June 23 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Harga produk makanan telah mula meningkat kesan daripada perang Amerika-Israel dengan Iran yang baru berlangsung selama sebulan lebih. Tiada siapa tahu bila ia akan berakhir. Pakar ekonomi global meramalkan harga produk makanan akan menjadi lebih mahal selepas 3 hingga 6 bulan akan datang setelah stok makanan penimbal hasil daripada penuaian yang baik di musim lepas habis digunakan. Hasil daripada tanaman baru menggunakan input yang jauh lebih mahal. Pastinya harga jualan akan meningkat 40 hingga 60 peratus selari dengan harga minyak dan baja yang meningkat sebanyak itu.
Mungkinkah sejarah akan berulang lagi seperti di Zaman Jepun apabila nenek moyang kita terpaksa makan ubi kayu kerana tiada bekalan beras. Kalau ada pun terlalu mahal kerana nilai mata wang jatuh menjunam.
Pernah diceritakan, untuk membeli secupak beras, sebakul wang kertas menjadi tukaran. Berat beras dengan wang kertas itu hampir sama, menunjukkan betapa kecil nilai wang walaupun nilai mukanya besar.
Penduduk di zaman itu masih ada ubi kayu kerana mereka menanamnya. Mereka ada pisang, jagung dan sayur-sayuran di sekitar rumah. Sebaliknya, apa akan terjadi kepada kita jika perang betul-betul meletus dan kita terperangkap tanpa bahan makanan?
Minta dijauhkan Tuhan daripada berlakunya hal demikian di negara kita. Tetapi eloklah mulai dari sekarang kita mula menanam apa sahaja sebagai bekalan, mana tahu ia benar-benar berlaku.
Lebih baik makan apa yang ada walaupun di luar kebiasaan daripada tiada makanan langsung. Menanam sendiri bukanlah seperti membeli di pasar raya kerana ia harus melalui proses yang memakan masa. Ubi kayu mengambil masa 7 hingga 8 bulan untuk berisi dan boleh dimakan. Berternak ayam juga mengambil masa yang sama sebelum sebiji telur dapat dihasilkan.
Dalam keadaan survival, tanaman yang sesuai ditanam mestilah mempunyai karbohidrat yang tinggi sebagai sumber kalori, mudah tumbuh subur walaupun ditanam di tanah yang marginal (kurang subur), mudah dikembang biak, tidak perlu disiram berpanjangan, kurang diserang musuh dan penyakit, serta dapat disimpan lama tanpa perlu didinginkan.
5 Tanaman Survival:
1. Ubi kayu (Manihot esculenta)
Seorang sahabat pernah bergurau mengenai mudahnya menanam ubi kayu. Hanya baling keratan batangnya, pastikan tidak tersangkut di dawai pagar, hiduplah ia. Ada benarnya juga. Batang-batang yang ditinggalkan selepas dituai biasanya akan tumbuh sendiri walaupun tidak ditanam. Bila datang ke lokasi yang sama setahun kemudian, sudah berisi ia jika tidak dimakan babi hutan. Ubi kayu seperti ini dipanggil 'ubi batat'. Biasanya dicari untuk makanan ternakan atau diambil daunnya.
Menanamnya sangat mudah. Potong batang dari pokok yang baru dituai sepanjang sejengkal setengah.
Kandungan protein yang tinggi dalam daun ubi kayu sesuai untuk makanan ayam sama ada secara segar atau difermentasi.

Korek lubang dengan kedalaman sekadar cangkul. Baringkan batang tadi di dalamnya dan timbus kembali. Kurang daripada 10 hari akan bermunculan anak-anak pokok baru. Hanya dengan mendapat air hujan, ia akan tumbuh segar dan berisi 9 hingga 10 bulan kemudian.
Jenis: Biasanya jenis pelepah daun berwarna merah ditanam kerana boleh dimakan terus selepas direbus akibat kandungan arsenik yang rendah. Terdapat juga yang berisi kuning yang dipanggil Seri Pontian dengan batang yang lebih dempak dan kekuningan. Ia menghasilkan ubi yang lebih panjang dan besar serta lebih lembut jika direbus. Jangan menanam jenis yang ditanam untuk diproses menjadi sagu. Kandungan arseniknya tinggi dan perlu diproses sebelum boleh dimakan.
Bahagian yang boleh dimakan: Selain daripada ubi, pucuknya juga menjadi sebab mengapa ubi kayu sangat versatile. Pucuknya boleh dijadikan sayur. Cukup petik dan ia akan boleh diulang petik 2 minggu kemudian. Untuk penghasilan pucuk yang banyak, ia boleh dipangkas supaya bercabang banyak.
Pokok yang hendak diambil ubi jangan diambil pucuknya supaya ubi menjadi besar dan banyak. Penghasilan pucuk dari pokok yang ditanam rapat boleh dimanfaatkan sebagai pagar reban ayam. Kandungan protein yang tinggi dalam daun ubi kayu sesuai untuk makanan ayam sama ada secara segar atau difermentasi. Kambing diberi makan daun ubi kayu setelah dilayukan dahulu. Ikan di kolam juga menyukai daun ubi kayu, terutamanya jenis kap, kalui dan lampam jawa.
Perosak: Hampir tiada perosak bagi ubi kayu kecuali ia digemari oleh babi hutan dan ternakan seperti kambing.
Kelebihan Ubi Kayu sebagai Tanaman Survival: Ubi kayu sangat tahan lasak, tahan terhadap penyakit dan perosak. Ia tidak perlu disiram, hanya cukup dengan air hujan. Benih mudah diperoleh dan percuma. Ubi kayu mempunyai kalori tinggi sebagai makanan ruji secara sendirian, dimakan dengan lauk atau kelapa parut. Ia boleh ditukar menjadi jajan seperti kerepek dan kuih yang lazat. Hasil sepokok tinggi hingga boleh bertahan untuk 2 hingga 3 hari. Ia boleh dibiarkan dalam tanah hingga 2 tahun. Ubi yang telah dituai juga boleh bertahan di luar peti sejuk hingga seminggu tanpa menjejaskan kualiti.
Keledek tidak memerlukan penjagaan rapi, hanya perlu tanah yang gembur dengan kandungan kompos yang tinggi.
2. Keledek (Ipomoea batatas)
Ubi keledek sangat produktif. Sesetengah varieti boleh dituai dalam tempoh 100 hari. Ia menyukai panas terik untuk menghasilkan ubi yang banyak dengan sedikit air. Pada bulan-bulan berhujan, memadai dengan air hujan sahaja. Selain ubi, daunnya juga boleh dibuat sayur atau dicelur sebagai ulam cicah.
Ubi keledek lebih versatile daripada yang lain dari sudut ia mampu ditanam di dalam pasu. Oleh itu, ia masih boleh ditanam di kawasan bandar yang banyak permukaan tanah disimen dan ditar, malah di koridor flat PPR bertingkat belasan. Jika digantung dan dibiarkan berjuntai, ia hemat ruang. Keledek tidak memerlukan penjagaan rapi, hanya perlu tanah yang gembur dengan kandungan kompos yang tinggi. Tambahkan sedikit baja bakar, ia akan tumbuh menggila dan memberi ubi yang besar-besar.
Keledek boleh disimpan sangat lama hingga ke musim seterusnya apabila ia mula bertunas.
Benih Mudah & Percuma
Jenis: Benih diambil dari petani yang baru habis menuai secara percuma. Jika sukar diperoleh, ubi dari pasar boleh dipotong dan disemai dalam pasir. Anak tunas akan tumbuh dari titik-titik tertentu dan boleh dipotong bila mencapai 10 hingga 12 cm. Pucuk ini dikembang untuk tanaman yang lebih luas.
Sekarang ini terdapat sangat banyak varieti keledek daripada jenis tradisional yang agak lambat matang hingga ke varieti moden yang boleh dituai kurang daripada 100 hari. Antara yang terkenal adalah Big White yang banyak ditanam sekitar tahun 70-an dalam kawasan tanaman semula getah. Daunnya lebat dan menjalar dalam kawasan yang luas. Ia menghasilkan ubi yang sangat besar, berat dan banyak tetapi lambat untuk dituai, sekitar 4 hingga 5 bulan. Jenis ini sesuai sebagai makanan ruji.
Varieti Moden: Cepat dan Produktif
Terdapat varieti moden seperti Gendut yang lebih cepat matang, sekitar 2 bulan setengah. Ia boleh ditanam di dalam guni terpakai menggunakan cocopeat polibeg fertigasi yang tamat tempoh guna. Dengan campuran tanah topsoil dan pasir, ia boleh ditanam dengan keledek. Keratan benih dicucuk dari beberapa sudut guni, menggunakan setiap ruang yang ada. Lebih menjimatkan ruang jika ia digantung supaya dapat tumbuh secara vertikal dan menggunakan cahaya matahari dengan berkesan.
Bahagian yang boleh dimakan: Untuk mendapatkan bekalan karbohidrat, ubi adalah matlamat utama menanam keledek. Ia boleh direbus, dibakar atau dicampur dalam sayur atau kari. Namun daunnya juga merupakan hasil utama kerana boleh dibuat sayur sama ada ditumis atau sayur berkuah. Rasanya seperti kangkung, malah lebih manis dan lemak.
Ancaman perosak: Kebanyakan perosak kurang memberi kesan serius seperti serangga pemakan daun jika menyerang pada awal pertumbuhan. Ia boleh dikawal dengan koktel dapur menggunakan bawang putih dan sabun pencuci pinggan. Serangan penyakit karah ubi boleh menyebabkan bahagian yang diserang menjadi pahit. Ia tidak memberi kesan ekonomi jika ditanam pada skala kecil.
Kelebihan ubi keledek: Keledek boleh disimpan sangat lama hingga ke musim seterusnya apabila ia mula bertunas. Dalam masakan, ia boleh direbus atau dibakar, dicampur dengan beras dan ditanak atau dibuat penganan dan makanan ringan seperti kerepek. Daunnya selepas dituai ubi boleh difermentasi dan disimpan lama sebagai makanan ternakan, terutamanya ayam.
Ubi keladi boleh menggantikan nasi. Ia ideal kerana mudah dijaga, cepat membesar, dan sesuai ditanam di kawasan rumah.

3. Keladi (Colocasia esculenta)
Keladi agak unik sebagai tanaman survival kerana boleh ditanam di tanah basah dan gambut yang tidak boleh ditanam dengan tanaman lain. Ubi keladi boleh menggantikan nasi. Ia ideal kerana mudah dijaga, cepat membesar, dan sesuai ditanam di kawasan rumah. Ia tahan lasak, boleh ditanam dalam polibeg dan boleh menghasilkan umbi yang besar serta mampu bertahan lama tanpa penyejukan.
Kelebihan Ubi Keladi sebagai Tanaman Survival: Keladi ditanam menggunakan anak sulur yang keluar dari tumbuhan induk yang matang. Biasanya petani boleh membekalkannya secara percuma kerana sulur akan dibuang bagi menjaga kesuburan pokok induk. Menanamnya hanya dengan melubang menggunakan kayu tugal pada kawasan yang dibersihkan dan anak sulur dimasukkan ke dalam lubang dan dipadatkan di pangkalnya.

Kerja penyelenggaraan hanyalah dengan membuang rumpai dan meninggikan tanah di sekitar perdu bersama sedikit baja haiwan. Ia boleh juga ditanam dalam polibeg bagi tanaman sekitar rumah. Beberapa jenis keladi boleh diambil batangnya untuk dijadikan sayur.
4. Pisang (Musa spp.)
Pisang menjadi tanaman survival kerana boleh membekalkan kalori yang tinggi sama ada dimakan segar atau digoreng, direbus atau dibakar bagi pisang varieti yang tinggi karbohidratnya. Ia tumbuh dengan pesat sepanjang tahun. Hanya dengan menanam sulur pertama, tanaman berikutnya tumbuh secara automatik selepas induknya menghasilkan buah. Sesetengah varieti seperti pisang awak akan membentuk kelompok yang besar tanpa dijaga dengan rapi dan menghasilkan beberapa tandan buah serentak. Tiap tandan boleh dimakan sehingga beberapa hari.
Pisang tumbuh dengan pesat sepanjang tahun.
Seluruh bahagian pokok pisang dari buah, jantung, batang dan daun boleh dimakan atau digunakan dengan pelbagai cara. Jantung pisang menjadi sayur yang lazat dari kerabu hingga ke kari. Umbut pisang sering digulai bersama daging. Batang pisang yang ditebang untuk menuai buahnya boleh diracik halus dan difermentasi dengan dedak jagung sebagai makanan ayam dan itik.
Untuk survival, pisang yang tinggi karbohidrat sepatutnya ditanam seperti pisang Awak, Nangka, Abu Batu dan Toman. Untuk dimakan segar, pisang emas boleh ditanam kerana cepat berbuah dan kurang terkena penyakit.
5. Labu (Cucumis sp.)
Labu ialah tanaman survival yang ideal kerana ia mudah ditanam, tahan lasak, dan menghasilkan hasil yang tinggi. Ia mengeluarkan hasil dalam masa 70 hingga 120 hari sahaja mengikut varieti. Ia boleh dimakan dengan pelbagai teknik dan boleh menjadi bahan asas beberapa kuih, penganan dan kerepek. Buahnya jika dipetik selepas pokoknya kering boleh disimpan lama sehingga 3 bulan sekiranya kulit kering dan tidak terluka. Bijinya boleh menjadi sumber vitamin kerana kandungan zink yang tinggi, selain pucuknya boleh dibuat sayur.
Labu ialah tanaman survival yang ideal kerana ia mudah ditanam, tahan lasak, dan menghasilkan hasil yang tinggi.
Kelebihan Labu sebagai Tanaman Survival: Labu tahan cuaca panas dengan sedikit hujan. Jenis yang lain pula mampu bertahan dalam cuaca hujan tanpa reput. Ia mudah dijaga dan tidak memerlukan penjagaan yang intensif seperti saudaranya, tembikai. Malah tapak tembikai yang baru dituai boleh dimasukkan benih labu dan kadang-kadang memberi keuntungan setanding tembikai. Hasil labu sangat tinggi dan tidak memerlukan pendebungaan berbantu kerana didebungakan oleh lebah dan kelulut.
Penutup
Bagi menghadapi zaman gawat, tindakan proaktif perlulah diambil dari sekarang bagi mengurangkan masalah yang bakal terjadi daripada krisis tenaga global. Kenaikan harga barang makanan akan mengecilkan daya beli daripada pendapatan yang diperoleh sekarang. Dengan bercucuk tanam dan beternak di sekitar rumah, sedikit sebanyak masalah yang bakal tiba boleh diserap dengan menggunakan hasil daripada usaha sendiri.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.