January 20 2025
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Pembenihan ikan marin memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada industri akuakultur yang makin berkembang. Proses ini bukan sahaja memfokuskan penghasilan benih ikan berkualiti tinggi tetapi turut memerlukan kefahaman mendalam tentang ekosistem, biologi ikan, serta trend permintaan pasaran terkini.
Setiap benih yang dihasilkan, daripada pelbagai spesies ikan marin, menawarkan potensi untuk memenuhi keperluan makanan laut global. Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, spesies ikan marin utama yang diternak di Malaysia ialah siakap putih, ikan merah, dan kerapu.
Proses pembenihan ikan ini melibatkan pengusaha yang bertanggungjawab memastikan kestabilan rantaian bekalan dan menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan serta antarabangsa. Namun, usaha ini tidak mudah kerana ia memerlukan kepakaran teknikal yang tinggi.
Salah satu syarikat yang giat dalam pembenihan ikan marin ialah TriJoy Enterprise, yang diasaskan pada tahun 1998 oleh Encik Pee Chee Ping. Syarikat ini merupakan sebahagian daripada KS Aquaculture Group dan kini dikenali sebagai pemain utama dalam industri pembenihan serta penternakan ikan marin di Malaysia.
TriJoy Enterprise menghasilkan benih pelbagai spesies seperti siakap, kerapu harimau hibrid, dan ikan merah. Selain itu, syarikat ini juga menjalankan penternakan ikan marin dalam sangkar terapung dan kolam, dengan produk dieksport ke seluruh Malaysia dan Singapura.
Menurut Encik Pee, gabungan pengalaman dalam pemasaran, penternakan, dan pengetahuan teknikal menjadi asas penting bagi membangunkan aktiviti pembenihan dan penternakan ikan marin.
Lokasi Strategik dan Kepelbagaian Spesies
TriJoy Enterprise mengendalikan pusat pembenihan dan penternakan berhampiran muara Sungai Lebam, dengan dua lokasi sangkar terapung di Sungai Lebam dan Sungai Johor.
Kedua-dua lokasi ini menempatkan hampir 800 sangkar terapung. Menurut Encik Pee, kepelbagaian lokasi ini membolehkan syarikat memenuhi keperluan pelbagai spesies ikan marin yang berbeza mengikut tahap kemasinan air.
• Sungai Lebam: Lokasi ini sesuai untuk spesies seperti siakap, kerapu, dan jenahak kerana tahap kemasinan air yang rendah semasa musim hujan.
• Sungai Johor: Lokasi ini lebih stabil untuk spesies seperti ikan senangin dan kerapu bara kerana kemasinan air yang lebih tinggi.
Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko kerugian akibat perubahan persekitaran tetapi juga memastikan TriJoy Enterprise dapat memenuhi permintaan pasaran secara konsisten.
Hatcheri dan Proses Pembenihan yang Komprehensif
TriJoy Enterprise mengoperasikan sebuah hatcheri lengkap yang menguruskan proses pembiakan induk, peneluran, pembenihan, dan asuhan benih ikan marin. Hatcheri ini turut mempunyai kemudahan nursery khusus untuk menjaga benih ikan pada peringkat awal.
Antara spesies utama yang dihasilkan ialah benih ikan jenahak, yang mendapat permintaan tinggi untuk penternakan sangkar terapung di Malaysia. Proses ini melibatkan pemantauan teliti terhadap kualiti air serta penyediaan makanan zooplankton khusus bagi memastikan kadar kelangsungan hidup yang tinggi.
Penternakan Dalam Sangkar Terapung dan Kolam
Selain sangkar terapung, TriJoy Enterprise mengendalikan 55 kolam besar di kawasan ladang seluas 60 ekar, dengan pelbagai jenis kolam seperti konkrit penuh, semi-konkrit, dan kolam tanah. Walaupun ikan marin yang diternak di sangkar terapung menghasilkan kualiti lebih tinggi berbanding kolam, penternakan di sangkar lebih mencabar kerana terdedah kepada perubahan persekitaran.
Setiap sangkar terapung mampu menampung hingga 5,000 ekor ikan pada satu masa. Aktiviti penuaian hasil dilakukan setiap minggu bagi memenuhi permintaan pasaran, terutamanya dari Singapura.
Cabaran dan Kejayaan
Encik Pee berkongsi bahawa akuakultur adalah lebih daripada sekadar perniagaan; ia adalah kepuasan peribadi. Dengan pengalaman tujuh tahun sebagai pegawai pemasaran dalam sebuah syarikat akuakultur, beliau memahami kepentingan gabungan teori dan praktikal dalam industri ini.
Bagaimanapun, pelbagai cabaran dihadapi, seperti perubahan saliniti air akibat hujan lebat pada tahun 2007 dan 2021, yang memberi kesan besar kepada operasi penternakan. Selain itu, pengurusan 62 pekerja, terdiri daripada tenaga kerja tempatan dan asing, turut menjadi cabaran.
Pensijilan dan Komitmen terhadap Kelestarian
TriJoy Enterprise memegang pensijilan MyGAP, yang mengukuhkan keyakinan penternak lain terhadap kualiti benih ikan marin mereka. Kawalan kualiti benih dan pemantauan air dijalankan secara berterusan untuk memastikan ikan diternak dalam keadaan terbaik.
Penerapan amalan baik bukan sahaja memastikan keselamatan benih tetapi juga mendorong pembenihan yang bertanggungjawab, menyokong kelestarian industri. Inovasi berterusan dan pemahaman tentang trend pasaran menjadikan TriJoy Enterprise kekal relevan dalam industri akuakultur.
Kesimpulan
TriJoy Enterprise membuktikan bahawa inovasi dan ketekunan adalah kunci kepada kejayaan dalam industri akuakultur. Dengan memanfaatkan pelbagai cabang akuakultur, daripada pembenihan hingga penternakan, syarikat ini bukan sahaja menyumbang kepada kestabilan bekalan makanan laut tetapi juga membawa manfaat kepada ekonomi tempatan dan antarabangsa.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.