January 07 2025

Dari Kebun ke Pasaran Global

Dari Kebun ke Pasaran Global - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Wizilla Janti Joshua

Lada Sarawak bukan sekadar bahan dapur biasa tetapi merupakan khazanah bernilai tinggi dengan pelbagai potensi untuk diolah menjadi produk inovatif. Bagi pengasas   jenama Nang Ori, Puan Awaeang Kwasin, potensi lada Sarawak bukan sahaja terletak pada kualitinya yang diiktiraf sebagai salah satu lada terbaik di dunia tetapi juga pada   kepelbagaian produk yang boleh dihasilkan daripadanya.

Bermula dengan hanya membawa 1-2 kilogram lada Sarawak sebagai oleh-oleh untuk rakan- rakan di Semenanjung Malaysia pada tahun 1990-an, perjalanan kejayaan Puan Awaeang bukanlah   sesuatu yang mudah. Namun, beliau telah   menjadikan lada Sarawak bukan sahaja sebagai satu produk komersial, tetapi juga simbol warisan dan   usaha gigih masyarakat Dayak. Setelah menyedari bahawa lada Sarawak diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia, seorang anak pekebun lada yang sejak kecil telah membantu ibu bapanya di kebun menjadikan penemuan ini sebagai titik tolak bagi perjalanan   usahanya yang penuh inspirasi.


Puan Awaeang bersama dengan pekebun tempatan di kawasan Padawan. Nang Ori bermaksud "Memang Original" dalam dialek Melayu Sarawak membawa penjenamaan produk yang membawa cerita dan identiti Sarawak di mana ia menggabungkan produk berkualiti tinggi dengan kisah tentang pekebun lada di Sarawak.

 


Nama Nang Ori bermaksud “Memang Original”   dalam dialek Melayu Sarawak. Ia telah didaftarkan sebagai jenama yang membawa lada Sarawak ke pentas antarabangsa. Bagi Puan Awaeang, lada   Sarawak merupakan khazanah bernilai tinggi, tetapi persoalannya, mengapa Sarawak tidak menghasilkan produk-produk berasaskan lada seperti di   Semenanjung? Ini mendorong pengasas Nang Ori untuk mengambil cabaran memperkenalkan lada Sarawak kepada pasaran yang lebih luas. Beliau memulakan usaha pembangunan dan penjenamaan produk berasaskan lada dengan menghantar   500 kilogram lada ke Semenanjung. Idea untuk   mencipta produk berasaskan lada muncul ketika   beliau mula menyedari bahawa pasaran   memerlukan lebih daripada sekadar lada mentah. 

Pada mulanya, beliau membungkus lada secara manual di pejabat kecil di Puchong, di mana setiap bungkus lada diproses dalam bentuk biji segar dan dijual kepada pengguna. Permintaan meningkat apabila pengguna lebih menggemari produk lada yang siap digunakan seperti lada yang telah   dikisar dan dipaketkan dalam bentuk yang lebih praktikal. Pada peringkat awal, jualan dilakukan di Pasar Borneo Seri Kembangan, dan sedikit demi   sedikit, penerimaan pengguna mula meningkat.


Di antara produk inovasi Nang Ori ialah teh serta kopi lada hitam dan juga gel minyak urut lada hitam yang memanfaatkan khasiat lada hitam untuk kegunaan perubatan dan kecantikan. Produk-produk ini boleh di dapati di pasaran tempatan dan juga antarabangsa seperti di Singapura, Brunei, Jepun, China, Amerika Syarikat, dan Jerman.

 


Melalui pemerhatian di ekspo-ekspo pertanian,   inspirasi Puan Awaeng untuk mencipta produk   berasaskan lada semakin berkembang. Contoh- contoh produk seperti teh serai memberi idea   kepada beliau untuk bereksperimen dengan   inovasi lada. Salah satu hasil inovasi terawal   adalah gel minyak urut lada hitam yang   memanfaatkan khasiat lada hitam untuk kegunaan perubatan dan kecantikan. Ini diikuti dengan produk kosmetik berasaskan lada hitam dan juga teh serta kopi lada hitam. Produk-produk ini memanfaatkan lada hitam yang bersifat anti-radang, penenang,   antioksidan dan dapat membantu pencernaan serta meningkatkan metabolisme badan. Menurut beliau, kesemua produk-produk ini memerlukan masa   untuk diformulasi dengan betul melalui proses   cubaan dan pembaikan dan bukanlah sesuatu yang hanya dicipta dengan sekelip mata saja. 

Kini, Nang Ori telah membawa produk-produk   berasaskan lada ini bukan hanya ke pasaran   tempatan tetapi juga ke pasaran antarabangsa   seperti Singapura, Brunei, Jepun, China, Amerika Syarikat, dan Jerman. Melalui penjenamaan yang kuat, produk-produk ini tidak hanya dijual sebagai komoditi tetapi sebagai produk yang membawa   cerita dan identiti Sarawak.

Menurut Puan Awaeng, para pengguna di luar negara amat tertarik   dengan konsep ini, di mana ia menggabungkan   produk berkualiti tinggi dengan kisah tentang   pekebun lada di Sarawak. Ini menjadikan produk Nang Ori lebih daripada sekadar barang dagangan. Ia juga merupakan satu medium untuk   memperkenalkan budaya dan usaha komuniti Dayak kepada dunia. 

Setiap kisah kejayaan pasti disertai cabaran yang tersendiri. Pada peringkat awal, jenama Nang Ori menghadapi pelbagai cabaran di pasaran tempatan. Ini kerana produk ini mendapat pendedahan yang kurang dan menyebabkan ia kurang mendapat   sambutan. Ia juga sukar menembusi pasaran tanpa pensijilan yang diiktiraf. Namun, setelah   memperoleh pensijilan halal pintu pasaran semakin terbuka luas. 

Selain itu, keyakinan pengguna dan masyarakat sekeliling terhadap produk ini juga pada mulanya agak rendah. Namun bagi Puan Awaeng, pandangan ini dijadikan peluang untuk   penambahbaikan. Sebagai sebuah Perusahaan   Kecil dan Sederhana (PKS), Nang Ori turut berdepan kekangan kewangan yang membatasi usaha   untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.   Meskipun demikian, cabaran-cabaran ini menjadi batu loncatan dalam perjalanan kejayaan mereka.


Produk terbaru Nang Ori adalah lada berasaskan konsep kelestarian tanpa penggunaan bahan kimia. Ia diambil terus dari pekebun lada di Ulu Katibas.

 


Untuk cabaran di peringkat global pula, persaingan dengan lada dari negara seperti Vietnam, Kemboja, India, dan Brazil telah menjadi motivasi kepada Puan Awaeng untuk menonjolkan lada Sarawak melalui kualiti unggul dan inovasi produk. Ini   menjadikannya lebih unik dan berdaya saing di   pasaran global. Produk seperti gel minyak urut lada hitam dan kosmetik lada hitam merupakan contoh bagaimana Nang Ori menggunakan kreativiti untuk bersaing di pasaran yang lebih kompetitif. Selain itu, cabaran logistik seperti kenaikan kos pasca-COVID juga memberi tekanan kepada operasi harian.   Namun, dengan pasukan yang berdedikasi, Nang Ori terus mencari jalan untuk mengembangkan produk baru yang berasaskan lada dan memenuhi   permintaan pengguna tempatan dan global. 

Puan Awaeng bukan sahaja membawa lada jenama Nang Ori ke pasaran global. Beliau turut berkongsi rezeki dengan berusaha untuk membawa manfaat produk berasaskan lada kepada masyarakat di   Sarawak, terutamanya ibu tunggal. Beliau memberi peluang kepada wanita-wanita di Sarawak untuk menjadi ejen jualan produk. Melalui pendekatan ini, ibu tunggal diberi peluang menjalankan   perniagaan dari rumah, menjual produk-produk seperti lada hitam yang dikisar, gel minyak urut lada hitam dan produk kosmetik berasaskan lada.


Puan Awaeng menyaksikan sendiri kesusahan pekebun-pekebun tempatan yang menjual lada bukan untuk mengejar kekayaan tetapi demi menyara keluarga dan memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan.

 


Para ejen bukan sahaja memperoleh komisen daripada setiap jualan tetapi mereka juga diberi latihan serta sokongan untuk membina kemahiran pemasaran. Ini sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup   mereka. Tambahan, bagi Puan Awaeng, ini bukan hanya soal menjual produk semata-mata tetapi ia adalah tentang memperkasakan individu,   terutamanya para ibu tunggal melalui peluang   perniagaan kecil yang boleh dijalankan dari rumah sambil membina jaringan komuniti yang saling   menyokong. 

Produk terbaru Nang Ori adalah lada berasaskan konsep kelestarian tanpa penggunaan bahan kimia. Ia diambil terus dari pekebun lada di Ulu Katibas, sebuah kawasan pedalaman Sarawak yang hanya boleh diakses melalui perjalanan bot selama   empat jam. 

Puan Awaeng menyaksikan sendiri   kesusahan pekebun-pekebun tempatan yang   menjual lada bukan untuk mengejar kekayaan tetapi demi menyara keluarga dan memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan. Bagi Puan Awaeng, para pekebun ini bukan sekadar rakan niaga, malah dianggap seperti ibu bapa yang perlu dilindungi. 

Oleh itu, beliau komited membeli lada terus   daripada mereka dan membantu memperbaiki taraf ekonomi komuniti tempatan. Berbanding lada   mentah yang harganya sering turun naik, produk runcit berasaskan lada yang dihasilkan oleh Nang Ori menawarkan kestabilan harga. Ini   menjadikannya lebih berdaya saing dan   menguntungkan untuk pekebun dan pengguna.

Dengan pelbagai produk inovatif yang telah   dihasilkan, Nang Ori membuktikan bahawa lada Sarawak bukan sekadar rempah ratus tetapi satu sumber yang penuh potensi. Impian Puan Awaeng untuk melihat produk-produk berasaskan lada   Sarawak dijual di seluruh dunia semakin hampir menjadi kenyataan. 

Dengan usaha gigih dan   semangat inovasi beliau, lada Sarawak kini bukan   sahaja diakui sebagai yang terbaik di dunia, tetapi juga menjadi asas kepada pelbagai produk yang membawa manfaat kesihatan dan kecantikan. Perkongsian rezeki melalui ejen ibu tunggal bukan sahaja memperluaskan rangkaian jualan produk tetapi turut memperkasa komuniti, menjadikan   usaha ini satu contoh kejayaan dalam   menggabungkan perniagaan dengan   tanggungjawab sosial.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag