December 04 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Mencapai usia emas dan menempuh era persaraan dengan tenang menjadi impian ramai. Ada yang pulang ke kampung untuk mengusahakan tanah pusaka. Tidak kurang pula yang mengamalkan hobi yang lama terpendam kerana kesibukan kerja. Masa yang terluang boleh dihabiskan bersama orang tersayang seperti menjelajah tempat-tempat menarik di dunia. Sebahagian pula memulakan bisnes yang lain dari bidang semasa berkidmat dahulu dan menghasilkan pendapatan yang lebih banyak dari semasa menjadi pekerja. Kadang-kadang late bloomer ini lebih berjaya di hujung usia dari semasa mudanya.
Begitulah yang berlaku kepada Encik Dennison R. Indang, bagaimana beliau terjun ke dalam industri lada hitam setelah lebih dari 30 tahun berkecimpung dalam industri pembinaan. Kisahnya bermula pada tahun 2010, apabila beliau memutuskan untuk mula menanam lada di tanah kebun milik bapanya sebagai persediaan untuk bersara di Ranau kira-kira 2 jam perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah. Usaha kecil-kecilan sekadar memenuhi usia persaraan bertukar menjadi seorang perintis dalam industri komoditi yang mempunyai nilai eksport tinggi ini.
Menurut perkongsian daripada Encik Dennison, dunia pembinaan adalah industri yang sangat mencabar dan penuh tekanan. Keputusan untuk menceburkan diri dalam penanaman lada hitam pula bukanlah sesuatu yang mudah dan tanpa halangan. Pada awal pembabitannya, beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang ini dan sering diberitahu bahawa lada tidak sesuai ditanam di Sabah.
Namun, beliau tidak pernah menyerah. Dengan keazaman yang tinggi, beliau mula mengikuti kursus-kursus penanaman lada yang dianjurkan oleh Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Sarawak. Beliau belajar selok-belok menanam lada meskipun ramai yang menganggap usahanya sebagai satu usaha yang mustahil.
Pada tahun 2015, beliau telah bertemu dengan para pekebun lada lain di Sabah ketika menghadiri kursus yang dianjurkan oleh MPB dan mula berbincang mengenai penubuhan satu persatuan untuk menyatukan suara para penanam lada di Sabah. Ini membawa kepada penubuhan Persatuan Penanam dan Pengusaha Lada Hitam Sabah (PLAS) pada Februari 2016. Encik Dennison telah dilantik sebagai presiden persatuan sehingga kini.
Beliau mempunyai prinsip untuk memperjuangkan hak dan kepentingan pekebun lada di Sabah. Dengan anggaran keahlian hampir 400 orang, PLAS berperanan sebagai penghubung antara penanam lada di Sabah dengan agensi yang berkaitan dan memastikan bahawa suara pekebun dapat didengari.
Encik Dennison mengambil langkah berani pada tahun 2018 dengan membeli hasil lada dari pelbagai kebun di Sabah tanpa rancangan yang jelas. Beliau telah menerima nasihat dari rakan beliau dan menyedari peluang untuk membangunkan produk hiliran lada. Amaris Plantation mula menghasilkan serbuk lada hitam, lada putih, serta biji lada yang dijual di pasaraya di seluruh Sabah. Sehingga tahun 2023, produk lada keluaran Amaris Plantation sudah berada di lebih 300 outlet di seluruh negeri.
Cabaran-cabaran yang Dihadapi
Walau bagaimanapun, cabaran tetap ada. Encik Dennison berkongsi bahawa ramai pekebun lada di Sabah masih bergantung kepada orang tengah yang membeli lada mereka. Akan tetapi harga belian adalah rendah. Situasi ini telah merugikan ramai penanam lada.
Tambahan pula, lokasi kampung-kampung yang jauh menyukarkan proses penghantaran lada. Dalam menghadapi cabaran ini, Encik Dennison dan pasukannya sering turun padang untuk mengumpul hasil lada terus dari pekebun dengan harga yang adil.
Walaupun industri lada di Sabah masih dalam fasa awal, Encik Dennison berpendapat dan percaya bahawa dengan sokongan dan kursus betul, para penanam lada di Sabah akan mampu menghasilkan lada berkualiti tinggi setanding dengan lada Sarawak. Beliau turut berkongsi bahawa PLAS sentiasa berkongsi ilmu mengenai teknik penanaman lada yang betul dengan para pekebun lada untuk menghasilkan lada yang berkualiti.
Berdasarkan perkongsian dari Encik Dennison, ramai pekebun terpaksa berhenti menanam ketika pandemik COVID-19 kerana sekatan perjalanan dan pergerakan. Ini menyebabkan kekurangan bekalan lada mentah di Sabah. Ini telah memberi kesan kepada rantaian dalam industri lada di mana para penanam hilang hasil pendapatan dan para pengumpul dan pemproses seperti Amaris Plantation tidak mendapat bekalan lada mentah.
Namun, Encik Dennison kekal optimis. Beliau berharap para penanam lada di Sabah dapat terus mengusahakan tanaman mereka dan sekaligus dapat meningkatkan pengeluaran lada mentah. Menurut beliau lagi, kini ramai usahawan hiliran di Sabah yang mencari hasil lada untuk dibangunkan. Ini akan dapat menaikkan industri lada di Sabah.
Industri Lada Berpotensi di Sabah
Sebagai ahli Lembaga Pengarah MPB juga, Encik Dennison merasa tanggungjawab yang besar untuk membantu meningkatkan taraf hidup penanam lada di Sabah. Beliau berpendapat industri lada ini bukan sahaja berpotensi untuk menjana pendapatan penduduk di Sabah tetapi juga untuk membantu komuniti tempatan.
Nasihat beliau kepada para usahawan muda adalah untuk sentiasa melihat peluang dalam menghasilkan produk hiliran daripada pelbagai komoditi, bukan hanya lada. Ini adalah untuk meningkatkan nilai produk tempatan dan mencipta peluang pekerjaan.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.