May 29 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Pengenalan : Sawit Bukan Endemik Malaysia
Kelapa sawit telah diperkenalkan di Malaysia sebagai tanaman ladang oleh seorang planter Perancis, Hendry Fauconnier di Tennamaran Estate, Batang Berjuntai, Selangor pada tahun 1917. Benih asal yang diperolehi dari Nigeria, Afrika Selatan diperkenalkan kepada British Malaya seawal tahun 1870-an lagi. Lebih dari 100 tahun berlalu, ladang kelapa sawit telah berkembang sehingga melebihi 6 juta hektar di seluruh negara dengan pengeluaran tahunan sebanyak hampir 19 juta tan metrik minyak sawit mentah (MSM).
Industri ini menjadi asas bagi perkembangan ekonomi Malaysia dengan menyumbang sekitar 5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (Gross Domestic Product) negara.
Bermula hanya dengan produk minyak masak kini minyak sawit berkembang menjadi minyak sayuran yang paling banyak digunakan di seluruh dunia dan asas kepada majoriti produk yang ada di rak-rak pasar raya.
Orang Eropah Mula Berladang Sawit di Malaya
Pada era kolonial, syarikat besar yang berdagang getah di pasaran dunia seperti Sime Darby telah mula beralih melabur dalam industri sawit dan koko apabila melihat potensi masa hadapannya yang sangat cerah.
Sehingga tahun 1960-an, Malaysia menjadi peneraju dalam perdagangan minyak sawit dunia tanpa banyak halangan. Ini semua terjadi kerana pemilikan syarikat besar yang berdagang komoditi getah dan sawit dimiliki oleh pedagang British. Sehingga 1974, 17 tahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, United Kingdom masih lagi menjadi pelaburan langsung asing (FDI) yang terbesar di Malaysia.
Bermula 1976, pengambil-alihan Sime Darby oleh pemilik tempatan diikuti oleh syarikat-syarikat lain sehingga 1983 seperti Guthrie (1981), Barlow Bousted (1982), Harrison dan Crossfield (1983) telah mengurangkan FDI United Kingdom. Memalaysiakan syarikat milik penjajah yang bermula turun-temurun dari zaman kolonial memenuhi semangat patriotik setiap anak negara. Pada masa yang sama telah menghapuskan penglobi-penglobi (lobbyist) perniagaan di peringkat dunia yang dimainkan oleh pewaris syarikat-syarikat British tadi melalui nama keluarga mereka yang terkenal dalam pelbagai persatuan perniagaan Eropah.
Tambahan pula, Malaysia mengalami kecelaruan politik sehingga pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab tidak mempunyai pengetahuan, pengalaman dan rapport yang baik di peringkat perdagangan komoditi antarabangsa. Kelemahan ini diambil oleh segelintir pedagang atas nama badan bukan kerajaan (NGO) bagi melobi ahli-ahli parlimen negara-negara dalam blok Kesatuan Eropah untuk membatasi kuasa pasaran sawit atas nama kepentingan petani minyak sayuran mereka dan mempertahankan hutan yang dituduh kononnya dicabul demi kepentingan ekonomi melalui industri sawit.
Mengapa sawit dicemburui?
Sawit adalah tanaman perennial yang ditanam di kawasan tropika yang berupaya memberi hasil sepanjang tahun tidak seperti tanaman di kawasan temperat (4 musim) yang sangat terhad tempoh pengeluarannya. Putaran tanamannya juga sangat panjang, menjangkau hayat 25 tahun sebelum ditanam semula. Ini memberikan kos penanaman per tahun yang sangat rendah berbanding tanaman anual lain. Hasil minyaknya juga sangat tinggi iaitu 3.5 metrik tan sehektar setahun, paling tinggi di kalangan tanaman penghasil minyak dan lelemak untuk makanan.
Pesaing terdekatnya ialah bunga matahari sebanyak 0.8 mt per hektar. Pengeluarannya di negara membangun tidak memerlukan kadar upah yang tinggi. Sifat-sifat ini meletakkan sawit untuk berada pada tahap terbaik berbanding pesaingnya dalam kategori minyak makanan seperti soya, bunga matahari, jagung dan kanola dari segi kos pengeluaran per metrik ton. Ini menjadikan minyak sawit mentah (MSM) pilihan terbaik bagi kilang penapis dan pengilang makanan.
Selain itu sawit mempunyai nilai khasiat pemakanan yang lebih baik berbanding minyak sayuran lain dan sifat-sifat terbaik dalam pemprosesan seperti tahan suhu yang tinggi, jernih dan tidak mudah bertukar warna. Sehingga suatu inovasi baru ditemui, tidak mungkin minyak sayuran lain dapat menandingi sawit dari segala segi.
Sekatan ekonomi hanyalah satu-satunya kaedah bagi menyekat kemaraan sawit dalam persaingan dengan minyak sayuran lain.
Apa itu Europian Union Deforestation-Free Regulation (EUDR)?
Mengikut tafsiran, peraturan ini adalah untuk membuat pembaikan dalam rantaian pembekalan yang mampan di mana setiap syarikat akan memainkan peranan bagi mencegah pemusnahan hutan, secara langsung menghalang perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti. Kerangka polisi ini adalah bagi mengatasi kesan kepada alam sekitar dari pemusnahan hutan, sebahagian dari Peraturan Hijau EU selari dengan strategi yang lebih luas suntuk melindungi hutan di seluruh dunia.
Sesuatu produk akan diklasifikasi sebagai bebas pemusnahan hutan jika syarikat melaksanakan amalan mendapat bekalan yang mampan dan boleh dikesan asal usulnya. Ini bagi memastikan rangkaian bekalannya untuk mengadakan suatu produk t idak menyumbang kepada pemusnahan hutan (deforestation). Dengan mempromosi ketelusan dan akauntabiliti dalam pengeluaran komoditi utama, EU berhasrat mengurangkan tekanan terhadap hutan dan melindungi biodiversiti.Peraturan ini akan dikuatkuasakan menjelang Januari, 2025.
Melindungi Alam Sekitar atau Melindungi Periuk Nasi Sendiri?
Malaysia berpendapat Delegasi EU ini lebih bersifat melindungi produk mereka sendiri. Alasan merujuk kepada mempertahankan kemusnahan hutan adalah langkah mencari alasan supaya produk sawit t idak dapat masuk ke Eropah dan bersaing dengan minyak bijirin mereka. Terkini EU melarang biofuel berasaskan kelapa sawit dari disenaraikan sebagai bahan api Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy Directive Recast - RED II) dengan alasan dikeluarkan atas korban hutan hujan tropika dan tanah yang tidak dirancang untuk pengeluaran biofuel (Indirect Land Use Change - ILUC).
Semenjak 2021, Malaysia telah mengadu kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melawan EU, Perancis dan Lithuania kerana sekatan ini bersifat diskriminasi terhadap negara-negara pengeluar sawit dunia dan melanggar peraturan perdagangan antarabangsa.
Oleh kerana hampir 85% minyak sawit mentah dan biofuel berasaskan sawit dikeluarkan di Malaysia dan Indonesia, sekatan ini nampaknya ingin memberi masalah kepada 2 negara yang mempunyai penduduk Islam teramai ini berikutan kelantangan mereka dalam isu penganiayaan Israel terhadap Palestine.
Malaysia Memenangi 10 dari 20 Kes Mengenai Penindasan Perdagangan Komoditi?
Pada Mac, 2024, WTO membuat kesimpulan, sekatan EU terhadap minyak sawit dan biofuel berasaskan sawit sememangnya bersifat diskriminasi. Malaysia memenangi 10 kes dari 20 kes yang dikemukakan. 10 kes lagi memihak kepada EU.
Laporan WTO jelas membuat kesimpulan EU bersalah dalam isu penggunaan tanah bagi pengeluaran bahan biofuel (ILUC) bagi mengeluarkan biofuel sawit dari senarai bahan api boleh diperbaharui (REDII). WTO dengan jelas membuat kesimpulan EU membuat sekatan tanpa bijaksana dan membuat diskriminasi sewenang wenangnya yang tidak boleh dibenarkan terhadap Malaysia.
Panel WTO berpendapat kajian EU terhadap ILUC menggunakan data 2008 dan 2016 sudah ketinggalan zaman dan tidak memberi persepsi yang tepat. EU juga didapati mengadakan rundingan dengan kepentingan ekonomi lain dengan menggunakan kayu-ukur yang berbeza-beza mewujudkan diskriminasi dan ketidakadilan.
Bersediakah Malaysia Untuk Menghadapi EUDR?
Sebagai langkah untuk mematuhi syarat ini, kerajaan Malaysia telah mengadakan audit dan mengeluarkan sijil bagi ladang dan kilang pemprosesan minyak sawit mentah (MSM) yang mematuhi syarat pengeluaran mampan dengan sijil MSPO (Malaysian Sustainable Palm Oil). Difahamkan 95% syarikat yang terlibat dengan industri sawit lulus dan diberi sijil MSPO.
Bagi syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby, KL Kepong, Guthrie selain MSPO, mereka bersedia dengan satu lagi sijil yang diterima di peringkat global: RSPO - Rountable on Sustainable Palm Oil. Di mana pensijilan RSPO hanya dimiliki oleh estet-estet besar, MSPO adalah lebih wajar bagi persekitaran Malaysia kerana ia turut melibatkan pekebun kecil sawit.
Bagaimana Jika Malaysia Tidak Mengeksport Minyak Sawit Mentah Ke EU?
Sekiranya pertikaian antara Malaysia dan EU tidak dapat diselesaikan, ia bukanlah pengakhiran bagi industri sawit Malaysia. Lebih banyak negara yang kurang memberi tekanan kepada masalah alam sekitar dan masalah buruh bersedia menjadi pasaran baru minyak sawit dan biofuel Malaysia.
Hubungan baik kerajaan dengan negara-negara Islam di Asia Barat, Utara Afrika telah membuka laluan pasaran baru bagi produk sawit Malaysia.
China sebagai pengguna terbesar kini juga sedia membeli dengan lebih banyak produk sawit sempena ulangtahun hubungan diplomatik Malaysia-China. Pengisytiharan produk trikenol dalam senarai ubatan dan produk kesihatan China membuka pasaran besar bagi hasil teknologi tinggi produk berasaskan sawit di negara Tembok Besar ini.
India juga bercadang meningkatkan kuota beliannya apabila harga minyak bunga matahari semakin meningkat. Harapan memasuki EU masih terbuka melalui Belanda apabila Perdana Menterinya berhasrat menjadi orang tengah dalam perang komoditi antara Malaysia dan EU.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.