July 26 2024
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Permintaan pengguna terhadap jenis buah-buahan sering berubah-ubah. Dulu mangga varieti Chokanan menjadi pilihan ramai tetapi kini Harumanis lebih popular walaupun menurut sebahagian masyarakat harga yang ditawarkan bagi sekilo buahnya sudah menjadi 'harga kayangan'. Manakan tidak, permintaan terhadap mangga premium ini melebihi apa yang mampu dikeluarkan petani.
Tiada buah mangga lain yang mampu menghampiri kelazatan, aroma mahupun rasa mangga sejati yang cair di mulut, tanpa serat yang ketara seperti mangga lain. Ditambah dengan pemasaran dalam talian dari pokok terus kepada pembeli, tanpa perantara orang tengah yang membuat keuntungan, petani berupaya menjana pendapatan tambahan.
Fenomena ini memberi motivasi kepada petani untuk menukar segala pohon mangga yang ada kepada pohon Harumanis dengan kaedah cantuman dewasa ataupun cantuman jemala (top-working). Situasi ini pernah berlaku di Thailand apabila petani menukarkan pelbagai varieti mangga kepada varieti Namdokmai Si Thong bagi menampung permintaan eksport yang tinggi bagi varieti berkenaan. Kerja-kerja cantuman jemala bukan sahaja dibuat bagi tanaman mangga tetapi juga bagi buah-buahan lain seperti durian, rambutan dan nangka di sana. Teknologi ini memberi kelebihan bersaing kepada petani Thai yang lebih inovatif berbanding petani di negara lain dalam menukar varieti buah-buahan mengikut permintaan pasaran.
Pokok Mangga Kampung Jadi Pokok Penanti
Di Perlis yang berkongsi sempadan dengan negara Gajah Putih itu, kerja-kerja menukar pelbagai varieti mangga kampung dari varieti Mangga Telur, Bemban, Kuinin dan Chokanan kepada mangga Harumanis telah lama dibuat. Ini mengambil faedah dari batang pohon tua ini yang masih subur dengan akar yang kuat. Pohon-pohon lama ini kurang berbuah kerana keadaan teduh dan rimbun. Buah sangat kurang berbanding kanopinya yang besar. Kalau berbuah tidak dapat dimanfaatkan kerana pokok tinggi dan buah tidak dapat dibungkus. Kerap kali hanya menjadi habuan tupai atau diserang lalat. Jika ditanam semula akan lambat mencapai usia matang, antara 3-4 tahun untuk mula berbuah atau hingga 8 tahun bagi memperolehi kanopi yang besar dan ekonomik bagi tujuan komersial.
Segala masalah ini dapat diatasi melalui kaedah cantuman dewasa. Dengan kaedah ini, klon asal dapat ditukar kepada klon baru dan dapat berproduksi semula dalam tempoh 12 hingga 18 bulan sahaja bergantung kepada status kesuburan dan usaha yang dicurahkan. Oleh kerana Harumanis mendapat permintaan yang tinggi dan harga yang lumayan, scion Harumanis perlu diletakkan bagi menukarkan pohon berkenaan kepada Harumanis tanaman mangga di negeri lain dengan varieti yang pelbagai boleh ditukar kepada klon Harumanis bagi tingkatkan jumlah pengeluaran harumanis Malaysia. Pengeluaran di pelbagai negeri terutama di Pantai Timur dan bahagian bawah Pantai Barat (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) memungkinkan Harumanis dapat dihasilkan di luar musim utama di Perlis (April-Mei). Penghasilan lebih besar sepanjang tahun dapat memungkinkan pasaran eksport ke negara-negara berdekatan seperti Singapura dan Brunei yang mempunyai tukaran mata wang yang lebih tinggi.
Pemilihan Pokok Penanti
Dalam kaedah cantuman dewasa atau cantuman jemala, scion Harumanis dicantum secara sisi atau cantuman pucuk kepada pokok penanti dari klon yang tidak dikehendaki lagi. Klon ini kurang komersial kerana kurang permintaan atau hasil rendah seperti Tauh telur, Chokanan atau Sala. Pohon yang dicadangkan untuk dibuat cantuman dewasa mestilah berumur lebih dari 6 tahun dan keadaan batang dan akar yang subur. Pokok mesti dibuat pembajaan berkala dengan baja Nitrophoska Hijau 15:15:15 tiap dua bulan sekali antara 0.5 -1 kg. Pengairan dibuat jika perlu. Bagi menentukan kejayaan, pokok dipilih mesti mempunyai sistem akar sedia ada yang kuat. Pokok rendah dengan bentuk yang sesuai lebih diutamakan.
Bagi pokok yang tinggi tanpa cabang, ia perlu ditebang menggunakan gergaji berantai pada paras 2m dari tanah di awal permulaan musim hujan. Potongan mesti pada sudut 30° supaya air tidak bertakung dan mencegah batang dari reput. Catkan permukaan luka potongan dengan salap penutup luka pokok (tree wound-dressing). Salap ini dapat mempercepatkan penyembuhan luka dan mencegah tunggul dimakan air dan menjadi reput. Jika tidak ditutup dengan baik, tunggul akan berlubang dan ditakuti mati sebelum scion menjadi matang dan mengeluarkan hasil.
Tunggul akan menghasilkan pucuk baharu, akan matang 4 bulan kemudian dengan saiz diameter 3-5 cm siap untuk dibuat cantuman sisi. Pembajaan menggunakan Nitrophoska Hijau dengan nisbah 15:15:15 pada kadar 500g per pokok diteruskan.
Proses Cantuman
Pengambilan scion dibuat dari pokok Harumanis yang diyakini kualitinya setelah diperhatikan beberapa tahun dengan sifat-sifat varieti yang tepat piawaian dan rajin berbuah. Scion mestilah pada fasa rehat/dorman (resting stage) berwarna hijau pekat, matang dan bebas penyakit berdiameter 0.6- 1.2 cm dan panjang 12 - 15 cm.
Kaedah Cantuman Baji Sisi
Jika berjaya, scion akan mengeluarkan pucuk baru selepas 3-4 minggu dari tarikh cantuman dibuat. Ini menunjukkan ada persambungan dalam membekalkan makanan antara pokok penanti dan scion. Persambungan yang baik dan bekalan makanan yang mencukupi akan membuatkan scion membesar dengan pantas menjadi dahan yang berkualiti.
Perlu diperhatikan kedudukan sambungan antara scion dengan pohon penanti bagi mencegah sekahan berlaku. Jika perlu buluh pancang boleh digunakan menyangka dahan atau dibuat penjarangan tunas dan daun agar seimbang dan mencegah dari patah. Tunas air yang tumbuh di batang utama mestilah dipangkas bagi menjamin scion yang matang mendapat cukup makanan dan air.
Aruhan Untuk Berbunga
Tunas boleh diaruh untuk berbunga selepas 18 bulan dari tarikh cantuman. Aruhan menggunakan Polacbutrazol lazim digunakan untuk Harumanis dan mendapat respon yang baik jika disembur pada tarikh yang tepat.
Pembajaan & Pengairan
Baja Nitrophoska Hijau diberi pada fasa pertumbuhan dan Nitrophoska Biru menjelang fasa pembungaan dan pembuahan tiap 3 bulan sekali pada kadar 500 gram per pokok. Pengairan tidak perlu dibuat untuk memberi kesan kemarau dan pokok berbunga. Pengairan diberi semula apabila putik buah terbentuk bagi menentukan peratus kelekatan buah tinggi
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.