February 26 2024

Lalat Askar Hitam Sumber Makanan Ayam

Lalat Askar Hitam Sumber Makanan Ayam - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

oleh: Jamaludin Mat Rashid

Bermula dengan sepasang Lalat Askar Hitam (Black Soldier Fly, BSF) yang ditangkap di tempat buang sampah dan 16 ekor ayam kampung asli Ibu Simanjuntak dari Toba, Indonesia kini mengeluar 40 kg maggot BSF sehari untuk makanan ayam dan ratusan induk ayam kampung, ribuan ekor lagi telah dijual.

Kesempitan hidup di era awal wabak Covid-19 membuat Ibu Simanjuntak tercari-cari apa yang hendak diusahakan bagi menghasilkan pendapatan. Beliau meneroka YouTube tetapi banyak usaha yang disarankan sama ada memerlukan modal yang banyak atau pengetahuan yang tidak agak komplek baginya. 

Secara kebetulan dia terjumpa 1 video mengenai BSF sebagai sumber makanan alternatif bagi ayam kampung. Kebetulan dia dan suami ada menternak beberapa ekor ayam kampung dengan diberi makan sisa dapur dan cacing tanah. Prestasi menternak ayam dengan makanan cacing memang sangat baik tetapi cacing lambat membiak dan usahanya tidak dapat berkembang pesat. Alternatif menggunakan BSF mungkin jawapan bagi yang dicarinya.


Dianggarkan seekor lalat askar hitam betina akan menghasilkan 800 hingga 1200 biji telur yang bakal menetaskan purata seribu ekor maggot.

 



Masalahnya sumber benih BSF belum ada lagi di daerahnya pada waktu itu sehingga dia terjumpa sebuah lagi video dalam YouTube bagaimana memerangkap induk BSF liar dari persekitaran. Berkali-kali dicuba sehingga beliau berjaya menangkap 2 ekor BSF yang kebetulannya sepasang.

BSF (Hermitia sp) dari famili Diptera (lalat bersayap sepasang) adalah sejenis lalat pembersih yang tidak membawa penyakit. Di alam liar, mereka membantu menguraikan bahan buangan seperti nasi, buah-buahan yang sedang mengalami proses fermentasi dengan bertelur di atasnya dan ulat/maggot yang menetaskan akan makan bahan sedang fermentasi hingga habis. BSF tidak makan bangkai dan bahan busuk lain seperti langau dan tidak menyebarkan penyakit kepada manusia.

Bermula dengan sepasang induk BSF liar tadi dan panduan dari Youtube, Ibu kental ini berjaya membiakkan koloni BSF sendiri yang kini terdiri dari 3 bangsal dengan pengeluaran 40 kg maggot bagi makanan ayam. 

Hanya Perlu Kelambu bagi Memerangkap BSF

Menurutnya, beliau hanya memerlukan kelambu bagi memerangkap BSF di dalamnya dan digantung daun pisang kering untuk tempat bertenggek. Pupa BSF akan diletakkan di dalam bekas yang dilindungi supaya gelap di dalam kelambu. Pupa yang menetas menjadi BSF dewasa akan terbang dari tempat gelap dan hinggap di daun pisang yang bergantungan. Apabila sayapnya sudah kering, BSF akan mencari pasangan dan mengawan. Induk jantan akan mati selepas mengawan tetapi induk betina akan hidup 12 hari lagi untuk bertelur pada kepingan kayu yang diberkas dengan getah dan diletak di atas dedak masam sebagai daya penarik. Telur yang halus seperti berenga lalat rumah ini akan dikutip dengan cermat selang sehari, dapatlah kira-kira 32g hasil bagi sangkar kelambu yang berukuran 6x6 kaki. 

Lalat Askar Hitam adalah sejenis lalat pembersih yang tidak membawa penyakit.

 

Dianggarkan seekor BSF betina akan menghasilkan 800 hingga 1200 biji telur yang bakal menetaskan purata seribu ekor maggot. Sepanjang dalam kelambu induk, BSF tidak memerlukan sebarang makanan.

Ibu Simanjuntak mengutip sisa sayur, buah-buahan dan perut ikan dari pasar yang sudah hendak dibuang peniaga ke tong sampah. Peniaga sangat suka kerana dia membantu mereka melupuskan bahan yang sudah tidak mereka kehendaki. 

Selain dari itu, Ibu Simanjuntak juga mengumpul sisa makanan dan sisa dapur dari restoran dan rumah-rumah di sekitar pekan kecilnya. Pada waktu kemuncak pengeluaran maggot, beliau mengutip hampir setengah ton bahan buangan ini.

Sisa yang dikutip akan ditebarkan pada bekas setebal 1 inci. Telur BSF akan dikutip dan ditabur atas dedak yang dilembapkan dalam dulang yang lebih kecil dan diletakkan atas sisa makanan. Telur akan menetas menjadi maggot kecil dalam tempoh 4 hari dan turun ke sisa makanan dengan sendirinya. Maggot akan makan sisa makanan yang berfementasi dengan lahapnya, mereka berupaya makan 2 kali kuantiti makanan berbanding berat badannya secara berterusan 24 jam sehari. 

Dalam tempoh 12 hari, apabila maggot telah mencapai saiz maksimum, maggot boleh diberi makan pada ayam. Biasanya anak ayam akan diberi makan dedak permulaan dari DOC hingga berumur 10 hingga 14 hari, kemudian diberi makan 100% maggot BSF sehingga mencapai berat 1 - 1.4 kg dalam tempoh 75 hingga 90 hari. 

Peningkatan berat ayam sangat mendadak dengan menggunakan maggot BSF mungkin kerana kandungan protein dalam BSF sangat tinggi sehingga 45 - 46 peratus. 

Ibu Simanjuntak mengamalkan sistem lepas bebas di mana ayam hanya dikurung dalam reban besar di waktu malam dan dilepas pada waktu pagi. Ayam boleh juga diternak menggunakan sistem kurungan supaya najisnya dapat dikumpul di bawah sangkar dan terus diletakkan maggot bagi memakan najis ayam. 

Maggot yang berumur 12 hari boleh terus diangkat ke dalam palong makanan ayam. Ini dapat menjimatkan tenaga buruh.

Jimat Hampir 80% Perbelanjaan untuk Makanan Ayam

Menurut Ibu Simanjuntak, semenjak menggunakan BSF sebagai makanan alternatif, beliau dapat menjimatkan hampir 80 peratus belanja untuk makanan ayam. Selain menjual ayam muda, induk ayam dewasa mengeluarkan sekitar 40 biji telur sehari tanpa putus-putus berkat makanan dari BSF yang tinggi protein. Telur yang bernas ditetas menggunkan inkubator untuk dipelihara sendiri atau dijual kepada penternak sekitar. 

Kini sudah ada 16 penternak ayam kampung yang mengikuti jejak langkahnya. Selain mendapatkan panduan menghasilkan makanan altenatif ayam kampung dari maggot BSF, mereka turut membeli telur BSF, DOC dan induk ayam kampung untuk memulakan projek sendiri. 




Telur ayam kampung hasil dari ibu yang makan BSF didapati mempunyai telur putih yang kental dan telur kuning yang tidak pecah, sangat diburu oleh mereka yang mengambilnya sebagai suplemen kesihatan bersama dengan jamu dan madu lebah. 

Ibu Simanjuntak juga mengeringkan maggot yang berlebihan dan mengisarnya untuk dijadikan tepung BSF yang tinggi protein bagi diadun dengan dedak pemula DOC. Hasilnya DOC cepat membesar dengan seragam dan tahan sejuk atau serangan penyakit. 

Ibu Simanjuntak berharap lebih ramai penternak akan mengikut jejaknya. Menurutnya, jika lebih ramai orang yang mengumpul sampah organik untuk dikitar semula dalam projek ayam kampung menggunakan BSF, alam sekitar akan menjadi bersih dan aman untuk didiami. 

Selain itu, pengeluaran ayam kampung dan telur ayam kampung yang lebih banyak akan menjadi kampungnya terkenal dengan produk ini dan peniaga dari bandar akan datang membeli. Permintaan yang tinggi dan tetap boleh membuatnya hanya memikirkan isu pengeluaran tanpa bimbang lagi tentang pemasaran.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag