November 21 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Ayam menjadi sumber protein utama selepas harga daging tempatan naik sehingga RM50 per kilogram. Harga ikan yang lazimnya dikonsumsi oleh golongan B40 seperti kembung, pelaling dan selayang juga turut naik berikutan kenaikan harga bahan api dan tangkapan ikan laut yang semakin merosot, apalagi di bulan-bulan tengkujuh.
Telur juga ada ketika sukar diperolehi dan harganya melambung di pasaran gelap. Ramai yang mempertikaikan adakah rasional bagi kerajaan untuk menarik balik subsidi dan kawalan harga bagi ayam dan mengapungkan harga ayam di pasaran bermula dari 1 November, 2023 di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup?
Keputusan untuk membiarkan faktor-faktor pasaran menentukan harga ayam seolah-olah menganiaya golongan berpendapatan rendah yang dihimpit pelbagai masalah dalam survival untuk terus hidup. Dengan kadar inflasi masih kuat, kadar faedah tinggi dan rantaian bekalan terganggu semenjak wabak Covid-19, menarik balik subsidi bagi komoditi asas makanan rakyat sepatutnya dipertimbangkan kerajaan dengan sebaik mungkin.
Industri ayam pedaging merupakan penyumbang terbesar dalam industri ternakan negara. Tahap sara-diri (SSR) bagi ayam daging meningkat hingga 140%. Pengeluaran melebihi permintaan membolehkan ayam hidup dan ayam segar sejuk beku dieksport ke Singapura berbanding pengeluaran daging yang masih memerlukan bekalan dari luar negara. Penggunaan daging ayam per kapita naik dari 28.06kg pada tahun 1993 kepada 53.35kg pada tahun 2013.
Per kapita penggunaan daging ayam di Malaysia dianggarkan mencecah 100kg terkini. Kenaikan permintaan terhadap ayam berpunca dari tahap pendapatan yang lebih baik dan harga sumber protein lain yang lebih tinggi. Trend cita rasa generasi muda Gen Z juga berubah, lebih menyukai resepi berasaskan ayam dari ikan berbanding masyarakat lama Gen X yang telah biasa dengan ikan.
Menu berasaskan ayam dan keju sentiasa mendapat sambutan saban kali diperkenalkan oleh restoran makanan segera. Penutupan cawangan- cawangan makanan segera di seluruh negara turut memberi implikasi negatif kepada industri ayam pedaging. Semasa kemelut bekalan ayam tempoh hari, pengusaha restoran makanan segera berasaskan ayam paling terkesan sehingga ada yang terpaksa mengurangkan menu yang ditawarkan kepada pelanggan.
Ini secara langsung menyebabkan pelanggan berkurang dan turunnya margin keuntungan secara drastik. Ditambah dengan isu boikot bagi menyatakan sokongan ke atas Palestine yang diceroboh Israel, ada syarikat yang terpaksa menutup cawangan yang turun prestasi urus niaganya.
Keadaan McDonald & KFC
Di sebalik ketidaktentuan bekalan ayam, McDonald Malaysia melaporkan tidak pernah mengalami kekurangan bekalan dari pembekalnya. Ini disebabkan mereka mempunyai rantaian pembekal yang luas dan mempunyai hubungan perniagaan bertahun-tahun walaupun semasa perayaan besar negara seperti Hari Raya. Kerjasama antara pembekal mereka dengan pihak pengurusan rantaian bekalan mempunyai perancangan yang jauh ke hadapan bagi membuat bekalan dan pengurusan stok. Mereka menjangkakan tidak akan berlaku kenaikan produk mereka terutama bagi ayam gorengnya.
KFC Malaysia pernah mengalami kekurangan bekalan. Sebahagian dari menu terpaksa diganti dengan bahan lain yang berbeza dari lazimnya termasuk bentuk pembungkusan. Kesan dari pandemik Covid-19 telah mengganggu rantaian bekalan dari seluruh dunia termasuk dari indusri ayam pedaging Malaysia yang secara langsung mengganggu operasi banyak perniagaan di sini termasuk KFC Malaysia. Kenaikan bahan mentah mungkin akan menyebabkan kenaikan harga bagi semua industri tetapi KFC Malaysia akan cuba menawarkan harga mampu milik kepada pelanggannya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengambil tindakan mengapungkan harga ayam di pasaran setelah mempertimbangkan trend terkini bekalan dan harga ayam yang mulai stabil. Kadar sara diri (SSR) bagi ayam pedaging telah mencapai paras 140%, situasi di mana memberi kelebihan kepada pengguna. Persaingan yang kuat untuk memasarkan ayam menurunkan sedikit harga dan akan stabil pada masa yang panjang. Ramai penternak mula mengeluh dengan margin keuntungan yang semakin menipis.
Keputusan kerajaan untuk mempertimbangankan semula produk-produk yang hendak dikekalkan subsidi mengeluarkan ayam pedaging dari senarai bermula 1 November 2023 di tengah-tengah rungutan dan tohmahan NGO dan politikus yang mengemukakan pelbagai teori ekonomi antaranya kadar inflasi yang masih tinggi akan meningkatkan kos sara hidup rakyat marhaen.
Setelah hampir setahun berlalu nyata telahan kerajaan benar kerana tiada peningkatan mendadak bagi harga ayam pedaging, malah di beberapa negeri harga jauh lebih rendah dari sebelumnya akibat dari persaingan hebat antara penternak untuk mengosongkan reban secepat mungkin. Semakin lama ayam yang matang disimpan di reban, semakin banyak dedak yang akan dimakan. Dengan harga dedak yang tinggi, kelewatan menjual sehari-dua sudah cukup memakan keuntungan penternak bagi batch berkenaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan rasional di sebalik penarikan subsidi bagi ayam pedaging adalah bagi mengurangkan kebocoran subsidi yang turut dinikmati oleh orang asing dan golongan berpendapatan tinggi. Perbelanjaan subsidi kerajaan bagi tahun 2023 dianggarkan akan melebihi RM81 bilion.
Beliau berkata kementeriannya akan berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memantau dan mengambil tindakan jika berlaku kenaikan harga mendadak walaupun harga siling telah ditiadakan.
Kerajaan berusaha menstabilkan harga ayam dan memberi peluang untuk rakyat menikmati harga ayam pada harga mampu milik dengan Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani. Kerajaan juga telah berjumpa dengan pemain industri yang memberi jaminan harga tidak akan naik dengan mendadak.
Kerajaan juga bersedia dengan mekanisma sendiri jika berlaku kenaikan iaitu dengan membuka sekatan import terhadap ayam pedaging sama ada yang hidup atau sejuk beku. Berdasarkan perjanjian antara kerajaan (G2G), Thailand dan Brazil yang mengungguli eksport ayam pedaging di dunia bersedia pada bila-bila masa untuk membawa masuk bekalan ayam pedaging berstatus halal ke Malaysia.
Mendorong Pelaburan Baru
Mengeluarkan ayam pedaging dari kawalan harga tanpa harga siling sebenarnya mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Ia dapat mengelakkan dari berkurangan bekalan dengan tiba-tiba yang dipanggil peras bekalan (supply squeeze). Oleh kerana wujudnya harga siling, penternak tidak boleh menaikkan harga sewenang-wenangnya walaupun pada situasi permintaan meningkat atau kos pengeluaran meningkat hasil dari peningkatan harga dedak. Pihak penternak terpaksa menyerap kenaikan kos dan mengecilkan pendapatan tanpa boleh diturunkan kepada pengguna.
Dalam situasi begini ramai yang mengambil sikap tunggu dan lihat, mereka sanggup mengosongkan reban dan memberhentikan pekerja. Situasi ini menyebabkan terdapat lebihan anak ayam umur sehari (DOC) di pasaran. Pengeluar DOC tidak boleh mengurangkan pengeluaran DOC dengan serta- merta. Ini membazirkan kos dan merosakkan industri. Insentif untuk memajukan industri untuk dilabur semula dari keuntungan operasi hilang begitu sahaja.
Kemungkinan ia boleh menyebabkan kekurangan bekalan palsu di pasaran hingga mencetus belian panik yang memburukkan situasi. Peniaga makanan terpaksa membayar harga ayam yang tinggi di pasaran gelap demi kelangsungan perniagaan dan menurunkan lebihan harga kepada pelanggan yang sepatutnya t idak terjadi. Pengeluar mungkin bertindak menurunkan kualiti produk atau keluar dari industri dengan menukar usaha ke dalam bidang lain.
Pemansuhan harga siling bagi ayam pedaging membuatkan pelaburan baru masuk ke dalam industri. Semakin banyak pemain dalam industri mewujudkan persaingan yang sihat kerana penawaran produk yang homogen dapat menstabilkan harga malah berkemungkinan terjadi "perang harga" yang lebih realistik berdasarkan prinsip permintaan dan penawaran.
Ini menguntungkan pengguna dan menyekat kenaikan kos kehidupan seharian. Tanpa persaing yang sihat dan bilangan pemain industri yang sedikit boleh menyebabkan mereka bekerjasama untuk mencatut harga seperti pernah berlaku di kalangan pengilang makanan ternakan. Siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Malaysia Competition Commission) dalam tahun 2022 mendedahkan lima pengilang makanan ternakan mencatut dengan menaikkan harga dedak pada awal tahun 2020 hingga pertengahan 2022.
Mereka telah didenda dengan jumlah terkumpul RM415.5 juta. Memandangkan 70% dari kos pengeluaran ayam daging adalah terdiri dari perbelanjaan ke atas makanan (dedak) pencatutan harga sebegitu memberi tekanan ke atas margin keuntungan penternak yang semakin mengecilkan.
Penternak intergrasi mungkin sudah memperolehi keuntungan pada operasi kilang makanan haiwan tetapi margin yang kecil pada pengusaha kecil memaksa mereka keluar dari industri, secara tidak langsung merugikan pengguna akhir. Bermula 1 November 2023 pengapungan harga ayam membolehkan penternak menaikkan harga ayam mengikut permintaan dan penawaran.
Kenaikan komponen utama dedak makanan haiwan berupa jagung dan hampas kacang soya yang diimport menyebabkan kenaikan sehingga 30% harga dedak. Oleh kerana 70% dari jumlah kos pengeluaran ayam pedaging adalah disumbang oleh kos dedak, penternak terpaksa menaikkan harga ayam di peringkat ladang. Ini memberi kesan domino kepada pemborong, pemproses, peruncit hinggalah kepada pengguna akhir.
Kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang asing dan gangguan kepada rantaian bekalan akibat Covid-19 masih membelenggu industri kerana penternak terpaksa membayar lebih bagi bahan asas penghasilan dedak, ubat-ubatan veterinar dan kos DOC bagi ayam baka (PS) yang diimport.
Mengikut objektif Dasar Agro Makanan 2.0 mengenai keterjaminan makanan negara, Malaysia mesti terus mencari jalan bagi memastikan bekalan protein bagi majoriti rakyat ini mudah diperolehi setiap masa dengan meningkatkan tahap sara diri (SSR) sehingga 140%. Pendekatan dari pelbagai sudut dan dimensi perlu diambil kira bagi mencegah kenaikan harga dan tekanan bekalan.
Penggunaan teknologi terkini seperti automasi dalam kerja seharian dan pelupusan bahan buangan mestilah digunakan. Kerajaan patut mempertimbangkan insentif dan pengecualian duti bagi mesin- mesin yang diimport. Daya pengeluaran ladang perlu ditingkatkan dengan kecekapan pembiak- baka, menurunkan kadar motarliti harian dan penjimatan tenaga buruh.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.