November 27 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Penanaman kelapa sawit mungkin sering menjadi tumpuan dalam sektor pertanian Malaysia tetapi sebalik populariti itu, terdapat satu industri tradisional yang tidak kurang hebatnya iaitu penanaman lada. Di Malaysia, khususnya Sarawak, lada bukan sekadar tanaman tetapi juga lambang kebanggaan. Industri lada meskipun lebih berskala kecil berbanding kelapa sawit telah lama memberikan pulangan ekonomi yang berbaloi kepada pekebun-pekebun kecil di negeri ini.
Pada tahun 2018, kelapa sawit menyumbang RM38 bilion kepada KDNK dan mencipta peluang pekerjaan untuk 5.6 juta rakyat Malaysia. Namun begitu, di tengah arus pembangunan kelapa sawit, pengusaha lada seperti Encik Tiyes Anak Jeres, pesara tentera dari Kampung Peraya, Kota Padawan, Kuching, kekal yakin dengan masa depan lada. Baginya, lada Sarawak tetap memiliki potensi sebagai sumber pendapatan yang menguntungkan.
Sarawak merupakan pengeluar lada terbesar di Malaysia, menyumbang 95% daripada eksport negara. Lada hitam dan lada putih Sarawak dikenali kerana kualiti yang tinggi telah dieksport ke pasaran antarabangsa seperti Jepun, China, Korea Selatan dan Singapura.
Walaupun keluasan tanaman lada di Malaysia telah menurun dari 8,022 hektar pada tahun 2020 kepada 7,754 hektar pada tahun 2021, nilai eksport meningkat daripada RM120.8 juta pada tahun 2020 kepada RM153.7 juta pada tahun 2021. Ini menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap lada Sarawak.
Namun, bukan semua kisah industri lada ini semudah yang disangka. Encik Tiyes telah mengusahakan kebun ladanya selama 5 tahun. Beliau berkongsi bahawa perubahan cuaca dan harga baja yang semakin meningkat merupakan cabaran besar bagi pekebun kecil sepertinya.
Setiap Cabaran Adalah Peluang
Akan tetapi apa yang menarik, beliau melihat setiap cabaran sebagai peluang. Beliau berpendapat penanaman lada memang memerlukan kesabaran tetapi hasilnya lumayan jika diusahakan dengan baik.
Minat Encik Tiyes terhadap lada bermula sejak usia muda tetapi hanya selepas bersara beliau dapat menerokai bidang ini secara serius. Dengan bantuan Lembaga Lada Malaysia (MPB), Encik Tiyes memulakan penanamannya dengan 150 pohon lada di kawasan seluas satu ekar.
Kursus MPB Memberi Bantuan
Bagi beliau, kursus yang dianjurkan oleh MPB adalah sumber penting untuk mendalami selok-belok penanaman lada. Beliau menyatakan ilmu adalah kunci dan dengan ilmu yang betul, para pekebun dapat menghasilkan tanaman yang berkualiti dan mengatasi cabaran yang mendatang.
Encik Tiyes memilih jenis lada Kuching kerana ketahanannya dan kualiti lada putih yang dihasilkan. Selain itu, beliau turut menggunakan teknik penanaman di lereng bukit yang membantu memastikan pengaliran air yang baik dan pencahayaan yang sekata untuk pokok-pokok ladanya.
Walaupun harga lada pernah jatuh mendadak pada tahun 2020, dari RM28/kg untuk lada hitam dan RM44/kg untuk lada putih kepada hanya RM7/kg dan RM14/kg, Encik Tiyes tidak mudah berputus asa. Kini, harga lada kembali meningkat dan beliau melihat ini sebagai peluang jangka panjang. Tambahan, beliau berkongsi pendapat bahawa lada mungkin tidak memberi pulangan cepat seperti sawit tetapi ia adalah pelaburan yang berbaloi dalam jangka masa yang panjang.
Kaedah Tradisional Hasilkan Lada Putih
Encik Tiyes turut mengekalkan kaedah tradisional dalam penghasilan lada putih. Setelah lada dituai, ia direndam di sungai berhampiran sebelum dijemur dan diproses. Setiap hasil tuaian lada akan dihantar ke MPB di Serian untuk penggredan sebelum dijual. Bagi beliau, proses ini bukan sahaja mengekalkan kualiti tetapi juga memberi nilai tambah kepada lada yang dihasilkannya.
Cabaran-cabaran
Seperti pekebun lain, perubahan cuaca merupakan salah satu cabaran terbesar bagi Encik Tiyes. Cuaca panas memerlukan penyiraman lebih kerap manakala hujan berterusan mengundang risiko serangan kulat. Beliau sentiasa memastikan pokok lada di kebun dipantau dengan teliti, terutamanya semasa musim hujan.
Kos baja yang semakin meningkat turut membebankan. Namun, Encik Tiyes berharap agar lebih banyak bantuan dari kerajaan dapat disalurkan untuk meringankan beban pekebun kecil seperti beliau.
Kesimpulan
Industri lada mungkin tidak sebesar kelapa sawit, tetapi ia mempunyai potensi yang tidak boleh dipandang ringan. Dengan pasaran antarabangsa yang terus berkembang, lada Sarawak bakal kekal sebagai salah satu komoditi bernilai tinggi. Bagi pekebun kecil seperti Encik Tiyes, lada adalah lebih daripada sekadar tanaman kerana ia adalah warisan, sumber pendapatan, dan pelaburan masa depan. Beliau berkongsi luahan, “selagi ada semangat, saya percaya lada akan terus memberikan pulangan yang baik”.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.