December 03 2024
Pada tahun 2023, para penanam dan pengeksport sayur-sayuran serta buah-buahan Vietnam meraikan pencapaian rekod, dengan nilai eksport mencecah USD 5.7 bilion, meningkat 69.2% berbanding tahun 2022, menjadikannya kadar pertumbuhan tertinggi bagi produk pertanian Vietnam.
China merupakan pasaran terbesar bagi sayur dan buah Vietnam, menyumbang hampir 65% daripada jumlah eksport. Antara buah-buahan utama yang dieksport ialah buah naga, nangka, durian, tembikai, limau bali, dan longan, dengan peningkatan antara 40% hingga 200% berbanding tahun sebelumnya. Negara pengimport lain termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jepun, Thailand, Belanda, Australia, dan New Zealand.
Kejayaan ini banyak dipacu oleh perjanjian eksport rasmi dengan China, membolehkan durian dieksport secara besar-besaran. Bermula 1 Julai 2022, eksport melalui saluran rasmi ke pasaran China dibenarkan. Kini, sebanyak 123 kawasan penanaman durian dan 57 pusat pembungkusan telah berdaftar untuk menyertai program eksport ke China.
Menurut data kastam China, nilai eksport durian Vietnam ke negara itu pada 2023 mencecah USD 2.1 bilion, merangkumi 31.8% pasaran durian China, jauh lebih tinggi berbanding purata sekitar USD 200 juta sebelum 2021. Dengan jangkataan peningkatan kawasan tanaman durian, pakar meramalkan eksport durian Vietnam ke China boleh mencapai USD 3.5 bilion pada 2024, iaitu peningkatan 55% tahun ke tahun.
Prospek Eksport Lebih Cerah pada 2024
Dengan pembukaan pasaran premium baharu, eksport sayur dan buah Vietnam dijangka lebih berkembang pada 2024. Pada awal tahun ini, sebanyak 10 tan kacang Macadamia dari wilayah Dak Lak telah dihantar ke Korea Selatan. Pembukaan pasaran ini, selepas kejayaan akses ke pasaran Jepun, memberi peluang besar kepada pengusaha kacang Macadamia di Vietnam untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Selain itu, kerjasama antara Daerah Cao Phong dan Jabatan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Wilayah Hoa Binh berjaya merealisasikan eksport pertama limau Cao Phong ke United Kingdom. Peluang eksport ini hanya dicapai selepas buah limau tersebut lulus ujian ketat dan disahkan mematuhi piawaian agrokimia Eropah.
Tambahan lagi, mangga kulit hijau dari wilayah An Giang juga telah dieksport ke Australia dan Amerika Syarikat. Pembukaan pasaran baru ini adalah hasil usaha bersama pelbagai jabatan dan sektor dalam meningkatkan pendapatan petani serta menggalakkan eksport.
Sasaran Eksport USD 7 Bilion bagi 2024
Menurut data dari Lembaga Pengurusan Zon Ekonomi Sempadan Lang Son, permintaan pasaran China untuk produk pertanian dan buah segar Vietnam meningkat sebelum sambutan Tahun Baharu Cina. Di Lao Cai, eksport Vietnam termasuk durian, pisang, keledek, buah naga, dan ubi kayu kering.
Memandang ke hadapan, Vietnam telah menetapkan sasaran eksport sayur dan buah bernilai antara USD 6 hingga 7 bilion pada 2024. Sasaran ini dijangka dapat dicapai berikutan kejayaan membuka pasaran baru dan perjanjian eksport kelapa dan durian sejuk beku ke China yang ditandatangani pada pertengahan Ogos.
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.