August 15 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
El Nino membawa bencana kemarau di merata tempat di dunia tetapi lain pula berlaku di utara tanahair. Kesan kemarau yang panjang meransang untuk tanaman mempelam (Mangifera indica) berbunga lebat. Musim kering juga mempengaruhi kelekatan buah kerana kulat kulapuk hitam Meliola mangiferae dan hawar bunga Colletotrichum gloeospoides yang biasanya menyerang bunga pada musim hujan tidak aktif. Petani di Perlis dan Kedah mendapat hasil tuaian yang besar bagi tanaman mempelam kesan dari prestasi buah yang baik.
Perlis yang memang sejak lama terkenal dengan varieti Harumanis (MA 128) menjadi meriah dengan pelancong dan rakyat tempatan meraikan musim mempelam masak. Di Kedah tidak kurang meriahnya dengan Pesta Mempelam 2024 anjuran Jabatan Pertanian Kedah dan tuaian pelbagai varieti mempelam seperti Harumanis, Sala dan Chokanan.
Suasana bertambah panas dengan komen-komen yang dimuat naik di media massa dan media sosial mengenai mempelam siapa lebih baik sehingga tercetusnya apa yang disebut Perang Harumanis. Kehangatan bermula apabila Menteri Besar Kedah yang terkenal dengan komenkomen pedas dan sinisnya membuat kenyataan Harumanis D’Aman, varieti harumanis yang ditanam di Kedah dan baharu sahaja dijenamakan semula lebih berkualiti dan mendapat permintaan dari pembeli, meninggalkan ‘80 tiang’ berbanding harumanis yang ditanam di Perlis. ‘80 tiang’ adalah jargon di kalangan mat rempit yang berlumba motosikal merujuk kepada jarak di antara tiang elektrik yang ditinggalkan oleh pesaingnya.
Tanah Perlis Mengandungi Lebih Kalsium & Magnesium
Komen ini diterasa hati oleh pihak-pihak yang berkenaan di Perlis termasuklah oleh Menteri Besarnya. Mengikut Menteri Besar Perlis, kedudukan Perlis sebagai pengeluar utama harumanis sukar digugat negeri lain termasuk Kedah yang bersempadan dengan Perlis dan mempunyai cuaca dan jenis tanah yang hampir serupa. Kedua negeri ini mengalami musim kemarau nyata bagi daerah-daerah berdekatan dengan Perlis dari pertengahan Disember hingga hujung April tiap tahun.
Situasi kemarau sangat kondusif untuk pembungaan dan pembuahan mempelam pelbagai varieti. Namun Perlis lebih sesuai untuk tanaman mempelam kerana kandungan kalsium dan magnesium dalam tanahnya yang lebih tinggi berpunca dari taburan bukit batu kapur di seluruh negeri membuatkan hasil harumanisnya lebih manis, kulit yang cantik dengan rasa dan bau yang tersendiri.
Mengikut Razali Saad, Exco Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perlis terdapat seluas 1700 hektar kawasan bertanam dengan mempelam harumanis di Perlis berbanding di Kedah yang baru mencapai 100 hektar. Dibantu dengan pengalaman, teknologi dan pengetahuan saintifik menanam harumanis semenjak tahun 1980-an, kedudukan Perlis sebagai pengeluar harumanis sukar digugat. Lagipun tidak apa yang perlu direbut kerana permintaan bagi harumanis Perlis gred premium adalah lebih tinggi dari penawaran buah yang dapat dihasilkan. Harga yang amat baik juga diperolehi, antara RM45-50 sekilogram berbanding harga Harumanis Kemboja yang dibawa masuk dari Thailand yang dijual dengan harga RM10 bagi setiap 3 kilogram.
Buah off-gred harumanis juga tidak cukup bagi pengeluaran produk hiliran harumanis seperti kordial, puri dan jus siap untuk diminum. Kesediaan pengguna sanggup membayar harga sebegitu menunjukkan kualiti buah harumanis Perlis yang sangat berkualiti dan tiada gantian dengan mempelam varieti lain. Permintaan untuk eksport juga sangat besar dan belum boleh dipenuhi terutama dari Jepun yang sanggup membayar sehingga RM100 perkilogram bagi harumanis gred premium dari Perlis. Bagi rakyat yang tidak sanggup membayar dengan harga sebegitu boleh memilih untuk menikmati mempelam varieti lain yang jauh lebih murah dan tidak ketinggalan dari segi rasanya.
Umum mengetahui kedua-dua Menteri Besar ini adalah dari kecenderungan fahaman politik yang sama. Segala yang dikomen antara dua negeri ini lebih bersifat gurauan kasar yang menjadi kebiasaan bagi orang-orang di utara. Kerjasama di antara dua negeri ini memang akrab dari dulu lagi seperti projek MADA (Muda Agriculture Development Authority) misalnya bukan sahaja berada di Kedah malah menganjur hingga ke Perlis. Jadi Perlis tidak mempunyai masalah untuk berkongsi maklumat saintifik mengenai harumanis yang di pelopori oleh UniMAP (Universiti Malaysia Perlis) dalam penanaman, pegurusan lepas tuai, produk hiliran dan kajian untuk inovasi masa depan. Dari segi pengetahuan dan teknologi nampaknya Kedah yang ketinggalan ‘80 tiang’ dari Perlis.
Harumanis (MA128) berasal dari Sungai Nibong, Kuala Selangor dan didaftarkan pada tahun 1971 di Selangor dan diperkenalkan kepada negerinegeri di utara oleh Jabatan Pertanian Kedah/ Perlis. Berdasarkan karakter dan kualitinya yang baik, ia dikomersialkan di Perlis yang sedang mencari satu tanaman yang sesuai untuk diusahakan petani di kawasan tanah yang kering dan mengalami kemarau panjang.
Sepokok Harumanis Boleh Hasil 200-300 Biji Semusim
Mempelam harumanis di Perlis dan Kedah berbunga setiap tahun setelah mendapat ransangan kemarau bermula Disember/Januari dan dapat dituai sekitar bulan April-Mei kira-kira 60 hari selepas terbentuknya putik buah bersaiz ukur lilit 16-19mm dan mula dibungkus bagi mencegah dari serangan lalat buah. Musim menuai ini hanya berlangsung selama 4 - 6 minggu sahaja.
Sepokok mempelam harumanis yang produktif mampu mengeluarkan kira-kira 200 - 300 biji sahaja semusim dengan pelbagai gred, dengan berat tiap sebiji antara 350g hingga 500g. Jika prunning buah dijalankan, kemungkinan untuk mendapatkan gred premium dan gred A yang lebih banyak adalah tinggi. Kini kajian sedang dijalankan oleh UniMAP, NCIA (Wilayah Ekonomi Koridor Utara) dan sebuah syarikat swasta bagi menghasilkan buah mempelam harumanis sepanjang tahun dengan menamannya di bawah struktur pelindung hujan (greenhouse). Jika berjaya, harumanis segar akan boleh diperolehi sepanjang tahun.
Pusat Teknologi Mempelam Kedah Menjadi Tumpuan
Di Kedah, Pesta Mempelam 2024 Jabatan Pertanian Kedah telah mendapat sambutan dan membuka mata pengunjung mengenai industri mempelam. Pusat Teknologi Mempelam seluas 4.8 hektar ini dijenamakan semula sebagai pusat pemasaran produk mempelam Harumanis D’Aman dan menjadi salah satu lokasi yang wajib dilawati pelancong yang berkunjung ke Kedah.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi ketika merasmikan Majlis Penjenamaan Semula Pusat Teknologi Mempelam Sala Kanan kepada Pusat Mempelam Kedah berkata Kedah bakal menjadi pembekal mempelam harumanis terkemuka dengan kempen menanamnya di seluruh negeri. Kini Jabatan Pertanian Kedah sedang mengagihkan bekalan benih tulin kepada petani yang berminat.
Mempelam Harumanis Kedah yang dijenamakan sebagai Harumanis D’Aman sudah mendapat perhatian dan permintaan peniaga dan pengguna di seluruh negara dan mampu menandingi negeri lain dalam pengeluaran mempelam harumanis. Terdapat 503 pokok mempelam di Pusat Mempelam Kedah, ada yang berumur lebih dari 20 tahun dengan 111 varieti dari dalam dan luar negara. Ini adalah koleksi germplasma mempelam yang terbesar berada pada satu tempat bagi tujuan penyelidikan dan pengembangan industri mempelam di Malaysia.
Petani yang berminat untuk mengembangkan varieti tempatan, klasik dan antarabangsa boleh mendapatkan bekalan mata tunas untuk dibuat cantuman mata tunas atau cantuman baji di sini. Antara varieti lokal yang ada ialah Alfonso, Golek/Foo Fatt, Irwin UPM, Intan Shafinaz, Rim Green dan Sala/Tok Nuih. Manakala varieti antarabangsa pula ialah Carabao, Nam Dok Mai, Tong Dam, Kiew Savoy dan Irwin.
Pusat ini juga akan menjadi pusat pengumpulan dan pemasaran Harumanis D’Aman yang ditanam di seluruh Kedah. Sepanjang pesta mempelam yang dikendalikan oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian Kedah ini, pengunjung disediakan dengan pelbagai aktiviti menarik.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.