November 26 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Perdagangan antara benua sejak ribuan tahun dahulu telah membentuk Jalan Sutera (Silk Route) dan Jalan Rempah Ratus (Spice Route). Banyak benda baru telah diperkenalkan kesan dari jalan perdagangan ini sehingga mencetus revolusi kehidupan masyarakat Eropah dari pakaian hinggalah kepada makanan.
Sekian lama makanan masyarakat Eropah begitu hambar telah menjadi sangat lazat apabila dimasak dengan rempah ratus. Selain dapat memanaskan badan di musim dingin, lada hitam dapat memanjangkan hayat makanan dan membantu penghazaman makanan dari daging.
Sutera dan rempah ratus menjadi komoditi yang sangat penting sehingga menjadi rebutan antara kuasa-kuasa besar pada ketika itu seperti Sepanyol dan Belanda sehingga membawa kepada penjajahan beberapa negara Asia. Antara rempah ratus yang sangat dicari ialah cengkeh dan lada hitam selain kulit kayu manis, bunga lawang, buah pala, buah pelaga dan puluhan lagi.
Dalam pelbagai jenis rempah ratus itu, lada hitam (Piper nigrum) menjadi primadona yang sangat diburu di antara pesaing-pesaing Eropah sehingga digelar King of Spice dan Black Gold. Ini membawa kepada pembukaan dan penguasaan beberapa wilayah di Kepulauan Nusantara seperti di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Sumatera.
Pada zaman awal penemuan, lada hitam dinilai bersamaan dengan berat emas apabila tiba di Eropah sedangkan masyarakat di sini sejak turun temurun menanam lada hitam untuk kegunaan sendiri sebagai penyedap makanan dan bahan dalam perubatan tradisional seperti pembuatan jamu, majun dan mengubat kecederaan patah tulang.
Lada hitam dipercayai tumbuhan endemik bagi Kepulauan Nusantara walaupun terdapat berbagai spesis lada hitam dan spesies Piper sp lain yang tidak menghasilkan buah dipanggil sireh. Tradisi makan sireh bermula dari zaman dahulu kala dapat dikesan hingga kini di Kepulauan Melayu hingga ke Taiwan dan India.
Lada Hitam Vs Lada Jawa
Terdapat 2 jenis lada, Lada Hitam (Piper nigrum) yang lebih dikenali ramai dan Lada Jawa/Long (Piper longum) yang lebih banyak digunakan untuk perubatan seperti dalam perubatan Jawa dan Ayuvedic India. Kedua-dua spesis adalah dari keluarga yang sangat rapat, Piperacaea. Sifat pedas yang dihasilkan oleh keluarga Piper adalah dari alkaloid piperine yang terkandung dalam 2 spesis ini. Kepedasan inilah yang mengeluarkan rasa sedap yang tersembunyi dalam makanan seperti rasa masin garam yang menimbulkan rasa lemak santan kelapa atau rasa umami dari penyedap rasa potassium glutamate.
Lada Jawa juga dikenali sebagai Lada Jaborand atau Lada Benggali berada dalam genus yang sama dengan lada hitam, cuma spesis yang berbeza. Buah Lada Jawa agak pelik, seakan conifer pokok pine. Sebenarnya buah Lada Jawa adalah koleksi buah-buah yang sangat kecil tenggelam pada tangkai bunga yang berkembar antara satu sama lain. Rasa Lada Jawa lebih pedas dengan sedikit rasa manis dengan bau cengkeh dan buah pala. Ia mempunyai rasa kayu putih (eucalyptus) di mulut. Lada Jawa digunakan dengan meluas pada zaman dahulu tetapi sukar diperolehi pada zaman ini apabila lada hitam menjadi pilihan pengguna kerana lebih murah dan mudah diperolehi. Lada Jawa kini hanya boleh ditemui di kedai-kedai herba perubatan, dibeli oleh pengamal perubatan tradisional untuk persedian herba seperti jamu, majun dan minyak urut.
Lada Hitam adalah penyedap rasa yang kedua terpenting selepas garam. Pohon lada hitam yang sama dapat menghasilkan lada hitam dan lada putih/lada sulah dengan proses yang berbeza. Buah yang separuh matang yang dijemur di bawah matahari selama 3-4 hari menghasilkan lada hitam. Manakala bagi lada putih ia dihasilkan dari buah lada yang dipetik matang di pokok sehingga berwarna merah, ditaruh dalam bakul pandan yang air boleh keluar masuk lalu direndam dalam air mengalir selama 7 hari sehingga kulit selaput luarnya mereput. Kulit selaput akan tanggal apabila diinjak dengan kaki dalam bakul ayaman pandan atau raga plastik. Biji lada yang sudah sulah (botak) dijemur lagi 3-4 hari sebelum dijual.
Lada Hitam dipercayai berasal dari hutan tropika Selatan India/Sri Lanka dan Kepulauan Nusantara tetapi ditanam di seluruh kawasan beriklim tropika di seluruh dunia. Vietnam merupakan penanam dan pengeksport lada hitam terbesar dunia dengan 35% syer pasaran diikuti oleh Brazil, Indonesia, India dan Malaysia. Majoriti lada hitam Malaysia dihasilkan di Sarawak walaupun ada tanaman dibuat di Semenanjung hasil dari kempen yang dibuat oleh Lembaga Lada Hitam. Walaupun jumlah penghasilan yang kecil Lada Hitam Sarawak mendapat pengiktirafan dunia kerana kualiti yang terbaik.
Malaysia
Penanaman lada hitam di Malaysia tertumpu di Sarawak yang menyumbang 98% jumlah pengeluaran tahunan diikuti oleh Sabah dan sangat sedikit ditanam di Semenanjung Malaysia. Mereka mengeluarkan lada hitam dan lada putih.
Musim penuaian di Sarawak biasanya bermula apabila ada sedikit musim kering sekitar bulan Mei dan Jun namun beralih-alih kerana cuaca yang tidak menentu kini. Cuaca kering perlu kerana buah lada bertangkai perlu dijemur sebelum dilerai secara diinjak dan ditampi bagi mengeluarkan tangkainya dan dijemur lagi bagi penghasilan lada hitam.
Pengeluaran bagi tahun 2022 didapati meningkat sebanyak 2% kepada 22,000mt berbanding tahun sebelumnya. Sejumlah 70% dijadikan lada hitam, selebihnya adalah diproses menjadi lada putih. Jepun mengimport 45% dari keluaran lada Malaysia diikuti oleh Vietnam sebanyak 15%. Nilai eksport tahunan lada hitam Malaysia ialah sebanyak USD 41 juta. Dari segi ranking, Malaysia merupakan pengeksport kelima terbesar dunia dalam pasaran lada hitam.
Penanaman lada hitam telah bermula seawal kurun ke-10 apabila raja-raja yang memerintah Selatan India mula mengembangkan wilayahnya ke negeri-negeri sekitar, turut membawa tanaman ini bersama-sama. Lada hitam telah dibawa ke Pulau Borneo dalam tahun 1840 oleh peneroka Cina. Mereka membuka ladang dan menanam lada secara besar-besaran sehinggalah ditimpa bencana oleh banjir besar dan wabak penyakit akar yang membunuh majoriti tanaman lada.
Teknologi penanaman, benih dan teknik pemprosesan lada hitam telah diturunkan kepada penduduk pribumi melalui pekerja yang membantu kerja di ladang peneroka Cina. Mereka membuka ladang sendiri di cerun bukit yang sesuai untuk lada yang memerlukan tanah bersaliran baik. Tanaman lada hitam sesuai dengan penghidupan penduduk pribumi yang slow pace. Hasil pertanian bernilai tinggi tetapi kompak ini mudah dibawa ke pasaran dengan pengangkutan air dari kawasan pedalaman di mana ia ditanam.
Sifat lada hitam yang boleh disimpan lama menjadikan ia sebagai simpanan petani, dikumpul berdikit-dikit dan dijual apabila memerlukan tunai yang banyak. Kekurangan pekerja akibat dari penghijrahan orang muda ke bandar dan harga yang tidak stabil juga menjadi halangan bagi petani untuk meneruskan usaha berladang lada hitam. Antara varieti yang memberi hasil tinggi ialah Kuching, Semenggok Emas dan Semenggok Aman. Penanaman lada hitam di cerun bukit dengan tanah yang peroi dan hujan yang tinggi tanpa sistem cegah hakisan mengakibatkan hakisan tanah yang serius.
Penyelesaian Masalah Tanah
Kesuburan tanah yang menurun mengakibatkan prestasi pokok tidak memberi hasil maksimum dan petani tidak mendapat pendapatan yang sewajarnya untuk belanja harian. Masalah ini boleh diselesaikan hanya dengan mengadakan sitem tanaman berkontor, sungkupan dan struktur mencegah hakisan. Petani perlu diberi pendidikan mengenai perkara ini dan teknologi terkini seperti IoT dan Pertanian Jitu (Precision Agriculture) perlu diperkenalkan jika komoditi ini diinginkan terus berdaya maju.
Indonesia
Sebagai jiran terdekat dan peyumbang kedua terbesar lada hitam ke pasaran dunia, kemajuan Indonesia dalam perladangan lada hitam perlu dianalisa dan diambil iktibar. Pada tahun 2023, 50% hasil lada hitam Indonesia dikeluarkan oleh wilayah Lampung, terletak di bahagian paling selatan Pulau Sumatera, dipisahkan dengan pulau Jawa oleh Selat Sunda.
Varieti Lampung menjadi salah satu varieti lada hitam yang bermutu dan dicari pembeli sejak kurun ke-16. Lada hitam lampung sangat pedas dengan aroma yang menusuk hidung, berbiji kecil dengan sedikit rasa buah-buahan (fruity taste).
Rata-rata pekebun kecil mempunyai tanaman lada seluas 0.2 hingga 1.5 hektar sahaja berjumlah 30,000 orang. Tanaman lada hitam hanyalah tanaman pelengkap bagi tanaman kopi di utara Lampung dan tanaman ubi kayu di Lampung Timur.
Vietnam
Vietnam mengungguli pasaran lada hitam dunia dengan 40% syer pasaran dan mengeksport kepada 111 negara, 24% ke USA selain China, UAE, India dan Jerman. Aktiviti ini telah berlangsung selama 20 tahun.
Walaupun digugat oleh wabak COVID-19 pada tahun 2020, pengeluaran tahunan lada hitam Vietnam terus stabil. Pada tahun 2023, Vietnam mengeksport 170,000 metrik tan lada hitam dan 20,000 metrik tan lada putih bernilai USD 985 juta.
Kawasan penanaman lada hitam Vietnam turut menyusut kepada 110 ribu hektar apabila harga komoditi kopi dan durian naik dengan drastik menyebabkan petani menukar kepada 2 tanaman ini selain perubahan cuaca ekstrem dan serangan penyakit.
Durian menjadi sumber kekayaan baru apabila negara China yang dilanda kegilaan makan durian membuka kuota eksport durian segar dari Vietnam sejak 2 tahun lalu. Sebanyak 70% biji lada basah dibuat lada hitam dipetik di Vietnam.
Bagi lada putih, hanya 30% biji lada basah lebih matang bagi tujuan menghasilkan lada putih. Walaupun lada putih mendapat harga yang lebih baik petani kurang menggemari untuk membuatnya kerana perlukan lebih kerja tambahan.
Apabila berlaku kekurangan pekerja atau kos buruh lebih mahal petani lebih berpuas hati dengan membuat lada hitam sahaja. Pembuatan lada putih juga perlukan air yang banyak, hanya boleh dibuat jika ada air sungai kecil yang bersih berhampiran ladang dan ada tempat simpanan yang cukup.
Di Vietnam, lada segar bertangkai juga dijual bagi persediaan menu masakan tempatan sama ada menggunakan lada hijau atau merah. Sesetengah petani memetik lada ini untuk pasaran tempatan setiap hari. Harga yang lebih tinggi diperoleni bagi segmen pasaran ini.
Kesimpulan
Industri tanaman lada hitam masih mempunyai permintaan yang luas dengan tukaran mata wang asing yang sangat tinggi. Pengecilan kawasan penanaman di peringkat dunia kerana kekurangan tenaga buruh atau pertukaran tanaman kepada tanaman yang lebih tinggi nilai ekonomi seperti durian akan membuatkan harga lada hitam melonjak naik. Bagi kawasan yang sesuai tanaman ini perlu diteruskan malah diperluaskan lagi kerana ia adalah suatu komoditi yang masih relevan sebagai sumber ekonomi.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.