February 27 2026
Oleh: Jamaludin Mat Rashid
Jika menternak itik di kawasan kering tetapi mahukan telur yang banyak, itik jenis Indian Runner adalah baka yang tepat. Kebanyakan itik lain memerlukan kawasan berair untuk terus sihat, tetapi Indian Runner hanya memerlukan air untuk minum dan sedikit untuk membilas tubuh. Selain itu, Indian Runner juga pandai dan suka mencari makanan sendiri. Ia gemar makan pelbagai siput dan sepah bulan. Ia juga makan segala jenis serangga, dari anai-anai yang kecil hinggalah anak ular. Indian Runner pandai memburu larva serangga baik di tanah mahupun di sela-sela pokok.
Seorang penternak skala rumahan dan pembiak baka, Encik Azhar Abdul Rahman dan Padang Serai, Kedah, adalah antara pelopor dan peminat tegar dalam penternakan baka itik Indian Runner. Mengikuti catatan perjalanannya berternak melalui Facebook menggambarkan betapa cintanya beliau kepada haiwan.
Dalam kebun kecilnya yang agak jauh dari rumah, bukan hanya terdapat ayam dan itik, malah seekor kerbau yang minta dibelai saban hari apabila melihat kelibatnya. Sayangnya Abang Ad, nama panggilan dalam kalangan kawan-kawan peminat ayam baka tulen, terhadap haiwan sangatlah mendalam. Dalam satu entri di Facebook, beliau kelihatan sedih dan membelai seekor itik jantan berkepala hijau yang hendak dihantar kepada seorang pemilik baharu.
Beliau mengusap-usap kepala si jantan dan memujuk dengan membahasakan dirinya ayah, seakan-akan menghantar anak kecil untuk berpisah sementara tinggal di asrama.
Itik Indian Runner dipercayai berasal dari Lombok, Jawa dan Bali, terkenal dengan tubuh tegak seperti penguin.
Asal Usul "Itik Penguin" dari Nusantara
Itik Indian Runner (Anas platyrhynchos domesticus) dipercayai berasal dari Indonesia, di mana ia telah dipelihara dan dibiak dengan banyak di sekitar kepulauan Lombok, Jawa dan Bali.
Menurut catatan Alfred Russel Wallace di dalam bukunya The Malay Archipelago (lawatan tahun 1856), “Di Bali dan Lombok yang terletak di hujung timur Pulau Jawa sangat menarik. Bali mengeksport begitu banyak daging lembu kering dan ekor lembu, manakala dari Lombok pula sejenis itik. Itik yang mereka pelihara sangat aneh dengan badan yang pepeh dan lonjong, berjalan menegak seperti penguin.
Kebanyakan berwarna merah abu-abu yang pucat dan dipelihara dalam gerombolan yang besar. Itik-itik ini dijual dengan harga yang sangat murah. Kebanyakannya dibeli dan dimakan oleh kelasi kapal beras yang memanggilnya itik Soldadu Bali tetapi di tempat lain dipanggil itik penguin.”
Tubuh Sederhana, Larian Pantas, Hasil Tinggi
Menurut Abang Ad, itik ini bertubuh sederhana berbanding rakan-rakan lain yang lebih besar, sekitar 1.6 - 2.3 kg bagi jantan dewasa dan 1.4 hingga 2 kg bagi betina dewasa. Ia sangat produktif bertelur dengan telur yang berwarna biru kehijauan. Kulit bawah bulu berwarna merah jambu.

Telurnya tidak hanyir seperti kebanyakan itik lain. Baka Indian Runner tidak boleh terbang tetapi sangat laju berlari, sebab itulah ia dipanggil itik pelari (Indian Runner Duck). Lebih menarik, baka ini mudah jinak dan manja dengan keletahnya yang sedikit lucu, menjadikannya sesuai sebagai haiwan kesayangan. Di luar negara, ada pertandingan lumba lari itik Indian Runner sambil dihias dengan jaket, bow-tie dan topi tinggi ala Charlie Chaplin.
Jimat Dedak, Kurang Bau, Pulangan Lumayan
Kata Abang Ad lagi, baka itik ini sangat berbaloi diternak kerana makan hanya sedikit dan tidak memerlukan kolam untuk hidup sihat. Itik lain memerlukan kolam untuk riadah, menyebabkan persekitaran berbau busuk daripada najis di dalam air yang sukar diurus. Ia bertelur banyak dan sedap.
Pada awal menternak baka ini, Abang Ad mengutip sehingga 12 biji telur sehari hingga tidak termakan dan penuh peti sejuk. Dagingnya juga banyak dan sedap walaupun ia kelihatan kurus kerana tulangnya sangat kecil. Abang Ad suka dibuat kari pekat. Sedap dimakan dengan nasi, roti canai mahupun capati.
Kekuatan Genetik untuk Industri Telur
Sifat bertelur banyak, kurang makan dan sangat rintang terhadap penyakit membuatkan baka Indian Runner disilang (crossbreed) dengan itik lain bagi melahirkan penghasil telur yang cekap seperti Khaki Campbell, Buff Orpington dan itik-itik hiasan. Sifat tidak terbang dan hidup tanpa kolam air membuatkan baka penghasil telur seperti Khaki Campbell dapat diternak secara komersial dalam reban tertutup ala ayam pedaging.
Baka Itik Indian Runner makan sedikit tetapi menghasilkan telur banyak, sesuai untuk penternakan kecil dan komersial.
Telurnya sederhana besar dan tidak hanyir, menjadikannya pengganti tepat bagi telur ayam terutama bagi industri pemprosesan makanan. Malah dalam produk tertentu seperti kek, penggunaan telur itik memberi kualiti yang lebih baik.
Oleh kerana baka itik Indian Runner masih belum dimiliki ramai orang, Abang Ad bertindak selaku pembiak baka. Kebetulan beliau mempunyai akses yang baik dan kenalan di luar negara dalam bidang ini untuk mengimport telur bernas dari luar negara, ditetas, dibiakkan dan diperkenalkan kepada penternak tempatan.
Niatnya hanyalah untuk memastikan penternak tempatan mempunyai gene pool yang baik sehingga kualiti ternakan unggas tempatan meningkat dan masyarakat boleh menjana pendapatan daripadanya. Ini boleh mengeluarkan masyarakat daripada bergantung kepada beberapa kartel sahaja yang menguasai industri ternakan ayam dari pengeluaran DOC hingga meja jualan di pasar.
Itik Indian Runner boleh hidup sihat tanpa kolam, sesuai untuk kawasan kering.
Jualan Ikut Peringkat Umur dan Nilai Tambah
Abang Ad mempunyai tiga tempat pembiakan unggas. Hanya dua sahaja boleh dilawati oleh pembeli untuk melihat induk dan membeli anak ternakan, sama ada ayam mahupun itik. Tempat yang tidak boleh dilawati itu mungkin atas faktor biosekuriti dan rahsia perniagaan beliau. Abang Ad menjual pelbagai peringkat umur itik Indian Runner dari telur bernas yang perlu ditetas sendiri, DOC, anak umur seminggu, umur sebulan, malah induk yang mula belajar bertelur. Tentulah harganya berbeza-beza mengikut nilai tambah yang diberi dan jaminan mengenal jantina.
Pelaburan Induk yang Menjamin Hasil
Biasanya pembeli akan memilih umur yang memberi kepastian hasil terbaik biarpun berharga mahal. Lazimnya, setiap 10 ekor itik betina hanya memerlukan dua ekor itik jantan bagi tujuan pembiakan. Itik jantan yang banyak hanya menghabiskan dedak dengan hasil yang sama sahaja. Pembelian telur bernas yang difikir mampu milik mungkin menghasilkan bilangan itik betina yang sedikit tetapi jantan yang banyak.
Terkini, Abang Ad menjual lapan ekor itik Indian Runner, dua jantan dan enam betina, yang sudah mula bertelur kepada seorang pembeli dengan harga RM2100 selepas diskaun RM300, dihantar hingga ke rumah pembeli di Selangor. Harga bukanlah masalah kerana enam ekor itik betina itu bakal menghasilkan ribuan telur yang boleh ditetas dan dijual dengan putaran yang sama.

Bukan Sekadar Indian Runner
Selain itik Indian Runner, Abang Ad juga mengimport ternak unggas lain. Antara yang paling menonjol dan bakal memberi kejutan kepada masyarakat penternak tempatan ialah ayam Rhode Island Red line Dark Mahogany. Warna bulunya lebih pekat daripada Rhode Island Red yang sudah banyak diternak.
Selain berbadan lebih besar dan warna bulu merah gelap, Dark Mahogany mempunyai beberapa ciri yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Hanya beberapa penternak baka tulen yang dipercayai Abang Ad dititipkan untuk membiak baka ini.
Baka lain yang telah menunjukkan adaptasi baik dan dapat berproduksi dengan hasil yang bagus ialah itik Zhejiang. Seperti Indian Runner, Zhejiang juga suka bertebaran memakan serangga, menjadikannya pembasmi hama di kebun terhebat.
Itik Zhejiang adalah antara penelur yang hebat, setanding Indian Runner. Baka ini masih baharu di Malaysia dan bakal menjadi produk baharu pembiak baka tanah air.
Tubuh sederhana dan berjalan tegak menjadikan Itik Indian Runner pantas dan produktif.
Itik ini bertubuh kecil tetapi hebat bertelur dan tidak makan dengan banyak, menjadikan jimat dedak. Jantinanya mudah dikenali kerana jantan mempunyai warna yang pelbagai sedangkan betina berwarna polos. Anak-anak itik Zhejiang ini sudah boleh dibekalkan Abang Ad tetapi perlu tempahan terlebih dahulu.
Pilihan Ideal untuk Penternak Baharu
Doakan Abang Ad supaya sentiasa sihat dan boleh memperkenalkan lebih banyak baka baharu untuk penternak tempatan. Jika tuan berkira-kira hendak mula berternak, pilihlah itik Indian Runner kerana ia makan sedikit tetapi bertelur banyak. Tidak perlu ada kolam. Jika digabungkan dengan sayuran, tidak perlu meracun lagi kerana itik akan makan segala siput dan serangga perosak. Tunggu apa lagi, jomlah berternak!
If you can't see the comments after a few seconds, try reloading the page.