January 14 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Suatu ketika dahulu, Perlis mempunyai pemandangan yang unik jika kita memandu dari kampus Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) menuju ke Padang Besar, pekan sempadan yang menjadi pintu masuk dan terkenal dengan bazar barangan makanan negara jiran, Thailand. Hamparan ladang tebu gula yang menghijau dan tasik-tasik sudah tiada lagi, digantikan dengan zon industri moden CVIA (Chuping Valley Industrial Area) yang masih dalam pembinaan. Sebahagian daripada projek IMT GT (Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle) ini bertujuan untuk menempatkan industri berteknologi tinggi, halal, dan mapan.
Salah seorang peserta dalam CVIA ini ialah Superfruits Valley, yang bergiat dalam agroindustri tanaman buah-buahan tinggi nilai khasiat dari serata dunia yang dikumpul, disesuaikan dengan iklim tempatan, dan ditanam secara besar-besaran bagi dijual kepada pengguna khusus yang mementingkan kesihatan melalui konsumsi makanan organik.
Sebut sahaja makanan apa yang dikehendaki, 95% kebarangkalian ia boleh diperoleh di sini, daripada amarantus, buah GAC, rebung buluh B.beecheyana, hingga udang kara air tawar yang berasal dari Australia. Mengunjungi Chuping Superfruits Valley umpama masuk ke dalam muzium tanaman superfood dan ternakan eksotik dari serata dunia, lokasi yang sangat sesuai dikunjungi penggemar tanaman, pelajar bidang pertanian, pelajar sekolah, dan pakar sains.
Keindahan Alam Sekitar dan Potensi Pelancongan
Pemandangan juga sangat menarik kerana tanah datar yang luas berlatar belakang banjaran bukit batu kapur dengan bentuk yang aneh. Dengan burung-burung yang pelik, tumbuhan semula jadi jenis monsun, dan rumpun buluh yang luas, kita seolah-olah berada dalam lokasi filem koboi. Penggemar fotografi dan pembikin video pasti puas hati berkarya dalam suasana yang lain daripada biasa.
Perjalanan dan Pembangunan Pengasas
Menurut Encik Robin Lim, pengasas dan pemilik Superfruits Valley, beliau mula belajar mengenali, mengumpul, dan menanam pelbagai tanaman tempatan dan luar negara untuk menyesuaikannya dengan iklim tempatan sejak tahun 2016.

Oleh kerana semua tanaman adalah baru bagi Malaysia, tiada siapa yang boleh dirujuk melainkan membacanya melalui internet catatan media sosial petani luar negara.
Bermula dengan sebuah kebun berhampiran Jitra, Kedah, beliau meneroka bidang ini sebelum mendapat tawaran kerajaan negeri Perlis yang menawarkan 50 hektar tanah bekas ladang tebu, lengkap dengan kolam sebagai sumber air dan tempat penternakan ikan dan udang air tawar.
Pencapaian dan Keunikan Superfruits Valley
Kini Superfruits Valley menyandang beberapa status peneroka, antaranya ladang superfruits terbesar, ladang lemon terbesar, dan ladang koleksi jenis lemon dan sitrus terbanyak di Malaysia. Beberapa status sedang menanti dalam seksyen ulaman eksotik, udang beras, rebung buluh B. beecheyana, dan cape gooseberry.
Keistimewaan Lokasi dan Iklim Perlis
Menurut Encik Robin Lim, beliau memilih Perlis kerana negeri ini mendapat satu jam matahari lebih awal daripada negeri lain dan pengaruh angin monsun seperti Thailand yang mempunyai musim kering antara Disember hingga Mac setiap tahun. Ini baik untuk merangsang beberapa jenis limau dan sitrus untuk berbunga. Intensiti matahari yang kuat sangat sesuai untuk tanaman jenis buah seperti lemon, fig, dan GAC yang berasal dari negeri-negeri beriklim seperti ini.
Namun, petani di sini mempunyai kelebihan kerana berada di kawasan tropika, menyebabkan tanaman mengeluarkan hasil sepanjang tahun. Oleh itu, pengguna mendapat buah yang segar dipetik setiap hari, bukan buah yang dituai setahun sekali dan dirawat dengan racun serangga, pewarna, serta disaluti lilin.
Pengguna yang menggunakan lemon hasil tanaman tempatan boleh menggunakan kulitnya tanpa bimbang kerana ia tidak dirawat seperti lemon import.
Amalan Pertanian Lestari
Kebanyakan pengguna tegar hasil ladang Superfruits Valley ialah pengunjung yang pernah melihat sendiri bagaimana susah payah Encik Robin Lim dan kakitangannya merawat tanaman dengan mematuhi status organik hasil ladangnya.

Beliau mengamalkan konsep Pertanian Lestari yang mementingkan kesinambungan kesuburan ladang hingga generasi masa depan. Setiap rumpai, kulit buah, dan ranting-ranting pokok yang dipangkas akan dibuat kompos dengan tanah dan daun buluh kering Bambusa beecheyana bagi menjadi kompos 'emas hitam' yang akan diberikan kepada pokok lemon, fig, beri, dan ulam-ulamannya.
Tidak hairanlah hasil ladangnya bukan sahaja bebas daripada sisa kimia tetapi rangup, sedap, dan manis secara semula jadi.
Sokongan Keluarga dan Kerjasama Pasukan
Encik Robin Lim sangat bernasib baik kerana mempunyai keluarga yang sangat menyokong perniagaannya. Beliau dibantu oleh adiknya, Philip Lim, seorang pesara polis yang sentiasa berada di ladang jika dia terpaksa berada di luar, seorang kakak yang terlibat dengan pemprosesan hasil pertanian menjadi produk siap guna, sepupu, dan anak-anak saudara.
Selain daripada itu, Encik Robin turut mengambil graduan dari universiti tempatan jurusan agribisnes. Walaupun terpaksa menanggung kos overhead yang lebih tinggi berbanding pekerja asing, ini adalah sebagai sumbangan kepada industri pertanian tempatan. Mereka yang bekerja di sini dilatih agar mengamalkan Pertanian Lestari apabila menjalankan ladang sendiri kelak.
Rangkaian Pasaran dan Permintaan Unik
Hasil buah-buahan, sayur, ulaman, dan ternakan air dihantar kepada pasar raya Jaya Grocer yang mempunyai 50 rangkaian di seluruh Lembah Klang. Setiap hari, van perkhidmatan kurier akan mengambil bekalan bagi jualan esoknya tanpa gagal.
Terdapat juga pengusaha restoran cuisine yang memesan terus daripadanya sayur, ulam, garnish, dan perisa masakan mengikut jadual setahun yang dihantar dengan kurier.
Tumbuhan pelik ini sukar diperoleh di pasar biasa seperti bunga paku rawan, bunga chaiya, kaduk, cekur, pegaga batik, sambung nyawa batik, makwan (false dill), bunga telang, bunga kantan putih, cili padi putih, terung Sarawak, dan banyak lagi.
Pengeluaran Produk Siap dan Minyak Essential
Superfruits Valley juga mengeluarkan produk siap makan dan minyak essential menggunakan hasil ladangnya. Buah GAC diproses untuk diambil khasiatnya yang dikatakan mempunyai likopena 10 kali ganda berbanding tomato dan dicampur dengan jus markisa bagi mendapatkan rasa yang sedap. Buah beri diproses menggunakan teknologi freeze dry bagi mengekalkan semua khasiatnya dengan pembuatan yogurt bite siap untuk dinikmati.
Hasil kerjasama dengan seorang penyelidik, minyak essential daripada daun pokok tin/fig diekstrak bagi menghasilkan produk kesihatan untuk kulit. Jenama FRUJU Purify with Figs dibuat daripada buah fig segar yang kaya dengan antioksida dan enzim semula jadi, dapat membantu tubuh detoks secara lembut dan membantu penghadaman yang sihat.
Okra Star of David
Antara Tanaman Menarik dan Berkhasiat di Superfruits Valley
1. Okra Star of David
Kacang bendi Star of David dinamakan begitu kerana memberi bentuk bintang Nabi Daud apabila dipotong rentas. Sangat rangup dan lembut berbanding kacang bendi biasa. Ini adalah benih yang diturunkan kepada generasi demi generasi sejak dahulu kerana sedapnya dan bentuk yang menarik apabila dihidangkan. Ia boleh ditumis, ditambah dalam kari ikan, atau hanya dibakar untuk ulam – tidak hairanlah ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan sayur di ladang.
Buah Tin Black Jack
2. Buah Tin Black Jack
Buah tin bukan sahaja sedap dimakan, tetapi terkenal membantu kadar metabolisme, menyegarkan usus, dan menyihatkan kulit dari dalam. Tulen, ringkas, dan membersihkan secara semula jadi.
Varieti Black Jack beradaptasi baik dengan cuaca Chuping yang panas dan kering. Buahnya besar dengan warna ungu yang cantik dipandang. Ladang Superfruits memilih varieti ini kerana tidak terlalu manja dan mempunyai karakter yang baik.
Buah yang besar dengan isi lembut berwarna ros kelihatan cantik daripada pokok hingga ke meja. Daunnya juga memberi manfaat sebagai ubat. Kaya dengan flavonoid semula jadi dan bersifat antibakteria yang lembut, ia juga membantu melembutkan kulit, melegakan luka, dan mempercepatkan kesembuhan.
Pelbagai Varieti Lemon
3. Pelbagai Varieti Lemon
Sinar matahari yang melimpah di Superfruits Valley menyebabkan pelbagai varieti lemon menjadi-jadi. Lemon yang ditanam di sini kaya dengan unsur semula jadi seperti minyak essential yang menerbitkan aroma dan zest yang kaya dan mewah.
Papuana
Papuana, satu varieti langka yang cantik, terang, dan berani, menjadi kebanggaan. Kaya dengan antioksidan dan vitamin C, ia bukan sahaja lazat tetapi berfaedah. Papuana mendapat permintaan baik dalam kalangan chef terkemuka yang menukarkan permata tropika ini menjadi hidangan yang dirindui. Yang penting, lemon dari ladang Superfruits Valley bebas daripada lilin dan sisa racun makhluk perosak dengan kebaikan sitrus sejati.
Amalfi
Amalfi, varieti yang banyak ditanam di sini, berbuah besar, wangi dengan aroma lemon sebenar tetapi tidak terlalu berasid seperti lemon biasa. Dengan kulit yang beraroma, kurang pahit, mempunyai nota bau sitrus yang manis, varieti ini sangat sesuai untuk pembuatan zest limau, sirap, pencuci mulut, koktel, dan confit. Ia juga sangat sesuai untuk sebarang resipi Itali. Kini ditanam di ladang dalam negara dan dituai segar setiap hari tanpa disaluti lilin dan pengawet.
Mia Rose Finger Lime
Mia Rose Finger Lime, permata tercantik di ladang Superfruits Valley. Tidak seperti finger lime hijau, Mia Rose mempunyai kulit berwarna merah jambu lembut dan isi dalam seperti mutiara kecil yang bersinar seakan-akan kaviar, pilihan chef mewah untuk menghias hidangannya.
Pegaga Batik
4. Pegaga Batik
Pegaga batik sama seperti pegaga tempatan biasa tetapi mempunyai garis-garis putih menjadikannya variegata ataupun batik. Mempunyai rasa yang sederhana dengan sedikit rasa pudina dan sangat menyegarkan. Ia boleh dijadikan ulam, salad, atau dibuat jus, mahupun menjadi penghias hidangan bagi menambah kesegaran semula jadi.
Daun Kaduk
5. Daun Kaduk
Daun kaduk berbentuk hati seperti daun sirih tetapi lebih bulat dan beraroma khas. Daun kaduk menjadi rahsia kesedapan resipi perut ikan atau otak-otak dan pembungkus Miang Kham, jajan Thai yang mengandungi pelbagai bahan daripada cili api hingga udang kering. Daun kaduk mempunyai rasa seakan lada hitam dengan rasa segar dan aroma yang sangat khas. Sesuai dimasak dengan resipi bersantan bersama kunyit, serai, dan cekur.
Wasabina
6. Wasabina
Wasabina, juga dipanggil Japanese mustard spinach, ialah sayur berdaun hijau yang bertukar rasa apabila semakin tua. Daun muda rangup dengan sedikit rasa tangy, tetapi apabila semakin tua ia memberi rasa yang lebih pedas, seakan wasabi. Ia boleh dibuat ulam, digoreng tumis, atau dijeruk bagi mendapat rasa yang lebih padu.
Chaya
7. Chaya
Chaya, juga lebih dikenali sebagai Daun Ajinomoto (Cnidoscolus aconitifolius) kerana kemampuannya mengeluarkan rasa umami daripada makanan. Chaya mempunyai pelbagai zat, terutama zat besi, kalsium, dan protein, serta digunakan secara meluas dalam masakan di Asia Tenggara dan Amerika Tengah. Ia perlu direbus terlebih dahulu sebelum dimakan kerana mempunyai toksin. Pengambilan daun Chaya dikatakan mampu meningkatkan imuniti tubuh, menurunkan paras gula dalam darah, dan membantu kesihatan jantung.
Rebung Buluh
8. Rebung Buluh
Rebung buluh menjadi sayur yang digemari ramai dalam kalangan masyarakat, sama ada dibuat sayur manis, kari dengan daging, sayur lemak, ataupun pajeri. Kerap kali, pengalaman membeli rebung segar dari pasar agak mengecewakan. Oleh kerana rebung dituai segar dari hutan tanpa mengetahui jenis buluhnya, kerap kali ia pahit. Ini tidak akan terjadi jika membeli rebung dari Superfruits Valley.
Kualiti Rebung dan Pelancongan Pendidikan
Mereka menanam Bambusa beecheyana, sejenis buluh dari kawasan beriklim sejuk yang mengeluarkan rebung yang tebal, putih, dan manis secara semula jadi apabila direbus. Selepas itu, boleh dimasak mengikut resipi kesukaan sama ada ditumis, dibuat sup, atau hanya dibakar atas arang supaya lembut dan beraroma smoky.
Jemputan ke Superfruits Valley
Jika ke Perlis, khasnya Padang Besar dan Chuping, singgahlah di Superfruits Valley. Ia bakal memberi pengalaman yang baharu mengenai nutrisi daripada superfruits dan ulaman berkhasiat. Anda boleh mendapatkan buah-buahan segar yang berkhasiat dan produk berkualiti. Belilah minyak sapu yang dibuat daripada daun fig, mana tahu anda memerlukannya ketika berjalan jauh di Bazar Padang Besar nanti !
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.