July 17 2024

Penanaman Sawit Minta Insentif Cukai Tanam Semula

Penanaman Sawit Minta Insentif Cukai Tanam Semula - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Dalam keperluan yang semakin mendesak untuk mempercepatkan penanaman semula pokok kelapa sawit bagi menangani cabaran pokok sedia ada yang semakin tua, Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mendesak kerajaan untuk membenarkan penggunaan elaun pelaburan semula sepenuhnya (reinvestment allowance atau RA) terhadap pendapatan statutori syarikat perladangan.

MPOA juga terus menyeru kerajaan untuk memberikan sokongan dalam bentuk insentif cukai penanaman semula, menekankan keperluan untuk memasukkan penanaman semula kelapa sawit di bawah skim RA sedia ada. 

Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Joseph Tek Choon Yee, berkata penanaman semula merupakan pelaburan semula dan ianya adalah langkah untuk mengukuhkan masa depan industri serta memastikan rantaian bekalan yang tidak terganggu. 

“Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan bersama untuk memastikan kelestarian dan kemakmuran sektor minyak sawit Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. 

Joseph Tek berkata, di Sabah sahaja, terdapat lebih 500,000 hektar pokok kelapa sawit yang berusia 20 tahun ke atas, dan tiada penyelesaian mekanisasi yang berkesan wujud sehingga kini, khususnya untuk memotong tandan sawit yang tinggi dan mengumpul Tandan Buah Segar (FFB). Keadaan ini telah menambahkan lagi isu yang sedia ada. Justeru, membawa kepada penurunan hasil dan kerugian tanaman terutamanya dalam senario penuaian pokok tinggi. 

Oleh itu, beliau mencadangkan pendekatan penanaman semula yang strategik selaras dengan kitaran penanaman untuk memastikan profil umur pokok kelapa sawit yang seimbang di ladang, mengurangkan risiko dan meningkatkan daya tahan pokok. 

“Cabaran terletak pada keperluan untuk mendapatkan pembiayaan yang mencukupi bagi menyokong program penanaman semula yang telah dirancang dengan baik ini. Keseimbangan di antara sokongan kewangan dan keuntungan kewangan jangka pendek dan daya hidup jangka panjang juga diambil kira, dengan menekankan keperluan untuk berpandangan jauh dan kewaspadaan fiskal,” katanya. 

MPOA yang memiliki lebih daripada 40% daripada keseluruhan penanaman kelapa sawit di Malaysia, telah menganjurkan seminar mengenai kepentingan penanaman semula kelapa sawit di Sandakan selama sehari. Seminar tersebut telah dihadiri oleh lebih 350 pemegang kepentingan industri. 

Ianya telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin, yang menekankan pentingnya menangani pokok kelapa sawit yang semakin tua melalui penanaman semula yang dipercepatkan untuk mengekalkan kesinambungan perniagaan rantaian bekalan dan daya saing industri. 


Joseph Tek Choon Yee, berkata penanaman semula merupakan pelaburan semula dan ianya adalah langkah untuk mengukuhkan masa depan industri serta memastikan rantaian bekalan yang tidak terganggu.

 


Dalam ucapannya, Chan memuji usaha penanaman semula pokok kelapa sawit di negeri Sabah tahun lepas di atas tanah ladang seluas 61,421 hektar, menandakan kadar tanaman sebanyak 4% yang ketara setiap tahun di Sabah pada 2023, dan merupakan lonjakan yang signifikan daripada sekitar 36,218 hektar pada 2022. 

Menurut data dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kawasan yang ditanam semula di Sabah mewakili 47% daripada jumlah penanaman semula di Malaysia yang seluas 131,917 hektar pada 2023. 

Chan juga menggesa semua pihak industri untuk menerima cabaran mengenai pokok kelapa sawit yang tua dan tinggi yang akan datang dengan keyakinan dan bersedia untuk melabur kembali dalam penanaman semula yang dipercepatkan. 

“Untuk meningkatkan pengeluaran domestik dan menangani keutamaan pemegang kepentingan, kerjasama dan bantuan daripada entiti minyak sawit utama adalah penting dalam menjalankan usaha penanaman semula. “Pendekatan strategik ini adalah penting untuk memastikan daya tahan ekonomi yang berterusan bagi industri minyak sawit,” tambahnya. 


Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag