December 23 2024

Perniagaan DOC Dalam Industri Ayam Pedaging

Perniagaan DOC Dalam Industri Ayam Pedaging - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Bekalan dedak yang konsisten dan bermutu adalah cabang yang penting di dalam industri ayam pedaging (broiler), tetapi bekalan anak ayam yang terbaik dan dibekalkan pada masa yang tepat juga tidak kurang pentingnya. Telah terjadi beberapa kali di Malaysia bekalan ayam kurang di pasaran berpunca dari penternak tidak mendapat anak ayam kira- kira 30-45 hari sebelumnya. Pada masa yang lain, pernah berlaku anak ayam ditimbus   hidup-hidup dan mendapat kutukan netizen berpunca dari pengeluaran anak ayam yang   berlebihan. 

Di dalam industri ini, pernah juga diungkapkan, mana-mana syarikat yang mempunyai kilang dedak dan mengeluarkan anak ayam sendiri (day old chick - DOC) akan menguasai pasaran dan dapat menentukan harga jualan di pasaran (jika kerajaan tidak meletakkan harga syiling). Jadi bidang ini bukan calang-calang usaha, hanya yang bermodal besar dan mempunyai kakitangan yang berkaliber dapat terjun ke dalamnya? 

Majoriti syarikat yang berjaya dalam industri ini mengamalkan konsep intergrasi di mana   mereka mempunyai fasiliti yang lengkap dari kilang dedak, ladang pengeluaran telur bernas (Parent Stock Farm - PS), pusat penetasan (hatchery), ladang penternakan ayam daging (broiler farm), pusat   sembelihan dan pemprosesan, kilang pengeluaran produk down stream malah ada yang mempunyai meja jualan di pasar-pasar borong. 

Antara yang   terbesar ialah Leong Hup International, Charoen Pokphand (CP), Dinding Chicken, FFM Berhad, PK Agro dan CAB Cakaran. Leong Hup dan Charoen Pokphand bukan sahaja menerajui industri di   Malaysia malah mengepalai industri di Indonesia, Filipina dan Vietnam selain negara mereka sendiri seperti CP di Thailand. CP bermula dengan sangat humble iaitu mengusaha pengeluaran dan   pemasaran biji benih Cap Kapal Terbang dan   menjual dedak ternakan yang diproses di sebuah stor di Bangkok.

Sejarah Industri Ayam Pedaging

Sejarah industri ayam pedaging komersial bermula pada tahun 1948 di Washington DC, Amerika   Syarikat apabila 40 penternak ayam mengirim 720 telur ayam untuk menyertai satu pertandingan yang dinamakan  “Chicken of Tomorrow”.   Pertandingan ini bertujuan mencari satu baka ayam yang akan merevolusi industri ternakan di Amerika. Pada zaman itu ayam diternak untuk   mendapatkan telur, hanya orang kaya yang dapat menikmati kelazatan daging ayam. Industri   mahukan ayam menjadi makanan utama rakyat, bagi mengalahkan daging lembu dan babi yang lebih popular. Pertandingan ini merupakan asas revolusi mencari baka ayam yang dapat membesar dengan pantas tetapi makan dedak yang sedikit dan dapat dijual dengan harga yang lebih murah untuk menjadi makanan harian rakyat biasa. Beberapa syarikat yang berfikiran jauh terus mengembangkan idea ini sebagai teras perniagaan mereka sehingga lahirnya Aviagen dan Hubbard. Mereka memegang sektor pembiakan prima sebagai teras perniagaan dengan mengusaha ayam baka tulen (pureline atau pedegree) dan dijaga dengan rapi supaya tidak jatuh kepada pesaing perniagaan. 

Baka tulen disimpan pada tahap biosekuriti yang tinggi supaya terhindar dari sebarang penyakit. Telur ditetas pada pusat penetasan khas supaya tidak berlaku kesilapan dan menggugat kepercayaan pelanggan. Anak-anak hasil tetasan akan menjadi GGP (great grand parent) dan   GP (grand parent). Grand parent stok ini akan dipelihara dan mengeluarkan telur bagi menghasilkan PS (parent stock). Pada peringkat   PS, syarikat persendiri dibenarkan menjalankannya secara besar-besaran bagi mengeluarkan DOC. Terdapat ladang GP di Malaysia bagi proses penyesuaian iklim. DOC GP diterbangkan ke Malaysia dan diternak di sini bagi   menghasilkan PS. Contoh usaha sama ini adalah   kerjasama antara CAB Cakaran dan Ladang   Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah menjayakan GP dari Aviagen, Amerika Syarikat di Ladang Bukit Perak, Pendang. PS ini diternak di beberapa   lokasi di Kedah, Pulau Pinang dan Melaka untuk   menghasilkan DOC yang diternak di ladang kontrak mereka atau dijual kepada penternak persendirian. Dianggarkan seperempat dari PS di dunia datang dari Amerika Syarikat dan 3% dari populasi ayam pedaging pada sesuatu masa adalah terdiri dari PS. 


DOC Grand Parent Stock diterbangkan dari Amerika Syarikat.

 


Hari ini Aviagen merupakan syarikat terbesar yang menguasai baka ayam yang dipatenkan berupa Great Grand Parent (GGP) bagi 90% baka ayam   yang diternak di 130 negara di seluruh dunia seperti Ross, Ross 308, Indian River, Arbor Acre (AA) dan Arbor Acre Plus. Arbor Acre misalnya telah   menjadi baka unggul sejak 80-an dahulu, baka tertua di dunia yang sangat disegani di dalam industri.   Hasil dari program pembaik baka yang berterusan kini sudah wujud Arbor Acre Plus yang dibiakkan bagi mencapai kecekapan dengan prestasi induk yang konsisten, prestasi ayam daging yang cemerlang dan kadar hasil selepas proses yang   tinggi. Pengusaha pusat penetasan mendapat untung yang tinggi hasil dari telur PS berkualiti dan kadar tetasan yang tinggi. Penternak di seluruh dunia berpuas hati dengan kadar FCR yang tinggi dari baka AA Plus. Kaedah jualan ayam secara per ekor yang diamalkan di kebanyakan negara menggembirakan pembeli kerana isi dada AA Plus yang tebal memberi gambaran ayam yang gemuk dan sihat.

DOC ayam daging adalah anak ayam yang baru menetas yang berumur satu hari. Anak ayam ini akan dijual kepada penternak bagi diternak supaya menghasilkan produk ayam pedaging. DOC diternak dalam tempoh 30 - 45 hari dan dituai untuk dijual pada berat 1.4 kg hingga 2.5 kg atau hasilan daging ayam sebanyak 1.1 kg - 2 kg. Ladang pembiak baka akan memelihara induk PS bagi menghasilkan telur bernas yang akan ditetas dalam inkubator. Mana-mana syarikat yang mahu membuka ladang bekalan DOC mesti membeli DOC untuk Parent Stok (PS) dari ladang GP berasal dari Aviagen. PS akan diternak sehingga berumur   26 bulan bagi menghasilkan telur bernas yang   banyak untuk menghasilkan DOC ayam daging. 

Hasil silangan antara 2 baka berbeza memberi karakter unggul ayam pedaging.

 

Pada peringkat PS induk betina dan induk jantan adalah dari genetik atau baka yang berbeza. Hasil anakan dari kedua-dua jantina ini adalah crossbred atau hasil silangan antara 2 baka ini yang sudah dikaji memberi ayam pedaging yang optima dari semua segi. Oleh kerana kedua-dua jantina adalah ayam pedaging, untuk membuatkan induk betina mengeluarkan telur adalah cabaran yang besar.   Kadar makanan yang tepat perlu diberi supaya   induk betina tidak menjadi gemuk sehingga   tidak bertelur. 

Induk jantan juga tidak terlalu besar   supaya bertenaga dan dapat memanjat induk   betina supaya berlaku persenyawaan bagi   menghasilkan telur bernas. Setiap induk betina   akan menghasilkan purata 150 biji telur bernas   dalam tempoh 34 - 36 minggu. Apabila mencapai umur 60 minggu, induk jantan dan betina akan   ditakai dan dihantar ke pusat sembelihan sebagai ayam pedaging tua. Ada permintaan yang tinggi   untuk ayam ini bagi masakan tradisional seperti   rendang atau kari ayam yang ditinkan. PS biasanya ditempatkan dalam reban yang direka bentuk bagi iklim ‘ala-Alabama’ dengan suhu   musim panas sekitar 38°C, setingkat, saiz 40 x 400 kaki. Kapasiti induk dimasukkan mengikut   keperluan 1.4 kaki persegi bagi seekor induk.   

Di Malaysia, sistem penyejukan ventilasi terowong menggunakan ‘cooling pad’ ala sarang lebah yang dialirkan air di satu hujung dan ditarik oleh sistem kipas di hujung satu lagi, minima kelajuan angin 400 fpm bagi mendapatkan suhu dalaman 24 °C. Sistem jendela diadakan di mana ia akan jatuh secara   automatik jika berlaku kegagalan ventilasi akibat dari putusnya bekalan elektrik. Lantai dibuat rendah di tengah dan tinggi 1 kaki lebih tinggi. 

Pembaka jantan diletak di tengah keluasan seperti dari   lebar reban dan habuk kayu diletak sebagai alas bagi menghindar di kerosakan kaki. Black-out sistem digunakan untuk mengawal panjang siang malam apabila ayam akan mula bertelur nanti. Untuk memberi makan, sistem rantai dan palung digunakan dengan disambungkan pada silo bagi menyimpan dedak. Air pula diberikan dengan sistem paip dan “nipple” yang menjimatkan air dan mencegah alas habuk kayu dari basah. Sistem rantai digunakan untuk melaras ketinggian mengikut umur ayam dan untuk memudahkan operasi lain. 

Ayam jantan dan betina akan bercampur di antara mereka apabila menghampiri tempoh bertelur. Pengcahayaan akan ditambah dengan membuka lampu lebih awal dan tutup lebih lewat bagi simulasi siang yang panjang. Ayam jantan akan membentuk harem mereka sendiri dan setiap ayam jantan akan mengawal 20 - 30 ayam betina dalam wilayah   mereka sendiri. Kotak penelur akan dimasukkan dengan keredupan yang sesuai untuk ayam bertelur. 

Bergantung kepada baka ayam akan mula bertelur pada minggu 24 hingga 26 dan mencapai kemuncak pengeluaran 80 -85% pada minggu 29 -32 dan mula menurun mengikut umur. Kadar penetasan akan   kemuncak 90% pada minggu 34- 36. Dengan   kematian harian, penghasilan telur akan semakin berkurang sehingga ayam ditakai pada umur   60 minggu. 

Setiap ayam betina mempunyai fertiliti sehingga   3- 4 hari. Oleh itu, setiap ayam betina mesti   dikahwini oleh ayam jantan tiap 3 hari sekali untuk menentukan fertiliti yang berterusan. Nisbah ayam jantan dengan ayam betina mestilah dikira   berdasarkan situasi ini. Apabila generasi pertama ayam jantan semakin tua dan fertiliti menurun, ayam jantan muda diperkenalkan semasa gelap dikenali dengan istilah spiking dibuat supaya kadar penetasan tidak menurun. 

Telur dikutip 3-4 kali sekali apabila mencapai   pengeluaran maksima. Ini mengelakkan dari telur kotor atau ditebuk oleh induk lain. Telur juga perlu disimpan dalam bilik telur yang sejuk 17 °C sahaja dipungut bagi menjaga peratus penetasan. Telur   retak, kotor dan telur kuning berganda ditakai. Telur dihantar ke pusat penetasan pada hari yang sama. Pusat penetasan akan menerima telur yang   bernas, dieramkan menggunakan inkubator dan menetas 21 hari kemudian menghasilkan anak   ayam pedaging umur 1 hari. Anak ayam akan   dimasukkan ke dalam kotak khas dihantar ke ladang menggunakan trak khas berventilator yang boleh dikawal suhu.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag