June 20 2025

Simbiosis Komuniti Pesisir dan Hutan Paya Laut

Simbiosis Komuniti Pesisir dan Hutan Paya Laut - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Tragedi Tsunami Lautan India yang melanda negeri-negeri di utara Semenanjung pada tahun 2004 membuktikan betapa pentingnya tumbuhan semula jadi seperti bakau dan nipah dalam menyerap ombak besar di pesisir pantai. 

Fenomena alam yang meragut hampir   330 ribu nyawa ini berpunca daripada gempa   bumi bermagnitud 9.2 di pantai Sumatra, menjadikannya bencana alam paling dahsyat dalam sejarah. 

Beberapa kawasan di Kuala Muda dan Langkawi, Kedah, yang menghadap laut lepas dilanda ombak setinggi 2–3 meter dengan run-up tertinggi mencecah 6–8 meter, menyebabkan kemusnahan teruk. Sebaliknya, kawasan berhampiran yang mempunyai   halangan pokok bakau dan nipah yang tebal antara laut dan daratan mengalami impak yang sangat minima. 

Kajian oleh FRIM (Forest Research Institute of Malaysia) membuktikan bahawa akar jangkang pokok bakau selebar 200 meter antara laut dan daratan mampu menghapuskan sepenuhnya halaju ombak (0 meter/saat). Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan hakisan pantai tetapi juga mencegah kerugian puluhan juta ringgit akibat kehilangan harta benda ke laut. 

Kesedaran Global tentang Kepentingan Hutan Paya Laut

Peristiwa ombak besar setinggi 6–8 meter yang melanda pada Boxing Day 2004 membuka mata dunia tentang kepentingan melestarikan hutan paya laut. Negara-negara yang terjejas teruk seperti Indonesia (Aceh), Thailand (Pulau Phuket), Sri Lanka, dan India menyedari bahawa hutan paya laut bukan sekadar sumber ekonomi, tetapi juga pelindung nyawa ketika bencana. 

Masyarakat mula memahami bahawa kerakusan mengeksploitasi hutan bakau dan nipah —contohnya, untuk pembinaan kolam udang— boleh mengundang bencana besar. Kawasan zon 0–5 meter dari paras laut, yang sering dianggap sebagai "tanah bermasalah" penuh nyamuk dan binatang berbisa, sebenarnya memainkan peranan kritikal dalam ekosistem pesisir. 



Akar jangkang spesies bakau mampu perlahankan tekanan ombak.

 



Fungsi Ekologi dan Ekonomi Hutan Paya Laut

Hutan Paya Laut (HPL) atau wetland di muara   sungai yang berlumpur dan mengalami pasang surut air perlu dipelihara. Kawasan ini ditumbuhi flora tahan air masin seperti pokok nipah, nibung, bakau kurap, bakau minyak, api-api, serta tumbuhan renek seperti bebaru dan rhu. Kewujudannya   bukan sahaja mencegah hakisan pantai tetapi juga menyumbang kepada: 

•    Ekonomi tempatan: Hasil kayu, nurseri hidupan laut, sumber makanan (ikan, siput, ketam). 

•    Kawalan hidrologi: Menstabilkan ekosistem dan tadahan air. 

•    Pelancongan: Menarik pelancong untuk   aktiviti seperti memerhati burung hijrah. 

Di Malaysia, terdapat kira-kira 622 ribu hektar (ha) HPL, dengan 60% di Sabah, 22% di Sarawak, dan   18% di Semenanjung. Daripada jumlah ini, 54% (334,000 ha) telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal di bawah Akta Perhutanan Negara 1984. 

Pemuliharaan Hutan Simpan Kekal untuk Kelestarian Ekosistem

Mewartakan kawasan hutan simpan kekal bertujuan untuk mengelakkannya ditukar kepada guna tanah lain yang boleh memusnahkan kepelbagaian flora dan fauna bernilai tinggi. Kawasan ini menyimpan khazanah alam yang belum diterokai sepenuhnya oleh sains, terutamanya dalam bidang perubatan. Selain itu, hutan simpan kekal berfungsi sebagai   kawasan tadahan air, penstabil oksigen, penyeimbang ekosistem, dan penampan hakisan. 

Hutan Paya Laut (HPL) mampu melindungi pesisir pantai daripada ancaman hakisan ombak. Ia berperanan sebagai benteng semula jadi yang memecah angin ribut dan arus ombak kuat.   Gabungan spesies unik berdaun halus dan berakar jangkang membentuk HPL yang padat,   memberikan halangan optimum dengan menyerap tenaga ombak sebelum sampai ke pantai. Bagi kawasan penanaman padi di dataran tepi laut, pokok-pokok ini penting untuk mencegah rebahan tanaman dan memudahkan operasi menuai. 

Sumbangan Ekonomi Hutan Paya Laut kepada Komuniti 

Ramai penduduk pesisir pantai di Malaysia bergantung secara langsung kepada ekosistem HPL untuk kehidupan. Aktiviti ekonomi utama termasuk: 

•    Hasil hutan: Memungut ketam nipah, siput belitong, lokan, dan umpun-umpun (umpan memancing). 

•    Produk nipah: Nira, cuka, isi buah, dan daun nipah untuk atap pondok atau   bangsal cendawan. 

•    Akuakultur: Kolam cetek dalam hutan bakau untuk menternak ketam nipah. Anak ketam yang terlalu kecil dijual sebagai benih, sementara ketam dewasa digemukkan dengan ikan baja sebelum dipasarkan. Teknik terkini seperti Sistem RAS (Recirculating Aquaculture System) digunakan untuk menghasilkan ketam berkulit lembut yang dapat permintaan tinggi di restoran makanan laut. 

Kajian Kes: Delta Kelantan dan Sungai Haji Dorani

 Tinjauan di HPL Delta Kelantan mendapati 32.5% komuniti terlibat langsung dalam aktiviti seperti menangkap dan menternak ikan, udang, serta ketam, selain turut memacu perkembangan pelancongan. Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam menjadi tumpuan pemerhati burung antarabangsa dengan kehadiran 61 spesies burung hijrah, termasuk dari Siberia. Komuniti tempatan mendapat manfaat melalui perkhidmatan pelancongan, pengangkutan, makanan laut, dan penginapan. 

Kejayaan Usahawan Tempatan dalam Pemuliharaan HPL

Paksu Redzuan: Ternakan Tiram dan Pendidikan Ekosistem (Sungai Merbok, Kedah) 

Paksu Redzuan, seorang pengusaha tiram (Crassostrea sp.), memanfaatkan ekosistem Hutan Simpan Bakau Sungai Merbok yang terpelihara   untuk menternak tiga spesies tiram: 

1. Crassostrea (Magallana) Saidii (spesies baru dari Sungai Muar). 

2. C. belcheri dan C. iredalei. 

Dengan bimbingan Prof. Aileen Tan Shau Hwai (USM) selama 13 tahun, Paksu berjaya hasilkan tiram berkualiti tinggi yang dijual pada harga   RM6–RM12 sebiji di restoran terapungnya.   Isterinya, Maksu, mencipta hidangan istimewa   seperti tiram segar dengan sos khas dan hirisan lemon. 

Hutan Paya Laut berfungsi sebagai nurseri kepada pelbagai hidupan laut.

 

Paksu juga menguruskan hub pendidikan dan galeri pameran kerjasama NGO dan Jabatan Hutan Kedah untuk meningkatkan kesedaran tentang   kepentingan bakau. Beliau membangunkan tapak semaian tumbuhan paya laut yang hampir pupus, seperti: 

1. Berus Mata Buaya (Bruguiera hainesii). 

2. Teruntum Merah (Lumnitzera littorea) dan Teruntum Putih (L. racemosa). 

Bagi Paksu, memelihara hutan bakau sama   pentingnya dengan menjaga sawah padi atau   dusun buah-buahan kerana ia menjamin sumber makanan untuk generasi akan datang. 

Lan Bolly: Ternakan Ketam Nipah Berkelanjutan (Langkawi) 

Lan Bolly dari Kampung Kelubi, Langkawi, beralih dari penangkap ketam liar kepada penternak ketam nipah dalam kolam buatan selepas 20 tahun   bergelumang dengan aktiviti tradisional.   Restorannya The Crab Farm (ditubuhkan 2019), terletak berhampiran Hutan Simpan Bakau Sungai Badak. 

Dengan pengalaman mendalam tentang ekologi ketam nipah, Lan Bolly menggunakan Sistem RAS untuk menghasilkan ketam berkulit lembut dan memberi makan ikan baja (bukan dedak) bagi mengekalkan rasa semula jadi. Usahanya menjamin bekalan berterusan serta kualiti premium untuk pasaran tempatan dan pelancong. 

Kesimpulan: Masa Depan Hutan Paya Laut

Simbiosis antara komuniti pesisir dan HPL memberikan impak positif dari segi: 

•    Perlindungan alam: Benteng semula jadi terhadap hakisan dan bencana. 

•    Ekonomi: Sumber pendapatan melalui   perikanan, pelancongan, dan hasil hutan. 

•    Pendidikan: Kesedaran tentang pemuliharaan biodiversiti.

Diharapkan usaha pemuliharaan ini dapat   diteruskan agar HPL kekal terpelihara untuk   generasi akan datang.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag