October 29 2025
Disediakan oleh: Ali Hanafiah (FACULTY OF DURIAN)
Penglibatan usahawan bumiputera di dalam industri durian telah menjadi salah satu fenomena bagi merebut peluang pelaburan yang baik dan berpotensi tinggi. Tumpuan dan publisiti yang tinggi mampu menarik perhatian dunia untuk menikamati durian Malaysia.
Senyuman En.Rohaimin terukir bersama pokoknya yang sedang berbunga lebat.
Musang King sudah cukup sinonim untuk durian Malaysia kerana ciri buahnya memiliki syarat-syarat lengkap buah premium. Warna yang kuning menyala, rasa yang manis, pahit, lekit dan berlemak mampu membuatkan penggemar durian terpesona.
Ciri unik yang lengkap itu telah menjadi salah satu penanda aras. Jika kita cuba memakan durian yang lain, antara soalan yang sering ditanya “Adakah ia lagi sedap dari Musang King?”.
Kekuatan ini menjadi batu asas untuk industri durian negara dan disokong oleh varieti lain seperti BlackThorn, Tekka, Red Prawn dan lain-lain yang berpotensi menguatkan lagi pasaknya.
Peningkatan permintaan untuk keperluan domestik dan luar negara yang baik mampu membuka peluang lagi untuk ia dimajukan.
En.Rohaimin (tengah) bersama En.Amar (2 dari kanan) Penolong Pegawai Pertanian Daerah Raub.
Pokok duri hitam yang berbuah.

Pembangunan tanaman durian scara komersil boleh dikatakan rancak dalam sekitar tahun 2017 dan sehingga sekarang.Penglibatan bumiputera juga tidak terkecuali untuk mengejar impian yang sama. Perkongsian artikel kali ini adalah berdasarkan sesi temubual bagi mendapatkan pandangan dan respon usahawan bumiputera yang terlibat.
Ulu Renggol Kaya Farm, Raub, Pahang
Kebun ini dimiliki oleh usahawan En.Rohaimin dan keluarganya yang berkeluasan 9 ekar telah menanam pada tahun 2020-2021 dengan varieti Musang King, Duri hitam, ioi dan varieti lain.
Beliau memulakan penanaman berasaskan kursus yang dianjurkan oleh agensi Jabatan Pertanian sebagai langkah awal pelaburan dan melalui program itu beliau juga dapat berkenalan dengan usahawan lain yang terlibat.
Pergaulan bersama sahabat tani berbangsa Cina dan India membuka lagi semangat dan juga menjadi tempat berkongsi idea. Jika mempunyai masalah, selain rujukan agensi, kawan-kawan tani juga menjadi rujukan.
Menurut beliau lagi, perkara yang penting di dalam pelaburan adalah pengurusan perancangan kewangan yang teliti dan ketat. Kini pokok beliau sudah berumur 4-5 tahun sudah mula berbunga dan ladang beliau juga menjadi ladang rujukan di bawah bimbingan Jabatan Pertanian daerah Raub.
Harapan beliau adalah tanaman durian ini mampu pergi lebih jauh dan menjadi tanaman muafakat rakyat Malaysia.
“Kesabaran juga menjadi tonggak pelaburan kerana tempoh 5-7 tahun untuk pokok berbunga dan berhasil adalah masa yang panjang" ujarnya sambal membelek bunga durian pada pokoknya.
Antara rujukan pengurusan covercrop di dalam pengurusan tanaman durian yang dilakukan di ladang ini. Gambar kiri (pengurusan secara kimia) dan gambar kanan keadaan pokok selepas 4-5 bulan melalui penyimpanan covercrop. Pemerhatian ini dijalankan di ladang milik beliau bersama pihak Jabatan Pertanian Daerah Raub.
Keadaan pokok Musang King yang berumur 6 tahun yang sedang berbuah.
Saiz Ladang Bukan Penghalang
(Ladang Y, Sawah Ring, Tangkak, Johor)
En.Haidir, memajukan tanah seluas 1 ekar sahaja untuk tanaman durian dengan hasrat utama selain penghasilan buah, ia menjadi pelaburan untuk rekreasi keluarga dan kesihatan. Dengan penanaman pokok sebanyak 30 pokok , lengkap dengan sistem pengairan serta peralatan menjadi fokus sebenar di dalam pembangunan durian.
Corak kebun berskala kecil ini boleh dijadikan inspirasi untuk pemilik tanah yang berskala kecil untuk menanam durian. Pengalaman dan ilmu perlu sentiasa dicari daripada agensi kerajaan, kawan-kawan dan sumber maklumat yang sahih menjadi pegangan pelaburan En.Haidir.
Konsep yang menarik untuk ladang ini, ia diusahakan sendiri oleh tuan kebun dan keluarga dengan sasaran kerja pada hari cuti dan kerja rutin satu jam selepas jam 5 petang. Dengan keluasan tanah dan bilangan pokok, beliau mampu menguruskan sendiri kebun tanpa mengupah pekerja luar.
Aktiviti kerja yang dilakukan berkonsepkan riadah keluarga dan ia mampu dilaksanakan dengan baik disebabkan keseimbangan komitmen kerja dan keperluan operasi kerja.
Penglibatan isteri dan anak, mampu mewujudkan kemeriahan bekerja seisi keluarga menghangatkan lagi semangat kerja.
Kenapa Memilih Durian?
Pergaulan bersama pekebun dan juga rakan tani yang berbangsa cina mempengaruhi corak pelaburan beliau. Perbelanjaan berdasarkan bajet kewangan serta komitmen kerja jadi panduan untuk beliau. “Belanja mengikut apa yang kita ada, buat mengikut apa yang kita mampu” ujar beliau dengan sopan.
Harga dan permintaan yang menarik mampu dilegasikan sebagai perangsang perjuangannya berikutan Tangkak terkenal dengan durian yang menjadi salah satu destinasi pelancong daripada Singapura serta China untuk menikmati durian. Corak kebun berskala kecil ini boleh dijadikan inspirasi pemilik tanah berskala kecil untuk menaman durian.
Keadaan pokok yang berumur 36 bulan diurus kemas dengan usaha sendiri tanpa pekerja.
Pengalaman dan ilmu perlu sentiasa dicari daripada agensi kerajaan, kawan-kawan dan sumber maklumat yang sahih menjadi pegangan pelaburan beliau. Kelebihan negara kita yang berbilang bangsa menjadi satu kekuatan dan juga saling melengkapi sesama lain.
Rumusan daripada pelaburan durian ini boleh dikatakan mempunyai potensi pulangan tinggi, bukaan laluan eksport dan sokongan semua pihak mampu mengangkat lagi tanaman berprestij ini. Tidak salah untuk membuka kawasan walaupun berskala kecil, tidak terlewat untuk menanam walaupun banyak kebun sudah mula mengeluarkan hasil dan tidak pelik jika tanaman ini menjadi lambang harmoni Malaysia.
Rujukan:
1. Facebook Jabatan Pertanian, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, 6 September 2025
2. Jabatan Pertanian Daerah Raub, En.Ammar Hamimi
3. Ulu Renggol Kaya Farm, Raub, Pahang, lawatan ladang
4. Ladang Y, Sawah Ring , Tangkak, Lawatan ladang.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.