August 01 2025

Tanam Halia Dalam Polibeg Kaedah Fertigasi

Tanam Halia Dalam Polibeg Kaedah Fertigasi - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Halia, dengan nilai ekonomi dan khasiat kesihatannya, semakin mendapat perhatian sebagai tanaman komersial di Malaysia. Namun, kekurangan tanah subur dan risiko serangan penyakit di ladang konvensional mendorong petani beralih kepada kaedah hidroponik. Teknik ini bukan sahaja menjimatkan ruang tetapi juga meningkatkan kualiti dan hasil tanaman. 

Menyedari bahawa 80% keperluan halia negara diimport, seorang pemuda dari Sepang, En. Syamir Zulfakar yang berusia 29 tahun telah melihat potensi penanaman halia untuk meningkatkan pengeluaran tempatan. Beliau memulakan penanaman halia secara fertigasi pada bulan Julai 2024 dan telah berjaya menghasilkan pengeluaran pertama, kini sedang meneruskan pusingan kedua tanaman tersebut. 

Walaupun berasal dari bidang automotif, En. Syamir melihat peluang pendapatan tambahan melalui penanaman halia secara fertigasi. Dengan sokongan kuat daripada bapa mertua, En. Faridun Yusri, beliau memberi tumpuan kepada usaha ini yang telah menjadi perniagaan keluarga melibatkan beliau sendiri, beberapa adik-beradik dan bapa mertuanya. 

Pembangunan Ladang Halia Fertigasi 

Dengan menyewa tanah seluas 0.3 hektar, En. Syamir bersama empat orang rakan telah   membersihkan kawasan dan menyediakan rak pelindung untuk menempatkan 5,000 polibeg   tanaman halia. 

Usaha sedang diteruskan untuk menambah 5,000 polibeg lagi bagi memenuhi permintaan tempatan, terutamanya untuk halia muda. 

Kaedah fertigasi menjadi pilihan utama kerana penjagaannya lebih bersistematik dan mudah   dikawal. Hidroponik merupakan kaedah menanam tanpa tanah dengan menggunakan larutan nutrien berasaskan air sebagai sumber pembajaan. 


En Syamir berbaju hijau bersama keluarga mengusahakan halia. Lima dari kiri adalah En Faridun Yusri, bapa mertua En Syamir yang menjadi pendorong projek. Berbaju kuning adalah Timbalan pengarah Pertanian Negeri Selangor, En Wan Mohammad Zulkarnain.

 


Bagi halia, kaedah ini menawarkan beberapa kelebihan termasuk penggunaan ruang yang lebih kecil dan kesesuaian untuk kawasan bandar. En. Syamir dapat memantau perkembangan rizom dengan lebih baik kerana nutrien yang digunakan dapat diukur dengan tepat. Risiko penyakit juga dapat dikurangkan melalui pemantauan berkala setiap pokok. Proses penuaian menjadi lebih   mudah dan cepat dengan kaedah ini. Selain itu, sistem kitar semula air menjadikan penggunaan air lebih efisien. 

Persediaan Tapak Fertigasi 

En. Syamir menyewa kawasan yang sebelumnya digunakan untuk fertigasi cili, menjimatkan kos pembersihan. Beliau hanya perlu menyediakan struktur bumbung pelindung dan tapak untuk menempatkan polibeg. 

Permulaannya, sebanyak 5,000 polibeg telah disediakan dan diisi dengan campuran sekam padi dan pasir sungai. Untuk memastikan kawalan pH yang sesuai, EM (Effective Microorganism) turut dicampurkan. EM merujuk kepada gabungan pelbagai mikroorganisma berfaedah yang berfungsi meningkatkan kesihatan tanah, merangsang pertumbuhan tanaman, serta mengurangkan keperluan terhadap baja kimia dan racun perosak. 

EM yang dicampurkan dengan media asas dan air berfungsi meningkatkan aktiviti mikrob serta   mencapai kesan sinergistik. Bagi tanaman halia, campuran EM yang sesuai mampu mengurangkan kealkalian tanah. Sasaran pH yang ideal adalah antara 5 hingga 6.5 kerana kealkalian yang tinggi boleh menyebabkan serangan kulat pada benih yang ditanam. 

Pemilihan Benih

En. Syamir memilih varieti halia Bentong untuk   tanaman halia dengan matlamat memperoleh   hasil halia muda dalam tempoh 4 bulan. 

Pemilihan benih halia yang sesuai merupakan   langkah penting untuk memastikan hasil tanaman yang tinggi dan berkualiti. Di Malaysia, pemilihan benih perlu sesuai dengan keperluan pasaran   semasa. 


Halia muda yang dituai ditimbang untuk diedarkan kepada pemborong. 

 


Ciri-ciri Benih yang Baik

1. Rizom yang Sihat dan Matang: Rizom halia yang dipilih mestilah sihat dan matang, biasanya berumur antara 10 hingga 12 bulan. Ini memastikan benih tersebut mempunyai kekuatan dan potensi pertumbuhan yang baik. 

2. Rizom Besar dan Berisi: Rizom yang besar dan berisi lebih cenderung menghasilkan tanaman yang kuat dan berdaya tahan. 

3. Bebas Penyakit: Pastikan benih atau rizom tidak rosak dan bebas daripada sebarang penyakit. Pemeriksaan teliti perlu dilakukan untuk memastikan tiada tanda-tanda kerosakan atau jangkitan pada rizom. 

4. Cabang Rizom Bermata/Bertunas: Pilih rizom yang mempunyai 2 hingga 3 mata tunas. Mata tunas ini adalah penunjuk bahawa rizom tersebut akan mampu tumbuh dan berkembang dengan baik. 

5. Warna Rizom: Rizom yang berwarna pucat kekuningan dan isi rizom berwarna kuning cair menunjukkan bahawa rizom tersebut berada dalam keadaan yang baik dan sesuai untuk   penanaman. 

Pemilihan benih halia yang memenuhi kriteria kualiti memastikan hasil tanaman bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga memenuhi permintaan pasaran. Langkah ini penting untuk kejayaan dalam pertanian halia. 

Untuk benih awal, rizom organik segar yang mempunyai 2-3 tunas aktif direndam dalam   fungisid selama 20 minit bagi mencegah serangan kulat. Selepas itu, rizom dikeringkan di tempat teduh selama 1-2 hari sebelum proses penanaman dimulakan. 

Kaedah Penanaman dan Sistem Hidroponik

Kaedah penanaman dilakukan dengan memasukkan rizom ke dalam media yang diletakkan dalam polibeg berukuran 30 cm x 30 cm. Bagi tempoh 3 bulan pertama penanaman, polibeg bersama benih halia perlu dilindungi daripada cahaya matahari langsung. En. Syamir menyediakan pelindung matahari 50% yang akan dibuka setelah tumbuhan menjadi kuat selepas tiga bulan. 


Hasil halia boleh mencapai sehingga 20 ton per hektar. Hasil tuaian untuk dijual. 

 


En. Syamir menggunakan sistem fertigasi dengan menanam halia dalam polibeg berisi media campuran sekam padi dan pasir. Sistem ini membolehkan pengairan dikawal melalui saluran paip terus ke polibeg secara semi-automatik, sekaligus mengurangkan keperluan tenaga kerja untuk penyiraman. 

Polibeg yang digunakan perlu mempunyai lubang saliran yang mencukupi untuk mengelakkan air bertakung. Media yang terlalu basah boleh menyebabkan akar halia terendam dan mereput, seterusnya menjejaskan kualiti hasil. 

Dengan kaedah fertigasi ini, hanya dua pekerja sepenuh masa diperlukan untuk menguruskan   aktiviti penjagaan ladang bagi 5,000 pokok halia. 

Penjagaan Harian

Setiap hari, tugas penjagaan melibatkan pemantauan keseimbangan air dan pemeriksaan rizom untuk mengesan kerosakan akibat serangan kulat. Pengairan dilakukan secara automatik menggunakan sistem fertigasi. Dalam tempoh tiga bulan pertama selepas penanaman, pokok halia perlu dilindungi dengan netting untuk mengelakkan pendedahan langsung kepada cahaya matahari. 

Perlindungan ini boleh dialihkan setelah tumbuhan mencapai kekuatan yang mencukupi selepas tiga bulan. Petugas akan memeriksa kelembapan tanah dan paras pH harian untuk memastikan ia berada dalam lingkungan 5.8 hingga 6.5. Tanah yang terlalu alkali boleh menggalakkan pertumbuhan kulat perosak. Masalah ini boleh diatasi dengan penggunaan EM (Effective Microorganism) untuk menurunkan paras pH. 

Pengurusan Masalah Tanaman

Pokok yang layu akibat kekurangan air atau serangan kulat perlu diganti dengan segera, dan kawasan terjejas perlu dibersihkan. Racun kulat jenis Previcur akan digunakan jika dikesan   serangan kulat. Pekerja juga bertanggungjawab membuang rumpai dan daun-daun mati. 

Proses membersihkan halia muda sebelum dihantar kepada pemborong.

 

Kepentingan Tempoh Penjagaan Awal

Tempoh tiga bulan pertama penjagaan amat kritikal dalam menentukan kejayaan hasil   pengeluaran halia. Sistem fertigasi semi- automatik memudahkan pengurusan pengairan sepanjang tempoh penanaman. Pemangkasan   daun yang layu dan kuning perlu dilakukan secara berkala untuk merangsang pertumbuhan rizom yang sihat. 

Tempoh Penanaman dan Pertumbuhan Halia

Halia mengambil masa kira-kira 4 bulan untuk membesar dengan sempurna. Tunas mula   bercambah selepas 2 minggu ditanam, diikuti pertumbuhan daun dan batang. Pada peringkat ini, kandungan kalium dan nitrogen dalam nutrien perlu dikurangkan untuk menggalakkan   pembesaran rizom. 

Tempoh Penuaian

Penjagaan selama 4 bulan boleh menghasilkan halia muda, manakala tempoh 7 hingga 10 bulan   diperlukan untuk mendapatkan halia matang. Halia matang mempunyai rizom yang lebih besar dengan kulit yang lebih tebal. 

Halia muda mempunyai nilai pasaran yang lebih t inggi, dengan harga sekitar RM6.00 sekilogram dan boleh mencecah RM10.00 sekilogram semasa   musim perayaan. 

Potensi Pengeluaran Halia Kaedah Fertigasi

Setiap rizom benih yang ditanam mampu menghasilkan 3 hingga 5 kali ganda rizom baharu. Purata berat hasil yang diperoleh adalah antara 300 hingga 500 gram bagi setiap perdu tanaman. 

Dengan kaedah fertigasi, tanaman boleh disusun lebih rapat iaitu 15 tanaman per meter persegi, yang mampu menghasilkan 4.5 hingga 7.5 kilogram per meter persegi. Angka ini lebih tinggi berbanding kaedah konvensional yang hanya   menghasilkan 3 - 4 kilogram per meter persegi. 


Penanaman halia secara polibeg yang diusahakan oleh En. Syamir. 

 


Kualiti Hasil Fertigasi

Rizom yang dihasilkan melalui kaedah fertigasi lebih bersih, seragam, dan bebas daripada   kerosakan fizikal kerana proses penuaian tidak melibatkan penggunaan cangkul untuk mengorek hasil. 

Permintaan terhadap halia sentiasa tinggi dengan pelbagai saluran pemasaran yang tersedia. Selain pasaraya, platform e-dagang turut digunakan untuk menjual pelbagai jenis halia termasuk halia muda, halia matang, dan benih halia. 

Cabaran dan Penyelesaian

Kos permulaan yang tinggi merupakan cabaran utama, meliputi penyediaan tapak, sistem   perpaipan, polibeg, dan media tanaman. Namun, kos operasi semasa tempoh penjagaan hanya melibatkan gaji pekerja untuk penyeliaan ladang dan pembersihan berterusan. 

Pengawalan nutrien memerlukan kit ujian digital dan pemasangan aplikasi IoT yang sesuai. Kos elektrik untuk operasi pam air dan nutrien boleh dikurangkan melalui pemasangan sistem tenaga   solar di ladang fertigasi. 


Sistem fertigasi menyediakan tangki, sumber air yang bernutrien, system pam dan juga IOT.

 


Penyediaan media dengan mencampurkan pasir dan sekam padi. 

 


Kesimpulan 

Penanaman halia secara fertigasi membuka peluang kepada lebih ramai usahawan untuk menceburi industri ini sekaligus membantu mengurangkan import halia negara. 

Kaedah ini menawarkan pelbagai kelebihan termasuk hasil yang lebih tinggi, kualiti terkawal, dan penggunaan sumber yang efisien, menjadikannya sesuai untuk usahawan yang ingin mengurangkan risiko berkaitan cuaca dan serangan perosak. 

Walaupun memerlukan pelaburan awal yang agak tinggi, pulangan jangka panjang yang dijanjikan bersama permintaan pasaran yang stabil menjadikan kaedah fertigasi sebagai pilihan strategik untuk masa depan negara.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag