July 30 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Permintaan tinggi terhadap ikan dari sumber semula jadi memberi tekanan kepada populasi ikan laut mahupun dari tasik dan sungai. Teknologi menjejak ikan secara saintifik dan peralatan menangkap ikan yang berkesan lebih memburukan keadaan. Keperluan mengeluarkan ikan baik di laut mahupun di darat dengan kaedah penternakan yang cekap mestilah dicari dan dipraktikkan untuk sumber protein murah dalam jangka masa panjang.
Selain spesis ikan laut yang diternak dalam sangkar terapung, pengeluaran ikan air tawar lebih ringkas dan tidak memerlukan modal asas yang tinggi. Antara spesis yang tidak memerlukan penjagaan intensif dan kualiti air yang baik ialah ikan keli, haruan, sepat siam, tilapia dan puyu.
Ikan Puyu (Anabas testudineus) dari keluarga Anabantidae juga dikenali sebagai ikan Betok, Ikan Karuk, Puyu Baruh, Puyu Mandul, Climbing Pech, Climbing Anabas dan Koy (Thai). Ikan puyu adalah endemik di Malaysia dengan sisik yang keras berwarna hijau zaitun dan rupa bentuk yang kebal seakan kereta perisai yang lincah dalam air dan mampu meneroka daratan bagi mencari lopak air baru atau turun ke sungai kerana lari dari sawah yang hampir kering.
Kepalanya mempunyai penutup insang yang besar berduri dan boleh terbuka sebagai kaki untuk memanjat. Karakter berpindah ini dimanfaat oleh pemburu ikan darat/ikan sawah dengan menggunakan 2 jenis perangkap ringkas yang dipanggil pelompat dan tuar bagi memerangkap sang puyu.
Ikan puyu menghuni sawah padi, paya, parit tali air dan rawa. Kemampuannya sebagai air breather membuatnya mampu menghuni takungan air yang tergenang lama dengan kandungan oksigen yang sangat rendah. Ia akan naik ke permukaan untuk menyedut udara dan turun ke dasar dengan cepat. Berlainan dengan keluarga sepat yang naik ke permukaan lama untuk menyedut udara dan akan turun ke dasar apabila ada gangguan. Sifat ini memberi petunjuk kepada pemburu ikan air tawar spesis apa yang ada di dalam kolam.
Terdapat 2 Jenis Di Malaysia
Terdapat 2 jenis ikan puyu di Malaysia. Majoritinya ialah Puyu Padang/Puyu Baruh yang sering dijumpai di sawah dengan tubuh yang panjang dengan saiz tidak melebihi 3 jari dewasa. Satu lagi ialah Puyu Mandul yang menghuni di kawasan paya berhampiran kawasan pantai laut. Puyu Mandul dikatakan lebih besar, sekitar 6 ekor/kilogram dengan tubuh yang dempak hampir menyamai Puyu Hibrid Thai.
Penulis difahamkan oleh seorang veteran pemburu ikan darat/ikan sawah, Puyu Mandul boleh ditemui di kawasan Sungai Pial, Tanjung Dawai, Kedah. Ini maklumat yang belum disahkan tetapi boleh menjadi satu topik kajian yang menarik bagi menentukan sama ada Puyu Mandul adalah satu spesis lain dari Puyu Sawah atau ia ditemui lebih besar kerana faktor makanan atau pengaruh persekitaran yang subur.
Hasil Kolam Tanah Lebih Lumayan
Sejak 5 tahun kebelakangan wujud pula trend untuk menternak ikan puyu hibrid yang dibawa masuk dari Thailand. Sama ada sebagai F1 yang terus diternak atau F1 yang dijadikan induk untuk menghasilkan anak F2 di sini. Sifatnya yang tahan lasak, tidak memilih makanan, tidak memerlukan kipas pengudaraan (aerator) dan tahan kepada persekitaran yang ekstrem membuatkan puyu dapat diternak dalam kolam tanah, kolam konkrit, kolam kanvas dan politank mengikut kesediaan penternak. Kolam kanvas dengan rangka dari kayu hutan/buluh atau papan pallet terbuang didapati sangat ekonomik tetapi kolam tanah yang mempunyai air keluar dan masuk didapati memberi hasil yang lumayan kerana ikan cepat membesar, kurang kematian dalam tempoh 2 minggu selepas anak ikan dimasukkan dan rasa ikan yang manis seperti ditangkap di sawah.
Strain puyu hibrid yang popular setakad ini adalah dari Chumphon, sebuah daerah pertanian yang subur di kawasan Segenting Kra. Ia terletak kirakira 520 kilometer di utara Bukit Kayu Hitam, hampir separuh perjalanan untuk sampai ke Kota Metropolitan Bangkok. Puyu strain ini dilaporkan boleh ditangkap dalam tempoh 3-6 bulan untuk mencapai saiz hidangan dengan purata 4 - 6 ekor sekilo bergantung kepada sumber air bersih dan kualiti makanan yang diberikan. Biasanya diberi makan pelet berasaskan soya dan ikan baja (fish meal). Jikalau dibiarkan terus berada di kolam selama 2 bulan lagi, ikan puyu hibrid boleh mencapai berat antara 350g hingga 450g seekor. Ikan segardapat dijual pada harga RM20 per kg atau setelah dibuat pekasam dengan harga RM50/kg.
Usahawan Muda Perintis Membekal Benih Puyu Hibrid
Media melaporkan seorang usahawan muda graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Encik Mohammad Izzat, 33 tahun menjadi perintis dalam membekal benih puyu hibrid. Beliau merupakan pengasas MAMS Agrotech yang bertapak di Kota Bharu, Kelantan. Syarikatnya telah dilantik oleh pembiak ikan di Chumphon sebagai wakil jualan mereka bagi Malaysia.
MAMS Agrotech boleh membekal 30k hingga 50k anak puyu monosex seminggu dengan harga RM0.30/ekor siap hantar ke lokasi penternak berdekatan atau kiriman dengan bas ekspres baik yang jauh. Anak ikan bersaiz 1.2 hingga 1.5 inci.
Beliau membina 10 kolam kanvas untuk menyimpan stok benih ikan dalam transit sebelum dijual kepada pembeli. Sebagai jaminan, Encik Izzat sanggup mengganti ikan yang mati sebaik sahaja dibekalkan atau tidak dapat membesar dengan sepatutnya berpunca dari benih ikan. Beliau juga menjamin anak-anak puyu hibrid yang dibekalkan adalah dikeluarkan secara saintifik bagi mendapat ikan monosex betina. Ikan betina boleh mencapai berat maksimum dan lebih bulat berbanding puyu jantan.
Selain puyu, MAMS juga membekal benih ikan ketutu, sepat siam dan belut. Beliau juga ada mengeluarkan produk pekasam ikan bagi membantu penternak memasarkan ikan keluaran mereka dan sedang berusaha untuk mengeluarkan pelet ikan supaya dapat dijual kepada penternak dengan lebih murah berbanding produk komersial sedia ada.
Kerajaan negeri diseru untuk mengikut jejak kerajaan negeri Kelantan yang membantu usahawan muda untuk menternak ikan puyu hibrid skala kecil dalam kolam kanvas bagi membantu negara mencapai keterjaminan makanan.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.