August 08 2025

Penanaman Kunyit Jana Pendapatan Lumayan

Penanaman Kunyit Jana Pendapatan Lumayan - Agrimag

Share this

Facebook WhatsApp图标 Telegram图标

Oleh: Bushral Karim Md Yusob

Kunyit (Curcuma longa) merupakan tanaman herba yang banyak digunakan dalam industri makanan, kesihatan dan kosmetik. 

Permintaan terhadap kunyit terus meningkat kerana khasiatnya seperti   antiradang, antioksidan serta kegunaannya dalam masakan. 

Bagi petani dan pengusaha ladang, penanaman kunyit boleh menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan jika diurus dengan betul. 

Encik Azrol Johari dari Asun, Kedah telah berjaya menghasilkan tanaman kunyit dalam polibeg di kawasan seluas 0.5 relung. Dengan keluasan ini, beliau berjaya menanam 1,000 pokok kunyit dalam polibeg.  

Beliau yang bakal bersara daripada khidmat dalam tentera memilih tanaman kunyit sebagai   usaha kerana belum ramai yang menanamnya secara komersial. Pada masa ini, beliau sedang berkursus peralihan dalam bidang PKS Agro Tani di bawah PERHEBAT. 

Beliau mula menanam kunyit pada bulan Januari 2025 dan telah berjaya mengutip hasil berupa umbisi kunyit hidup dan daun kunyit pada bulan Jun. 

Hanya dengan jumlah 1,000 polibeg, beliau telah berjaya menuai 800 helai daun kunyit yang dapat dijual dengan harga 50 sen sekeping. Penulis meninjau kejayaan beliau dan berkongsi   pengalaman yang beliau lalui.  

Pemilihan Benih yang Berkualiti

Encik Azrol bermula dengan mencari benih kunyit yang terbaik. Benih kunyit yang baik berasal   daripada rizom kunyit yang besar, segar dan bebas daripada penyakit. Menurutnya, kita mesti pastikan rizom mempunyai tunas yang aktif, di mana terdapat 2–3 mata tunas pada setiap rizom. Varieti yang sesuai adalah kunyit merah atau kunyit putih yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi. 

Penyediaan Benih

Rizom yang dipilih dipotong kepada beberapa bahagian kecil berukuran 5-7 cm dengan setiap bahagian mempunyai 2-3 tunas. Benih yang siap diproses perlu direndam dalam larutan fungisida selama 30 minit untuk mencegah jangkitan kulat. Air panas juga boleh digunakan untuk membasmi kulat dan bakteria. Benih kemudian dikeringkan di tempat teduh sebelum ditanam. 

Penanaman

Dalam sistem penanaman kunyit secara polibeg, Encik Azrol memastikan media yang sesuai   digunakan. Beliau menggunakan campuran tanah atas yang subur, baja kandang, sekam padi bakar dan pasir sungai sebagai media tanaman dalam polibeg. 

Menurutnya, media untuk tanaman kunyit mestilah poros, gembur dan kaya dengan bahan   organik serta mempunyai pH antara 5.5 - 6.5. Sistem pengairan yang baik berbentuk titisan   turut disediakan. 

Kawasan yang dipilih tidak terlalu panas dan dilindungi dengan polynet hitam. Polibeg perlu dipastikan tidak terendam air untuk mengelakkan masalah akar busuk. 

Perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah memilih rizom kunyit yang matang, sihat, dan bebas daripada penyakit. Beliau memastikan varieti yang tinggi hasil dan kandungan kurkumin seperti Kunyit Bentong atau varieti tempatan yang terbukti baik dipilih.


En Azrol adalah seorang anggota tentera memilih tanaman kunyit selepas bersara.

 


Kunyit ditanam menggunakan rizom berukuran 5–7 cm dengan tunas yang menghadap ke atas. Rizom ini dimasukkan ke dalam media tanaman dan dipadatkan perlahan-lahan. 

Masa yang sesuai untuk menanam kunyit adalah selepas musim hujan atau sebelum bermulanya musim panas. Seterusnya, air disiram secukupnya selepas   penanaman. 

Penjagaan dan Pengurusan Ladang

Sebagai seorang tentera yang penuh dengan disiplin, Encik Azrol sentiasa memberikan   keutamaan untuk menjaga tanaman ini dengan rapi. 

Antara tugasannya memastikan yang tumbuhan penting sentiasa adalah disiram bermula daripada peringkat awal penanaman. Siraman dilakukan sebanyak 2–3 kali seminggu. 

Beliau perlu memastikan bahawa polibeg tidak mengumpul air kerana kelembapan berlebihan boleh menyebabkan akar mereput. 

Pembajaan untuk Pertumbuhan Optimum

Pembajaan adalah perkara penting untuk memastikan hasil kunyit yang dikeluarkan   memuaskan. Semasa peringkat awal, beliau menggunakan kompos dan baja tinja haiwan. 

Kemudian, selepas 1-2 bulan, baja NPK (15:15:15) ditambah untuk merangsang pertumbuhan daun dan akar. Pembajaan dilakukan setiap 30-45 hari semasa pokok membesar.

Kawalan Rumpai dan Serangga Perosak

Setiap dua hari, beliau akan memeriksa setiap polibeg untuk mengawal rumpai dan serangga   perosak. Rumpai perlu dicabut secara manual atau dikawal dengan meletakkan jerami.   

Antara serangga perosak yang biasa menyerang adalah kumbang dan ulat, yang boleh dikawal dengan racun organik seperti minyak daun neem. 

Peringkat sebelum sebulan, kunyit perlu ditempatkan ditempat yang teduh.

 

Pencegahan Penyakit

Untuk memastikan tumbuhan tidak diserang penyakit, setiap polibeg perlulah tidak menakung air atau mempunyai kelembapan tinggi. Polibeg juga perlu mempunyai saliran yang baik. 

Penuaian dan Pasca Tuai

Selepas enam bulan, daun kunyit boleh dipetik untuk dijual dan boleh dijual dengan harga yang memuaskan, terutamanya pada musim perayaan. Hasil kunyit pula biasanya dituai selepas 8-10 bulan, bergantung pada varieti dan keadaan tanah. 

Kunyit sedia untuk dituai apabila daun mula menguning dan kering. Rimpang kunyit yang matang biasanya bergaris pusat 3-5 cm. Untuk menuai kunyit, tanah sekitar perdu digali perlahan-lahan untuk mengelakkan kerosakan pada rimpang. Bahagian atas pokok kunyit perlu dipotong dan bersihkan rimpang daripada tanah. 

Pemprosesan Pasca Tuai

Rizom yang dituai akan dibersihkan dengan air untuk membuang tanah, dan ada pengusaha yang kemudian merebus kunyit sebentar untuk meningkatkan warna dan jangka hayat. Kunyit kemudiannya akan dikeringkan di tempat teduh selama 5 hingga 7 hari. 

Seterusnya, kunyit akan dibungkus atau dilonggok sebelum dihantar kepada pemborong. Kunyit yang tidak dijual akan disimpan di tempat yang kering sehingga tiba masanya untuk dijual. 

Potensi Pendapatan Tanaman Kunyit

• Pengeluaran Kunyit Segar 

Untuk tanaman menggunakan polibeg, hasil adalah bergantung kepada bilangan pokok yang ditanam. Bagi satu relung (0.69 ekar), sebanyak 3,000 pokok kunyit boleh ditanam. Dengan jumlah ini, keluaran kasar adalah 1.2 tan metrik semusim. Harga kunyit adalah dalam lingkungan RM5/kg. Jadi, perolehan semusim adalah dalam lingkungan RM6,000. 

Dengan tidak menggunakan ramai pekerja, upah bermusim mengikut keperluan adalah dalam lingkungan RM2,000 dan keperluan baja serta lain-lain dalam lingkungan RM500, masih boleh memberikan keuntungan RM3,500 bagi kawasan kecil seluas setengah relung yang diusahakan oleh En. Azrol. 

• Pulangan Jualan Daun Kunyit 

Jualan daun kunyit juga memberikan pulangan yang baik. Dengan setiap keping daun dijual pada harga RM0.50 dan sekali kutipan sehingga 800 keping, jualan daun juga memberi pulangan yang lumayan. 


Daun kunyit segar boleh dijual pada musim perayaan, harga RM0.50 sekeping boleh memberi pendapatan lumayan.

 


Proses Mengeringkan Kunyit Menjadi Serbuk

• Pembersihan Awal Rizom Kunyit 

Rizom yang diperoleh daripada ladang perlu dibersihkan dengan air. Berus lembut digunakan untuk menanggalkan kotoran dengan membuang tanah, akar halus, serta bahagian yang rosak atau busuk. 

• Perebusan untuk Melembutkan Kunyit 

Kunyit yang telah dibersihkan direbus selama 30 - 45 minit supaya menjadi lembut. Proses   merebus ini perlu dipastikan agar kunyit tidak terlalu lembik. Merebus terlalu lama juga boleh memudarkan warna. 

• Penjaringan dan Pengeringan Kunyit 

Selepas direbus, kunyit ditoskan dan kemudian dikeringkan sama ada di bawah jemuran matahari atau menggunakan oven pengering. Pengeringan secara semula jadi di bawah matahari mengambil masa 10 hingga 15 hari di kawasan teduh. 

Pastikan proses pengeringan dibuat di atas kawasan yang berlapik dengan tikar dan tidak diletakkan terus di atas tanah. 

• Pastikan Kering Sebelum Proses Pengisaran 

Pastikan kunyit betul-betul kering sebelum proses mengisar. Kunyit yang kering akan rapuh dan tidak berbau hapak. 

Kunyit yang kering dihiris halus atau dirincikkan supaya boleh dikisar menggunakan   mesin pengisar kering. Hasil yang dikisar boleh diayak untuk mendapatkan kunyit yang lebih halus. 

Semasa proses mengisar, pastikan semua peralatan yang digunakan perlulah kering dan bersih untuk mengelakkan kontaminasi. 

• Penyaringan dan Penyimpanan Serbuk Kunyit 

Untuk mendapatkan hasil kunyit serbuk yang lebih halus, boleh menggunakan penapis dan mengulang kisar hasil yang terasing. 


Bunga kunyit boleh digunakan dalam masakan sebagai perisa atau hiasan, terutama dalam hidangan tradisional Melayu dan India.

 


Serbuk kunyit yang dihasilkan hendaklah disimpan dalam bekas kering, sama ada bekas kaca kedap udara, plastik makanan atau aluminium pembungkus yang sesuai. Simpan di tempat yang kering, sejuk dan gelap untuk tahan lama.

Pemasaran dan Jualan Hasil

Untuk mendapatkan keuntungan maksimum, petani perlu merancang strategi pemasaran dengan baik. 

Antara cara biasa menjual kunyit adalah di pasar tani atau pasar borong, dan boleh juga dikeringkan dan dijadikan rempah kering, atau dipasarkan melalui media sosial dengan menjual sebagai pakej produk kering, benih kunyit, atau sebagai serbuk kunyit. 

En. Azrol lebih memberi tumpuan kepada penjualan daun kunyit dan juga hasil kunyit segar untuk pasaran tempatan. 

Sekiranya terdapat perusahaan besar, kunyit boleh diproses menjadi serbuk, minyak atau ekstrak untuk nilai tambah. 

Dengan kaedah pembungkusan yang menarik, kunyit juga boleh dipasarkan dengan jenama sendiri dan pengusaha boleh mendapatkan sijil organik untuk memperoleh pasaran premium. 

Kesimpulan

Penanaman kunyit boleh menjadi perniagaan yang menguntungkan jika diurus dengan betul. Dengan memilih benih berkualiti, menjaga tanaman dengan baik, dan merancang pemasaran yang strategik, petani dan pengusaha ladang boleh memperoleh pendapatan yang stabil. 

Selain itu, kunyit juga mempunyai potensi eksport yang tinggi ke pasaran antarabangsa seperti China, India dan Eropah. 

Dengan mengikuti panduan ini, diharapkan lebih ramai petani dapat menceburi industri kunyit dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.

If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.

Not subscribed to our magazine yet?
You can now subscribe to our magazines directly

Shortcut - Agrimag