August 07 2025

Penternakan Angsa Untuk Telur Perkarangan Rumah

Penternakan Angsa Untuk Telur Perkarangan Rumah - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim bin Md Yusob

Penternakan itik dan angsa boleh dijadikan sebagai hobi sekaligus sumber pendapatan tambahan, terutamanya jika kawasan sekitar rumah cukup luas. Aktiviti ini semakin popular kerana kedua-dua haiwan ini bukan sahaja menghasilkan daging dan telur berkualiti, malah membantu mengawal perosak dan pertumbuhan rumput. 

Seorang guru dari Lambor Kiri, Perak, Cikgu Marzuki, telah menceburi ternakan angsa untuk penghasilan telur sejak 2021. Beliau memelihara 50 ekor angsa di kawasan rumah seluas 4,200 kaki persegi, dengan menyediakan reban khusus untuk ternakannya.

Kemudahan Ternakan

Tempat yang dipilih perlulah mengambil kira   kawasan sekitar. Kawasan perlulah luas dan   membolehkan angsa bergerak bebas serta tidak menimbulkan masalah kepada jiran dan penduduk setempat. Kawasan ternakan perlulah dilingkungi dengan penghadang atau pagar yang sesuai, dan bebas daripada ancaman haiwan pemangsa seperti biawak, ular dan lain-lain binatang pemangsa. 

Cikgu Marzuki membela 50 ekor angsa dan keluasan kawasan rumah memadai untuk menempatkan ternakan angsa beliau. 

Beliau juga menyediakan sebuah reban yang dibina daripada kayu dan dilengkapi dengan dawai jaring untuk memastikan pengudaraan yang baik. Lantai reban adalah daripada konkrit dan boleh dicuci dengan mudah setiap dua hari sekali. Bumbung reban juga perlu kalis air supaya angsa dilindungi daripada hujan dan panas terik. 

Dalam kawasan ternakan juga ditempatkan sebuah kolam yang berisi air mengalir untuk membolehkan angsa berenang. Penyediaan kolam air ini juga memastikan angsa berkualiti dan sihat. Selain daripada kolam air, kawasan ternakan juga perlu mempunyai sistem saliran yang baik untuk memastikan kebersihan kawasan ternakan dan dapat mengelakkan pembiakan penyakit. 

Kawasan yang dipilih untuk ternakan angsa perlulah tidak boleh dimasuki oleh haiwan pemangsa seperti ular, biawak, musang atau lain-lain binatang buas. Kawasan juga perlulah kerap dibersihkan daripada belukar, lalang dan rumpai yang boleh menjadi tempat persembunyian haiwan pemangsa. 

Penyediaan Anak Angsa

Anak angsa yang telah dibeli dari pembekal perlulah mendapat penjagaan yang baik untuk tempoh 8 bulan. Anak angsa boleh dibeli daripada pasaran dengan harga RM80 seekor ketika anak angsa berusia sehari. 

Anak angsa yang dibawa balik perlulah diletak dalam sebuah tempat khas yang dilengkapi dengan pemanas dan sistem ventilasi yang baik. Lapisan lantai tempat anak angsa juga perlu diletakkan habuk kayu untuk memastikan anak angsa dilindungi daripada kesejukan melampau dan bersih daripada kotoran yang boleh membawa penyakit. 


Cikgu Marzuki, mengusahakan angsa di sekeliling rumah sejak tahun 2021.

 


Pemilihan Baka Angsa

Terdapat beberapa baka angsa yang sesuai diternak di Malaysia. Antara baka yang digemari adalah Angsa Embden, Angsa Toulouse dan Angsa China. 

Cikgu Marzuki menternak angsa baka Embden. Baka ini menjadi pilihan kerana ia besar, cepat   membesar, dan mudah dijaga. Angsa betina boleh mengeluarkan telur antara 30 hingga 40 biji   setahun. 

Dalam tempoh penjagaan sehingga berusia 1 bulan, anak angsa perlu mendapat makanan awalan berbentuk dedak halus daripada jagung, soya atau gandum. 

Anak angsa perlu dipantau supaya pembesaran tidak terbantut dan tidak diserang penyakit. Untuk memastikan anak angsa sihat sepanjang tempoh pembesaran, vaksin juga diberikan dan kaedahnya adalah dengan memasukkan vaksin dalam minuman angsa. 

Di dalam kandang khas ini juga perlu disediakan tempat pemakanan dan minuman yang mencukupi, dan rutin memberi makan dan minum perlu dibuat secara berterusan setiap hari, sebanyak dua kali sehari sehingga anak angsa cukup besar untuk dilepas bebas. 

Anak angsa yang sudah remaja selepas 21 hari bolehlah dipindahkan ke kawasan reban yang lebih besar sehingga ke peringkat   penghasilan telur dan seterusnya boleh dijadikan angsa pedaging. 

Keluasan Kawasan Ternakan

Angsa memerlukan keluasan 2 hingga 3 meter persegi setiap ekor. Kawasan yang diternak perlulah mempunyai ruang yang cukup untuk angsa bergerak dan bebas daripada belukar dan jenis tumbuhan yang menghalang pergerakan angsa. 

Oleh kerana angsa mengeluarkan bunyi, penempatan yang dipilih tidak boleh mengganggu penduduk setempat. Najis angsa juga tidak boleh menimbulkan kebusukan, dan perlu sentiasa dicuci, terutamanya di kawasan kandang. 

Kawasan ternakan angsa juga perlu disediakan pagar yang boleh menghalang kemasukan   binatang buas seperti ular, biawak dan anjing liar. Tinggi pagar sekurang-kurangnya 1.5 m dan perlu sentiasa dipantau daripada kerosakan dari semasa ke semasa. 


Ruang khas untuk membolehkan air disiram ke atas angsa ketika cuaca panas.

 


Penyediaan Kandang

Kawasan di mana angsa dibela dipagari dengan tembok batu setinggi 1.5 m, yang sememangnya menjadi tembok kawasan rumah Cikgu Marzuki. Tembok ini boleh menghalang kemasukan binatang pemangsa dari luar. 

Cikgu Marzuki menyediakan lantai tanah di dalam kawasan kandang angsa, dan kawasan terbuka adalah tanah berpasir untuk memudahkan kerja pembersihan dilakukan. 

Di sekeliling kandang juga disediakan sistem saliran yang boleh mengalirkan kotoran dan najis ke kawasan kumbahan berhampiran. Beliau juga mengelakkan kotoran daripada mengalir ke   longkang atau parit sedia ada bagi menghalang pencemaran sistem perparitan di kawasan sekeliling rumah. 

Kandang juga perlu mendapat cahaya matahari dan pengudaraan yang baik. Kawasan sekitar kandang terdapat pohon kelapa sawit yang tinggi yang boleh mengawal suhu agar tidak terlalu panas pada waktu siang. Cahaya matahari dan pengudaraan yang baik boleh menghalang kelembapan tinggi yang boleh membiakkan bakteria atau kuman pembawa   penyakit. 

Di dalam kandang tidak diletakkan tempat makan dan minum kerana tempat makan dan minum terletak di kawasan terbuka, dan angsa boleh mendapat makanan semasa mereka bergerak bebas. 

Kandang juga menyediakan tempat khas untuk angsa bertelur dan ruang tempat bertelur   dilapisi dengan habuk kayu atau jerami padi, yang perlu sentiasa diganti untuk memastikan kebersihan sentiasa terjaga. 

Jenis Pemakanan

Pemakanan untuk angsa diperoleh secara semula jadi atau melalui bekalan dedak dari pasaran. Cikgu Marzuki menyediakan makanan asas seperti dedak, jagung hancur, nasi dan sisa makanan. Semasa masih kecil, anak angsa perlu diberikan dedak yang boleh dibeli di pasaran dengan harga RM140 setiap kampit 50 kg. 

Tempat angsa menetaskan telur, dan mudah untuk dikumpulkan.

 

Setiap bulan beliau menyediakan 2 kampit dedak untuk diberi kepada 50 ekor angsa. Setelah angsa meningkat dewasa, makanan   tambahan lain boleh diberi. Makanan tambahan semula jadi termasuklah cacing, siput dan serangga yang terdapat di kawasan ternakan. 

Sayuran dan buangan makanan yang sesuai juga boleh diberi, termasuklah kangkung dan tumbuhan akuatik yang sesuai seperti kiambang dan paku air. Tumbuhan ini boleh ditanam dengan mudah di kawasan kolam air yang disediakan. 

Penyakit Ternakan Angsa

Angsa terdedah kepada penyakit termasuklah kolera angsa, selesema burung, keracunan toksin bakteria, serangan cacing dan jangkitan kulat. Antara simptom angsa mengalami penyakit termasuklah angsa yang lemah dan lesu, bengkak pada muka dan sendi, najis cair dan berbau busuk, bersin dan batuk, nafas berbunyi dan kesukaran bernafas, bengkak kepala dan leher, lumpuh secara perlahan-lahan, angsa tidak boleh berdiri dan leher terkulai, tidak dapat menelan dan minum air serta kematian mengejut tanpa sebarang simptom. 

Kawalan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan kurangnya penyakit. Angsa perlu disuntik antibiotik dan diberikan Enrofloxacin dalam minuman. Kawasan ternakan perlu sentiasa bersih, serta dikawal daripada kemasukan tikus yang boleh membawa bakteria. 

Sekiranya terdapat angsa yang sakit, ia perlu dikuarantin dan perlu   segera dimaklumkan kepada pihak veterinar. Angsa juga perlu diberikan vitamin dan elektrolit untuk menguatkan sistem imun. 

Penjagaan kandang adalah penting supaya sentiasa bersih dan bebas dari pencemaran najis. Elakkan juga memberi makanan yang tercemar dan bekas minuman perlu sentiasa bersih. 

Cabaran Ternakan Angsa

Seperti ternakan lain, banyak cabaran yang dilalui oleh Cikgu Marzuki ketika menternak angsa. Dari pengalaman beliau, cabaran termasuklah serangan penyakit, serangan binatang pemangsa, rutin penjagaan berterusan, kos pemakanan dan kesan cuaca serta perubahan iklim. 


Tumbuhan ketum ayam juga boleh menjadi sumber makanan untuk angsa.

 


Untuk mengatasi penyakit, beliau sentiasa   memastikan angsa divaksin dan kawasan ternakan bersih. 

Bagi mengatasi masalah binatang perosak, kawasan ternakan perlulah berpagar dan sentiasa dipantau daripada kerosakan. Lampu yang mencukupi disediakan di kawasan ternakan untuk menakutkan binatang pemangsa. 

Kawasan ternakan juga perlu sentiasa dibersihkan daripada semak samun dan belukar yang boleh menjadi   tempat bersarang pemangsa. 

Pemasaran dan Penjualan Telur

Oleh kerana tidak banyak penjual telur dan daging angsa, tiada masalah untuk Cikgu Marzuki   memasarkan hasil daripada ladang beliau. Dengan jumlah 50 ekor angsa yang diternak, beliau   sentiasa dapat menjual produk tanpa perlu menghantar kepada pembekal atau pekedai.   Dengan harga telur angsa RM10 sebiji, perolehan ini memadai untuk menampung kos makanan dan penjagaan angsa ternakan beliau. 

Kesimpulan

Penternakan angsa di sekitar rumah boleh menjadi sumber pendapatan yang baik jika diurus dengan betul. Sekiranya terdapat ruang yang mencukupi, hasil perolehan boleh membantu meningkatkan pendapatan keluarga. 

Pemilihan baka yang sesuai, penyediaan kawasan dan kandang yang mencukupi, serta pemakanan yang seimbang akan memastikan ternakan membesar dengan sihat dan menghasilkan hasil yang berkualiti. 

Namun, cabaran seperti penyakit, pemangsa, dan kos operasi perlu diberi perhatian agar penternakan ini kekal berdaya maju. 

Dengan perancangan yang baik, penternakan ini boleh menjadi satu usaha yang menguntungkan dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag