July 14 2026

Gangguan Bekalan Nitrogen Baja Efisien Jadi Solusi

Gangguan Bekalan Nitrogen Baja Efisien Jadi Solusi - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Dr. Ng Chang Chai

Dalam keadaan geopolitik global yang terus berubah, industri baja di Malaysia turut berdepan cabaran baharu, khususnya dari segi harga bahan mentah dan kos logistik. Sebagai input penting dalam sektor pertanian, baja bukan sahaja berkait rapat dengan operasi syarikat, malah memberi kesan langsung kepada kos dan perkembangan sektor penanaman seperti kelapa sawit, durian dan nanas. 

Temu bual khas bersama Encik Syed 

(President DIVERSATECH FERTILIZER SDN BHD)

Dalam wawancara ini, Presiden Diversatech Fertilizer Sdn. Bhd., Syed Muhamad Amir bin Syed Omar, berkongsi pandangan mengenai kesan situasi semasa di Timur Tengah terhadap industri, serta langkah tindak balas syarikat dan hala tuju pembangunan produk baja pada masa hadapan.

1. Sebelum kita memulakan sesi ini, bolehkah tuan memperkenalkan diri serta perniagaan syarikat tuan kepada para pembaca? Contohnya latar belakang peribadi, keunikan syarikat, jenis baja utama yang dihasilkan, serta nisbah perniagaan dalam negara berbanding import dan eksport. 

Syed: Terima kasih. Nama saya Syed Muhamad Amir bin Syed Omar, sudah bekerja di dalam industri baja selama 17 tahun dan kini merupakan Presiden syarikat Diversatech Fertilizer Sdn. Bhd. Syarikat ini ditubuhkan pada 1998 dengan focus utama pengeluaran input-input pertanian terutamanya baja yang diujikaji di Universiti Putra Malaysia dan agensi-agensi Kerajaan berkaitan pertanian seterusnya diproduksi dan dipasarkan oleh syarikat. Produk-produk utama Diversatech Fertilizer Adalah baja berteknologi terkini seperti baja Controlled Release Fertilizer (Baja Lepas Terkawal), Slow Release Nutrients (Baja Lepas Perlahan), Rawatan Penyakit Ganoderma serta Baja Mikronutrien. Diversatech mengeluarkan lebih 100,000 mt baja setiap tahun dimana 15% baja tersebut dieksport ke luar negara seperti di Indonesia dan Kemboja. 

Kos Logistik dan Tenaga Terus Meningkat 

2. Sektor pertanian merupakan sumber ekonomi yang penting bagi Malaysia, dan baja khususnya merupakan input yang amat diperlukan. Malaysia masih sangat bergantung kepada import bahan mentah baja, terutamanya baja fosfat dan potash. Berbanding gangguan sebelum ini seperti pandemik COVID-19 dan perang Rusia–Ukraine, apakah kesan khusus yang dibawa oleh situasi semasa di Timur Tengah terhadap syarikat tuan? 

Syed: Situasi semasa di Timur Tengah memberi kesan ketara kepada rantaian bekalan global, khususnya bagi bahan mentah baja seperti ammonia, urea dan sulfur. Negara-negara Arab (Gulf Countries) merupakan antara pengeluar terbesar baja Urea dan Sulfur. Ini mengakibatkan gangguan pada unsur baja Nitrogen secara global. Gangguan logistik dan peningkatan kos tenaga menyebabkan harga bahan mentah menjadi lebih tidak stabil. Selain itu, kos penghantaran turut meningkat akibat risiko geopolitik, yang secara langsung menekan margin syarikat pengeluar baja seperti kami. 


Ketegangan geopolitik Timur Tengah dan perubahan rantaian bekalan global meningkatkan turun naik harga komoditi, sekali gus mendorong kenaikan harga minyak sawit.

 


Diversifikasi Sumber Bekalan 

3. Dalam menghadapi keadaan semasa, apakah strategi dan langkah tindak balas yang telah diambil oleh syarikat? 

Syed: Bagi menghadapi ketidaktentuan ini, syarikat kami mengambil pendekatan diversifikasi sumber bekalan bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu kawasan. Kami juga meningkatkan perancangan inventori (stock planning) serta mengamalkan strategi pembelian secara berperingkat. Selain itu, kami mengoptimumkan formulasi produk untuk mengekalkan keberkesanan kos tanpa menjejaskan kualiti. Penggunaan baja Control Release Fertilizer dapat menambah efisiensi sebanyak 15-20% penggunaan baja agar lebih jimat. 

Tempoh Penghantaran Lebih Panjang 

4. Selain kenaikan kos bahan mentah baja, apakah lagi kesan tersembunyi atau limpahan yang tuan jangkakan terhadap pengeluaran dan pembuatan baja? 

Syed: Selain kenaikan kos bahan mentah, kesan lain termasuk ketidakstabilan bekalan, tempoh penghantaran yang lebih panjang, dan tekanan terhadap aliran tunai. Turut berlaku ialah peningkatan kos pembiayaan dan risiko pertukaran mata wang. Dalam jangka panjang, ini boleh menjejaskan perancangan pengeluaran dan harga jualan kepada pelanggan. Selain itu, bahan-bahan untuk bungkusan beg baja juga sudah meningkat dan kos yang paling ketara selain bahan mentah Adalah kos logistik. 


Syarikat meningkatkan kestabilan rantaian bekalan melalui pengukuhan simpanan bahan mentah serta strategi pembelian secara berperingkat.

 


5. Adakah isu peperangan kali ini juga mungkin membawa peluang atau risiko kepada sektor penanaman di Malaysia, seperti kelapa sawit, durian, dan nanas? 

Syed: Situasi ini membawa kedua-dua risiko dan peluang. Risiko utama ialah peningkatan kos baja yang boleh menekan margin pekebun. Namun, dalam masa yang sama, harga komoditi seperti minyak sawit mungkin meningkat akibat gangguan bekalan global, yang boleh memberi pulangan lebih baik kepada pekebun. Ini membuka peluang untuk penggunaan baja yang lebih efisien dan berteknologi tinggi. Seterusnya kami berharap agar perkara ini membuka mata pihak Kerajaan untuk memberi penekanan lebih tinggi terhadap keselamatan dan keterjaminan makanan dan pertanian. 

Peralihan ke Baja Bernilai Tinggi 

6. Akhir sekali, bolehkah tuan kongsikan pandangan terhadap prospek pembangunan produk baja di Malaysia pada masa hadapan? 

Syed: Pada masa hadapan, industri baja di Malaysia dijangka bergerak ke arah produk bernilai tambah tinggi seperti baja khusus (specialty fertilizers), baja berkecekapan tinggi seperti Controlled Release Fertilizer dan Slow Release Fertilizer, dan penyelesaian berasaskan teknologi seperti precision agriculture. Terdapat juga potensi dalam pembangunan produk yang lebih mesra alam dan mampan. Dengan sokongan R&D dan kerjasama institusi tempatan, Malaysia berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan daya saing industri baja tempatan terutamanya dalam pengeluaran input Nitrogren memandangkan negara kita mempunyai kapasiti serta sumber asli untuk menambahbaik daya pengeluaran negara.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag