July 01 2025
Disediakan oleh: Ali Hanafiah
(FACULTY OF DURIAN)
Pokok durian yang tinggi melebihi 70-80 kaki, terutamanya jenis durian kampung atau pokok lama, merupakan cabaran besar dalam mengawal serangan ulat pengorek buah seperti Mudaria magniplaga dan Conogethes punctiferalis. Walaupun pokok tua berpotensi menghasilkan ratusan biji durian berdasarkan saiz dan umurnya, kekangan tenaga kerja dan ketidaksesuaian peralatan penyemburan seperti Power Sprayer menjadi beban berat kepada pekebun.
Kelemahan ini sering menyebabkan pekebun mengalami kerugian hasil akibat penurunan gred buah atau ketidakbolehan menjual buah yang rosak teruk. Situasi ini memberi kesan langsung kepada aliran kewangan dan perancangan jangka panjang pekebun durian.
Konsep Asas
• Serangan pengorek buah Mudaria dan Conogethes tertumpu kepada kupu-kupu dewasa, iaitu bermula pada fasa peringkat putik bunga sehingga fasa selepas anthesis (fasa kepala mancis ke ping pong). Waktu ini merupakan tempoh yang kritikal untuk kerja pengawalan dijalankan. Tahap serangan bagi pengorek buah adalah tinggi pada fasa ini kerana struktur bunga atau putik buah masih berada dalam keadaan yang lembut dan mudah dicucuk.
• Tempoh kupu-kupu aktif adalah pada lewat petang hingga malam, dan kawalan perlu dijalankan pada lewat petang.
• Mesin fogging digunakan dengan bancuhan diesel bagi menghasilkan asap dan dicampur dengan racun serangga. Racun serangga yang digunakan adalah racun ULV (Ultra Low Volume) seperti Malathion dan racun jenis kumpulan EC (Emulsifiable Concentrates) seperti Cofenrin (a.i bifentrin 10%).
• Penyemburan dijalankan pada peringkat kudup bunga dalam tempoh hari ke-25 hingga hari ke-40 dari mata ketam. Bagi fasa selepas anthesis atau bunga mekar, ia dilakukan pada hari ke-10 dan hari ke-25.
• Aspek keselamatan pekerja dan makluman kepada pihak sekeliling perlu dipatuhi dan dimaklumkan bagi memastikan keselamatan dapat dijaga selari dengan asas Amalan Pertanian Baik (APB).
• Aplikasi semasa bunga kembang atau anthesis tidak disyorkan kerana ia berisiko menjejaskan pollinator yang lain dan boleh menjejaskan tahap persenyawaan bunga.
Keberkesanan teknik kawalan perosak ini dapat dinilai berdasarkan kadar penghasilan buah semasa musim buah dengan memantau tahap serangan atau simptom kerosakan pada buah. Diharapkan pendekatan ini mampu mengatasi masalah kualiti buah akibat serangan pengorek buah, sekaligus membantu pekebun durian memperbaiki kualiti hasil dan meningkatkan pulangan ekonomi.
Rujukan:
1.Unit Pembangunan Industri Tanaman Raub, jabatan Pertanian
2.Kelompok Tanaman Durian, Kg.Lubuk Hik , Budu, Pahang
3.Usahawan Durian Jeneri, ZNS Agro
4.Rainbow, cofenrin
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.