December 11 2023

Maju Lagi Industri Ternakan Lembu

Maju Lagi Industri Ternakan Lembu - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Perubahan gaya hidup, meningkatnya pendapatan per kapita dan krisis keterjaminan bekalan makanan telah mengubah pilihan permintaan terhadap barang keperluan dan makanan harian rakyat Malaysia. 

Peningkatan harga ikan dan telur sebagai sumber protein utama sebelum ini telah mengalih permintaan kepada ayam dan daging. Ianya tidak memberi masalah besar kepada ayam kerana pengeluaran negara mencapai paras 110% sara diri tetapi menjadi igauan ngeri menteri di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terhadap pengeluaran daging lembu tempatan yang hanya mencapai paras sara diri sebanyak 23%. 

Jatuhnya nilai ringgit Malaysia di pasaran matawang antarabangsa dan meningkatnya harga bijirin asas bagi pembuatan dedak makanan lembu membuatkan lebih menguntungkan dalam jangka masa panjang untuk menternak lembu sendiri dari mengimport lembu hidup mahupun daging sejuk beku.

Statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan KPKM menunjukkan pada tahun 2020, Malaysia mengimport sebanyak 207,000 metrik tan lembu hidup, dan 225,000 metrik tan daging lembu sejuk beku dari Australia, India dan Thailand. Sektor ternakan tempatan memberi sumbangan hanya sebanyak 7.3% keluaran sektor pertanian.

Terdapat sekitar sejuta ekor lembu diternak di Malaysia dengan 44,000 orang penternak, majoriti di Kelantan dan Terengganu. Rata-rata mereka menternak dari 1 hingga 5 ekor lembu sahaja seorang walaupun ramai juga yang menternak baka bertubuh sasa yang dipanggil lembu 'sado'. Terdapat juga 4000 orang penternak kerbau di seluruh Malaysia. 


Terdapat 4000 orang penternak kerbau di seluruh Malaysia. Foto - Jamaludin Mat Rashid

 

100,000 Lembu Disembelih Semasa Musim Korban

Terdapat beberapa penternak besar seperti di kalangan agensi kerajaan seperti JPV, FELDA, FELCRA, RISDA, MPOB dan beberapa syarikat swasta tetapi majoriti penternak adalah berskala kecil dengan kaedah tradisional dan secara sambilan. Mereka tidak mengusahakan tanaman pastura sebaliknya membiarkan haiwan meragut rumpai liar di ladang dan tanah terbiar. Sebanyak lebih-kurang 100,000 ekor lembu disembelih tiap tahun terutama pada musim korban. 

Memperkasakan industri ternakan tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil daging import sama ada dalam bentuk lembu hidup (paling banyak untuk korban) atau daging sejuk beku mesti menjadi agenda utama KPKM. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh JPV dengan membuat dasar dan menawarkan insentif, pemberian subsidi dan bekalan input seperti padang ragut awam, skim pawah induk, permanian beradas (Artificial Insemination) bagi mempelbagai genetik dalam populasi tempatan dan vaksinasi percuma. Malah National Feedlot Corporation (NFC) telah ditubuhkan, pelbagai infrastruktur mengikut piawaian industri telah dibina, malangnya hanya sekadar menjadi gajah putih akibat dari skandal ‘Lembu Kondo’ yang masih dibicarakan hingga kini. 

Dedak Isirung Sawit Diguna Sebagai Pelet

Dengan ladang sawit yang luas dan Dasar Penggunaan Dedak Isirung Sawit (PKC) yang relatif murah berbanding negara jiran, Malaysia di kedudukan yang terbaik untuk menjadi pengeluar lembu daging bukannya pengimport. Semasa berkunjung ke Thailand baru-baru ini, penternak di sana begitu mencemburui Malaysia yang berjaya dalam tanaman ladang sawit secara besar-besaran dengan sisa sampingan yang banyak untuk industri ternakan seperti PKC, daun sawit sisa penuaian dan ladang sawit sendiri yang menjadi lapang untuk lembu meragut. Kunjungan ke Suphan Buri itu memperlihatkan bagaimana lembu diternak 90% menggunakan limbah kilang iaitu sisa jagung dari kilang mengetin mini corn dan hampas nanas dari kilang memproses jus nanas. Kilang yang dilawati juga mendapat 30% keuntungan dari produk baja kompos yang diproses dari bahan organik yang dikompos dan tinja lembu. (Sila baca artikel ‘Mentor Menti Kongsi Ilmu Ternak’)

Pensijilan Halal Tingkatkan Status Dunia

Pusat sembelihan dan kilang memproses daging di Suphan Buri yang dilawati mendapat sijil halal dari biro hal-ehwal Islam setempat untuk pasaran tempatan walaupun penduduk Islam di Thailand hanyalah 4 juta orang atau 6%. Semua daging yang dijual di restoran dan supermarket mempamerkan logo halal ini sebagai jaminan kepada pelanggan tempatan, ekspatriat dan pelancong antarabangsa. Daging halal tempatan yang disejuk beku juga dieksport kepada masyarakat Islam di negara jiran berdekatan seperti Laos, Kemboja dan Vietnam. Di sini dapat dilihat bagaimana industri lembu berpotensi dikembangkan dan diperkasakan menjadi satu industri yang patuh syariah, halal, toyib dan bebas syubhah. 

Malaysia terkenal dengan sijil halalnya yang dikeluarkan oleh JAKIM tetapi usahawan tempatan gagal mengeksploitasi potensinya sebagai cutting edge untuk mengeluar dan mengeksport produk makanan halal ke luar negara terutama negaranegara Islam yang mempunyai kuasa beli tinggi. Thailand terlebih dahulu melihat potensi ini apabila lawatan perdana menteri barunya yang melawat Malaysia pada Oktober 2023 memohon untuk bekerjasama dalam bidang pensijilan halal dengan Malaysia.

Ternak Lembu Tidak Semestinya Tanah Luas

Penternak Malaysia masih dibelengu pendapat, untuk menternak lembu perlu tanah yang luas. Ini terbukti salah dengan kisah di atas di mana lembu diternak dalam kawasan industri tanpa padang ragut. Di Pulau Jawa hampir setiap rumah di desa ada menternak sekurang-kurangnya seekor lembu. Rumput lembu disabit jauh di perkebunan. Begitu juga dengan kisah petani Israel yang menternak belasan ekor lembu susu dalam kawasan seluas rumah kos rendah di sini. Selain kemudahan asas lain, perubahan paradigma dalam konsep penternakan di Malaysia perlu berubah. 

Kawasan meragut menjadi kurang akibat semakin banyak kawasan lapang telah menjadi kawasan kediaman. Penternak tidak boleh lagi bergantung kepada sistem tradisional dengan melepas bebas ternakan meragut di kawasan awam. Sudah banyak ladang sawit mempunyai ternakan sendiri dan melarang lembu milik penternak sambilan meragut di estet. Pembinaan lebuhraya dan rangkaian trek kereta api menyekat ternakan untuk bebas. Banyak ternakan terbunuh apabila masuk ke lebuhraya dan trek kereta api bukan saja merugikan penternak malah nyawa orang awam juga menjadi taruhan. 


Makanan ternakan yang diproses menjadi mahal apabila harga bijirin dunia naik mendadak akibat perang Ukraine - Rusia dan cuaca dunia yang tidak menentu. Foto - FB: Syafi Nature Farm

 

Makanan ternakan yang diproses menjadi mahal apabila harga bijirin dunia naik mendadak akibat perang Ukraine-Rusia dan cuaca dunia yang tidak menentu. PKC (Palm Kernel Cake) produk sampingan kilang sawit turut naik mendadak apabila harga buah sawit segar naik harga. Begitu juga dengan molasses, produk sampingan industri gula yang turut naik apabila harga gula mentah dunia meningkat. Molasses digunakan sebagai bahan perisa makanan lembu dan tinggi kandungan gula sebagai sumber tenaga haiwan ternak, penternak perlu berubah dengan mengeluarkan makanan haiwan sendiri. Daun dan pelepah sawit, jerami padi, sisa kilang pemprosesan produk pertanian dan sisa kilang padi boleh digunakan untuk makanan ternakan yang diternak secara feedlot. Ada yang boleh didapati percuma, yang lain boleh didapati dengan sedikit kos mengikut kawasan masing-masing.

Penggunaan Rumput Napier Pak Chong 1

Semenjak dari tahun 2015 lagi, rumput napier Pak Chong 1 sejenis rumput gajah (Pennisetum sp) yang dihibrid telah diperkenalkan oleh JPV kepada penternak Malaysia. Rumput ini terkenal kerana kandungan protein yang tinggi, boleh dituai tiap 2 bulan sekali dengan hasil sehingga 60 mt sehektar. Adaptasinya yang tidak memilih tanah untuk tumbuh subur dan tahan kemarau, tahan banjir membuatnya boleh ditanam di Malaysia. Tanah yang tidak ekonomik untuk tanaman lain boleh digunakan untuk menanam napier seperti bawah talian kabel voltan tinggi, sepanjang tebing terusan/taliair, rezab lebuhraya dan landasan kereta api malah untuk mengukuh cerun di kawasan yang tidak stabil. Ia boleh dibuat silaj untuk bekalan apabila rumput hijau berkurang akibat banjir misalnya dan berpotensi menjadi bisnes baru dengan menanam dan menjual rumput napier kepada penternak lain. Penternak harus mengambil faedah dari teknologi baru seperti penggunaan rumput napier Pak Chong 1 dan berfikir di luar kotak bagaimana untuk menggunakan sumber-sumber yang terhad untuk keuntungan peribadi dan negara. (Sila baca artikel ‘Napier Pak Chong 1 Bantu Industri Ternakan’)

Lembu Tempatan Lebih Disukai Ramai

Permintaan terhadap lembu untuk sembelihan meningkat pada musim korban. Harga lembu jantan yang cukup umur meningkat apabila umat Islam mula membeli sebulan sebelum tibanya Hari Raya Haji. Dua bulan sebelumnya, ICQ sempadan Malaysia-Thai sibuk dengan kemasukan lembu korban. Lembu-lembu ini ada yang diternak di Thailand tetapi tidak kurang juga dibeli oleh peraih-peraih Thai dari negara jirannya terutama Myanmar. Walaupun telah dikuarantin di Thailand dan sekali lagi ketika masuk ke Malaysia, orang awam masih curiga dengan penggunaan hormon dan kimia terlarang dalam penternakan lembu di sana. Penyakit kuku dan mulut pernah membuat industri ternakan tempatan parah berpunca dari haiwan yang diimport. 

Pengguna tempatan masih mengutamakan lembu tempatan ketika memilih baik lembu hidup mahupun daging segar. Tiba masanya lebih banyak kerja-kerja silang baka dibuat bagi menjadikan lembu baka tempatan seperti KedahKelantan mempunyai sifat-sifat yang peratus daging tinggi, membiak dengan cepat dan dapat mencerna pastur tempatan dengan cekap. Baka tropika lain seperti Bali, Brahman perlu dibiakkan dengan lebih banyak supaya industri lembu lebih pelbagai dari segi baka dan kualiti daging yang mantap. Benih pastur tinggi protein dan hasil tinggi seperti Pak Chong 1 perlu dibanyakan dan mudah dicapai penternak tempatan.

 


If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag