March 16 2026
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Selama ini, nama “Wagyu” sering dikaitkan dengan daging import berkualiti tinggi yang dihidangkan di restoran mewah pada harga yang boleh mencecah ribuan ringgit sekilogram. Gambaran daging dengan marbling sempurna, lembut seperti mentega dan kaya dengan rasa seolah-olah hanya mampu dihasilkan di pergunungan Jepun. Namun, landskap ini sedang berubah.
Dengan kemajuan teknologi penternakan, kawalan genetik serta pemahaman yang lebih mendalam tentang keperluan haiwan ini, Malaysia kini mula menyertai arena penternakan Wagyu yang berpotensi tinggi dan menguntungkan.
Malah, istilah Wagyu turut dijenamakan semula sebagai “MyGyu” bagi mencerminkan identiti tempatan. Artikel ini akan meneroka potensi besar industri ternakan Wagyu di Malaysia, merangkumi persediaan menyeluruh, penyediaan kandang yang sesuai, penjagaan rapi serta strategi pemasaran yang bijak bagi memastikan kejayaan dalam perusahaan bernilai tinggi ini.
Peluang dan Cabaran di Malaysia
Permintaan terhadap daging Wagyu di Malaysia dan serantau Asia Tenggara semakin meningkat seiring dengan pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kuasa beli golongan kelas pertengahan dan atasan. Daging Wagyu tulen boleh dijual pada harga antara RM300 hingga RM1,000 sekilogram, bergantung kepada gred marbling (A5 merupakan gred tertinggi). Potensi pendapatan ini jauh melebih ternakan lembu tempatan biasa.
Ramai beranggapan bahawa iklim tropika Malaysia yang panas dan lembap tidak sesuai untuk lembu yang berasal dari iklim sederhana seperti Wagyu. Ini sememangnya merupakan cabaran sebenar, tetapi bukan halangan mutlak. Dengan pengurusan persekitaran yang moden seperti kandang berhawa dingin atau sistem pengudaraan yang cekap, pengurusan tekanan haba melalui reka bentuk kandang yang sesuai serta program pemakanan khusus, Wagyu mampu membesar dengan sihat dan mencapai potensi genetik marblingnya.
Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, turut menggalakkan aktiviti ternakan bernilai tinggi di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021–2030. Bantuan seperti geran, khidmat nasihat teknikal dan program pembiakan disediakan bagi menyokong penternak yang serius dalam bidang ini.
Ternakan Wagyu bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran daging semata-mata. Produk sampingan seperti kulit (untuk barangan kulit berkualiti tinggi), tulang (untuk sup premium) serta baja organik berkualiti juga mempunyai nilai pasaran tersendiri.
Penglibatan Colla Cattle Farming membuktikan bahawa penternak tempatan berupaya menghasilkan daging Wagyu berkualiti tinggi. (Foto: Colla Cattle Farming facebook)
Selain itu, ladang Wagyu berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan agro, di mana pengunjung boleh mempelajari proses penternakan, menikmati pengalaman menjamu daging segar dan membeli produk secara terus daripada sumber.
Asas Kejayaan Ternakan Wagyu
Penulis telah melakukan kunjungan ke Colla Cattle Farming yang terletak di Kuala Selangor. Penerangan mengenai operasi ladang telah diberikan oleh En. Hanis, Pengurus Bahagian Operasi di ladang tersebut. Hasil daripada lawatan itu, dikongsikan bagi menerangkan usaha mereka menghasilkan lembu Wagyu versi Malaysia yang lebih dikenali sebagai MyGyu.
Penglibatan Colla Cattle Farming membuktikan bahawa penternak tempatan berupaya menghasilkan daging Wagyu berkualiti tinggi yang mampu memenuhi kehendak golongan menengah dan atasan untuk menikmati produk ini, tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada import dari Jepun dan Australia.
Ladang seluas 5 hektar itu dilengkapi dengan 5 kandang ternakan, dan setiap kandang mampu memuatkan sehingga 100 ekor lembu pada satu-satu masa. Lembu-lembu tersebut diperoleh daripada ladang pembiakan anak di Kulim dan Pondok Tanjung, Taiping.
Selepas tempoh pembesaran selama 18 bulan, lembu dipindahkan ke Kuala Selangor untuk proses penggemukan (fattening). Di sini, lembu dibesarkan sehingga mencapai umur 36 bulan sebelum disembelih.
Lokasi Strategik Dekat Pasaran Lembah Klang
Proses penyembelihan turut dijalankan di Kuala Selangor kerana ladang ini mempunyai rumah penyembelihan yang lengkap, selain lokasi yang strategik untuk pemasaran di kawasan Lembah Klang.
Sebelum memulakan perusahaan ternakan lembu wagyu, langkah pertama yang perlu dilakukan adalah kajian pasaran. Sasaran pasaran perlu dikenal pasti dengan jelas, sama ada menyasarkan hotel, restoran mewah, pasar raya premium atau jualan terus kepada pengguna akhir.
Proses penyembelihan dan penyediaan daging segar dilakukan di Pusat Penyembelihan berhawa dingin di Colla Cattle Farm, Kuala Selangor oleh kakitangan bertauliah. (Foto: Colla Cattle Farming facebook)
Rancangan perniagaan yang komprehensif perlu merangkumi analisis kewangan, unjuran aliran tunai, tempoh pulangan modal serta analisis risiko. Perlu diakui bahawa modal permulaan untuk ternakan Wagyu adalah tinggi dan memerlukan perancangan yang teliti.
Setelah kajian dan rancangan perniagaan disediakan, langkah seterusnya adalah mengenal pasti baka lembu yang sesuai. Lembu Wagyu dari Jepun boleh dipilih berdasarkan garis genetik utama seperti Tajima (terkenal dengan marbling terbaik), Fujiyoshi (pertumbuhan otot yang baik) dan Kedaka (saiz badan yang lebih besar).
Kajian lanjut diperlukan bagi memilih strain yang paling sesuai dengan iklim serta kehendak pasaran Malaysia. Anak lembu atau embrio boleh diimport dari Australia, Amerika Syarikat atau Jepun sendiri.
Colla Cattle Farm memulakan operasi pada tahun 2017 dengan tumpuan utama kepada proses penggemukan (fattening).
Pada peringkat awal, lembu diimport dari Amerika Syarikat, Australia dan Thailand. Penjagaan selepas lembu mencapai usia 18 bulan dilaksanakan secara teratur bagi memastikan hasil daging yang berkualiti serta memastikan ternakan berada dalam keadaan bebas stres.
Australia merupakan sumber yang popular kerana mempunyai populasi Wagyu tulen yang besar serta genetik yang telah disesuaikan dengan iklim lebih panas. Pengesahan genetik amat penting bagi memastikan dokumen keturunan (pedigree) dan peratusan ketulenan Wagyu, contohnya 100% Fullblood atau F1 (50%), adalah sah. Perkara ini kritikal dalam menentukan harga jualan di pasaran.
Akses Jalan Sokong Operasi Ladang
Kejayaan ternakan lembu Wagyu juga bergantung kepada pemilihan lokasi ladang. Kawasan yang dipilih perlu mempunyai teduhan semula jadi atau struktur naungan yang sesuai, sumber air bersih yang mencukupi kerana Wagyu memerlukan bekalan air bersih yang banyak terutama dalam iklim panas. Akses jalan yang sessuai juga perlu disediakan untuk memudahkan pengangkutan input seperti makanan dan output seperti ternakan atau daging.
Kandang lembu yang disediakan tidak boleh terlalu padat. Khusus untuk baka lembu wagyu, setiap ekor ditempatkan dalam petak khas yang berasingan dan tidak dicampurkan dengan lembu lain.
Ladang lembu juga perlu mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Kipas dipasang bagi membantu kawalan haba ketika musim panas.
Lembu memerlukan ruang yang mencukupi untuk bergerak dalam kendang yang disediakan. Selain itu,lembu jantan perlu diasingkan daripada lembu betina bagi memastikan lembu-lembu tidak berada dalam keadaan stres.
Kawasan kandang terletak berjauhan dari kawasan perumahan awam dan mempunyai jalan masuk yang baik ke kawasan ladang. Ladang ini dilengkapi dengan segala kemudahan elektrik dan bekalan air, sungguhpun perigi tiub (tube well) turut disediakan sebagai sumber tambahan untuk kegunaan ternakan. Kemudahan lain termasuk pejabat pengurusan dan kuarters kediaman kakitangan.
Rutin Penjagaan di Ladang Ternakan
Lembu memerlukan perhatian yang rapi bagi memastikan tahap stres sentiasa rendah. Lantai ternakan yang diperbuat daripada permukaan konkrit perlu sentiasa dijaga dan dicuci. Makanan perlu diberikan dua kali sehari mengikut jadual yang ditetapkan, manakala bekalan air bersih sentiasa disediakan dan mudah diakses.
Sistem perigi tiub membolehkan bekalan air disalurkan secara konsisten kepada ternakan, dan bekalan air daripada pihak SYABAS turut digunakan pada masa-masa tertentu sebagai sumber tambahan.

Peralatan lengkap untuk penyembelihan dengan sistem Penyembelihan berputar, crane dan pemindahan daging dilakukan dalam Pusat Penyembelihan berhawa dingin.
Ritual Harian Si Raja Marbling: Bukan Ternakan Biasa, Tetapi Seni Penjagaan
Bayangkan suasana begini: Pukul 5.30 pagi, kabus masih menyelimuti ladang. Anda bukan sekadar menuju ke kandang, tetapi seolah-olah memasuki sebuah studio seni. Di sinilah setiap hari anda membantu si Wagyu menghasilkan karya agung — daging yang begitu indah, lembut dan bermarbling halus sehingga mampu membuatkan chef antarabangsa menitis air liur.
Inilah realiti harian dalam penjagaan lembu Wagyu. Ia bukan sekadar kerja memberi makan dan minum. Ia merupakan satu ritual, satu hubungan istimewa antara penternak dan haiwan yang menghasilkan produk paling mewah dalam industri daging. Mari kita ikuti kehidupan sehari-hari seorang penternak Wagyu Malaysia yang berdedikasi.
Pukul 6.00 Pagi: "Selamat Pagi" dengan Suhu dan Pemerhatian
Hari bermula bukan dengan loceng, tetapi dengan pemerhatian yang teliti.
Langkah pertama ialah memeriksa keadaan kandang. Suhu ideal perlu berada antara 18 hingga 24°C. Jika suhu meningkat secara mendadak, sistem penyejukan kabus dan kipas perlu diaktifkan segera. Pengudaraan juga perlu dipastikan berada dalam keadaan baik. Bau ammonia yang kuat menandakan pengudaraan tidak mencukupi. Wagyu memerlukan udara segar, bukan udara yang lembap dan tercemar.
Seterusnya ialah memerhatikan keadaan ternakan. Penternak perlu masuk ke kandang dengan tenang dan mengelakkan bunyi yang boleh mengejutkan haiwan. Perhatikan tingkah laku mereka: adakah lembu bangun dengan aktif atau kelihatan lesu? Adakah mata mereka cerah atau kelihatan sayu? Adakah mereka menghampiri dengan selera yang baik?
“Mereka tidak boleh bercakap, tetapi bahasa tubuh mereka banyak menceritakan keadaan sebenar,” kata Encik Hanis, Pengurus Operasi di Kuala Selangor.
“Jika seekor sahaja mengasingkan diri, itu sudah menjadi petanda awal bahawa ada sesuatu yang tidak kena.”
Pukul 7.00 Pagi: Sarapan Premium, Dikira Satu Persatu
Ini bukan sekadar masa memberi rumput. Ini adalah waktu menyajikan hidangan yang dirancang teliti.
Diet Wagyu dibahagikan kepada dua fasa utama:
Fasa Pembesaran (6–18 bulan): Tumpuan diberikan kepada perkembangan tulang dan otot dengan diet tinggi protein.
Fasa Penggemukan (18–30 bulan): Fasa paling kritikal, di mana pembentukan marbling berlaku secara intensif.
Komposisi “sarapan artistik” Wagyu merangkumi:
• Bijirin premium seperti jagung, barli dan gandum yang dikisar kasar — tidak terlalu halus dan tidak terlalu kasar.
• Sumber serat bagi menyokong sistem penghadaman yang sihat, lazimnya rumput Napier dan silaj yang dihasilkan sendiri oleh pihak Colla Cattle Farm.
• Formula tempatan — sesetengah penternak menambah dedak padi atau hasil sampingan kelapa sawit dalam kadar yang dikira dengan sangat tepat.
• Air bersih dan elektrolit — air mesti segar dan bersuhu sesuai. Dalam cuaca panas, elektrolit ditambah bagi mengekalkan hidrasi.
Terdapat pelbagai baka lembu lain seperti brahmin, angus dan wagyu diternak. (Foto: Colla Cattle Farming facebook)
Sebagai panduan, Wagyu mengambil makanan sekitar 2–3% daripada berat badannya sehari. Seekor lembu seberat 700 kilogram memerlukan antara 14 hingga 21 kilogram makanan sehari. Jumlah ini diberikan dalam dua hingga tiga hidangan kecil, bukan sekali gus. Tujuannya ialah untuk memastikan penyerapan nutrien yang optimum serta mengelakkan masalah kembung.
Sesi Berus (Brushing): Lembu diberus dengan berus lembut untuk mengurut badan. Proses ini bukan sekadar membersihkan, tetapi membantu meningkatkan peredaran darah. Peredaran darah yang baik membantu penghantaran nutrien ke seluruh badan, termasuk dalam pembentukan marbling. Selain itu, ia juga mengeratkan hubungan antara penternak dan ternakan. Wagyu yang diurus dengan lembut cenderung kurang mengalami stres.
Pemeriksaan Kaki dan Kuku: Kesihatan kaki sangat penting bagi memastikan lembu kekal aktif dan mempunyai metabolisme yang baik. Kuku dipotong secara berkala kerana kuku yang terlalu panjang boleh menyebabkan kesakitan, mengurangkan selera makan dan akhirnya menjejaskan pembentukan marbling.
Mandian (Jika Perlu): Mandian tidak dilakukan secara basah sepenuhnya, tetapi melalui semburan kabus atau pancuran ringan ketika cuaca sangat panas. Penting untuk memastikan lembu kembali kering selepas itu kerana kulit yang lembap boleh menjadi medium pembiakan bakteria.
Tengah Hari: Masa “Chill” yang Sangat Penting
Antara pukul 11.00 pagi hingga 3.00 petang ialah tempoh yang sensitif dan perlu dikendalikan dengan berhati-hati. Ini bukan waktu untuk aktiviti yang boleh menyebabkan stres. Elakkan aktiviti berat seperti memindahkan kandang, pemeriksaan kesihatan menyeluruh atau menerima lawatan dalam jumlah besar. Sistem penyejukan perlu beroperasi pada tahap optimum. Biarkan ternakan berehat, makan dalam kuantiti kecil dan menjalani proses ruminasi (mamah kembali) dengan tenang.
Proses ruminasi yang tidak terganggu sangat penting untuk penghadaman yang optimum. Penghadaman yang baik bermaksud penyerapan nutrien yang efisien — dan penyerapan nutrien yang baik menyumbang kepada pembentukan marbling yang berkualiti.
Petang: Quality Time dan Pemeriksaan Kesihatan
Pukul 4.00 Petang: Hidangan Malam dan Pemeriksaan Halus
Ketika pemberian makanan petang, perhatikan setiap ekor. Siapa yang makan dengan baik dan siapa yang kurang selera? Lembu yang tidak makan mungkin menunjukkan tanda awal masalah kesihatan. Pemeriksaan individu dilakukan dengan menyentuh badan ternakan untuk memastikan tiada benjolan atau luka. Kulit lembu yang kusam dan kurang bersinar juga boleh menjadi petanda kesihatan yang terganggu. Periksa keadaan hidung — lembap atau kering? Hidung yang terlalu kering boleh menjadi petanda lembu kurang sihat dan memerlukan rawatan lanjut.
Rekod Semua Perubahan
Setiap perubahan kecil perlu direkodkan sama ada dalam buku log atau aplikasi digital. Penurunan berat sebanyak 5 kilogram dalam seminggu? Kurang minat terhadap makanan? Semua ini adalah petanda awal yang tidak boleh dipandang ringan.
Malam: Persekitaran “Low-Stress” Berterusan
Cahaya lembut dibiarkan pada waktu malam, tidak terlalu gelap. Ini mengelakkan ternakan terkejut jika bergerak. Sistem pengudaraan terus beroperasi bagi memastikan aliran udara sentiasa lancar.
Sistem ternakan secara terbuka juga terdapat di Colla Cattle Farming tetapi di pusat ternakan di Kulim Kedah, dan Pondok Tanjung di Perak. (Foto: Colla Cattle Farming facebook)
Rahsia Kualiti: Di Sebalik Rutin Harian
Hubungan Emosi: Wagyu yang mengenali dan mempercayai penjaganya cenderung kurang mengalami stres. Bercakap dengan suara yang lembut dan memberi nama kepada setiap ekor mungkin kedengaran sentimental, namun pendekatan ini terbukti membantu. Konsistensi adalah kunci. Makanan diberi pada waktu yang sama setiap hari. Rutin harian perlu konsisten, malah individu yang sama digalakkan mengurus ternakan tersebut. Wagyu tidak gemar perubahan mendadak.
Mata “Penternak-Seniman”:
Penternak perlu belajar membaca bahasa tubuh ternakan. Telinga menghala ke hadapan — tanda lembu selesa. Ekor berayun perlahan — tanda lembu tenang. Mengasah kaki atau kelihatan gelisah — mungkin tanda kesakitan atau ketidakselesaan. Tidak mahu berbaring — berkemungkinan lantai tidak selesa atau ternakan sedang mengalami stres.
Fasa Akhir Penggemukan:
Enam bulan terakhir sebelum penyembelihan merupakan tempoh paling kritikal. Penjagaan menjadi lebih intensif. Dalam tempoh ini, diet mungkin disesuaikan, dan pergerakan ternakan dikawal bagi mengoptimumkan pembentukan marbling. Pemeriksaan kesihatan dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan keadaan ternakan berada pada tahap terbaik.
Cabaran Iklim Malaysia dan Solusi Kreatif
Cuaca panas merupakan cabaran utama dalam pembentukan marbling daging wagyu. Namun, penternak Malaysia tampil dengan pelbagai pendekatan kreatif. Ada yang menggunakan jaket penyejuk (cooling vest) pada waktu kemuncak panas. Ada juga yang menambah ais ke dalam bekalan air minuman pada waktu tengah hari.
Sekurang-kurangnya, teduhan tambahan “shade” dipasang bagi mengurangkan kesan haba langsung.
Semua proses yang melibatkan kerja berat termasuk pembersihan kandang dilakukan pada awal pagi atau lewat petang bagi mengelakkan tekanan haba kepada ternakan.
Pembungkusan premium di lakukan di Pusat Penjualan di Kuala Lumpur untuk edaran. (Foto: Colla Cattle Farming facebook)
Apakah Hasil Semua Ritual Ini?
Selepas 30 bulan penjagaan yang penuh kasih, konsisten, teliti dan penuh perhatian terhadap setiap perincian, lembu Wagyu akhirnya menghasilkan daging bergred A4 atau A5. Marblingnya halus, seolah-olah salji yang menyelimuti daging merah.
Teksturnya ‘Buttery’ bukan sekadar lembut, tetapi seakan-akan cair di dalam mulut. Rasanya pula kaya dengan umami yang unik — satu gabungan rasa yang sukar ditandingi.
Yang lebih penting, setiap keping daging itu bukan sekadar makanan. Ia adalah sebuah kisah —kisah tentang pagi-pagi yang sejuk, tentang sentuhan lembut penternak, tentang makanan yang ditimbang dengan teliti, dan tentang hubungan istimewa antara manusia dengan haiwan yang saling menghormati.
Kesimpulan
Menjaga Wagyu setiap hari tidak pernah membosankan. Ia merupakan latihan dalam kesabaran, konsistensi dan empati. Anda bukan penternak biasa, tetapi merupakan penjaga tradisi, pengamal sains dan juga seniman dalam bidang mereka.
Di Malaysia, di bawah sinaran matahari tropika, kejayaan menghasilkan Wagyu berkualiti tinggi membuktikan bahawa kepakaran dan dedikasi mampu mengatasi cabaran iklim. Ia membuktikan bahawa dengan ilmu pengetahuan, kasih sayang, dan komitmen yang tinggi, Malaysia berpotensi menghasilkan daging premium bertaraf dunia di tanah air sendiri.
Jadi, esok pagi apabila anda melangkah ke kandang, ingatlah bahawa anda bukan sekadar pergi bekerja. Anda sedang meneruskan satu ritual kuno, penuh dedikasi untuk menghasilkan keindahan yang bernilai tinggi. Selamat menjaga si Raja Marbling!
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.