February 27 2025
Oleh: Bushral Karim Md Yusob
Ramai orang terpegun dengan kecantikan pokok kecil yang menghias meja dan sudut rumah. Kita lebih mengenali pokok ini dengan nama bonsai.
Pokok kecil ini mungkin telah hidup puluhan tahun, dan seseorang yang membesarkannya akan menghargai kegigihan yang dilalui sepanjang hayat pokok tersebut. Bonsai memerlukan kesabaran, ketelitian, dan cinta kepada alam semula jadi.
Bonsai berasal dari Jepun, namun kini ia semakin popular di Malaysia. Bukan hanya sekadar hobi, bonsai juga membuka peluang perniagaan yang menguntungkan.
Bonsai bermaksud “pokok dalam dulang” (tray planting), yang menggambarkan proses menanam pokok dalam bekas kecil sambil mengekalkan rupa bentuk pokok semula jadi. Pokok-pokok bonsai direka agar kelihatan seperti versi miniatur pokok sebenar di hutan, lengkap dengan batang berliku, dahan tersusun, dan daun yang rimbun.
Di Malaysia, banyak pokok tempatan seperti pokok beringin, kemuning, dan asam jawa digunakan untuk dijadikan bonsai. Keunikan pokok-pokok ini membuatkan bonsai Malaysia istimewa dan mendapat perhatian di pasaran antarabangsa.
Populariti Bonsai di Malaysia
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bonsai semakin mendapat perhatian sebagai elemen dekorasi rumah, pejabat, dan ruang komersial. Dengan reka bentuk moden yang meminati konsep minimalis, bonsai menjadi pilihan kerana ia membawa elemen semula jadi dan menenangkan.
Komuniti bonsai di Malaysia semakin berkembang dengan pameran, pertandingan, dan bengkel yang menarik penggemar serta membantu pengusaha memasarkan hasil mereka.
Cikgu Nazri dan Hobinya Menanam Bonsai
Salah seorang pengusaha bonsai di Seri Iskandar, Perak adalah Cikgu Nazri Nayan. Beliau mula meminati bonsai selepas hadir ke pameran dan pertandingan bonsai yang diadakan di Negeri Perak. Dalam salah satu pameran, beliau membawa pulang sepohon bonsai yang berharga sekitar RM100 - RM150.
Selepas itu, beliau mula belajar daripada beberapa peminat bonsai mengenai cara menanam, menjaga, dan membentuk pohon bonsai. Seterusnya, beliau membeli lagi beberapa pohon bonsai yang lebih mahal untuk dijadikan contoh. Harga pohon bonsai boleh melebihi ribuan ringgit.
Sejarah Memulakan Perniagaan Bonsai
Dalam satu pameran bonsai yang diadakan di Ipoh, beliau menemui peluang istimewa apabila peserta pameran dari China terpaksa menjual bonsai- bonsai yang dipamerkan dengan harga murah kerana mereka perlu pulang tanpa membawa balik bonsai tersebut. Cikgu Nazri mengambil kesempatan dengan membeli pohon-pohon bonsai itu pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Pohon-pohon bonsai yang dibawa balik ke Seri Iskandar mula dipamerkan di nurseri beliau sendiri, dan mendapat perhatian penduduk setempat. Beliau terus menjaga pohon-pohon bonsai yang ada, dan ada yang telah pun dijual dengan memberikan pulangan yang tinggi.
Beliau juga mula menanam pohon-pohon baru dengan memberikan tumpuan dan penjagaan yang rapi. Biasanya, pohon bonsai boleh dijual pada harga antara RM100 hingga RM400, tetapi harga bonsai yang telah lama dijaga adalah jauh lebih tinggi bergantung kepada tempoh penjagaan dan kualiti bonsai tersebut.
Proses Menanam dan Menjaga Bonsai
Untuk memulakan penanaman bonsai, langkah pertama adalah menentukan jenis pokok dan di mana untuk mendapatkannya. Biasanya, pokok yang cantik hanya akan dapat dikenal pasti selepas beberapa bulan ditanam. Pokok boleh ditanam melalui biji, batang pokok, atau akar.
Di Malaysia, benih yang sesuai adalah dari jenis pokok beringin, cemara, atau kemuning. Benih dari kawasan beriklim sejuk sederhana seperti juniper, pinus, dan cedar juga boleh ditanam.
Bonsai yang akan dijaga perlu ditempatkan dalam pasu yang sesuai. Pemilihan pasu mempengaruhi estetika dan pertumbuhan pokok. Gunakan campuran tanah yang baik untuk saliran dan pengudaraan, seperti kombinasi tanah bakar, pasir kasar, dan tanah organik.
Penjagaan bonsai termasuk menyiram, membaja, memangkas daun dan akar, serta melindungi pokok daripada serangan serangga perosak. Menyiram dilakukan dua kali sehari, manakala pembajaan menggunakan baja organik atau baja cair diberikan setiap dua minggu.
Cara Menggubah Bonsai
Pengusaha bonsai menggunakan kreativiti dan teknik yang betul untuk membentuk bonsai menyerupai pokok sebenar di alam semula jadi. Bentuk bonsai boleh disesuaikan untuk tumbuh menegak, menyendeng, atau menyerupai air terjun.
Teknik yang digunakan termasuk memangkas cabang, melilit dengan dawai, dan membentuk akar supaya bersesuaian dengan pasu. Untuk mencantikkan bonsai, batu, lumut, dan hiasan tambahan boleh diletakkan dalam pasu.
Kesimpulan
Menanam, menjaga, dan menggubah bonsai memerlukan usaha dan ketekunan, tetapi hasilnya sangat memuaskan. Bonsai bukan sahaja menjadi hiasan yang indah, tetapi juga simbol ketenangan dan keseimbangan.
Cikgu Nazri telah melalui pengalaman menanam bonsai sebagai hobi, dan hasil daripada ketekunan beliau, berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan. Walaupun memerlukan jangka masa panjang, usaha menghasilkan bonsai amat berbaloi.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.