April 09 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Daerah Seberang Perai Utara sejak lama dahulu menjadi pusat pembekal ternakan unggas seperti pelbagai jenis ayam, itik, angsa, ayam piru dan ayam belanda (guinea hens).
Kampung Kubang Menerung dan kawasan sekitarnya, misalnya, terkenal sebagai pembekal ayam piru, sama ada anak ayam untuk dipelihara atau yang telah siap untuk disembelih.
Pada musim perayaan seperti Deepavali, Tahun Baru Cina dan Krismas, orang ramai sejauh Alor Setar dan Ipoh berpusu-pusu datang membeli ayam piru dan itik terus dari ladang sekitar Kepala Batas dan Tasik Gelugor untuk hidangan keluarga.
Atas kesedaran untuk menggembeleng segala sumber yang ada di bawah satu kesatuan yang kukuh, Koperasi Usahawan Agroternak Pulau Pinang Berhad telah ditubuhkan. Walaupun masih di bawah jawatankuasa penaja sementara menunggu pendaftaran rasmi, koperasi ini telah mengambil langkah pertama dengan menganjurkan Karnival Himpunan Usahawan Agroternak Pulau Pinang yang julung kali diadakan di Dataran Ikan Bakar Permatang Pauh, Taman Arowana pada 8 dan 9 Februari 2025.
Menurut Pengerusi Penaja Koperasi, Cikgu Marwan Zolkipli, usaha pertama ini mendapat sokongan kuat daripada Exco Agroteknologi dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, YB Tuan Fahmi bin Zainol, yang turut merasmikan karnival dua hari tersebut. Kerajaan negeri sangat menggalakkan aktiviti yang membantu meningkatkan pengeluaran makanan serta memanfaatkan semua sumber yang ada.
Sambutan daripada persatuan ternakan ruminan dan unggas dari seluruh Semenanjung Malaysia juga sangat menggalakkan. Terdapat peserta pertandingan yang datang dari sejauh Negeri Sembilan, Selangor dan Kedah, selain peserta dari Pulau Pinang sendiri yang membawa pelbagai jenis ternakan seperti ayam heritage dual-purpose (untuk penghasilan telur dan daging), itik, kambing dan biri-biri dari pelbagai baka bagi menyertai pertandingan dan pameran.
Membawa haiwan besar seperti kambing sejauh Nilai, Negeri Sembilan ke tapak pameran bukanlah perkara mudah dan mengundang pelbagai risiko. Namun, atas semangat yang tinggi demi pembangunan industri agroternak, mereka tiba satu malam lebih awal dan bermalam di khemah bersama ternakan masing-masing.
Sambutan pelawat ke pameran sangat menggalakkan, apatah lagi beberapa malam sebelum karnival berlangsung, dua orang ahli koperasi mendapat liputan Majalah 3 terbitan TV3 mengenai aktiviti menternak ayam hias di perkarangan rumah.
Selain itu, agensi kerajaan turut membuat pameran dan jualan hasil pertanian serta jualan MADANI. Beberapa peserta pameran yang ditemui turut meluahkan keterujaan mereka terhadap penganjuran karnival ini. Berikut adalah beberapa wawancara bersama peserta pameran:
1. Atok Farm - Nilai, Negeri Sembilan
Atok Farm diwakili oleh Mohd Naser bin Abdullah (Atok) dan anaknya Ahmad Zulfahar bin Mohd Naser yang hadir atas jemputan penganjur sebagai pengadil pertandingan. Atok yang masih mempunyai keluarga di Kepala Batas berasa gembira kerana dapat pulang ke kampung selain menyertai karnival serta bertemu saudara-mara dan rakan sekampung.
Atok turut membawa beberapa baka ayam heritage seperti Rhode Island Red (RIR) dan Barred Plymouth Rock (BPR) untuk pertandingan dan pameran. Walaupun perjalanan jauh mengambil masa sekitar tiga hari termasuk pergi dan balik, Atok berpuas hati dapat berkongsi ilmu dengan orang ramai.
Atok berharap lebih ramai penternak memelihara ayam baka heritage seperti Rhode Island Red (RIR) yang mampu bertelur dengan banyak, mempunyai jangka hayat panjang dan boleh dibiakkan sendiri tanpa menjejaskan kualitinya.
Atok Farm juga menetaskan telur untuk pengeluaran DOC (Day-Old Chicks), dan orang ramai boleh mendapatkan bekalan anak ayam berumur seminggu yang dijamin berkualiti tinggi daripada Atok Farm. Jualan dibuat secara online dan dihantar melalui perkhidmatan kurier.
2. Ahfiz Tech Farm - Pendang, Kedah
En. Hafiz, yang turut menjadi ahli jawatankuasa penganjur, mempunyai pekerjaan tetap dan menjalankan pembiakan serta penjualan anak ayam dual-purpose sebagai home breeder. Ahfiz Farm memiliki pelbagai baka ayam heritage dual- purpose untuk telur dan daging. Salah satu yang menarik ialah Barred Plymouth Rock (BPR) yang menjadi Naib Juara dalam karnival ini.
Beliau juga membiakkan beberapa baka lain seperti Ayam Wenchang (Hainan) yang sangat dicari penternak kerana mampu bertelur seawal 14 bulan dari DOC dan mempunyai rasa yang sangat lazat dalam masakan Cina seperti sup, panggang dan nasi ayam. Baka lain yang turut dibiakkan ialah Isabella Leghorn, White Leghorn, Australorp, American Bresse, Silver Sussex dan Rhode Island Red.
Sebagai ahli jawatankuasa dan peminat ayam dari Kedah, En. Hafiz berusaha membawa Karnival Usahawan Agroternak ke Kedah bagi membuka minat lebih ramai orang terhadap aktiviti penternakan.
3. HNH Farm - Gombak, Selangor
Ladang HNH terletak di Jalan Sungai Pusu, Gombak, Selangor. Pemiliknya, En. Muhammad Hamdan bin Hamim, menyatakan bahawa menyertai pelbagai pertandingan dan pameran ternakan adalah salah satu strategi pemasaran untuk memperkenalkan perniagaannya kepada masyarakat.
Dalam pertandingan kali ini, HNH Farm membawa Kambing Jamnapari dan Kambing Boer. Seekor penjantan Jamnapari telah dinobatkan sebagai juara, manakala penjantan Boer dewasa mendapat tempat kedua.
HNH Farm membekalkan kambing pembiak seperti Peranakan Etawah, Jamnapari, Boer dan Barbados Black Belly. Untuk tujuan komersial, HNH Farm juga membekalkan kambing daging, lembu korban dan turut giat menternak lembu baka Eropah (lembu sado). Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Facebook Ladang HNH Sungai Pusu, Gombak, Selangor.
4. Farm O' Noh - Ipoh, Perak
Farm O’Noh yang terletak di Jalan Besar, Kampung Simpang Pulai, Ipoh, Perak diwakili oleh Puan Noorazila binti Azmi dan Muhammad Amerol Anas bin Shahrom. Mereka membawa ayam Rhode Island Red (RIR), Barred Plymouth Rock (BPR), Cemani dan Ameraucana untuk pertandingan dan jualan.
Dalam pertandingan ayam heritage dual-purpose, baka Rhode Island Red (RIR) dari Farm O’Noh berjaya meraih tempat ketiga. Farm O’Noh turut menjual madu kelulut yang dipelihara dalam persekitaran semula jadi yang masih terpelihara.
Para pengunjung berharap agar karnival ini menjadi acara tahunan dan dianjurkan di lebih banyak lokasi bagi meningkatkan minat masyarakat terhadap industri penternakan serta membantu penternak memasarkan hasil mereka secara lebih meluas.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.