September 26 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Negeri Kedah makmur dengan buahbuahan tahun ini kerana ianya sangat menjadi terutamanya durian. Pelbagai varieti yang dahulunya agak sukar kelihatan banyak dijual di gerai sementara di pinggir jalan. Daerah Padang Terap, Sik dan Baling mendapat rahmat paling melimpah.
Banyak klon baru seperti Musang King, Duri Hitam ditawarkan untuk dijual dengan harga mampu milik bersama-sama klon lama seperti D2, D24, Tekka/Musang Queen, Chanee, Monthong malah klon yang rare seperti Beserah (D145). Peminat-peminat durian menyerbu dusun-dusun yang menawarkan khidmat timbang dan makan di pokok seperti Gurun Durian Orchard.
Penulis sempat berkunjung ke salah satu dusun yang menjadi tumpuan peminat durian terkini iaitu Casuarina Durian Orchard di Kampung Cemara, Sik, Kedah. Dusun yang terletak 3 kilometer dari Pekan Jeniang atau 40 kilometer (17 kilometer menggunakan lebuhraya PLUS) dari Bandar Sungai Petani ini terkenal dengan durian klon Tekka atau Musang Queen selain Durian Kampung Premium yang sentiasa berjatuhan semasa kemuncak gugur.
Peminat tegar durian sejauh Perlis dan Pulau Pinang sanggup tiba seawal 7 pagi untuk mendapatkan Tekka premium yang baru gugur atau dipungut sendiri di bawah pokok. Suatu pengalaman yang sukar ditemui memungut durian, membersihkannya menggunakan berus khas dan menikmati kelazatannya di dusun bersama kopi panas sebagai makan pagi.
Pelawat-pelawat Berkhemah di Bawah Pokok
Menurut pengusahanya Mohd Naqiuddin Saiful, 28 tahun, usaha ini terjadi dengan sendirinya kira-kira 3 tahun lalu apabila rakan-rakan datang menikmati durian di bawah pokok. Sebahagiannya berkongsi pengalaman dalam media sosial.
Gambar-gambar durian Tekka yang menggoda menjadi viral dan pengunjung tiba berpusu-pusu sehingga terpaksa mendirikan khemah ala kenduri. Sebahagian terpaksa berkunjung ke dusun-dusun lain yang berdekatan yang menawarkan durian kampung segar. Pada tahun ini buah agak menjadi, lebih ramai pengunjung dapat dilayan.
Sebuah chalet di dalam dusun terpaksa tidak disewa bagi membolehkan pengunjung menggunakan tandas dan menggunakan porch sebagai surau lelaki dan ruang tamu sebagai ruang solat wanita. Itu pun masih ramai yang membentangkan tikar di bawah pokok untuk berkelah dan ada yang membuka khemah bagi menunggu buah dari pohon favourite yang dirasai di musim lalu gugur.
Mohd Naqiuddin terpaksa membahagi-bahagikan buah yang gugur mengikut klon dan rasa supaya semua pengunjung dapat menikmati pengalaman merasa pelbagai jenis durian.
Ingin Membina Bangunan Terbuka
Bagi memberi khidmat yang lebih baik, Mohd Saiful Abu Hassan, 60 tahun, bapa kepada Mohd Naqiuddin bercadang menggantikan khemah ala kenduri yang telah digunakan selama 3 musim dengan bangunan terbuka yang lebih selesa dengan kemudahan tandas dan surau yang lengkap.
Beliau juga bercadang membangunkan anak air yang melintasi dusun dengan siri kolam yang melimpah bagi menyejukan persekitaran dusun dan untuk kanak-kanak bermain air. Landskap juga akan dinaik taraf dengan bunga-bungaan supaya lebih menarik untuk pengunjung bergambar.
Menurut Naqiuddin lagi, terdapat peraih dari Thailand berkunjung ke dusunnya bagi membeli durian yang terpilih terutama Duri Hitam dengan harga yang mencecah RM80 per kilogram. Difahamkan varieti Musang King dan Duri Hitam sangat-sangat dikehendaki di Thailand, mungkin untuk dieksport ke China. Beliau tidak berupaya membekalkannya kerana lebih mengutamakan pelanggan yang berkunjung ke dusun.
ZNS Green Agro Farm
Kira-kira 18 kilometer dari Pekan Jeniang iaitu di Kampung Betong, Sik , Mohd Amin Zakariya yang berniaga di bawah ZNS Green Agro Farm telah mula mengeksport durian dan manggis yang dihasilkan di ladangnya seluas 350 ekar.
Ladang yang dibimbing oleh Jabatan Pertanian Sik ini telah mendapat pensijilan myGap sebagai pengiktirafan mempraktik amalan baik dalam pertanian.
Ladang ini bakal menjadi pusat pengumpulan bagi memberi peluang pengusaha dusun tempatan untuk turut mengeksport hasil tanaman mereka terutama durian klon terpilih dan manggis.
Mohd Amin sedang membentuk kerjasama dengan ladang-ladang besar seperti Hernan Corporation bagi mendapat sinergi dan ekonomi bidangan dalam aktiviti mengeksport.
Sementara itu, ladang milik KEDA di Bendang Man Resort yang mempunyai 1000 pokok durian klon pelbagai varieti termasuk Musang King dan Duri Hitam menawarkan untuk jualan sehingga 3 metrik tan durian sehari. Pengunjung boleh mula membeli seawal jam 8 pagi. Pengunjung yang menyewa bilik-bilik chalet ditawarkan membeli durian dengan harga istimewa.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.