January 09 2025
Oleh: Wizilla Janti Joshua
Ikan patin sungai merupakan spesies ikan air tawar yang terkenal di Malaysia. Ia menjadi simbol daerah Temerloh, Pahang. Daerah ini bukan sahaja dikenali sebagai “bandar ikan patin” tetapi juga menjadi tempat kepada hidangan popular seperti ikan patin tempoyak dan ikan patin masak lemak dan keunikan rasa ikan patin membuatkannya menjadi pilihan ramai.
Data daripada Jabatan Perikanan Malaysia bagi tahun 2023 menunjukkan pengeluaran ikan patin akuakultur mencecah 18,812.91 tan metrik dengan nilai borong sebanyak RM213.6 juta. Pahang menjadi pengeluar terbesar ikan patin dengan pengeluaran sebanyak 8,857.32 tan metrik.
Encik Thomas Thong adalah salah seorang penternak yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan industri penternakan ikan patin sungai dalam kalangan penternak ikan patin di Temerloh. Beliau mula menceburkan diri dalam bidang ini pada tahun 2010 dengan hanya 10 sangkar ternakan ikan patin sungai. Kini, beliau telah mengembangkan usahanya dengan 18 sangkar di Sungai Pahang.
Kualiti Air Sungai Pahang Bersih
Kegigihan dan semangat beliau dalam menternak ikan patin sungai ini dapat memperlihatkan kepentingan akuakultur sebagai sumber pendapatan yang berpotensi tinggi, terutamanya bagi komuniti di sekitar daerah Temerloh.
Encik Thomas menyedari bahawa persekitaran semula jadi Sungai Pahang sangat sesuai untuk menternak ikan patin sungai dalam sangkar terapung, memandangkan kualiti air sungai yang sentiasa mengalir dan bersih. Ini memberikan ikan patin di sini kelebihan berbanding ikan patin yang diternak dalam kolam dan di mana airnya adalah statik dan kurang pengaliran.
Pada awalnya, Encik Thomas hanya bermula secara kecil-kecilan. Beliau belajar dari ahli-ahli Malaysia Aquaculture Development Association (MADA) dan turut mendapat banyak panduan daripada penternak lain. Dengan semangat ingin mencuba sesuatu yang baru, beliau mendapati penternakan ikan patin ini sebagai satu bidang yang bukan sahaja menarik tetapi juga mendatangkan hasil yang memuaskan.
Tidak Putus Asa Walaupun Mengalami Kerugian
Namun, penternakan ikan patin tidaklah bebas dari sebarang cabaran. Pada tahun 2014, beliau menghadapi kerugian besar apabila banyak ikan mati akibat penyakit yang berpunca dari perubahan kualiti air. Ini merupakan salah satu risiko utama bagi penternak ikan di sungai, di mana air sungai boleh menjadi keruh dan ikan yang diternak mudah terdedah pada serangan penyakit. Walau bagaimanapun, Encik Thomas tidak putus asa. Beliau terus bangkit semula dan memperbaiki cara pengurusan ternakannya untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang.
Setiap sangkar ikan patin milik Encik Thomas menempatkan sekitar 1000 benih ikan patin yang berukuran sekitar 3 inci. Benih-benih ini dibesarkan selama kira-kira enam bulan sehingga mencapai berat purata 1 kilogram. Setelah mencapai berat pasaran, ikan-ikan ini dijual terus kepada pembeli yang datang ke lokasi beliau. Harga jualan bagi ikan patin yang dijual oleh Encik Thomas ialah RM18 per kilogram manakala harga jualan melalui pembekal atau orang tengah kepada pelanggan boleh mencapai harga RM22 per kilogram.
Menurut beliau, salah satu kelebihan ternakan ikan patin di Sungai Pahang ialah ikan yang diternak di dalam air sungai mengalir tidak mempunyai bau hanyir. Ia memberikan perbezaan yang ketara berbanding dengan ikan patin yang diternak dalam kolam. Ini menjadikan ikan patin dari Temerloh sangat diminati oleh pelanggan terutamanya mereka yang mencari ikan segar dengan kualiti terbaik.
Selain itu, kualiti air yang baik sangat penting dalam memastikan ikan-ikan patin ini membesar dengan sihat dan mencapai saiz yang diingini. Setiap sangkar tumbesaran biasanya menempatkan sekitar 800 ekor ikan.
Cabaran Cuaca
Penternakan ikan patin di sungai juga tidak terlepas daripada kesan perubahan cuaca. Musim hujan sering kali menjejaskan kualiti air apabila air sungai menjadi keruh. Menurut perkongsian daripada Encik Thomas, beliau lebih berhati-hati dalam menjaga ikan-ikannya dalam keadaan ini dan akan berhenti memberi ikan makan buat sementara waktu bagi mengelakkan masalah kesihatan kepada ikan.
Sebaliknya, paras air sungai akan menjadi rendah pada musim kemarau. Cabaran utama yang beliau pernah hadapi pada musim kemarau ialah suhu air yang meningkat lalu mengakibatkan oksigen terlarut rendah. Senario ini menyebabkan ikan ternakan terdedah kepada tekanan. Encik Thomas dan pekerjanya perlu sentiasa memantau keadaan ini bagi memastikan ikan-ikannya tidak terjejas.
Walaupun terdapat pelbagai cabaran yang harus dihadapi, Encik Thomas melihatnya sebagai sebahagian daripada kehidupan menternak ikan patin di sungai. Bagi beliau, kehidupan sebagai penternak ikan ini memberikan kepuasan yang sukar digambarkan. Selain menikmati suasana tenang di tepi sungai, beliau juga seronok berinteraksi dengan alam semula jadi dan melihat hasil usaha tangannya sendiri berkembang dengan baik.
Dengan permintaan yang terus meningkat terhadap ikan patin terutamanya di kalangan pengunjung yang datang ke daerah Termeloh, Encik Thomas percaya bahawa masa depan penternakan ikan patin sungai dalam sangkar di Temerloh adalah cerah. Beliau merancang untuk terus menambah baik operasi penternakannya dan berkemungkinan akan menambah beberapa sangkar lagi.
Beliau juga berharap agar lebih ramai penternak terutama generasi muda akan menceburi bidang ini dan meneruskan tradisi penternakan ikan patin sungai yang menjadi identiti daerah Temerloh. Dengan pengetahuan dan teknologi yang betul, beliau yakin bahawa industri ini mampu berkembang lebih pesat dan memberikan hasil yang lebih lumayan kepada penternak.
Penternakan ikan patin sungai dalam sangkar di Sungai Pahang bukan sahaja merupakan satu aktiviti ekonomi yang berpotensi tinggi. Ia juga memberikan kepuasan peribadi yang mendalam kepada penternak seperti Encik Thomas. Beliau terus komited untuk menghasilkan ikan patin sungai berkualiti tinggi yang menjadi kebanggaan Temerloh.
Sekiranya anda tidak dapat melihat komen setelah beberapa saat, cuba muatkan semula halaman.