October 21 2025

Terapi Melalui Pertanian di Rumah

Terapi Melalui Pertanian di Rumah - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Pertanian bandar (urban farming) semakin popular dalam kalangan penduduk bandar yang ingin mengamalkan gaya hidup sihat dan lestari. Ekoran pertumbuhan pesat penduduk bandar dan kekurangan ruang hijau, pertanian bandar muncul sebagai penyelesaian inovatif untuk menjamin bekalan makanan segar, mengurangkan kesan alam sekitar, serta meningkatkan kualiti hidup.

Ramai rakyat Malaysia memiliki kawasan lapang yang sesuai untuk dijadikan sebagai kawasan pertanian. Di kawasan bandar, terdapat ruang di tepi rumah walaupun agak kecil, manakala di kawasan kampung masih banyak kawasan terbiar yang berpotensi untuk diusahakan.

Manfaat Pertanian Sekitar Rumah

Dengan mengusahakan kawasan yang ada, pelbagai manfaat dapat diperoleh termasuk meningkatkan bekalan makanan sihat dan segar, mengurangkan jejak karbon, menambah kesegaran persekitaran, meningkatkan kualiti udara, serta berpotensi membantu menambah pendapatan keluarga.

Pertanian bandar atau pertanian di kawasan terhad membolehkan penduduk menanam  sayur-sayuran, buah-buahan, dan herba sendiri tanpa penggunaan racun perosak yang berlebihan. 

Amalan ini menjamin bekalan makanan yang lebih segar dan berkhasiat berbanding produk komersial yang mungkin melalui proses pengangkutan yang panjang. 

Dengan menanam makanan di kawasan bandar, keperluan untuk mengangkut hasil pertanian dari luar bandar dapat dikurangkan. 

Hal ini menyumbang kepada pengurangan  pelepasan gas rumah hijau sekaligus menjadikan sistem bekalan makanan lebih lestari.

Sesetengah komuniti bandar menjual hasil pertanian mereka di pasar tempatan atau melalui platform dalam talian, yang mampu menjana pendapatan tambahan. Pertanian bandar juga berpotensi menjadi sumber ekonomi mikro yang penting bagi keluarga berpendapatan rendah.

Kebaikan untuk Kesihatan Mental

Individu yang terlibat dalam pertanian bandar atau pertanian skala mikro biasanya  mengalami pengurangan stres, peningkatan mood, serta lebih banyak interaksi sosial dalam komuniti. 


Dari halaman rumah ke kebun dua ekar - usaha tani Puan Siti Dewiyati (kiri) dan Encik Saiful membuahkan rezeki.

 


Kes Puan Dewi yang mengusahakan tanaman di sekitar rumah merupakan contoh baik, di mana aktiviti ini membantu beliau mengurangkan tekanan akibat masalah kesihatan. Beliau mengakui bahawa sejak menceburi bidang pertanian ini, kualiti hidupnya telah bertambah baik berbanding sebelumnya. 

Puan Siti Dewiyati binti Shaharuddin, seorang suri rumah bersama suaminya Encik Saiful Safuan bin Mat Isa, telah mengusahakan tanah di depan rumah mereka seluas dua ekar untuk penanaman pelbagai hasil pertanian kontan. 

Tanah berbentuk U di tebing sungai yang lebih dikenali sebagai "Tanjung" di daerah Sungkai  ini telah diusahakan sejak tahun 2024 dengan tanaman seperti jagung manis dan pelbagai  jenis pisang termasuk pisang emas, pisang tanduk, pisang nangka, pisang bantan, serta limau kasturi. 

Kawasan tersebut juga mempunyai pokok buahbuahan sedia ada seperti langsat, durian, duku dan bacang. 

Puan Dewi yang menghidap Bullous Pemphigoid, sejenis penyakit autoimun yang tiada penawar, menjadikan aktiviti pertanian sebagai terapi untuk mengurangkan tekanan. Hasilnya amat memberangsangkan di mana beliau berjaya mengurangkan stres dan menjalani kehidupan yang lebih tenang. Usaha beliau turut dibantu oleh anak perempuannya, Cik Puteri Dewi Sofia. 

Tanah milik keluarga yang terbiar di belakang rumah telah dipilih oleh Puan Dewi. Beliau mengambil masa selama tiga minggu untuk membersihkan kawasan tersebut dengan  bantuan jentera bagi menyediakan tapak  yang sesuai untuk tanaman. Kos permulaan  untuk penyediaan tapak berjumlah RM900  dengan hanya seorang pekerja diperlukan pada peringkat awal.

Perolehan Benih

Puan Dewi memperoleh benih pisang melalui  kaedah tisu kultur, dan untuk penanaman seterusnya, beliau menggunakan anak pokok  pisang yang sedia ada. Modal awal hanya diperlukan untuk pembelian benih tisu kultur. Bagi tanaman jagung, beliau menggunakan benih CropPower SC9001, iaitu jenis jagung manis premium yang menghasilkan jagung berkualiti tinggi. 

Untuk tanaman-tanaman lain, Puan Dewi mendapatkan benih dari nurseri tempatan. Antara tanaman yang diusahakan termasuk cili, terung, kacang panjang, bayam Brazil, pucuk manis, dan sawi. Selain itu, beliau juga menanam betik serta pokok buah-buahan seperti duku, durian, langsat, dan bacang. 

Setiap hari, Puan Dewi menjadikan aktiviti melawat kebun sebagai rutin harian untuk memastikan tanah sentiasa lembap dan subur dengan pembajaan sejak peringkat awal penanaman. 

Bagi pokok pisang, beliau membersihkan daun-daun  kering dan mengawal bilangan anak pokok bagi setiap rumpun pisang agar tidak terlalu banyak. 

Kepuasan dirasai apabila melihat tanaman tumbuh subur, sambil memastikan tiada perosak yang mengganggu pertumbuhan tanaman.

Oleh kerana lokasi kebun terletak berhampiran dengan kawasan sungai, Puan Dewi hanya perlu menyediakan pam dan talian paip untuk  mengalirkan air ke kawasan kebun. 

Pam yang dibeli dengan harga RM700 beroperasi menggunakan petrol dan digunakan untuk  memompa air dua kali sehari bagi tujuan penyiraman tanaman. 

Pembajaan dilakukan menggunakan kompos yang disediakan sendiri oleh Puan Dewi. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, beliau mencampurkan sisa makanan dari rumah, daun-daun kering, kulit telur, serta tinja haiwan yang sesuai untuk menghasilkan kompos. 


Pam disediakan untuk sistem pengairan. Air diperolehi dari sungai.

 


Bahan kompos yang telah dikumpulkan tersebut kemudiannya digunakan untuk membaja kebun yang diusahakannya. 

Keseluruhan perbelanjaan dari peringkat awal sehingga tanaman membesar tidak melebihi RM2,000. 

Perbelanjaan ini meliputi kos penyediaan tapak, upah buruh untuk menyediakan batas jagung, serta pemasangan paip untuk sistem saliran. Selepas peringkat awal, tiada lagi kos diperlukan untuk benih dan pekerja. Beliau hanya perlu  membeli baja setiap bulan dengan kos yang minima.

Nasihat Kepada Pengusaha Kebun

Selepas empat bulan, Puan Dewi telah berjaya mengumpulkan hasil tanaman sayuran seperti cili dan sawi. Hasil jagung turut dapat dituai dalam tempoh yang sama. Purata pendapatan daripada jualan hasil tanaman ini ialah RM3,000 yang dipasarkan kepada pengguna tempatan. Untuk tanaman pisang, hasil mula diperoleh selepas 10 bulan. 

Pisang tanduk diproses menjadi kerepek dan dibungkus untuk diedarkan kepada pemborong serta dijual melalui platform media sosial. Pendapatan daripada penjualan kerepek pisang turut menunjukkan hasil yang memberangsangkan. 

Puan Dewi menekankan pentingnya memiliki jiwa yang kental untuk terlibat dalam bidang pertanian. Beliau menasihati mereka yang  berminat mengusahakan kebun di sekitar rumah agar tidak mudah patah semangat. Walaupun  tidak mempunyai pengalaman awal dalam pertanian, beliau banyak belajar melalui  media sosial, pembacaan, dan penyertaan dalam kursus-kursus yang berkaitan. 

Bagi peringkat awal, beliau mencadangkan untuk memfokuskan pada jenis tanaman yang cepat menghasilkan dan mudah dijaga.  Setiap cabaran yang dihadapi seharusnya dianggap sebagai proses pembelajaran untuk meningkatkan ketahanan diri dalam mengusahakan projek pertanian. 

Puan Dewi menyarankan agar sentiasa melakukan penambahbaikan dengan mempelajari teknik penjagaan tanaman melalui media sosial  dan mendapatkan khidmat nasihat dari pejabat pertanian tempatan.


Pendapatan daripada penjualan kerepek pisang turut menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

 


Untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dalam bidang pertanian ini, Puan Dewi merancang untuk mendapatkan jentera yang sesuai bagi memudahkan urusan penyediaan tapak dan memperluas kawasan yang boleh diusahakan. 

Sistem pengairan sedia ada perlu diperluaskan untuk menampung keperluan tanaman yang semakin bertambah. Selain itu, keperluan terhadap pekerja tambahan juga akan meningkat seiring dengan perluasan kawasan yang diusahakan. 

Beliau juga berhasrat untuk menambah pelbagai jenis sayuran dan tanaman pertanian bagi memenuhi permintaan makanan penduduk setempat.

Kesimpulan

Selagi terdapat kawasan yang sesuai, sama ada di bandar atau luar bandar, usaha untuk meningkatkan hasil pertanian secara lestari  dan sihat perlu diteruskan. Dengan pendekatan yang betul, cabaran seperti kekurangan ruang dan  kos yang tinggi dapat diatasi. Melalui pendidikan, kerjasama komuniti, dan inovasi teknologi, pertanian bandar mampu menyumbang kepada ketahanan makanan, kelestarian alam sekitar, serta meningkatkan kualiti hidup. 

Usaha meningkatkan hasil pertanian negara merupakan inisiatif yang patut dihargai  dan dicontohi. Mereka yang terlibat bukan sahaja memperoleh pendapatan tambahan tetapi juga membantu menyara keluarga. Dengan bermula dari langkah kecil seperti menanam sayuran dan tanaman makanan, menyertai kebun komuniti, serta bekerjasama dengan semua pihak, setiap individu boleh menyumbang kepada revolusi hijau di bandar mahupun luar bandar.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag