November 04 2024
Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)
Menjadi satu fenomena ketika masuk sahaja musim durian ketika bulan Julai – Ogos, di Malaysia, jutaan peminat durian menzahirkan rasa cintanya kepada Raja Buah kita dengan pelbagai cara.
Aktiviti berkelah di dalam ladang durian, “Durian Ride”, “Durian Hunting”, “Durian Fun Run”, Expo Durian, Pesta Durian, Parti Durian, bermalam di dalam ladang durian dan bermacam lagi aktiviti yang dapat dikembangkan.
Pelbagai aktiviti dijalankan dengan matlamat dapat mengeratkan hubungan antara keluarga, sahabat handai, organisasi syarikat dan juga “Business Entertainment”. Kekuatan durian menjadi magnet di dalam setiap program yang dapat menyatukan serta mengeratkan pelbagai pihak.
Bagi Jabatan Pertanian Negeri Pahang, anjuran program DKP atau “Durian Kampung Premium” menjadi salah satu program utama setiap tahun bagi mencari serta mengenalpasti varieti baru dari durian kampung yang berpotensi melalui pertandingan di setiap daerah. Pelbagai aktiviti dijalankan juga seperti “pocket talk durian”, pesta makan durian, pameran inovasi dan juga demontrasi masakan / produk.
Kupasan artikel pada kali ini akan mengulas secara ringkas perjalanan asas program. Perjalanan setiap program dijalankan di setiap daerah bagi mengenalpasti dengan lebih meluas durian yang patut diketengahkan untuk dikomersilkan melalui iklan di setiap kawasan perkhidmatan mukim secara terbuka kepada semua pemilik durian.
Sampel buah sebanyak 3-4 biji akan dihantar untuk tujuan pendaftaran pertandingan, persampelan fotografi dan juga pernilaian oleh hakim yang terdiri daripada bahagian teknikal iaitu Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Jabatan Pertanian Pahang dan juga Pegawai Pertanian dari semua daerah.
Pernilaian merangkumi aspek rupa bentuk luaran buah seperti saiz buah dengan berat minimum 1kg ke atas, keseragaman/ variasi warna kulit buah, tahap kebersihan buah dan bebas dari penyakit/ perosak.
Bagi keadaan buah yang telah dibuka, aspek keadaan pengisian pangsa dan ketebalan pangsa juga menjadi kriteria pemilihan. Keadaan isi buah juga menekan kepada warna isi buah, keadaan struktur buah seperti kedutan dan juga pernilaian kepada ketebalan isi menjadi ukuran perbandingan.
Aspek yang utama iaitu melalui ujian uji rasa untuk menilai tahap kemanisan, tahap lemak, rasa pahit, struktur isi dan juga keadaan biji buah. Aroma dan rasa juga dinilai bagi mengenalpasti kecenderungan rasa unik seperti aroma/ rasa susu, vanilla, kopi dan lain-lain yang unik. Pemerhatian ciri khas atau ciri unik menjadi ukuran juga di dalam setiap pernilaian.
Bagi pemenang yang memenangi pertandingan ini akan disusuli oleh lawatan ladang oleh pihak pejabat pertanian setempat untuk siasatan serta pengecaman pokok.
Kesan dan Implikasi Program DKP
Melalui program ini, kesan utama yang didapati berlaku perubahan trend kepada corak pasaran kepada buah yang memenanginya. Kebun pemilik menjadi tumpuan ramai serta permintaan kepada bekalan buah menjadi meningkat. Susulan tersebut berlaku peningkatan harga akibat permintaan yang t inggi menjadi bonus kepada pemilik asal. Rentetan itu juga, permintaan kepada bekalan benih juga meningkat dan rantaian ekonomi baru mula tercipta. Inilah kesinambungan awal yang dapat dilihat dan berlaku bagi program DKP Pahang tahun ini.
Bagi varieti yang telah berkembang, pihak Jabatan Pertanian juga akan mengesyorkan pemilik untuk mendaftar varieti secara rasmi.Pendaftaran varieti tanaman bagi Daftar Varieti Tanaman adalah bertujuan untuk mendaftar kepelbagaian varieti yang ditanam di Malaysia. Senarai varieti tanaman adalah merangkumi varieti diketahui umum (common knowledge) termasuklah varieti yang dilindungi di bawah Hak Pembiak Baka. Aktiviti Pendaftaran Varieti Tanaman ini dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Kawalan Kualiti Tanaman, Seksyen Pendaftaran Perlindungan Varieti Tumbuhan (PVP) seperti yang termaktub di bawah Seksyen 4(1)(g), Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 menyatakan bahawa penyimpanan rekod, selain daripada varieti baru yang diberi perlindungan, juga perlu dijalankan.
*Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia
Menurut En. Jamaluddin Othman atau Cikgu Jamal, juara pertandingan DKP 2024 dari Kelompok Durian Jabatan Pertanian Lubuk Hik, Budu dengan Durian Mentega miliknya, program ini dapat membuka mata serta membuka peluang kepadanya serta sahabat kelompok durian di tempatnya.
Pada asalnya, beliau menghantar buah ke pertandingan dengan niat “suka-suka” sambil melihat sejauh mana potensi buah miliknya tanpa menjangka buah miliknya mempunyai ciri-ciri dan kriteria yang terpilih untuk menang. Tanpa disangka, Durian Mentega warisan keluarganya yang berumur lebih 60 tahun menjadi ikon untuk Kg. Lubuk Hik, Budu, Lipis dan menjadi terkenal secara langsung.
Kampung beliau juga yang dahulu sunyi kini menjadi sibuk dengan pengunjung hadir untuk menikmati buahnya dan mencuba jenis durian ahli kelompok yang lain. Fenomena ini tanpa disedari, membuka satu lagi laluan ekonomi setempat yang sangat positif. Akibat tawaran serta permintaan yang tinggi, harga durian ini meningkat 300% daripada harga asalnya dan inilah dinamakan potensi sebenarnya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Daerah Lipis yan banyak memberi sokongan teknikal dan juga moral kepada beliau bersama kelompoknya. “Telefon saya sudah panas kerana dapat banyak panggilan dari banyak pihak yang ingin menikmatinya”, ujar beliau sambil senyum gembira.
Banyak lagi durian yang berpotensi boleh dikembangkan atau perlu digali secara lebih luas. Peningkatan kualiti buah boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan suasana industri durian negara sentiasa konsisten dan bertambah baik.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.