September 04 2024

Pelaburan Pokok Durian Tua & Kebun Lama

Pelaburan Pokok Durian Tua & Kebun Lama - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)

Memiliki dusun lama dengan pokok durian tua secara warisan keluarga ataupun pelaburan baru membeli dusun lama boleh dikatakan sebagai idaman banyak pihak. 

Kebanyakan pokok yang ditanam dahulu adalah berdasarkan semaian biji benih daripada buah yang terpilih. Tanpa teknologi media massa dan tanpa informasi yang lengkap, corak penanaman adalah berdasarkan pengalaman serta pemerhatian setempat.

Namun begitu, pengurusan tradisi dahulu mampu menghasilkan buah tetapi konsistensi hasil adalah tidak konsisten. Pengurusan cara tradisi tanpa sistem pengurusan ladang yang betul dan hanya berharap kepada keadaan semasa tidak dapat memberi pulangan yang konsisten. Kadar kematian pokok boleh dikatakan rendah kerana pokok hidup mengikut habitat asal seperti pengurusan rumpai, pembajaan daripada sisa organik semula jadi dan mengikut potensi ia mampu menghasilkan buah yang tinggi. 


Keadaan pokok kampung yang lebih 50 tahun umurnya.

 


Setiap Pokok Durian Kampung Adalah 1 Variasi

Pembiakan melalui biji benih tidak dapat mewarisi ketulenan sesebuah varieti. Tetapi varian yang dihasilkan berkemungkinan besar akan lebih baik, hampir serasi dan lebih teruk daripada pokok induk. Ini disebabkan biji yang terhasil daripada pendebungaan silang daripada sumber-sumber yang tidak dapat dikenalpasti. Namun demikian, setiap pokok akan menjadi 1 varian baru dan berbeza untuk pada setiap pokok. 1 kebun yang mempunyai 50 pokok durian kampung akan mempunyai 50 variasi. 


Aktiviti Promosi Durian Kampung Premium Lipis bersama Pengarah Pertanian Negeri Pahang (3 dari kiri) dan usahawan durian Kg. Lubuk Hik, Lipis.

 


Antara variasi unik setiap durian kampung. *Sumber: Pertandingan DKP Pejabat Pertanian Daerah Lipis, 2023.

 


Kelebihan durian kampung, kita akan dapat merasai banyak variasi rasa dan ini dapat menarik minat pencinta durian. Kebanyakan varieti durian di Malaysia adalah berasal daripada pokok kampung yang terpilih dan dibiakkan secara vegetatif bagi mendapatkan ketulenan yang sama. Pihak Jabatan Pertanian Malaysia telah menganjurkan program Durian Kampung Premium (DKP) bagi mengenalpasti jenis-jenis durian kampung yang berpotensi untuk dikembangkan. 

Program sebegini mampu meningkatkan lagi peluang bukan sahaja kepada jualan malah ia juga membuka peluang kerjaya berkemahiran seperti pembiakan/ biakbaka tanaman dan juga jualan anak benih. Program ini mampu mengangkat komuniti setempat dan sangat berpotensi untuk dijadikan sebagai tumpuan agrotourism.

Apa Patut Kita Buat Jika Mempunyai Dusun Lama?

Pemulihan semula pokok pada tahun pertama

a. Fasa ini adalah fasa pemulihan untuk memastikan pokok pulih dan sihat supaya pokok mampu menghasilkan buah. 

b. Pembersihan kawasan perlu dijalankan bagi memudahkan operasi kerja. 

c. Pengapuran menggunakan Calcium Carbonate atau kapur cecair Nanocalcium dijalankan bagi meningkatkan pH tanah dan juga unsur Calcium serta Magnesium pada pokok. 


Kerja menabur kapur dijalankan dengan kadar 3-5kg sepokok bergantung kepada saiz pokok.

 


d. Aplikasi pembajaan kompos organik dapat merangsang pertumbuhan akar baru rentetan struktur tanah yang semakin gembur serta bernutrisi. 

e. Sumber air dan sistem pengairan diwujudkan sebagai memenuhi keperluan pokok.

f. Pembajaan menggunakan baja tumpuan vegetatif seperti NPK Hijau atau juga Sebatian Organik Vegetatif (SP1) bagi menggalakkan pertumbuhan pucuk baru dan keperluan sintesis pokok.

g. Aplikasi penyemburan serangga dan kulat perlu dijalankan bagi memastikan pokok tidak rosak agar sintesis pokok tidak terganggu.

h. Rawatan kanker (Phythopthora) perlu dijalankan bagi setiap pokok untuk mengawal atau mencegah daripada merebak. 

Fasa Pengurusan Reproduktif Pada Tahun Kedua

a. Apabila pokok telah pulih dan sihat, kaedah pembajaan boleh diubah dengan penumpuan baja untuk penghasilan bunga serta buah.

b. Aplikasi pembajaan tinggi P & K mampu merangsang bunga dan menghasilkan buah yang baru. Sinonim pembajaan yang digunakan ialah NPK Biru atau juga Sebatian Organik Tinggi P & K (SP4). 

c. Aplikasi pembajaan kompos organik dapat merangsang pertumbuhan akar baru rentetan struktur tanah yang semakin gembur serta bernutrisi.


Variasi yang lain dari lain mampu menjadi daya tarikan kepada peminat durian.

 


Pengurusan nutrisi yang betul mampu menghasilkan buah yang berkualiti premium seperti keadaan biji benih.

 


d. Aplikasi penyemburan serangga dan kulat perlu dijalankan bagi memastikan pokok tidak rosak agar sintesis pokok tidak terganggu serta kualiti buah tidak rosak. Aplikasi racun serangga dengan bahan aktif lambda chylothrin (Alanda) dan giliran racun serangga Chlorfluazuron (Aron) disyorkan bagi mengatasi masalah utama pengorek buah.

e. Aplikasi foliar seperti CBK, High K 128, Phosphorus Acid (P400) menjadi amalan dan rutin setiap bulan ketika peringkat berbunga serta berbuah.

f. Pengurusan air yang konsisten mampu memenuhi keperluan pokok agar kualiti buah yang terhasil lebih berkualiti dan kadar peratus buah yang tidak menepati kualiti premium adalah rendah. 


Ujirasa dan pengecaman durian Rare Puteri Merapoh bersama pihak Jabatan Pertanian Daerah Lipis.

 


Potensi Pokok Durian Tua

Dengan kadar umur yang tinggi dan saiz pokok yang besar, potensi kadar penghasilan buah juga tinggi. Mengikut pemerhatian setempat, pokok durian tua yang berumur melebihi 40 tahun mampu menghasilkan buah dengan kuantiti yang tinggi dengan anggaran 150-250 biji / pokok. Kedapatan akar yang banyak dan jauh, mampu memaksimakan pokok untuk mendapat nutrien dengan banyak. 

Pengurusan ladang untuk pemulihan perlu menitik beratkan pemulihan vegetatif pokok dahulu dan selepas satu tahun, tumpuan pengurusan pembajaan reproduktif disyorkan jika keadaan pokok telah pulih. Setiap variasi durian kampung mempunyai kelainan dan mempunyai citarasa sendiri mampu membuka lagi peluang untuk penggemar durian menikmatinya di dalam negara ataupun luar negara.


Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag