binaan yang ideal ialah 6 x 8 kaki yang memberi keluasan 48 kaki persegi dan sesuai menempatkan 12 ekor ayam RIR matang yang memerlukan ruang 4 kaki persegi/ekor. Binaan pisang sesikat menggunakan kayu meranti merah ini mempunyai tinggi hadapan 8 kaki dan tinggi belakang 6 kaki, dibina di atas alas bata keliling sebanyak dua lapis, berbumbung metal deck 8 kaki panjang sebanyak 4 keping.
Dinding menggunakan BRC 0.5 x 0.5 x 0.5 inci yang disalut PVC. Kos binaan sebegini memerlukan kos termasuk upah sebanyak RM1500 (berbeza mengikut lokasi). Atok perlu mencakar bulu-bulu ayam dan sisa-sisa daun yang dimakan ayam setiap pagi. Pasir perlu diganti setiap 2-3 bulan. Pasir yang diperkaya dengan tinja ayam digunakan untuk campuran tanah bagi menanam sayuran makanan ayam.
Reban Lantai Tinggi
Reban jenis ini dibina tinggi 4 kaki dari aras tanah dengan saiz lebih kecil, 4 x 6 kaki. Tiang dan bumbung menggunakan C-Channel dan Batten, beratap metal deck 5 kaki x 3 keping, dinding sekeliling menggunakan BRC 0.5 x 0.5 x 0.5 inci yang bersalut PVC.
Reban ini lebih sesuai digunakan untuk ayam baka yang baru dibeli dan masih menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru. Lantai reban yang tinggi membuatkan tinja ayam jatuh ke tanah dan tidak mencemarkan kaki, bulu, dan telur ayam. Makanan yang tumpah akan dikutip oleh ayam yang dilepas bebas.
Ammonia yang terhasil dari tinja tidak sampai dengan pekat kepada ayam, membuatkannya sihat dan sukar terkena penyakit pernafasan. Najis boleh dicuci selang sehari jika bawahnya diletakkan habuk kayu dan boleh digunakan untuk membaja pokok buah-buahan.
Ekonomi Bagi Atok Farm
Aktiviti Atok berkebun di tepi rumah bukanlah untuk beriadah dan mengisi masa lapang semata- mata. Tanpa disedari ramai, Atok telah menjana pendapatan yang sangat lumayan. Ilmu inilah yang ingin Atok kongsikan dengan pengikut saluran Atok Farm di semua media sosial. Bagi Atok, ilmu yang dikongsi dan diamal oleh pengikutnya semoga menjadi jariah darinya hingga bila-bila.
Atok bermula dengan itik angsa. Bermodalkan seekor angsa jantan dan dua ekor betina, Atok mampu menjana ribuan ringgit setahun. Selepas itu, Atok melancarkan skim tabungan dari menjual anak-anak arnab untuk cucu-cucunya. Menurut Atok, kita mesti pandai mengesan apa yang bakal menjadi trend di masa hadapan. Atok dapati arnab Holland Lop yang telinga panjang bergelebeh dan sangat comel sedang dicari peminatnya. Atok mendapatkan baka arnab ini walaupun harganya mahal dan berjaya membiak sehingga 6 ekor ibu dan seekor pejantan sudah memadai. Setiap ekor akan dipunyai oleh cucunya. Apabila ada anak arnab yang terjual, empunya induk arnab itu akan mendapat hasil jualan.
Sedar-sedar, setiap cucu Atok mempunyai ribuan ringgit dalam akaun, tidak mampu Atok untuk memberi tanpa skim arnab ini. Begitu juga dengan burung merpati Indian Fantailnya. Merpati putih berekor kembang ini sangat cepat membiak. Atok menjualnya RM100 sepasang dan tidak pernah cukup. Orang mengambil sup herba anak burung merpati sebagai remedi bagi masalah kesihatan seperti lelah/asma. Petua Atok, untuk menjual haiwan eksotik seperti arnab dan merpati, kita mestilah mendapatkan baka terbaik, baharulah ada harga dan permintaan.
Kini, bintang utama Atok Farm ialah anak ayam RIR. Dengan harga yang baik, pengeluaran yang tinggi, dan permintaan luar biasa melalui media sosial akhir-akhir ini, saya menjangkakan Atok Farm sedang menikmati buah yang ditanam sejak 2020 yang lalu. Atok hanya tersenyum bila saya bertanya mengenai pendapatan Atok sekarang, “Yang pasti lebih tinggi daripada makan gaji,” ujar Atok mengakhiri perbualan kami. Affan pula sudah merengek minta dibelikan anak RIR yang dijual di pameran, ingin ikut jejak Atok katanya.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.