November 12 2025
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Walaupun menyumbang tidak sampai satu peratus dalam penghasilan kopi dunia, Malaysia dikenali dalam peta kopi dunia kerana 90 peratus kopi yang dikeluarkan adalah dari varieti Liberica. Varieti ini tidak boleh dijumpai lagi walaupun di tempat asalnya, yang lebih banyak menanam kopi lain. Pengadun kopi boleh memperoleh bekalan kopi Liberika, yang terkenal dengan rasa yang unik dan aroma buah-buahannya, hanya dari Malaysia.
Di Kampung Caruk Durian, Chepir, kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik, Muhammad Nur Arif Zakaria, 32 tahun, mengusahakan kebun kopi berkonsepkan agro-pelancongan.
Terletak hampir dua kilometer ke dalam dari Jalan Raya Sik-Weng, kebun kopi ini terletak di lereng bukit yang pada asalnya dusun buah-buahan yang ditanam dengan durian Musang King (D197), Duri Hitam/Ochee (D200), durian kampung, cempedak, dan limau bali.
Beberapa chalet ala-log cabin dengan kombinasi bata merah dan kayu balak dibina di lereng bukit menghadap pemandangan cantik Bukit Derdap yang membiru. Pokok-pokok heliconia yang ditanam di sekitar chalet mengingatkan kita pada kafe konsep yang sama di Janda Baik.
Jenis Kopi dan Strategi Penanaman
Kopi varieti Liberika dan Robusta ditanam sebagai selingan dengan pokok durian. Ditanam juga pokokpokok pisang sebagai pokok peneduh dan untuk menyejukkan persekitaran.
Agak menarik kerana ramai petani di Sik lebih berminat dengan Robusta yang lebih kenal, tetapi pengusaha Kebun Kopi Sik ini memilih Liberika yang lebih sukar untuk diproses, walaupun biji kopi jenis ini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan pengusaha kafe di bandar besar.
Haji Zakaria Hassan, 65 - Pengasas Kebun Kopi Sik, Ranting Robusta mula berbunga, Liberika sedang masak dan berbunga lagi.
Pokok Liberika dengan buah yang besar dan daun yang berkilat dipangkas rendah supaya lebih mudah untuk menuai buah masak.
Motivasi dan Visi Perniagaan
Muhd Nur Ariff, yang tinggal di Shah Alam, juga merupakan seorang penggemar tegar kopi. Beliau sering mengunjungi kafe-kafe besar di sana dan mempunyai pengetahuan mendalam mengenai budaya minum kopi yang tiba-tiba meledak dalam kalangan generasi muda.
Ramai pengusaha kafe sering mengungkapkan kepayahan mendapatkan biji kopi segar untuk dipanggang sendiri, terutama varieti Liberika. Hanya Malaysia pengeluar terbesar varieti ini di dunia, tetapi banyak biji kopi Liberika keluaran tempatan dieksport keluar negara, mungkin kerana pertukaran mata wang asing yang lebih menarik.
Sebagai seorang usahawan, beliau melihat masalah ini sebagai peluang perniagaan yang menarik lalu mengusahakan Kebun Kopi Sik bersama bapanya, Hj Zakaria Hassan, 65 tahun, dan ibunya.

Pengembangan Kebun dan Kerjasama Strategik
Bermula dengan dusun lama milik keluarga seluas 2.5 ekar, beliau menanam 800 pokok kopi varieti Liberika dan Robusta pada tahun 2020.
Malangnya, pokok-pokok Robusta yang ditanam pada peringkat awal terpaksa dimusnahkan kerana kurang berbuah dan digantikan dengan Robusta Ivory Coast yang berhasil tinggi.
Kini jumlah tanaman meningkat menjadi 3,000 pokok, majoritinya Liberika dengan keluasan 7.5 ekar hasil daripada memperoleh dua keping tanah berhampiran.
Pengiktirafan dan Pensijilan
Berkat kesungguhan dan keperihatinan dua beranak ini untuk mengangkat Sik sebagai hub kopi terkenal di Malaysia, Kebun Kopi Sik diambil sebagai kebun angkat oleh pengilang kopi Nestle, pengeluar Nescafe Kopi Kedah di bawah program khidmat sosialnya.
Selain khidmat nasihat yang melibatkan aspek agronomi, syarikat berkenaan telah sumbangkan 2200 anak pokok bermutu varieti Robusta untuk ditanam di Kebun Kopi Sik.
Beliau boleh menjual biji kopi kepada Nestle namun boleh juga menjualnya sendiri di luar tanpa batasan jika mendapat harga yang lebih baik.
Kebun juga telah mendapat pensijilan MyGAP (Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia) pada Disember 2023.
Pasaran tidak menjadi masalah kerana biji kopi Robusta sentiasa mendapat permintaan dalam kalangan pengusaha kopi tempatan.
Terdapat ramai usahawan kecil menggoreng kopi secara tradisi dan menjual terus serbuk 'kopi kampung' kepada pengguna.
Sehingga kini, Nur Arif telah menjual lebih daripada satu tan metrik biji kopi Robusta pada harga RM30 per kilogram.
Sample biji-biji kopi, produk siap Liberika Sik dan buah Robusta sedang dijemur.
Proses dan Nilai Pasaran Kopi Liberika
Buah kopi Liberika pula mesti diproses secara basah kerana kulitnya keras apabila kering. Biji kopi Liberika mendapat permintaan yang tinggi di Lembah Kelang. Kini permintaan adalah terlalu tinggi hingga beliau tidak mampu membekalkan. Mungkin pada masa akan datang beliau perlu menanam lebih banyak varieti Liberika.
Bagi menghasilkan serbuk kopi Liberika, beliau terpaksa menghantar biji kopi untuk dipanggang menggunakan ketuhar khas di Kuala Lumpur.
Kini kopi Liberika boleh dijual dengan harga RM110 sekilogram kepada pengusaha kafe di Lembah Kelang. Beliau telah membekalkan lebih daripada 0.5 tan kopi Liberika.
Rancangan Masa Depan
Terbaru, Muhd Nur Arif sedang meneroka teknik fermentasi menggunakan kultur tertentu dalam pemprosesan biji kopi.
Teknik ini akan menerbitkan segala potensi yang ada dalam biji kopi dan menjadikannya sangat sedap dengan aroma yang sangat unik. Kopi terfermentasi ini mampu dijual dengan harga sangat tinggi, mencecah RM400 sekilogram.
Kafe tempatan tidak terdaya mendapatkan bekalan dari luar negara kerana faktor nilai ringgit yang jatuh. Beliau juga sedang mempertimbang untuk mengeluarkan produk hiliran yang lebih luas.
Harapan dan Cadangan kepada Pihak Berwajib
Beliau berharap kerajaan melalui kementerian tertentu memberi kemudahan geran kepada petani bagi membina infrastruktur seperti jalan dan kemudahan pengairan bagi mengatasi masalah kemarau. Pelancong tempatan pula perlu digalakkan mengunjungi chalet-chalet berkonsepkan agropelancongan.
Selain dapat berehat dalam suasana segar dan bersih, anak-anak dapat menambah pengetahuan dengan melihat bagaimana sumber makanan dihasilkan.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.