October 11 2024
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Permintaan terhadap hasil pertanian semakin meningkat selari dengan pertambahan penduduk. Kaedah yang lebih baik bagi penghasilan yang tinggi dan kualiti terbaik terus dicari oleh para penyelidik selaras dengan wawasan kerajaan untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi bagi rakyat.
Peruntukan yang besar disediakan bagi agensi penyelidikan dan universiti tempatan untuk membangun varieti yang berhasil tinggi dan tahan penyakit. Teknologi baru turut dihasilkan bagi menjadikan kerja pemprosesan dan pengeluaran produk pertanian menjadi lebih efisien terutama bagi produk eksport seperti lada hitam dan lada putih yang menagih kualiti, kebersihan dan keselamatan makanan.
Lada putih merupakan produk pertanian yang mempunyai pasaran luas di peringkat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa. Ia dihasilkan melalui proses yang berbeza dari lada hitam dan digunakan secara meluas bukan sahaja dalam pelbagai jenis masakan malah dalam industri farmasetikul, kosmetik, perfumary dan sebagai herba dalam industri perubatan tradisional.
Pada masa kini, penghasilan dan penggredan lada putih secara tradisional mengambil masa yang lama. Penghasilan lada putih pada amnya bermula dari penuaian biji lada ranum dan yang telah matang.
Seterusnya, ia direndam bersama guni selama lebih kurang 14 hari dalam air bersih yang mempunyai aliran seperti sungai dan bebas dari sebarang pencemaran.
Akan tetapi secara teknikalnya, kualiti air sungai yang mengalir tidak dapat ditentukan kerana ia dipengaruhi oleh keadaan persekitarannya. Dalam masa perendaman tersebut, kulit luaran biji lada akan terkupas atau tertanggal dan biji dalaman yang berwarna putih akan diperolehi dan dijemur selama 3 hari ke 4 hari.
Penggredan lada putih pula dilakukan selepas biji lada kering sepenuhnya. Setiap biji lada putih akan diasingkan mengikut kualiti yang tertentu dan dipengaruhi oleh warna dan saiz diameter setiap biji lada sebelum dipasarkan.
Usaha untuk mengasingkan setiap biji lada putih secara tradisionalnya dilakukan oleh pekebun atau pengusaha tanaman lada secara manual. Proses ini adalah rumit dan mengambil masa yang lama. Selain itu, langkah penggredan secara manual adalah tidak konsisten dan ini mampu mempengaruhi kualiti lada putih yang akan dipasarkan.
Penyelidikan yang berterusan bagi menambahbaik proses penghasilan dan penggredan lada putih telah dilakukan oleh dua pensyarah dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) iaitu Ts. Hj. Ahmad Hadinata dan Professor Madya Ts. Dr. Dayang Nurfatimah.
Kedua-dua pensyarah ini telah mengetuai 2 pasukan penyelidik dan bekerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan Lembaga Lada Malaysia (MPB) dalam usaha untuk meningkatkan kualiti penghasilan lada putih terutamanya di Sarawak.
Sistem Rendaman dan Aplikasi IoT
Menurut Ts. Hj. Ahmad Hadinata, penggunaan sistem IoT (Internet of Things) dalam industri lada adalah sesuatu yang agak baru terutamanya dalam penghasilan lada putih. Pasukan penyelidik di bawah pimpinan beliau telah berjaya mencipta sistem rendaman dan aplikasi IoT dalam menghasilkan lada putih.
Idea penciptaan sistem tersebut tercetus melalui kolaborasi dengan pasukan penyelidik dari MPB yang mencari penyelesaian untuk meningkatkan mutu proses penghasilan lada putih melalui sistem rendaman dalam tong berbanding dengan rendaman dalam sungai yang biasa dilakukan oleh pekebun. Kebersihan dan kualiti air rendaman turut dapat diperhatikan berbanding dengan rendaman dalam sungai dan ini memenuhi piawaian dari pihak MPB.
Sistem rendaman tersebut terdiri daripada sambungan tong silinder mudah pasang dan rendah kos yang terbahagi kepada 4 bahagian iaitu tong rendaman, tong air kitar semula, tong penyahklorinan dan tong pemendapan yang dilengkapi oleh alat pengesanan penderia untuk tujuan pemerhatian kualiti air.
Satu aplikasi telefon pintar telah dicipta dan digunakan untuk memerhati kualiti air dalam sistem rendaman dan data untuk kualiti air tersebut dapat disimpan secara automatik. Ini dapat memudahkan para pekebun serta dapat meningkatkan kualiti lada putih yang dihasilkan. Ia turut menjaga kelestarian berbanding dengan rendaman sungai kerana sistem ini adalah sistem tertutup.
Tambahan, Ts. Hj. Ahmad Hadinata turut berkongsi melalui pemerhatian kualiti air menggunakan alat pengesanan penderia, kualiti air rendaman dalam sistem dapat dikawal dan ia telah dibuktikan berhasil untuk memendekkan tempoh rendaman dan menghasilkan lada putih yang lebih bersih.
Sistem tersebut turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof semasa program Trek Komoditi Zon Sarawak anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi pada 26 November 2023, di Kampung Begu, Padawan dan ia telah didaftarkan di bawah perlindungan harta intelek (IP).
Mesin Penggredan Pintar Mudah Alih
Penyelidikan dalam penggredan lada putih pula diketuai oleh Professor Madya Ts. Dr. Dayang Nurfatimah. Pasukan penyelidik di bawah pimpinan beliau telah berjaya mencipta mesin penggredan lada putih pintar mudah alih mengikut standard penggredan yang telah ditetapkan oleh MPB.
Menurut Professor Madya Ts. Dr. Dayang Nurfatimah, penciptaan mesin tersebut adalah untuk membantu para pekebun untuk menjimatkan masa dalam mengasingkan lada putih yang telah dituai dan menjamin pengasingan kualiti secara konsisten. Mesin ini menggunakan teknik pengesanan gambar melalui pembelajaran mesin. Parameter utama yang dinilai oleh mesin pintar ini adalah warna dan saiz lada putih.
Warna lada putih juga dapat mengesan kelembapan pada hasil tuaian yang telah diproses. Pengesanan gambar dan infrared serta analisis data telah digunakan untuk melatih mesin pintar dalam penggredan lada putih. Mesin pintar ini terdiri daripada beberapa bahagian perkakasan iaitu corong, roda sensor, roda pengasing, corong pengasing, kotak penggredan dan tiub.
Lada putih yang telah siap diproses akan diasingkan mengikut kualiti yang telah ditetapkan pada mesin pintar tersebut dan ia dapat menjamin 90% tahap ketepatan berbanding dengan penggredan dan pengasingan secara tradisional dan manual.
Kelebihan mesin pintar ini adalah ia lebih pantas, kos yang efisien, mampu milik serta mudah alih untuk kegunaan di mana-mana tapak. Mesin pintar ini juga telah didaftarkan di bawah perlindungan harta intelek (IP). IP diperolehi untuk mini mesin penggredan lada dan sistem rendaman lada dengan IoT.
Dengan pencapaian ini, pasukan penyelidikan berterima kasih ke atas penghargaan geran dan sokongan daripada Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Lembaga Lada Malaysia dan UNIMAS Innovation.
Penggunaan teknologi pintar dalam industri lada putih mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan. Ia dapat membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi. Selain itu, ia turut memberikan jaminan kualit secara konsisten. Ini sekaligus dapat meningkatkan kebolehpasaran lada putih di pasaran tempatan dan juga global. Para pekebun lada kecil turut dapat manfaat daripada penggunaan teknologi pintar.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.