September 06 2024

Ternak Ikan Sangkar Terapung Di Empangan

Ternak Ikan Sangkar Terapung Di Empangan - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Penternakan ikan dalam sangkar terapung di dalam empangan adalah salah satu cara ternakan yang dapat menghasilkan sumber makanan secara berterusan. Ianya berbeza dengan cara penternakan ikan yang sedia ada seperti dalam kolam serta tangki. Sumber air sedia ada pada sepanjang masa dan keadaan persekitaran yang berlainan berbanding dengan penternakan ikan secara tradisional membawa keunikan kepada cara penternakan ini.

Di Sarawak, penternakan ikan dalam sangkar terapung di empangan telah diterajui oleh Borneo Eco Fish Sdn Bhd. Ianya merupakan sebuah syarikat swasta yang bernaung di bawah Kumpulan Syarikat Ceria dan mengusahakan aktiviti penternakan ikan bertempat di Batang Ai, Lubok Antu Sri Aman, Sarawak. 

Ternakan utama yang terdapat di sangkar terapung adalah ikan tilapia merah manakala ternakan sampingan adalah ikan patin dan juga ikan empurau. Pihak AgriMag telah berkesempatan untuk menemubual Pengarah Borneo Eco Fish iaitu Encik Patrick Gordon Song yang juga merupakan pengurus kewangan untuk syarikat tersebut dan pengurus besar iaitu Encik Thomas Hii bertempat di Batang Ai, Sarawak.


Konsep sangkar ikan terapung dalam empangan pada mulanya telah menerima pinjaman sebanyak RM6 juta daripada kerajaan Sarawak dan berfokus untuk membangunkan akuakultur serta sosio ekonomi di Lubok Antu.

 


Latar Belakang

Konsep sangkar ikan terapung dalam empangan ini pada mulanya telah menerima pinjaman sebanyak RM 6 juta daripada kerajaan Sarawak dan berfokus untuk membangunkan akuakultur serta sosio ekonomi di Lubok Antu. 

Pada awalnya, Encik Patrick telah bergiat dalam aktiviti penanaman padi Bario di daerah Bario, Sarawak. Kemudiannya, beliau telah berganjak dan meluaskan aktiviti pengeluaran rantaian makanan dengan bergiat dalam bidang akuakultur. Borneo Eco Fish telah mula beroperasi sejak 7 tahun lalu dan bermula dengan permintaan untuk membangunkan ternakan ikan tilapia merah di Sarawak oleh pihak Kerajaan Sarawak. 

Faktor Pemilihan Sangkar Terapung

Keluasan kawasan ternakan sangkar ikan terapung milik Borneo Eco Fish adalah sebesar 3 hektar dan mempunyai 60 orang pekerja. Menurut Encik Patrick, keunikan konsep sangkar terapung yang dibina dalam Empangan Batang Ai ialah ianya mempunyai kualiti air yang baik berbanding dengan konsep ternakan dalam kolam. Ini telah menyumbang kepada pengaliran yang bersih dan memberi impak yang memberangsangkan kepada ternakan ikan dalam sangkar terapung. 


En. Patrick melawat kawasan penternakan sangkar terapung Borneo Eco Fish yang terletak kira-kira 241 kilometer dari Bandaraya Kuching sekurang-kurangnya seminggu sekali.

 


Selain itu, Pengurus Besar, Encik Thomas turut berkongsibahawa penternakan ikan tilapia di Malaysia selalunya dikaitkan dengan amalan perternakan yang kurang mampan dan isi ikan tilapia dari ternakan kolam secara amnya berasa lumpur. Keadaan ini menyebabkan harga pasaran ikan tilapia menjadi tidak tinggi. Usaha yang diambil oleh Borneo Eco Fish untuk membangunkan imej serta kualiti ikan tilapia yang diternak di sangkar terapung dalam Empangan Batang Ai telah membuahkan hasil kerana kualiti ikan yang dikeluarkan adalah unggul dan diterima secara meluas oleh para pelanggan di seluruh Sarawak. 

Malah menurut Encik Thomas, beliau mendapat maklum balas bahawa isi ikan tilapia keluaran Borneo Eco Fish adalah lebih mantap berbanding dengan ikan laut. Situasi ini telah memberi satu motivasi kepada syarikat ini untuk memacu ke arah pengeluaran komersial dan meningkatkan kualiti ikan tilapia ke tahap premium dan berlainan dari pasaran yang lain. Beliau turut menyatakan bahawa syarikat ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna untuk membeli ikan ternakan dari penternakan yang mampan. 


Penerangan mengenai sangkar nurseri oleh pekerja Borneo Eco Fish. Sangkar ini dibina untuk benih ikan menyesuaikan diri dalam keadaan persekitaran di empangan yang berbeza dari keadaan kolam.

 


Pembinaan sangkar terapung dalam kawasan Empangan Batang Ai pada peringkat awal memang bukan satu projek yang mudah kerana kawasan tersebut meliputi permukaan air seluas 10,000 hektar. Kawasan empangan juga terdedah kepada angin dan ombak yang kuat berserta dengan cuaca yang tidak menentu. Sejarah pembinaan sangkar terapung oleh Borneo Eco Fish bermula dengan penggunaan bahan yang diperbuat daripada kayu dan seterusnya bahan plastik. Setelah menerokai kesesuaian bahan binaan untuk sangkar-sangkar terapung, Borneo Eco Fish mengambil keputusan untuk menggunakan rangka besi supaya menampung struktur yang lebih tegap dan tahan lama. 

Tambahan, kawasan Empangan Batang Ai adalah air tawar, maka struktur rangka besi adalah sesuai dari segi ketahanan dan kemampanan. Berdasarkan perkongsian oleh Encik Thomas, setiap penambahbaikkan dan pembinaan telah diambil kira dengan teliti untuk memastikan kos adalah setaraf dengan keuntungan dan pulangan pelaburan (ROI). Kini, kawasan sangkar terapung milik Borneo Eco Fish untuk ternakan ikan tilapia telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kawasan nuseri dan kawasan tumbesaran. 

Bagi kawasan nuseri, ianya terdiri daripada 100 sangkar-sangkar terapung telah dibina khas untuk benih ikan tilapia sebesar 2 inci untuk menyesuaikan diri sebelum masuk ke kawasan tumbesaran. Langkah ini harus dilakukan untuk memastikan benih ikan mampu menyesuaikan diri dalam keadaan air dan persekitaran di empangan. Encik Patrick turut berkongsi bahawa setiap petak sangkar terapung boleh menampung sebanyak 20,000 ekor benih. Manakala terdapat 4000 sangkar tumbesaran khas untuk ikan tilapia yang bakal tuai. 


Keadaan sangkar terapung khas untuk pertumbuhan ikan. Hasil ternakan akan dituai dalam masa 4 hingga 6 bulan mengikut saiz permintaan pasaran.

 


Sangkar-sangkar tumbesaran yang ada di Borneo Eco Fish telah terbahagi berdasarkan saiz ikan tilapia mengikut permintaan pasaran. Sebagai contoh, pasar segar di Sarawak mempunyai permintaan untuk ikan tilapia merah seberat 1 kilogram sehingga 1.5 kilogram seekor manakala pasaran untuk restoran makanan lebih cenderung untuk memilih ikan tilapia merah seberat 400 gram hingga 500 gram. 

Latihan Pekerja

Latihan teknikal untuk para pekerja dalam industri akuakultur adalah penting bagi memastikan kelancaran aktiviti penternakan harian. Menurut Encik Thomas, kebanyakan tenaga kerja industri akuakultur kebiasaannya terdiri daripada pekerja asing, iaitu warga Indonesia, khususnya di Borneo Eco Fish. Beliau turut menceritakan bahawa pemahaman teknikal adalah penting dalam industri ini, oleh itu tenaga kerja asing haruslah dilatih terlebih dahulu kerana tidak semua individu faham mengenai konsep kerja bidang akuakultur.

Sangkar terapung yang turut menternak ikan patin dan juga ikan empurau.

 

Di antara 4000 sangkar terapung khas untuk ikan yang bakal dituai. Keadaan persekitaran yang berbeza dari ternakan kolam memberi keunikan kepada ikan yang diternak di dalam sangkar terapung.

 

Cabaran Yang Dihadapi

Seperti pengusaha ternakan akualkultur yang lain, Borneo Eco Fish turut menghadapi beberapa cabaran terutamanya serangan penyakit. Virus tasik tilapia atau tilapia lake virus (TiLV) telah menyerang perairan Batang Ai pada tahun 2017. Syarikat ini turut terkesan pada masa itu, akan tetapi melalui usaha yang berterusan, serangan TiLV terhadap ternakan ikan tilapia dapat diatasi. Salah satu langkah yang telah diambil ialah dengan mengubahsuai cara penternakan dengan mengurangkan densiti ikan dalam setiap sangkar. Selain itu, langkah peraturan biosekuriti turut diketatkan, termasuklah penyeliaan yang kerap pada setiap sangkar penternakan dan asingkan ikan yang kelihatan sakit. 

Encik Thomas dan Encik Patrick berpandangan bahawa setiap penternak komersial seperti Borneo Eco Fish haruslah mempunyai kawalan biosekuriti yang ketat untuk mengelakkan serangan jangkitan penyakit ikan yang mampu menyebabkan kerugian yang besar kepada para penternak. Langkah berjaga-jaga juga harus diambil pada setiap masa untuk mengelakkan kejadian ini daripada berulang. Tambahan, mereka juga berharap pihak kerajaan dapat mengetat dan menguatkuasakan amalan biosekuriti pada setiap kawasan penternakan untuk mengelakkan penyebaran penyakit yang boleh melumpuhkan aktiviti akuakultur di Malaysia. 

Selain itu, Borneo Eco Fish turut menghadapi beberapa cabaran lain seperti serangan atau pencerobohan hidupan liar seperti burung dan biawak yang menganggu ikan-ikan ternakan. Perkara ini diatasi dengan melatih pekerja-pekerja yang menjaga sangkar terapung untuk sentiasa membuat pemeriksaan dari masa ke masa. 

Jaringan yang di pasang dan mengelilingi setiap sangkar adalah bertujuan untuk mengelakkan kemasukkan haiwan liar seperti biawak.

 

Pengeluaran Bulanan

Pengeluaran bulanan hasil tuaian ikan tilapia merah syarikat ini mampu mencapai sehingga 30 tan dan pada masa yang sama, Borneo Eco Fish turut bekerjasama dengan para penternak tempatan di sekitar kawasan daerah Lubok Antu dengan membeli hasil tuaian mereka. Ini turut membantu masyarakat tempatan untuk mendapatkan pendapatan yang stabil dan berterusan. Kerjasama ini telah ditubuhkan dengan visi dan misi untuk membekalkan ikan tilapia merah secara berterusan di pasaran tempatan dan antarabangsa. 

Justeru, syarikat ini menyasarkan hasil tuaian sebanyak 100 tan sebulan pada masa hadapan. Buat masa kini, Borneo Eco Fish merupakan pengeluar ikan ternakan yang terbesar di Sarawak dan menyasarkan pasaran yang lebih luas untuk kawasan luar Sarawak seperti Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei dan Singapura. 

Tambahan, syarikat ini juga membekalkan ikan tilapia ke restoran makanan segera jenama Sarawak, iaitu Sugarbun melalui kontrak jangka masa panjang dan mempunyai hubungan perniagaan yang baik dengan restoran tersebut. Menurut Encik Patrick, produk ikan tilapia merah keluaran Borneo Eco Fish ini diproses terlebih dahulu di kilang pemprosesan miliknya menggunakan blast freezer yang mencapai suhu -50 °C untuk memastikan kualiti isi ikan terjamin dan konsisten. 


Ikan tilapia di sangkar terapung tumbesaran. Ia mengambil masa lebih kurang 4 bulan sebelum dituai dan masuk ke pasaran.

 


Harga Pasaran 

Ketika ditanya mengenai harga pasaran ikan tilapia yang djual oleh Borneo Eco Fish, Encik Thomas mengatakan bahawa ianya bukan rahsia kerana pasaran ikan tilapia di seluruh Malaysia adalah tidak jauh berbeza. Malah Borneo Eco Fish lebih mementingkan penjenamaan ikan yang berkualiti tinggi berbanding dengan perang harga di antara pengeluar ikan tilapia yang lain. 

Walau bagaimanapun, ianya bukanlah mudah kerana ada pihak yang menyalahgunakan penjenamaan ikan dari Batang Ai untuk memasuki pasaran tempatan tanpa mengambil kira kualiti ikan yang dibekalkan. Encik Thomas juga berkongsi telah wujud situasi di mana pasaran import tidak sah yang menjual ikan dengan harga yang jauh murah tanpa mengira kemampanan aktiviti penternakan dan kualiti ikan dalam kalangan penternak tempatan. Keadaan ini menyebabkan pasaran ikan terganggu. 

Beliau menegaskan kepentingan kawalan pengeluaran ikan ternakan melalui amalan akuakultur yang baik dan kewujudan saingan yang sihat dalam kalangan para penternak dan pengusaha ikan tilapia adalah satu ekosistem yang baik kerana rantaian makanan akan terus berkembang selari dengan peningkatan rakyat di Malaysia. Perubahan harga mengikut perkembangan ekonomi turut diambil kira.


Kilang pemprosesan Borneo Eco Fish yang dibina daripada pinjaman kewangan daripada kerajaan Sarawak dan beroperasi sepenuh masa.

 



Aktiviti pemprosesan ikan tilapia segar yang dijalankan pada setiap hari. Borneo Eco Fish memiliki 20 hingga 40 orang pekerja yang terlibat dalam aktiviti pemprosesan termasuklah pembungkusan dan juga pekerja penyelenggaraan am.

 


Encik Thomas menyatakan hampir 70% daripada kos penternakan akuakultur adalah untuk baja ikan. Peningkatan harga baja pada masa kini turut mempengaruhi harga pasaran ikan tilapia. Encik Thomas berpendapat bahawa ianya bukanlah cabaran utama dan para pengguna memahami senario ini. Penggunaan baja dari bahan yang murah seperti langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan adalah satu usaha yang baik tetapi akan mengambil masa yang lama untuk memberi impak yang besar kepada pasaran ikan ternakan. 

Borneo Eco Fish juga percaya bahawa para pengguna tempatan dan antarabangsa layak mendapatkan bekalan ikan yang segar, sihat dan dijamin selamat pada harga yang berpatutan selari dengan amalan pertanian yang baik. Maka, Borneo Eco Fish sedang merancang untuk meluaskan pasaran ke Semenanjung Malaysia dan negara jiran seperti Singapura dan Brunei yang pada masa kini hanya meliputi 3% daripada jumlah pengeluaran tahunan. 


Ikan tilapia yang telah diproses dan dilabel di bawah keluaran Borneo Eco Fish. Berat atau saiz ikan yang dikeluarkan adalah di antara 400 gram hingga 1 kilogram per ekor. Di samping itu, hasil pengeluaran mempunyai Pensijilan Halal Malaysia dan pensijilan myGAP.

 


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag