November 01 2024

Fenomena Loma Mudik Bertelur Bakal Jadi Tarikan Grik

Fenomena Loma Mudik Bertelur Bakal Jadi Tarikan Grik - Agrimag

Kongsi ini

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Jamaludin Mat Rashid

Kampung Sungai Rui di Grik yang   menjadi gerbang masuk ke Lebuhraya Timur-Barat melintasi Tasik Banding yang indah itu mungkin kelihatan tenang sahaja pada hari-hari biasa tetapi akan sibuk   menerima pengunjung menjelang bulan September/Oktober tiap tahun. 

Pemburu ikan air tawar sejauh Perlis atau Ipoh berbondong-bondong dengan anak- isteri ke sini hanya untuk ‘menyauk’ sejenis ikan air tawar di Sungai Rui yang dipanggil ikan Loma. Ikan sebesar 3 jari dengan panjang lebih sejengkal ini tidak seenak mana jika digoreng biasa, dengan tulang yang banyak seperti ikan selangat tetapi menjadi emas apabila dibuat pekasam. 

Hasil fermentasi dalam proses menjadikannya pekasam, segala tulang kasar dan halus menjadi lembut hingga tidak lagi terasa kehadirannya apabila digoreng. Apa lagi jika   dinikmati bersama pulut, mahu tambah berkali-kali.

Seringkali kita menonton siri National Geographic di televisyen mengenai ikan salmon di luar   negara yang mudik ke hulu untuk bertelur. Di Sungai Rui, fenomena yang sama berlaku. Ikan loma   dengan jumlah beribu-ribu ekor akan mudik menongkah arus untuk bertelur di hulu sungai   apabila paras air naik serta menjadi keruh akibat dari hujan lebat. Banyaknya ikan yang mudik hingga mengeluarkan bunyi yang hanya boleh dicam oleh pemburunya. Berduyun-duyun warga Grik dan   sekitarnya keluar memburu ikan loma dengan   tangguk atau penyauk dari tebing sungai.

30 kg Ikan Loma Sehari

Penyauk yang dibuat daripada jaring saiz 1 inci   berbentuk kon sepanjang 3-5 kaki dipasang pada bingkai besi berbentuk bulat dengan garis pusat 2-3 kaki. Penyauk ini diikat pada sebatang buluh galah sehingga 25 kaki panjang sebagai pemegang. Untuk menangkap loma hanya turunkan penyauk   mengarah ke hilir dan gerakan penyauk mengikut arus deras yang menghanyutkan jaring. 

Ikan loma yang berenang menongkah arus akan masuk ke dalam sauk tanpa disedarinya. Apabila terasa ada getaran menandakan ada ikan yang terperangkap dalam jaring, hanya angkat muka jaring ke atas. Akan ada beberapa ekor loma di dalamnya. 


Peserta bersedia dengan peralatan untuk menyauk ikan loma.

 


Pada waktu jujuh mungkin sehingga 10 ekor loma akan terperangkap tiap kali penyauk diturunkan dalam tempoh 2 - 3 minit. Bukan sahaja orang   lelaki boleh menangkapnya malah remaja dan   wanita juga mampu menangkap ikan loma   menggunakan teknk ini. Ada yang mampu   menaikkan sehingga 30 kilogram ikan loma sehari pada hari yang baik. Kebanyakan dibawa balik untuk makanan keluarga, selebihnya disiang dan   direndam dalam larutan garam untuk dibuat   pekasam. 

Ikan loma (Thynnichthys thynnoides) daripada   famili Cyprinidae merupakan ikan endemik   kepada tributari Sungai Perak. Walaupun dilaporkan dijumpai di Sungai Pahang tetapi tidak terdapat di sungai-sungai besar yang lain seperti Sungai Muda di Kedah. Ikan loma mempunyai sisik yang halus seperti ikan Tongsan Sisik Halus dan mempunyai   tabiat pemakanan yang sama dengan memakan alga dan hidupan seni dalam air. Ia juga dikenali   sebagai Tongsan Loma atau Lomah. 

Kadangkala ikan loma boleh ditemui dalam   lombong tinggal yang bersambungan dengan sungai besar. Ia akan timbul di permukaan air seakan-akan rintik hujan yang turun dalam kawasan yang luas dan turun semula apabila terkejut. Ikan loma   mendiami pertengahan air hingga ke permukaan. Selain disauk menggunakan penyauk ketika ikan loma mudik, ia boleh juga ditangkap menggunakan jala dan pukat. 


Peserta pertandingan rakit bersiap sedia di garis permulaan.

 


Satu jenis perangkap ikan yang   dinamakan lei oleh penduduk tempatan mampu menangkap loma sehingga ratusan kilogram   sehari pada musimnya. Namun kerajaan telah mengharamkan penangkapan menggunakan teknik lei bagi melindungi populasi ikan loma di Sungai   Perak. Pada tahun 2022 penangkapan ikan loma   ditutup sepenuhnya kerana populasi ikan loma   dikesan turun pada paras yang sangat rendah. 

Unik kepada Lembangan Sungai Rui

Mengikut kajian penyelidik dari Universiti Putra   Malaysia (UPM), fenomena ikan loma mudik dan bertelur di sini adalah unik kepada Lembangan   Sungai Rui yang menjadi salah-satu dari hulu   Sungai Perak. Ikan loma mencari makan,   membesar dan berlindung di kawasan sungai   sekitar Bersia hingga Kenering. Hujan yang turun dengan lebat dan keruh menjelang bulan Ogos hingga Oktober memicu ikan loma untuk naik dan singgah di Kuala Rui bagi menunggu telur cukup matang dan keadaan air yang sesuai untuk naik dan mengempas telur (spawning) di Kampung Alai.

Hasil seharian menyauk loma untuk dibuat pekasam.

 

Tangkap ikan loma dengan tangguk sahaja boleh dapat 2 - 3 kilogram.

 

Kebanyakan ikan loma yang ditangkap di sini   membawa telur yang matang dan sepatutnya dikawal bagi survival ikan loma di masa akan datang. Walaupun ikan loma dikategorikan sebagai spesis yang paling tidak terancam di bawah Status Senarai Merah (IUCN) pada masa ini, penangkapan yang   tidak terkawal terutama pada musim pembiakan dan lokasi bertelur mungkin akan menurunkan   populasi dengan drastik. 

Ditambah dengan alat   penangkapan yang memusnahkan seperti   perangkap lei dan pencemaran air dari aktiviti   perlombongan di hulu Sungai Rui, ikan loma tetap diambang kepupusan. Sistem kawalan dari   penangkapan berlebihan seperti sistem tagal ke atas ikan kelah perlu diamalkan. Keseimbangan antara pemuliharaan dengan kepentingan ekonomi penduduk perlu dipertimbangkan dengan segera supaya ikan loma tetap mudik untuk bertelur saban tahun. 


Wanita-wanita menyiang ikan loma untuk dibuat pekasam.

 


Setiap tahun Majlis Daerah Grik akan mengadakan Pesta Loma di Dataran Loma Kampung Sungai Rui. Dataran ini sangat unik kerana berada di tepi jalan besar dan rapat ke sungai. Orang ramai boleh menangkap loma terus dari sini dengan   kemudahan tangga hingga ke pinggir sungai dan dataran yang diturap. Ramai pengunjung dari luar daerah memasang khemah dan bermalam di sini. Selain menangkap ikan loma, orang ramai berkelah di sini beramai-ramai. 

Untuk tahun 2024, Pesta Loma Grik telah   diadakan pada 4-6 Oktober. Antara yang menarik ialah pertandingan rakit buluh antara 70 kampung dalam daerah Grik. Pertandingan ini sangat unik   kerana berlumba di bahagian hulu sungai yang   deras dan memerlukan kemahiran untuk   mengemudikannya. 


Peserta bertiga dalam satu rakit mengayuh ke garisan penamat.

 


Membina rakit buluh itu sendiri memerlukan kemahiran yang sangat tinggi. Tanpa ikatan yang betul dan bilangan buluh yang sesuai rakit bakal terburai dalam perjalanan atau terbalik akibat dari tiada imbangan. Acara utama ialah menyauk ikan loma terbanyak dan ikan loma   terbesar dipertandingkan pada tiap kali Pesta Loma dianjurkan. Penduduk kampung turut mengambil kesempatan memasarkan hasil keluaran kampung masing-masing termasuklah pekasam loma Grik yang terkenal itu. 

Kehadiran ikan loma dengan banyak di Kuala Rui adalah suatu rahmat kepada penduduk daerah Grik. Selain berpotensi menjadi tarikan pelancong, ikan loma di sini telah dibuat pekasam dan   dipasarkan hampir ke seluruh Semenanjung   Malaysia dengan harga sekitar RM5 - 7 sepeket bagi   pek seberat 350 gram dengan 3 -4 ekor ikan loma sepeket mengikut saiz. 

Oleh kerana pekasam   mempunyai hayat panjang iaitu 3 - 9 bulan, kehadiran ikan loma setahun sekali tidak   menimbulkan masalah malah memberi ruang yang cukup untuk pengusaha mematangkan proses   fermentasi bagi mendapat kualiti pekasam   terbaik. Penduduk tempatan juga menangkap loma dan membuat pekasam bagi kegunaan sendiri. Ini menjamin bekalan protein percuma bagi rakyat   terutama ketika musim hujan apabila ramai   golongan berpendapatan rendah tidak boleh menoreh getah.

Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.

Belum melanggan majalah kami?
Kini anda boleh melanggan majalah kami secara langsung

Shortcut - Agrimag